TEORI HURAIAN BAHASA

Apakah maksud teori huraian bahasa? Teori bahasa ialah pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang bahasa. Oleh yang demikian, kita dapat memahami teori huraian bahasa sebagai pendapat yang memerihalkan teori dalam bahasa, iaitu pandangan atau pemikiran tokoh-tokoh tentang huraian
bahasa.

Terdapat empat aliran pemikiran teori huraian bahasa, iaitu;

(a) Teori Tradisional (Panini)
Teori Tradisional oleh Panini (ahli tokoh fonetik India) menganggap bahawa bahasa ialah ucapan fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara. Selain itu, ciri nahu teori ini mementingkan bahasa tulisan. Dalam hubungan ini, semua bahasa mempunyai peraturan yang sama dengan bahasa Yunani. Di samping itu, semua penutur diwajibkan untuk mematuhi peraturan dan kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan.

(b) Teori Struktural (Bloomfield)

Teori ini dipelopori oleh Bloomfield, Edward Sapir, de Saussure dan Otto Jespersen. Mereka berpendapat
bahawa bahasa ialah sistematis, mempunyai tatabahasa yang tersendiri, hidup dan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa perkaitan antara fonem sebagai unit bahasa yang terkecil, dan unit tatabahasa dan ayat dapat dianalisis secara konstituen terdekat. Dalam kajian nahu pula mereka berpendapat bahawa bahasa sebagai sistem yang mempunyai ciri peraturan, sistem, arbitari untuk perhubungan. Mereka menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Golongan struktural juga berpendapat bahawa huraian bahasa dilakukan secara induktif. Mereka juga berpendapat bahawa huraian bahasa tidak mementingkan makna dan analisis dibuat secara luaran.
Leonard Bloomfield

(c) Teori Transformasi Generatif (Chomsky)

Teori yang dipelopori oleh Noam Chomsky ini bersetuju bahawa manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Penutur natif berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang baharu. Daripada kebolehan ini, akan terbentuklah rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap berdasarkan bahasa pertama terlebih dahulu. Binaan ayat biasanya mempunyai hubungan erat antara elemen dan menggunakan simbol atau rumus untuk menganalisis nahu. Sesuatu binaan ayat dapat dihuraikan dengan memahami stuktur luaran dan stuktur dalaman.

Noam Chomsky

(d) Teori Fungsional (Halliday)

Halliday dan Wilkins mempelopori teori fungsional. Teori ini berkembang pada tahun 1960- an dan 1970-an. Penteori ini mengkaji bahasa dari segi struktur dan fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Di samping itu, mereka menganggap bahawa bahasa sebagai alat pertuturan. Oleh hal yang demikian, dapatan mereka ini mementingkan aspek semantik. Mereka bersetuju bahawa kewujudan variasi dalam penggunaan bahasa tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur. Golongan ini beranggapan bahawa pengukuhan bahasa adalah secara verbal dan non-verbal. Aliran dan golongan ini bukan sahaja mengkaji bahasa daripada segi struktur tetapi memberi perhatian juga kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.

Halliday

2 ulasan: