CIRI-CIRI LARAS BAHASA LISAN RADIO & TELEVISYEN

i.   Pengguguran kata hubung 'yang'
ii.  Pengguguran kata hubung 'bahawa'
iii. Pengguguran Kata Depan
iv. Pengguguran Penjodoh Bilangan
v.  Pengguguran Imbuhan

i.  Pengguguran kata hubung 'yang'

Laras ini menggunakan pengguguran "yang". Ayat-ayat yang digunakan akan melalui pengguguran "yang", supaya ayat yang ingin disampaikan akan lebih ringkas dan cepat, namun masih difahami oleh pendengar.
Contohnya lihat ayat berikut :

"Tiga puluh orang tercedera dalam beberapa serangan bom terbaru olehpelajar universiti di Burma"

Jika tidak ada kendala waktu, ayat itu akan lebih panjang. Namun walaupun mengalami pengguguran "yang" ia masih lagi mempunyai maksud yang sama dan masih jelas penggunaan ayat tersebut.

"Tiga puluh orang tercedera dalam beberapa serangan bom yang terbaru yang telah dilakukan oleh pelajar universiti di Burma"

ii.  Pengguguran kata hubung "bahawa"

Laras ini juga menggugurkan kata hubung "bahawa" supaya lebih menjimatkan masa penyampaian serta tepat dan jelas. Pengguguran "bahawa", iaitu kata penghubung, menimbulkan klausa objek langsung. Pengguguran ini menyebabkan pernyataan akan menjadi lebih tegas dan bertenaga. Contohnya :
 
"Pertubuhan Pembebesan Palestin (PLO) mendakwa tenteranya berjaya mematahkan satu serangan besar Israel semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terbunuh"

Di dalam ayat tersebut, kata bahawa di antara "mendakwa" dan "tenteranya" dihilangkan. Jika tidak ada penghilangan tersebut, ayat itu akan berbunyi seperti berikut :

"Pertubuhan Pembebesan Palestin (PLO) mendakwa bahawa tenteranya berjaya mematahkan satu serangan besar Israel semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terbunuh"

iii.  Pengguguran Kata Depan

Laras bahasa lisan radio dan televisyen ini juga mengalami pengguguran kata depan. Ada kata depan yang telah mengalami pengguguran, misalnya dengan, oleh atau dari. Misalnya:

"Pertubuhan Pembebesan Palestin (PLO) mendakwa bahawa tenteranya berjaya mematahkan satu serangan besar Israel semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terbunuh"

Ungkapan yang berbunyi satu serangan besar Israel semalam, memperlihatkan ada unsur sebelum Israel yang telah digugurkan. Unsur itu boleh terdiri daripada oleh atau dari, bergantung kepada tafsiran yang diberikan kepada ayat tersebut. Jika tafsiran mentafsirkan pelaku yang menghasilkan "serangan besar", maka yang digugurkan ialah oleh. Seandainya tafsiran memberatkan arah datangnya "serangan besar", maka yang hilang itu ialah dari.

iv.  Pengguguran Penjodoh Bilangan

Dalam laras lisan ini juga penjodoh bilangan terutamanya penjodoh bilangan kata nama manusia mengalami pengguguran dalam frasa nama yang terdiri daripada kata nombor-penjodoh bilangan-nama. Penjodoh bilangan itu ialah orang. Contohnya adalah seperti berikut:

(i) Lima anak kapal yang cedera parah dalam perlanggaran di Laut China Selatan Rabu lalu...beransur pulih.
(ii) Walaupun kelapan-lapan pemain ini sudah melebihi usia 21 tahun, mereka masih layak bermain.

Penjodoh bilangan orang digugurkan walaupun tidak diikuti oleh sebarang kata nama manusia. Dengan pengguguran yang seperti itu, maka yang tinggal hanyalah kata bilangan nombor.

(iii) Lima daripada mereka menghadapi tiga tuduhan dan lapan yang lain menghadapi dua tuduhan.

Selain itu, ada contoh yang menunjukkan penggunaan orang tetapi tanpa kata nama inti yang mengikuti penjodoh bilangan tersebut.

"Katanya, tiga orang mengikutinya ke balai polis. Walau bagaimanapun, empat orang lagi pergi secara sukarela"

Berhubung dengan ini, perlu diperhatikan bahawa kata bilangan orang dan kata bilangan lain tidak digugurkan bagi jumlah satu yang menggunakan imbuhan awalan se-. Misalnya:

"Satu keluarga lima orang, termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak,menemui nasib yang sama minggu lalu"

v.  Pengguguran Imbuhan

Dalam laras ini juga, ada pengguguran imbuhan yang ada kalanya menjejaskan asas tatabahasa Bahasa Melayu. Pengguguran yang dimaksudkan ialah pengguguran yang menimbulkan bentuk yang menyimpang daripada peraturan tatabahasa bahasa Melayu. Keadaan ini adalah hasil daripada pengguguran akhiran-kan. Contoh:

(i)    Penjualan saham belum diputus
(ii)   Kerja mengukur tanah di Sabah akan diswasta
(iii)  Yayasan sedia sepuluh biasiswa untuk MBA

Dalam ayat  perkataan sedia yang sebenarnya merupakan kata adverb, digunakan sebagai kata kerja. Mengikut peraturan tatabahasa, sedia boleh dijadikan dasar penerbitan kata kerja dengan imbuhan akhirnya -kan. Hasilnya ialah bentuk dasar sedia-kan, yang merupakan asas penerbitan menyediakan dan disediakan. Namun awalan me- yang tidak boleh digugurkan ialah awalan me- yang ditambah antara lain kepada kata dasar yang merupakan kata kerja tak transitif (misalnya: meninggal), kata kerja transitif (misalnya: melawat, melayan).
 
Justeru laras lisan ini adalah sangat kompleks jika dibandingkan dengan laras lain kerana laras radio dan televisyen ini memerlukan ungkapan yang seringkasnya namun masih boleh disampaikan dengan tepat dan betul. Laras lisan yang diaplikasikan dalam radio dan televisyen adalah tidak memerlukan frasa yang terlalu panjang atau mempunyai ayat yang berbunga-bunga. Contoh laras yang digunakan dalam radio dan televisyen secara lisan.

(a) Contoh 1:

KAHERAH: Penduduk Muslim Albania yang mewakili majoriti di Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia seminggu lalu, merayu negara Islam mengiktiraf negara baru itu segera. Mereka juga
merayu negara Islam menyumbang bantuan kepada Kosovo bagi menolongnya membangunkan negara  berkenaan. Perdana Menteri Kosovo, Hashim Thaci mengisytiharkan kemerdekaan negaranya dari Serbia lalu yang mendapat pengiktirafan segera Amerika Syarikat dan kebanyakan Negara Barat tetapi tidak diiktiraf Serbia dan Russia.

Pengumuman itu disambut dengan kegembiraan di Kosovo tetapi dibantah oleh sekumpulan tertentu di Belgrade dengan kedutaan negara Barat, termasuk Amerika menjadi sasaran serangan. Kosovo, dengan 2 juta penduduk Muslim Albania mewakili lebih 95 peratus  daripada jumlah penduduk negara itu, ditadbir oleh PBB sejak 1999 selepas tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengusir tentera Serbia dari wilayah berkenaan kerana didapati terbabit dengan pembersihan etnik.

(b) Contoh 2:

SKUAD badminton lelaki negara mengesahkan status selaku pasukan harus diberi tumpuan apabila menjuarai pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia selepas menundukkan Korea 3-2 pada saingan akhir di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, semalam. Kejayaan itu turut diiringi berita gembira apabila skuad wanita turut layak secara automatik ke kejohanan Piala Uber, kedua-duanya berlangsung di Jakarta, Mei ini selepas menduduki tempat ketiga terbaik sesudah menundukkan Hong Kong 3-0. Dalam akhir bertemu Korea, pemain perseorangan utama Negara, Lee Chong Wei memberikan mata pertama buat negara apabila membenam cabaran Shon Seung-mo, 21-8, 21-11. harapan yang kemudian tampak mudah untuk memungut mata kedua dalam perlawanan kedua bertemu Lee Jae-Jin-Jung Jae-sung ternyata meleset.

1 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam