TEORI PSIKOLINGUISTIK

Apakah itu teori psikolingistik? Bagi sesetengah pelajar perkataan teori agak menakutkan. Namun begitu, teori hanyalah bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Oleh yang demikian kita dapat memahami bahawa teori psikolinguistik adalah sesuatu pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang psikolinguistik. Justeru, teori psikolinguistik dianggap sebagai teori moden yang berdasarkan hasil kajian terbaharu mengenai hakikat kognitif manusia.

Noam Chomsky
Tokoh yang mempelopori teori psikolinguistik ialah Noam Avram Chomsky pada tahun 1957. Tokoh ini
telah membawa revolusi dalam bidang linguistik, khususnya psikolinguistik. Tokoh unggul ini berpendapat bahawa otak manusia dipraprogramkan oleh mekanisme kognitif yang disebut sebagai Peranti Pemerolehan Bahasa atau Language Acquistion Device (LAD). Alat ini telah membolehkan individu untuk menjana ayat gramatis dengan cara sejagat atau bebas budaya. Chomsky telah memperkenalkan beberapa perkara melalui teori kod kognitifnya. Bagi anda yang tidak faham akan maksud kognitif, apa kata luangkan sedikit masa untuk merujuk kamus ataupun pencarian melalui web. Anda juga boleh berbincang dengan tutor untuk
mendapat penjelasan lanjut semasa di kelas.
 
Berbalik kepada teori kod kognitif Chomsky. Menurutnya, setiap manusia yang dilahirkan di dunia sudah ada kecekapan untuk berbahasa apabila sampai waktunya. Potensi berbahasa ini sebenarnya ialah sifat akal, iaitu yang bersifat semula jadi. Dengan yang demikian, akalnya membolehkan seseorang untuk menerbitkan perkataan atau ayat yang tak terkira. Chomsky juga berhujah bahawa peringkat permulaan belajar bukan sahaja terhad kepada operasi rangsangan dan tindak balas, malah proses kognitif turut terlibat dalam proses pembelajaran tersebut. Tanpa peranan kognitif perkembangan bahasa terbatas pada hal yang dialami sahaja.

Seterusnya, beliau berpendapat bahawa bahasa bersifat kreatif. Penghasilan sesuatu bahasa itu tidak terbatas kepada objek dan peristiwa atau pengalaman yang dapat digarap oleh perilaku semata-mata. Ujar beliau, semua komponen bahasa berkembang secara kreatif, mengimbau atau melangkau batasan pengalaman naluri, iaitu rangsangan dan tindak balas. Oleh sebab daya kreativiti itu, maka setiap kalimat seseorang mendengar, bertutur, membaca dan menulis adalah sesuatu yang baharu. Chomsky berpendapat bahawa bahasa yang dipelajari melalui satu set rumus yang digunakan untuk menerbitkan kalimat baharu itu. Di sini beliau memperkenalkan dua istilah seperti berikut:
i.   Kompetens
ii.  Prestasi
 
Chomsky menjelaskan bahawa setiap penutur dan pendengar mempunyai kompetens dan prestasi. Kompetens dapat diertikan sebagai sistem rumus yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas. Dengan kata lain, kompetens ialah pengetahuan penutur mengenai bahasanya. Ia merupakan unsur dalaman dan berada di dalam otak. Sementara prestasi pula dapat diertikan sebagai bunyi-bunyi yang dilafazkan. Bunyi-bunyi ini bermakna dan dapat difahami oleh pendengarnya. Berbaze dengan kompetens ia terletak di bahagian luar otak.

Seterusnya, Chomsky menerangkan bahawa tatabahasa generatif dalam otak diperoleh oleh penutur daripada otaknya sendiri. Ini adalah kerana penutur telah pun mempunyai tatabahasa sejagat yang diperoleh secara semula jadi. Semasa seseorang kanak-kanak itu membesar, dia sudah tentu akan dipengaruhi oleh persekitaran. Setelah berumur lima tahun, kanak-kanak itu akan membentuk tatabahasa generatif dalam otaknya. Dengan menghubungkan tatabahasa sejagat dan pengalaman daripada persekitarannya, kanak-kanak itu akan dapat menghasilkan tatabahasa generatif pada taraf kompetens. Setelah kanak-kanak memperoleh kompetens, dia akan mempunyai prestasi.
 
Kompetens seumpama ini seterusnya menghasilkan prestasi. Kemudian prestasi ini pula akan menghasilkan elemen seperti ayat-ayat yang didengar oleh pendengar, iaitu dari telinga ke dalam otak dan mengulangi pula proses yang sama apabila pendengar bertutur.
 
Teori linguistik Chomsky menekankan bahagian dalam bahasa yang berupa proses mental yang dapat menghasilkan bahasa tanpa perangsang daripada luar. Teori ini memakai skema S-O-R (stimulus-organism-response) yang menganggap bahasa sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu dalam otak dan saraf setelah menerima unsur-unsur dalam bentuk perangsang daripada pancaindera. 

Sehubungan itu, Chomksy telah memperkenalkan teori linguistik yang disebut Nahu Transformasi Generatif (TG). Teori ini menerangkan bahawa kanak-kanak mempunyai LAD yang dibawa sejak lahir yang memungkinkan kanak-kanak itu memperoleh bahasa ibundanya dengan mudah. Dengan adanya LAD, kanakkanak dapat memilih bentuk-bentuk yang diterima dalam bahasa itu, dan 
menolak bentuk-bentuk yang bukan struktur bahasa berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan