BAGAIMANA BAHASA MENYATUPADUKAN RAKYAT

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi semua peringkat prasekolah dan pengajian. Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, perhubungan utama, dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat.
 
Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah yang meliputi Tingkatan 1 hingga 5 akan terus meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan pelajar remaja dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa di dalam pelbagai situasi, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah juga menanam kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan. Pemupukan semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia diberi penekanan di dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah agar pelajar-pelajar membina semangat rasa bangga dan cinta akan tanah air di dalam satu wawasan budaya yang dihasratkan.

Di samping itu juga, bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Selain itu juga, pendidikan sebagai alat yang digunakan untuk perpaduan antara kaum jelas dinyatakan di dalam Penyata Razak 1956. Oleh itu, apabila pendidikan dianggap sebagai alat secara automatiknya, bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan boleh mengambil bahagian di dalam isu menyatupadukan rakyat kerana bahasa Melayu itu digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar di pelbagai bidang.

Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara di dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Perpaduan rakyat atau pembentukan satu negara bangsa dapat dicapai melalui sistem pendidikan. Oleh itu, perpaduan rakyat dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama laintidak mengira bangsa dan agama. Secara faktanya, sejarah tidak menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan cerdik pandai menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Selain itu, penyatupaduan rakyat dapat mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan kerana sistem persekolahan yang berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti bangsa. Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.
 
Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Selain itu, bahasa Melayu juga dapat membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatupaduan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni; seperti yang tercatat di dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
 
Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk telah mewujudkan masalah polarisasi kaum terutamanya di kalangan pelajar. Masalah polarisasi kaum di kalangan pelajar, jika tidak dibendung akan menimbulkan implikasi yang kurang sihat terhadap negara. Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Pemisahan kaum antara pelajar-pelajar boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Para pelajar tentu sukar bekerjasama untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran mereka, jika setiap kaum mengutamakan bangsa sendiri. Hal ini akan menimbulkan pula prasangka dan salah faham yang pasti merenggangkan hubungan pelajar. Antara faktor yang menimbulkan situasi tersebut ialah perbezaan kebudayaan dan corak hidup, di samping mengamalkan dan menganuti kepercayaan yang berbeza dan bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.
 
Sesungguhnya gejala tidak sihat ini perlu dihapuskan demi perpaduan dan masa depan negara. Para pelajar perlu digalakkan berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlain bangsa dan kaum. Benih-benih perpaduan perlu disemai di dalam jiwa pelajar semasa berada di bangku sekolah. Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat di negara ini dapat dilaksanakan melalui aktiviti kelab dan persatuan Bahasa Melayu di mana pelajar atau orangramai dapat berinteraksi di antara satu sama lain di dalam komuniti tersebut. Mereka juga dapat berpeluang memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama dan semangat kekitaan. Aktiviti seperti minggu bahasa kebangsaan, majlis deklamasi sajak, berbalas pantun, syarahan dan pidato antara kaum dan antara pelajar boleh meningkatkan perpaduan sesama mereka. Semua aktiviti ini harus melibatkan semua kaum yang ada di negara ini.

4 ulasan:

  1. salam..dinsenu ni cg kamarudin senu ke???maaf kalau silap..nm sama cgu saya masa skolah rendah dulu kalau xsilap..

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam