BACAAN EKSTENSIF

Pada peringkat ini bacaan ekstensif menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif mempunyai beberapa tuajuan, antara tujuannya ialah;
  1. Membolehkan murid membaca dengan cara tersendiri tanpa bimbingan secara langsung daripada orang lain.
  2. Untuk membolehkan mereka mendapat pengetahuan di samping dapat pula menghiburkan hati.
  3. Membolehkan murid membaca dengan fasih dalam bahasa yang dimuridi oleh mereka.
  4. Untuk membina daya berfikir dan membentuk sikap yang baik dalam kalangan mereka.
  5. Untuk memperkaya bahasa dan perbendaharaan kata, struktur ayat dan lain-lain.
  6. Memberi peluang kepada murid terutama mereka yang cerdas untuk meluaskan bacaannya dan membina daya kreatifnya.
  7. Untuk membentuk tabiat gemar membaca dan mendapatkan kebiasaan membuat rujukan dan menggunakan perpustakaan.
  8. Untuk menambah minat membaca.
  9. Untuk mempertingkat mutu dan kepantasan membaca.
  10. Untuk memperluas dan mempertingkat tahap pengausaan bahasa.
  11. Untuk mendedahkan murid kepada pelbagai laras bahasa.
  12. Untuk memperkembang daya kreatif dalam penggunaan bahasa, baik dalam bentuk prosa atau puisi.
Bacaan ekstensif boleh dilakukan mengikut teknik pengajaran yang berikut;
  • Mengkaji kandungan bahan.
  • Dalam teknik ini, murid akan mengkaji bahan bacaan secara umum terlebih dahulu sebelum mereka mendapatkan tema atau persoalan pokok bahan itu.
  • Buat soalan
  • Murid akan membina sendiri soalan-soalan berdasarkan bahan yang dikaji. Cara ini akan membantu murid membaca dengan lebih mendalam.
  • Baca
  • Teknik seterusnya ialah murid membaca dengan kadar yang termampu dilakukan iaitu selaju yang mereka boleh.
  • Menerangkan
  • Pada akhir setiap bahagian, murid membuat kesimpulan dengan menerangkan pada dirinya sendiri isi-isi penting, dengan tujuan untuk menyatukan semua maklumat yang dibacanya itu.
  • Mengkaji semula 
  • Setelah selesai tugasan membaca, murid perlu mengkaji semula seluruh bahan bacaan ekstensifnya supaya mereka dapat memastikan bahawa mereka tidak tertinggal apa-apa dalam menyatukan semua isi tadi.
Panduan semasa melaksanakan program bacaan ekstensif 

1.   Melibatkan seberapa ramai murid.
Halangan atau masalah yang dihadapi dalam melaksanakan program bacaan ekstensif ini hendaklah diatasi bagi menentukan program ini berkesan. Buku-buku hendaklah disediakan, dipamer dan kemudiannya dikumpulkan pada akhir sesuatu program. Sistem inventori dan rekod perlu disediakan secara sistematik bagi mengemaskinikan tajuk dan jumlah buku yang dibaca oleh murid. Selain daripada membaca, murid juga dapat dilatih dalam aspek pengurusan dan pentadbiran terutamanya yang berkaitan dengan rekod dan laporan program.

2.   Menemu bual pembaca/murid
Perbincangan antara guru dengan murid amat penting bagi menggalakkan murid membaca. Pemantauan boleh dilakukan secara berkesan terutramanya bagi memantau perkembangan setiap murid serta menggalakkan murid meluaskan bacaan mereka.

3.   Membaca kuat kepada murid di dalam kelas
Guru menunjukkan cara, sebutan dan intonasi yang betul kepada murid-murid. Sebutan dan bacaan yang betul akan menjadi model kepada murid untuk dicontohi. Melalui cara ini, guru juga, menggalakkan murid-murid mengambil bahagian dalam aktiviti bacaan khususnya yang melibatkan bacaan kuat di dalam kelas.

4.   Persembahan murid
Persembahan murid yang dilakukan berdasarkan bahan yang dibaca memainkan peranan penting untuk menilai pemahaman murid. Selain daripada itu, persembahan juga dapat meningkatkan kemahiran lisan dan menggalakkan murid berfikir dan berhujah. Walaupun persembahan itu pendek, murid masih berpeluang untuk menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) terutamanya untuk merealisasikan bahan yang dibaca dalam persembahan mereka.

5.   Aktiviti penulisan berdasarkan bahan bacaan
Aktiviti penulisan hendaklah dirancang bersesuaian dengan bahan yang dibaca. Aktiviti seperti ini dapat meningkatkan kemahiran menulis. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah menulis sinopsis buku, membuat laporan, menulis maklumat buku atau pengarang dan sebagainya.

6.   Elakkan daripada menguji murid
Program bacaan ekstensif ini hendaklah dijalankan tanpa memberi tekanan kepada murid. Ini bermakna guru hendaklah mengelak daripada menguji murid. Walau bagaimanapun, tugasan atau aktiviti yang tidak begitu membebankan murid boleh juga diberikan .


Tiada ulasan:

Catat Ulasan