TOKOH-TOKOH KESUSASTERAAN MELAYU

Terdapat beberapa tokoh-tokoh yang terkenal dalam Kesusasteraan Melayu kerana jasa mereka menyumbangkan hasil-hasil karya. Antaranya:
  1. Tun Sri Lanang
  2. Hamzah Fansuri
  3. Raja Ali Haji
  4. Abdullah Munsyi
  5. Syed Syeikh al-Hadi
  6. Ahmad Rashid Talu
  7. Abdul Rahim Kajai
  8. Muhammad Yassin Maamur
  9. Ishak Haji Muhammad
  10. Keris Mas
  11. Shahnon Ahmad
  12. Usman Awang
  13. A. Samad Said
  14. Arena Wati
  15. Muhammad Haji Salleh
  16. Noordin Hassan
  17. Abdullah Hussein
  18. S. Othman Kelantan

1. Tun Sri Lanang

Nama sebenarnya ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau ialah Bendahara Johor semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570 – 1579). Pada tahun 1613, beliau dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Di sana beliau mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh Nuruddin al-Raniri dan menyambung penulisan bukunya, Sejarah Melayu. Buku tersebut membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini. 

2. Hamzah Fansuri

Hamzah Fansuri ialah seorang pujangga Melayu-Islam pada zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli tasauf. Ajarannya ditentang oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel. Sultan Acheh mengarahkan buku-buku karangan Hamzah dibakar. Hamzah mempelopori genre syair di dalam Kesusasteraan Melayu. Beliau menulis Syair Perahu, Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai. Selain itu, beliau menulis kitab Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk wal-Tauhid.

3. Raja Ali Haji

Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar Bugis. Beliau terkenal sebagai ahli bahasa. Beliau menulis buku tatabahasa Melayu yang berjudul Bustan al-Katibin (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Di samping itu, beliau menulis sebuah kamus yang diberi judul Kitab Pengetahuan Bahasa. Karya beliau yang terkenal ialah Tuhfat al-Nafis. Karya historiografi ini telah memasukkan tarikh mengikut kalendar Hijrah. Selainnya ialah Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mastika, dan Gurindam Dua Belas. Sebagai penulis yang prolifik, beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan malahan juga sejarah dan bahasa.

4. Abdullah Munsyi

Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Syeikh Abdul Kadir. Abdullah amat meminati bidang penulisan. Sehubungan dengan itu, beliau telah menghasilkan karya asli, terjemahan, dan puisi. Karya asli beliau ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838), Dawa’il Kulub (1838) dan Hikayat Abdullah (1840). Beliau telah menterjemah Hikayat Panca Tenderan (1838). Karya puisi beliau ialah Syair Singapura Terbakar (1830) dan Syair Kampung Gelam Terbakar (1847). Sementara penerbitan naskhah lama yang diusahakannya ialah Sejarah Melayu (1830) dan Kitab Adat Segala Raja-raja dalam Segala Negeri (1837).

Karya Abdullah Munsyi menampakkan ciri moden dan pengekalan ciri sastera klasik. Isi karyanya realistik. Abdullah juga memperkenalkan genre karya yang baru iaitu autobiografi dan memoir. Oleh sebab itu, para sarjana seperti Ismail Hussein, Kassim Ahmad, dan Yahya Ismail melabelkan Abdullah Munsyi sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu Moden’. Namun demikian, masih terdapat ciri sastera klasik di dalam karya Abdullah Munsyi. Beliau masih meneruskan penggunaan syair di dalam karyanya. Di samping itu, beliau menyisipkan puisi di dalam karya berbentuk prosa.

5. Syed Syeikh al-Hadi

Nama beliau yang sebenarnya ialah Syed Syeikh bin Ahmad al-Hadi. Beliau dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka pada tahun 1867. Beliau mendapat pendidikan di Mekah, Beirut dan Kaherah. Pernah belajar dengan Muhammad Abduh, seorang reformis Islam. Beliau mengelolakan penerbitan al-Imam (1906-08) dengan rakannya Syeikh Muhammad Jalaluddin al-Azhari, Syeikh Muhammad Salleh Al-Kalali dan Haji Abbas Mohammad Taha setelah kembali ke tanah air.

Beliau menghasilkan novel saduran pertama berjudul Hikayat Faridah Hanum. Keuntungan jualan novel itu digunakan untuk mendirikan The Jelutong Press, Pulau Pinang. Syarikat percetakan itu menerbitkan majalah al-Ikhwan (1927) dan akhbar Saudara (1928). Syed Syeikh al-Hadi merupakan seorang tokoh sastera, agama, pendidikan, dan wartawan yang berwibawa. Beliau merupakan tokoh reformis Islam yang secara sedar menyuarakan keburukan budaya Barat, kepentingan pendidikan, emansipasi wanita dan Islam yang progresif.

6. Ahmad Rashid Talu

Nama sebenar beliau ialah Ahmad bin Mohammad Rashid. Beliau keturunan Minangkabau. Gelaran ‘Talu’ di hujung namanya ialah nama kampung asal orang tuanya di Sumatera. Ahmad Rashid Talu dilahirkan pada tahun 1889 di Pulau Pinang. Perkenalan dengan Syed Syeikh al-Hadi mungkin menjadi sebab beliau bergiat aktif di dalam bidang penulisan. Beliau pernah berkhidmat dengan akhbar Bahtera pada tahun 1932. Ahmad Rashid Talu terkenal di dalam bidang penulisan novel. Beliau menghasilkan novel Kawan Benar (1927), Iakah Salmah? (1928), Dua Belas Kali Sengsara (1929), Siapakah Jahat atau Datuk Chenchano (1930-31) dan novel yang tidak selesai berjudul Rahmah binti Abdullah.

Beliau pernah menerbitkan majalah cerita yang dinamakan Kawan Bercakap pada tahun 1934 tetapi diberhentikan kerana tidak cukup modal. Ahmad Rashid Talu merupakan pelopor novel Melayu berunsur tempatan. Novelnya Kawan Benar berlatarkan Tanah Melayu, wataknya orang Melayu, serta mengemukakan persoalan dan permasalahan dalam masyarakat Melayu. Beliau juga menghasilkan novel Melayu asli, bukan saduran atau terjemahan atau adaptasi. Di samping itu, beliau merupakan novelis pertama mengemukakan watak bukan Melayu. Watak itu ialah See Ho di dalam novel Dua Belas Kali Sengsara

7. Abdul Rahim Kajai

Nama beliau yang sebenarnya ialah Haji Abdul Rahim bin Haji Salim. Beliau dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1894. Abdul Rahim mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau berkhidmat dengan akhbar Idaran Zaman, Saudara, Majlis, Warta Malaya, Utusan Melayu, Perubahan Baru dan Berita Malai sebagai wakil, penolong pengarang dan pengarang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Beliau diberi gelaran ’Bapa Wartawan Melayu’ kerana usaha yang bersungguh-sungguh memupuk semangat kebangsaan di dalam kalangan orang Melayu.

Di samping itu, beliau merupakan seorang pelopor di dalam bidang cerpen kerana menghasilkan banyak cerpen antara tahun 1936 hingga 1941. Beliau menghasilkan 36 buah cerpen yang disiarkan dalam Warta Jenaka dan 12 buah cerpen yang disiarkan dalam Utusan Zaman dan Mastika. Kumpulan cerpen beliau telah dibukukan. Antaranya ialah Pusaka Kajai (1949), Banyak Udang Banyak Garam (1961), dan Lain Padang Lain Belalang (1961). Di dalam bidang kewartawanan, Abdul Rahim Kajai menghasilkan buku Panduan Wartawan (1941). Beliau pernah menghasilkan novel saduran berjudul Cerita Dzul-Ruhain (1930-31).

8. Muhammad Yassin Maamur

Beliau dilahirkan di Brickfield, Kuala Lumpur pada 18 September 1910. Pendidikan yang diterimanya terputus-putus. Memasuki Sultan Idris Training College (SITC) dari tahun 1929 hingga 1931. Pernah menjadi guru penolong, guru besar dan guru pelawat. Minat Muhammad Yassin (Punggok) di dalam bidang kesusasteraan timbul semasa berkawan rapat dengan Abdullah Sidek dan Ibrahim Yaacob di SITC.

Dalam tahun 1933, beliau menulis puisi berjudul ‘Di Tengah Segara’ di dalam Majalah Guru, kemudian diikuti dengan lima buah sajak lagi dalam majalah yang sama. Punggok merupakan penyair yang prolifik pada zamannya. Sajak-sajak awal beliau masih terikat dengan Puisi Melayu Tradisional. Sajak Punggok yang bebas sepenuhnya daripada tradisi lama ialah ‘Tak Disangka-sangka’. Di samping puisi, beliau juga menghasilkan cerpen yang disiarkan dalam Warta Ahad, Warta Jenaka, Majalah Guru dan Majlis. Pada tahun 1936, beliau menghasilkan novel yang berjudul Suka dan Duka.

9. Ishak Haji Muhammad

Nama sebenar beliau ialah Awang Ahmad bin Haji Muhammad. Lahir di Kampung Bukit Seguntang, Temerloh, Pahang pada 14 November 1910. Beliau pernah menjadi Pegawai Pentadbir Melayu, guru, ahli politik, wartawan, dan pengarang. Semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, Ishak menjadi pengarang Berita Malai dan turut menyumbang untuk Semangat Asia dan Fajar Asia. Beliau menulis cerpen dan novel yang bertemakan semangat kebangsaan, kritikan sosial dan ekonomi. Bagi mengenang jasa beliau, kerajaan Malaysia menganugerahkan gelaran Pejuang Sastera kepadanya pada tahun 1973. Ishak meninggal dunia pada tahun 1994.

Di dalam bidang penulisan, Ishak menggunakan nama-nama pena yang lain seperti Pak Sako, Pak Pandir Moden, Isako San, Anuar, Hantu Raya dan Lamri. Cerpen beliau dimuatkan dalam kumpulan Segar. Novel yang beliau hasilkan ialah Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Budak Beca, Jalan ke Kota Bharu, Pengantin Baru, Cemburu Celik, Menari yang Lari, Pertemuan di Sungai, Selayang Pandang, Anak Dukun Deraman, dan Tijah Tukang Cukur. Di samping itu, beliau menulis rencana di dalam Warta Malaya dan Suluh Malaya. Beliau juga mengelolakan ruangan pojok dalam Warta Malaya, Utusan Melayu, dan Utusan Zaman

10. Keris Mas

Nama sebenar beliau ialah Kamaluddin bin Muhammad. Beliau dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang. Beliau pernah menyertai parti politik, berkhidmat dengan akhbar-akhbar Warta Negara dan Utusan Melayu, Ketua Pengarang Dewan Bahasa dan Dewan Sastera, Penulis Tamu di DBP, dan Karyawan Seni di Universiti Malaya. Sasterawan Negara yang pertama ini pernah bergiat dalam ASAS 50 di Singapura. Beliau menulis cerpen dan novel. Keris Mas mengemukakan karya yang menyentuh pelbagai persoalan. Antaranya ialah nasionalisme, darurat, kritikan sosial, ekonomi, politik, dan sebagainya.

Cerpen Keris Mas termuat di dalam kumpulan bersama pengarang-pengarang lain dan perseorangan. Misalnya Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1973), Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (1977), Cerpen-cerpen ASEAN (1978), Menunggu Ratu Adil (1985) dan Dongeng Merdeka (1985). Novel-novel yang beliau hasilkan ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1982), dan Rimba Harapan (1986). Keris Mas kembali ke Rahmatullah pada tahun 1995.

11. Shahnon Ahmad

Shahnon Ahmad dilahirkan di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah pada 13 Februari 1933. Menerima pendidikan di sekolah Melayu, sekolah Inggeris di Alor Setar, dan lulus Senior Cambridge daripada Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pernah menjadi askar, guru, pegawai penyelidik kamus di Universiti Kebangsaan Australia dan pensyarah. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Sik, Kedah.

Shahnon menulis cerpen, cerpen terjemahan, novel, drama, esei dan kritikan sejak tahun 1954. Koleksi-koleksi cerpen beliau ialah Cepu Kencana, Anjing-anjing, Debu Merah, Selesai Sudah, dan Seketul Hati Seorang Pemimpin. Novel yang telah dihasilkannya ialah Rentung, Terdedah, Ranjau Sepanjang Jalan, Menteri, Protes, Perdana, Srengenge, Kemelut, Seluang Menodak Baung, Al-Syiqaq 1, Tunggul-tunggul Gerigis, Patriarch, Tok Guru, Sutan Baginda, dan Tivi. Namun demikian, karyanya yang paling kontroversi ialah Shit. Drama-drama yang beliau hasilkan ialah Si Anak Rempang, Daging Darah, Monyet, Gembang-gembong Jakarta, dan Anak Rampang Karam di Kota. Di samping semua itu, Shahnon juga gemar menulis esei sastera dan esei sastera Islam serta kritikan. Antaranya ialah ‘Mengapa Aku Menulis Ranjau Sepanjang Jalan’ (1969), ‘Sastera Melayu dan Islam’ (1978), ‘Sastera Kita Merosot’ (1973), dan ‘Pengarang Kurang Gunakan Imaginasi’ (1976).

Shahnon ialah pengarang serba boleh kerana berkeupayaan menghasilkan karya-karya bermutu dalam bidang cerpen, novel, drama, esei dan kritikan. Beliau juga merupakan pengarang yang mahir dengan permasalahan masyarakat desa (membicarakan penderitaan dan kemiskinan petani-petani Melayu). Oleh sebab itu, Allahyarham Tun Abdul Razak pernah memberi gelaran ‘Victor Hugo Melayu’ kepadanya. Beliau ialah penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke-2 pada tahun 1982. Di samping itu, beliau dianugerahi gelaran Dato’ oleh Sultan Kedah.

12. Usman Awang

Usman bin Awang lebih dikenali dengan nama penanya Tongkat Warrant. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor. Beliau pernah menjadi petani, buruh paksa, polis, pembaca pruf, pemberita dan pengarang. Sebagai pengarang yang produktif, Usman menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah Pejuang Sastera (1976), penerima SEA Write Award (1982), penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya (1983); dan penerima anugerah Sastera Negara (1983). Sumbangan-sumbangan beliau meliputi genre sajak, cerpen, drama, novel dan esei.

Sajak beliau yang dikumpulkan dalam bentuk buku ialah Gelombang (1961), Duri dan Api (1966), Suara Tujuh (1969) dan Teluk Gong (1967) di samping beberapa kumpulan bersama penyair lain. Walaupun ketokohan Usman lebih menyerlah dalam bidang puisi, beliau juga aktif menghasilkan cerpen dan drama. Cerpen beliau dimuatkan dalam kumpulan-kumpulan cerpen bersama penulis lain seperti Mekar dan Segar (1967), Dua Zaman (1965), Degup Jantung (1963), Pertentangan (1968) dan Cerita-cerita Pendek DBP (1958).

Sumbangan Usman di dalam bidang drama ialah Dari Bintang ke Bintang (1965), Serunai Malam (1966), Tamu di Bukit Kenny (1968), Di Bawah Matahari (1969), Tirai Zaman (1969), Kaki Langit (1971), dan Muzika Uda dan Dara (1967). Di samping genre sajak, cerpen, dan drama, Usman juga menghasilkan novel dan esei. Hanya sebuah novel yang berjaya beliau hasilkan, iaitu Tulang-tulang Berserakan (1966). Esei beliau termuat dalam buku-buku Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden, Panduan Menulis Cerpen, dan Titian Zaman.

13. A. Samad Said

Nama penuh beliau ialah Abdul Samad bin Mohammad Said. Dilahirkan di Durian Daun, Melaka pada 9 April 1935. Beliau memulakan kerjaya sebagai kerani di Singapura. Kemudian memegang jawatan pengarang di akhbar Melayu dan Inggeris. Minat beliau dalam lapangan penulisan tumbuh daripada kegemarannya membaca karya sastera di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu serta berhubung rapat dengan sasterawan setelah menyertai ASAS 50 di Singapura. Beliau menulis karya-karya kreatif yang berbentuk novel, cerpen, drama dan sajak.

Cerpen beliau termuat di dalam kumpulan Liar di Api, Daun-daun Berguguran, Debar Pertama, dan Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja. Novel karya A. Samad Said termasuklah Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang, Daerah Zeni, Langit Petang, Hujan Pagi, dan Wira Bukit. Beliau juga menghasilkan drama dan sajak. Drama beliau berjudul Di Mana Bulan Selalu Retak dan Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja. Puisinya tersiar di dalam kumpulan Liar Di Api, Daun-daun Berguguran, Benih Harapan, dan Daun Semalu Pucuk Paku.

Beliau menerima anugerah Pejuang Sastera pada tahun 1976, anugerah SEA Write Award, Anugerah Sastera Negara (1985) dan anugerah bergelar Datuk daripada kerajaan negeri Melaka. Pada hakikatnya, A. Samad Said merupakan seorang pengarang yang berani mendedahkan segala kepincangan masyarakat serta masalah sosial seperti pelacuran, penderitaan kaum buruh, masalah setinggan dan sifat kepura-puraan pemimpin serta golongan atasan. Namun demikian, selepas melancarkan mogok seni pada tahun-tahun 1980-an, akhirnya beliau mengumumkan untuk bersara daripada bidang penulisan karya sastera bermula pada 1 Mei 2000, yakni selepas terbit puisi panjang tentang Rasulullah yang berjudul Al-Amin kerana tidak berpuas hati dengan kerenah pengurus kesusasteraan.

14. Arena Wati

Nama sebenar beliau ialah Muhammad@Mohd. Dahlan bin Abdul Biang. Dilahirkan di Kalumpang, Jeneponto, Makasar, Indonesia pada 30 Julai 1925. Menerima pendidikan sehingga ke peringkat Sekolah Menengah Atas (SMA). Menjadi pelaut selama sembilan tahun sebelum menjadi wartawan dan pengarang. Arena Wati melibatkan diri di dalam bidang penulisan sejak tahun 1950-an. Beliau mempunyai pengalaman yang luas hasil daripada penglibatannya di dalam hal-hal pelayaran dan perkapalan serta pengembaraannya ke seluruh Kepulauan Melayu, Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah. Beliau bergelar Sasterawan Negara ke-5.

Arena Wati menulis novel dan cerpen. Antara novel beliau ialah Kisah Tiga Pelayaran, Jalan Malam ke Ibu Kota, Gelora, Lingkaran, Gandaria, Sandera, Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak. Cerpen beliau yang dikumpulkan dalam bentuk buku ialah Tingkah Manusia, Burung Badai, Johor Bahru dan Dua Zaman (karya bersama).

Arena Wati merupakan seorang sasterawan yang sangat tekun, berpengalaman, dan mampu menghasilkan karya yang bermutu. Contohnya novel Lingkaran memenangi hadiah sagu hati di dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1962; novel Sandera memenangi hadiah ke-3 (hadiah paling baik pada masa itu) dalam Peraduan Mengarang Novel Sempena Sepuluh Tahun Kemerdekaan Negara; cerpen beliau seperti ‘Wisata’, ‘Bukan Satu Jalan ke Mekah’ dan ‘Alun Menggulung Perlahan’ memenangi Hadiah Sastera untuk tahun 1971 dan 1972.

15. Muhammad Haji Salleh

Beliau dilahirkan pada tahun 1942 di Trong, Taiping, Perak. Mendapat pendidikan di Sungai Acheh, Bukit Mertajam, dan Maktab Melayu, Kuala Kangsar. Beliau memegang jawatan guru sebelum menjadi pensyarah di beberapa buah universiti di dalam dan luar negara. Beliau mula menulis sajak dalam bahasa Inggeris yang tersiar di dalam majalah tempatan dan luar negara. Manakala sajaknya dalam bahasa Melayu mendapat sambutan masyarakat Malaysia dan pernah dibicarakan di Indonesia dan negara lain. Beliau juga menterjemah karya daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Antara karya beliau ialah Sajak-sajak Pendatang; Perjalanan Si Tanggang; Sajak-sajak Sejarah Melayu; Kalau, Atau, dan Maka; dan Sebuah Unggun di Tepi Danau. Di samping itu, beliau banyak menulis artikel, buku tentang sastera bandingan, dan buku pengetahuan, misalnya Pengalaman Puisi. Beliau juga seringkali memberi ceramah dan bimbingan kepada penggiat dan peminat sastera. Ketokohan beliau di dalam genre puisi moden terserlah bukan sahaja di tanah air malahan juga di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Jepun dan lain-lain. Sehubungan dengan itu, beliau telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara ke-6 pada tahun 1991 dan dianugerahkan SEA Write Award pada 26 September 1997.

16. Noordin Hassan

Beliau dilahirkan di George Town, Pulau Pinang pada 16 Januari 1929. Pernah menjadi guru, pensyarah, dan penyunting drama di RTM. Beliau amat meminati drama dan kesusasteraan Inggeris. Drama pentas pertama yang diarahkannya berjudul Tak Kunjung Kembali. Beliau mendalami pengetahuannya dalam bidang bahasa dan sastera Inggeris di University London pada tahun 1962 dan kursus Drama di dalam Pendidikan di University of Newcastle. Beliau ialah tokoh drama terulung di Malaysia. Dramanya yang berjudul Bukan Lalang Ditiup Angin memenangi Hadiah Sastera dalam bidang drama pada tahun 1972.

Drama-drama lain yang beliau hasilkan ialah Tiang Seri Tegak Berlima, Jangan Bunuh Rama-rama, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Anak Tanjung, Malam Ini Penyu Menangis, Cindai, dan Peran. Noordin gemar membentangkan karya yang simbolik, menggunakan aliran surrealisme dan bersifat alegori. Di samping itu, karya beliau menyelitkan unsur-unsur dakwah dan mengkritik golongan oportunis dan hipokrit. Walaupun beliau menggunakan aliran surrealisme dalam mengenengahkan idea, tetapi karya beliau padat dengan unsur tradisional.

Sumbangan beliau di dalam bidang drama mendapat pengiktirafan di dalam dan di luar negeri. Beliau dianugerahkan SEA Write Award di Bangkok pada tahun 1987 dan anugerah Sasterawan Negara ke-7 daripada kerajaan Malaysia pada tahun 1993, serta sudah bergelar Datuk. 

17. Abdullah Hussein

Dilahirkan di Sungai Limau, Yan, Kedah pada tahun 1920. Mendapat pendidikan di sekolah Melayu dan Inggeris. Beliau pernah menjadi pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur; Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang; dan pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei. Abdullah menghasilkan novel, cerpen, karya terjemahan, esei, drama, dan biografi. Antara novel-novelnya ialah Terjebak, Rantau Selamat, Intan, Interlok, dan yang terbaru Imam.

Selain itu, beliau juga menghasilkan cerpen. Dua kumpulan cerpennya yang telah dibukukan ialah Kota ke Kota dan Sebuah Pekan Bernama Semporna. Abdullah ialah pengarang yang kaya dengan pengalaman. Beliau telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-8 dan telah dianugerahkan bintang kebesaran bergelar Dato’ oleh kerajaan negeri Kedah.

18. S. Othman Kelantan

Nama sebenarnya ialah Syed Othman bin Syed Omar. Dilahirkan pada tahun 1938 di Tebing Tinggi, Kemuning, Kelantan. Pernah menjadi guru, pensyarah, dan Karyawan Tamu di Universiti Malaya. Bidang penulisannya ialah novel, cerpen, rencana, dan sajak. Novel beliau ialah Angin Timur Laut dan Pertentangan. Novel terbarunya ialah Nogogho Astana (1997). Antara cerpennya ialah ’Pusaran’ dan ’Kesementaraan’. Beliau menerima anugerah SEA Write Award (1990) dan anugerah Sasterawan Negara ke-9.

3 ulasan:

  1. banyaknya.. sampai tak terbaca saya.. skip2 jela.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam