NARATIF TULISAN

Naratif tulisan wujud di dalam bahasa Melayu setelah Islam menganugerahkan tulisan Jawi. Sungguhpun sebelum Islam sudah ada tulisan, tetapi penggunaannya tidak meluas. Karya di dalam kumpulan ini terbahagi kepada tiga genre, iaitu sastera hikayat, sastera epik dan sastera sejarah. Sastera Hikayat pula terbahagi kepada lima subgenre, iaitu hikayat romantik, hikayat tentang Nabi Muhammad, hikayat nabi-nabi, hikayat tokoh-tokoh agama dan hikayat berbingkai. Sastera Epik terbahagi kepada dua subgenre, iaitu epik Melayu-Islam dan epik kebangsaan. Kesemuanya akan dibicarakan kemudian. 

1. Sastera Hikayat

Kata ‘hikayat’ berasal daripada kata ‘haka’ di dalam bahasa Arab atau ‘hekaye’ di dalam bahasa Parsi. Maksudnya ialah cerita panjang berbentuk prosa dan isinya ialah cerita rekaan, legenda dan sebagainya.

Genre ini tidak diketahui pengarangnya, tarikh dikarang atau disalin, dan menggunakan kata-kata ‘sahibu’l-hikayat’ atau ‘yang empunya cerita’ atau ‘kata yang empunya cerita’ sebagai rujukan pengarang.

Hikayat mengisahkan golongan bangsawan, pembesar-pembesar, atau para pedagang. Pada peringkat awal, hikayat disadur atau diterjemah daripada bahasa Arab atau Parsi. Struktur ceritanya bermula dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan dan diakhiri dengan peleraian yang berbentuk happy ending. Sastera boleh dibahagikan kepada lima subgenre, iaitu:




Subgenre sastera hikayat
1.1 Hikayat tentang Nabi Muhammad
Subgenre ini merupakan bentuk yang mula-mula sekali berkembang di Alam Melayu. Aktiviti-aktiviti budaya seperti sambutan maulid, membaca kisah mikraj, dan sambutan awal Muharram menyumbang kepada perkembangannya. Contoh-contohnya ialah Hikayat Bulan Berbelah dan Hikayat Nabi Wafat. Hikayat yang pertama antaranya menceritakan anak raja mendapat semula kaki dan tangannya yang hilang. Antara cerita di dalam hikayat kedua ialah wajah orang yang mencium pusat Rasulullah menjadi berseri-seri. Unsur-unsur itu sebenarnya mitos, legenda dan khayalan pengarangnya sahaja.

1.2 Hikayat Nabi-Nabi
Hikayat jenis ini didasarkan kepada kisah-kisah yang terdapat dalam Al-Qur’an. Kisahnya bermula daripada Nabi Adam hingga Nabi Isa. Sebahagian isinya menyampaikan ajaran tauhid. Amanatnya menekankan pentingnya mengamalkan ajaran Islam. Namun demikian, kisah-kisah yang dimaksudkan itu menggunakan latar belakang sejarah tetapi diolah dengan menggunakan daya kreatif melalui mitos dan legenda serta memasukkan unsur-unsur keindahan untuk menarik perhatian khalayak. Oleh sebab itu, cerita jenis ini hanya baik untuk dikaji tetapi tidak boleh dijadikan pegangan.

1.3 Hikayat Tokoh Islam
Subgenre ini mengandungi kisah sahabat Rasulullah dan orang-orang soleh. Contoh-contohnya ialah Hikayat Tamim al-Dari, Hikayat Ali Kahwin dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Hikayat yang pertama berunsur dakwah. Isinya memberi gambaran tentang alam akhirat, menyatakan balasan perbuatan baik dan jahat, serta hukum-hukum Islam.

Hikayat yang kedua berunsur syiah. Isinya menggambarkan Tuhan memberi wahyu menyuruh Rasulullah menikahkan Fatimah dengan Ali. Hal ini dilakukan pengarang berfahaman syiah untuk meninggikan status Saidina Ali.

Hikayat ketiga menceritakan tokoh yang mengamalkan ajaran sufi. Oleh itu, beliau digambarkan menolak keduniaan untuk mencari ketakwaan.

1.4 Hikayat Romantik
Hikayat Romantik bermaksud roman atau cerita yang menggambarkan pengembaraan dan/atau percintaan antara watak-watak utamanya. Fokus pengkisahannya ialah golongan bangsawan atau saudagar. Strukturnya terbahagi kepada tiga, iaitu pengenalan, perkembangan, dan peleraian yang biasanya berakhir dengan kegembiraan atau ‘happy ending’. Hikayat romantik dalam bahasa Melayu kebanyakannya diterjemah daripada karya-karya Arab-Parsi. Termasuk di dalamnya ialah Hikayat Jauhar Manikam, Hikayat Qamar al-Zaman, Hikayat Hasan Damsyik dan Hikayat Amir Arab.

1.5 Hikayat Berbingkai
Hikayat berbingkai berasal daripada Kesusasteraan Hindu yang dipanggil ‘akhyayika’. Maksudnya ialah percakapan yang menyenangkan. Bentuk ini meresap ke dalam Kesusasteraan Arab dan Kesusasteraan Parsi kemudian masuk ke dalam Kesusasteraan Melayu melalui penterjemahan.

Hikayat ini dimulakan dengan cerita induk. Cerita-cerita yang disampaikan oleh watak utama cerita induk dipanggil cerita-cerita sisipan. Jika dalam cerita sisipan itu ada lagi cerita lain, cerita itu dipanggil cerita sisipan terbitan. Setelah selesai, peleraiannya kembali kepada cerita induk. Cerita induk menjadi bingkai hikayat itu.

Antara karya yang tergolong di dalam hikayat berbingkai ialah Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Kalilah dan Dimnah, Hikayat Seribu Satu Malam, dan Hikayat Ghulam.  Hikayat berbingkai berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi nasihat, pengajaran, dan membentuk moral yang baik.

2. Sastera Sejarah

Sastera sejarah dikenali juga sebagai historiografi. Oleh sebab historiografi dikategorikan sebagai karya sastera, maka kandungannya terisi dengan unsur-unsur sejarah dan unsur-unsur kesusasteraan. Oleh sebab itu, konsep sejarah di dalam karya-karya sastera sejarah tidak sama dengan sejarah yang difahami pada masa ini, iaitu peristiwa yang sahih fakta-faktanya.

Walau bagaimanapun, jika dirujuk kepada catatan-catatan oleh pengembara Barat dan China, ternyata bahawa fakta-fakta tentang budaya bangsa Melayu, proses pengislaman dan dasar politik Kesultanan Melayu Melaka memang benar. Karya-karya di dalam genre ini menggunakan perkataan ‘hikayat’, ‘salasilah’, ‘silsilah’, ‘tawarikh’, ‘misa’, dan sebagainya. Contoh-contohnya ialah Hikayat Raja-Raja Pasai, Silsilah Melayu dan Bugis, Tawarikh Salasilah Negeri Kedah, dan Misa Melayu. Terdapat juga karya yang menggunakan judul dalam bahasa Arab. Misalnya, Sulalatus Salatin (Salasilah Raja-Raja) dan Tuhfat al-Nafis (Hadiah yang Berharga).

Sastera sejarah ada dua bentuk, iaitu prosa dan puisi. Prosanya mengisahkan sejarah sesebuah negeri untuk jangka masa lebih dari seratus tahun. Contoh-contohnya ialah Hikayat Merong Mahawangsa dan Sejarah Melayu. Puisinya terhad kepada penceritaan tentang sesuatu peristiwa, tempat atau tokoh tertentu. Contoh-contohnya ialah Syair Perang Makasar dan Syair Sultan Maulana.

Isi kandungan sesebuah karya yang termasuk dalam sastera sejarah ialah:
  1. Asal usul keturunan raja;
  2. Asal usul pembukaan negeri;
  3. Asal usul kedatangan agama Islam;
  4. Salasilah raja-raja yang diceritakan; dan
  5. Kejatuhan kerajaan yang diceritakan.
Kesemua hal yang dikisahkan dalam sastera sejarah ditulis oleh pujangga istana. Oleh sebab itu, kita dapat membaca pernyataan-pernyataan yang mengagung-agungkan raja di dalamnya. Aspek tersebut disampaikan melalui mitos dan legenda.

Walau bagaimanapun, unsur-unsur tersebut turut digunakan untuk mengkritik golongan bangsawan secara tersirat. Misalnya, raja digambarkan kurang bijaksana apabila menitahkan rakyat berkubukan betis semasa Singapura dilanggar todak. Sultan Mahmud digambarkan sebagai raja yang mementingkan diri sendiri apabila mahu mengambil darah puteranya Raja Ahmad semasa mengisahkan peminangan Puteri Gunung Ledang.

3. Sastera Epik

Genre ini dikenali juga sebagai Sastera Kepahlawanan. Fokus utamanya ialah nilai-nilai kepahlawanan dan keperibadian mulia seseorang watak. Genre ini boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
  1. Epik Kebangsaan; dan
  2. Epik Melayu-Islam.
Satu-satunya epik kebangsaan ialah Hikayat Hang Tuah. Di dalam karya tersebut Hang Tuah digambarkan sebagai pahlawan Melayu yang gagah perkasa dan setia kepada rajanya. Watak ini terus diingati hingga kini.

Epik Melayu-Islam diwakili oleh Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Kedua-dua epik itu disebut di dalam Sejarah Melayu, cetera ke-34. Cetera itu mengisahkan pahlawan Melaka meminta Hikayat Muhammad Hanafiah untuk dibaca bagi menaikkan semangat mereka semasa menghadapi serangan Portugis. Sultan Ahmad memberikan Hikayat Amir Hamzah supaya mereka berani seperti Amir Hamzah. Cerita-cerita jenis ini dikarang untuk membangkitkan semangat cintakan negara, agama dan bangsa. Namun demikian, unsur-unsur mitos dan legenda masih melekat dalam sastera sejarah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan