BENTUK KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Sub-topik ini akan membincangkan bentuk-bentuk Kesusasteraan Melayu Moden dengan lebih mendalam. Anda akan mempelajari novel, cerpen, drama/teater dan akhir sekali sajak.

1. Novel

Rajah di bawah, menyatakan bentuk-bentuk novel yang ada dalam kesusasteraan Melayu moden.

Bentuk-bentuk novel

Genre novel di dalam Kesusasteraan Melayu Moden merupakan kesinambungan daripada genre hikayat dan cerita lipur lara di dalam Prosa Melayu Tradisional. Kajian awal menunjukkan bahawa Hikayat Setia Asyik kepada Maksyuknya atau lebih dikenal kemudiannya dengan Hikayat Faridah Hanum (1925–26) karya Syed Syeikh al-Hadi, seorang reformis Islam sebagai novel pertama. Selalunya kenyataan itu diikuti dengan kenyataan bahawa novel itu merupakan saduran daripada novel Mesir. Jika kita menerima kenyataan itu, maka bentuk pertama genre novel di Tanah Melayu ialah novel saduran.

Sehubungan itu, Syed Syeikh Al-Hadi dianggap sebagai Bapa Penovelan Saduran. Selain beliau, Haji Ahmad Ismail turut menyadurkan novel-novel Timur Tengah. Novel-novel yang dimaksudkan ialah Cogan Setia (1929) dan Puteri Mesir dengan Pahlawan (1931).

Selepas Syed Syeikh al-Hadi, muncul seorang lagi novelis di dalam kalangan intelek agama, iaitu Ahmad Rasyid Talu. Beliau adalah novelis pertama yang menghasilkan novel Melayu asli. Ini kerana buat pertama kali, novelnya menggunakan latar Tanah Melayu dan mengemukakan watak bangsa Melayu. Oleh sebab itu, beliau digelar Bapa Novel Melayu Asli. Antara novel yang dihasilkan oleh Ahmad Rasyid Talu ialah Kawan Benar (1927), Iakah Salmah? (1928), dan 12 Kali Sengsara (1929). Selaras dengan kenyataan itu, bentuk kedua genre novel di Tanah Melayu ialah novel Melayu asli.

Harus diingat bahawa semua karya yang disebutkan di atas mengemukakan persoalan moral dan agama. Kewujudannya sudah sebati di dalam Kesusasteraan Melayu. Hal-hal tersebut terus diketengahkan daripada masa ke masa walaupun ada pasang surutnya.

Perkembangan novel tidak menggalakkan selepas Perang Dunia Kedua. Begitu juga halnya pada era ASAS 50. Namun demikian, antara karya-karya penting era tersebut ialah Darah Kedayan (1947) karya Harun Aminurrasyid; Pahlawan Rimba Malaya (1947) karya Keris Mas; Hancur Hati (1949) karya Ahmad Bakhtiar; Saka Kampung Gergasi (1950) karya Wijaya Mala; dan Rumah itu Dunia Aku (1951) karya Hamzah.

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, banyak novel bermutu terhasil. Antara yang utama ialah Musafir karya Hassan Ali; Salina karya A. Samad Said; Desa Pingitan karya Ibrahim Omar; Saga karya Abd. Talib Mohd. Hassan; Arca Berdiri Senja karya Baharuddin C.D.; Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan; Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad; Sandera karya Arena Wati; dan Angin Timur Laut karya S. Othman Kelantan.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, persoalan moral dan agama kembali mendominasi Kesusasteraan Melayu Moden. Situasi demikian digerakkan oleh kesedaran mendalam para pengarang untuk mengajak khalayak mempraktikkan ajaran Islam. Oleh yang demikian, muncullah Al-Syiqaq I karya Shahnon Ahmad; Arbain karya Sabda S.; Di Sebalik Sebuah Kubah karya Harun Haji Salleh; Seorang Guru Tua karya Abdul Rahman Harun; Mengejar Kedamaian karya Manap Abdul Malik; Mereka yang tertewas karya Hasanuddin Mat Isa; dan yang terbaru pada tahun 1990-an ialah Imam karya Abdullah Hussein. Oleh itu, satu lagi bentuk novel Melayu ialah novel berunsur Islam.

Bentuk seterusnya ialah novel remaja. Khalayak novel ini ialah golongan remaja. Utusan Melayu-Public Bank telah menganjurkan sayembara penulisan novel remaja pada tahun 1997. Antara novel yang terhasil daripada sayembara ini ialah Julia karya Abu Hassan Morad dan Ekspedisi karya Mohd. Ghazali Tocheh. Novel-novel remaja yang lain ialah Terminal Tiga karya Othman Puteh; Meniti Kaca karya Raja Sabarudin Abdullah dan Panas Salju karya Talib Samat.

Di samping itu terdapat satu lagi bentuk novel yang dikhaskan untuk bacaan kanak-kanak. Novel sedemikian dipanggil novel kanak-kanak. Banyak penulis yang terlibat di dalam penulisan novel kanak-kanak. Selain Dewan Bahasa dan Pustaka, Penerbit Warisan, ‘K’ Publishing, Edusystem dan lain-lain giat menerbitkan novel kanak-kanak. Siti Aishah Ali telah menulis novel-novel Penerbangan QR 13, Budi, dan Lelaki Berkaki Kayu; Ghazali Ngah Azia menulis novel Misteri Azrul; dan Adi Alhadi menulis novel-novel Pulau Impian dan Hantu Pulau Kambing (sekadar menyebut beberapa nama).

Kegiatan lain yang dilakukan oleh penerbit di dalam bidang kesusasteraan kanak-kanak ialah menterjemah karya-karya Enid Blyton dan siri Harry Potter karya J. K. Rowling yang ditulis di dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Sekumpulan pengarang menjadikan golongan muda yang gemarkan bacaan ringan sebagai sasaran karya mereka. Antaranya ialah Shamsiah Mohd. Nor, Akhdiat Akasah dan Sri Diah. Mereka menghasilkan novel popular.

Kesemua novel yang disebutkan di atas, mematuhi konvensi penulisan novel. Sehubungan itu, kita boleh mengkategorikannya ke dalam novel konvensional. Satu lagi bentuk novel di dalam kategori novel konvensional ialah novel sejarah. Novel sejarah bermaksud penceritaan tentang ketokohan seseorang tokoh sejarah atau sesuatu peristiwa sejarah.

Harun Aminurrashid menulis novel sejarah yang berjudul Panglima Awang, Anak Panglima Awang, Tun Mandak, Wan Derus dan Sultan Mahmud Melaka. Novel sejarah tulisan beliau yang berasaskan sesuatu peristiwa ialah Korban Kinabalu, Darah Kedayan dan Peristiwa Laksamana Cheng Ho ke Melaka. Pengarang mutakhir yang menulis novel sejarah ialah Zaharah Nawawi. Beliau menulis novel yang berjudul Panglima Sulong. Ditinjau dari sudut aliran, karya-karya telah dinyatakan sebelum ini menggunakan aliran realisme.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa orang novelis yang menghasilkan novel beraliran anti-realisme. Rahman Yusof menghasilkan novel absurd yang berjudul Warna-warna. Novel ini memenangi hadiah ketiga sayembara mengarang novel anjuran GAPENA pada tahun 1976. Novel Sampah karya Shahnon Ahmad merupakan sebuah lagi karya absurd. Novel absurd tergolong di dalam kategori novel tidak konvensional.

2.  Cerpen

Rajah di bawah, menyatakan bentuk-bentuk cerpen yang ada dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Bentuk-bentuk cerpen

Genre ini hanya muncul pada awal tahun 1920. Cerpen pertama berjudul ‘Kecelakaan Pemalas’ karya Nor bin Ibrahim. Kemudian diikuti dengan cerpen ‘Kemajuan Rekaan Dunia’ karya Ismail Sulaiman dan ‘Cubaan Kasih’ oleh Jentayu. Cerpen yang tersiar dalam Pengasuh dan Panduan Guru selepas itu menggunakan latar negara-negara Barat dan Timur Tengah. Cerpen di dalam Penyuluh berlatarkan China dan Indonesia. Manakala cerpen dalam Majalah Guru berlatarkan negara Eropah.

Namun demikian, terdapat penerokaan persoalan baru, iaitu pendidikan. Gesaan mencapai kemajuan dalam bidang pelajaran dan penguasaan ilmu diutarakan di dalam cerpen ‘Berusaha Itu Perbendaharaan yang Kekal’ (tanpa nama pengarang) dalam Dunia Melayu keluaran 21 Julai 1929. Cerpen lain yang mewakili tahun 1930-an, 40-an, dan 50-an ialah ‘Si Buta Menyesal Menjadi Celik’ karya Abdul Rahim Kajai (Warta Jenaka, 5 Ohos 1937); ‘Dari Perangkap ke Penjara, kemudian lalu ke Syurga’ karya Ishak Haji Muhammad; dan ‘Kejadian Dalam Estet’ karya Keris Mas (Mastika, April 1950).

ASAS 50 melahirkan tiga orang cerpenis yang prolifik, iaitu Keris Mas, Usman Awang dan Awan il-Sarkam. Keris Mas melahirkan kumpulan cerpen Patah Tumbuh. Usman Awang melahirkan Degup Jantung. Awam il-Sarkan melahirkan Putih Mata. Wakil-wakil cerpenis tahun 60-an ialah Ali Majod dengan cerpennya ‘Pensel Sebatang’ (Dewan Masyarakat, Oktober 1965) dan Mohd. Affandi Hassan dengan cerpennya ‘Hukum Tuhan’ (Dewan Masyarakat, Julai 1967). Wakil cerpenis tahun 70-an ialah Anwar Ridhwan dengan cerpennya ‘Dunia adalah Sebuah Apartmen’ (Dewan Sastera, Mac 1973) dan S. Othman Kelantan dengan cerpennya ‘Mimpi yang Bertaburan’ (Dewan Sastera, Jun 1975).

Kesemua cerpen yang dinyatakan di atas merupakan cerpen konvensional. Di samping itu, aliran penulisan karya yang digunakan ialah realisme. Namun demikian, muncul juga cerpen yang menyimpang jauh daripada cerpen konvensional. Penyimpangan yang dimaksudkan ialah:
  1. Tidak mementingkan watak utama;
  2. Latar tempat dan masanya tidak jelas; dan
  3. Tiada unsur konflik yang memerlukan peleraian.
Satu contoh cerpen yang tidak mempunyai unsur ketegangan ialah ‘Anak-anak dari Pasir Pekan’ oleh Fatimah Busu (Dewan Bahasa, September 1975).

Pada dekad 70-an terdapat cerpen absurd. Contohnya ialah cerpen ‘Gap-gup-gup’ oleh Othman Puteh (Dewan Sastera, April 1976); ‘Fakurdafakia’ oleh Mana Sikana (Dewan Sastera, September 1976); dan kumpulan cerpen Parasit oleh Anwar Ridhwan. Kesemua cerpen absurd memanfaatkan aliran absurdisme.

Di samping itu, terdapat:
  1. Cerpen panjang;
  2. Cerpen berunsur Islam; dan
  3. Cerpen berdasarkan karya tradisional.
Contohnya mengikut urutan ialah ‘Satu Legenda Himpunan Bakawali’ oleh Fatimah Busu (Dewan Budaya, Januari 1983); ‘Ungkapan’ oleh Shahnon Ahmad (Dewan Sastera, Februari 1985); dan ‘Mimpi Paduka’ oleh Othman Puteh (Dewan Sastera, Jun 1983). Ketiga-tiga bentuk yang disenaraikan itu berbentuk konvensional dan beraliran realisme.

Jika genre novel terdapat bentuk novel kanak-kanak, begitu jugalah dengan cerpen. Penulis mapan yang terkenal dalam penulisan cerpen kanak-kanak termasuklah Ali Majod, Azizi Haji Abdullah dan Rejab F. I. Salah satu kumpulan cerpen Ali Majod yang terkenal ialah Dalam Diri. Azizi menulis cerpen Paku Payung dan Limau Mandarin yang termuat dalam buku teks Kesusasteraan Melayu SPM Bacalah Dalam Bahasamu, Jilid A. Rejab F. I. menulis cerpen Hadiah Hari Guru yang termuat di dalam buku teks Komsas (kini bidang estetika) Tingkatan 1 Sehijau Warna Daun. Semua cerpen yang dinyatakan itu merupakan cerpen konvensional dan dihasilkan dengan menggunakan aliran realisme.

3. Drama

Rajah 4.5 di bawah, menyatakan bentuk-bentuk drama yang ada dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Bentuk-bentuk drama

Bentuk drama tradisional yang paling tua di Tanah Melayu ialah wayang kulit. Seni persembahan ini sebenarnya bukan kepunyaan Tanah Melayu. Ada empat jenis wayang kulit, iaitu:
i. Wayang Kulit -  Berdasarkan Hikayat Seri Rama yang disadurkan daripada epik Ramayana. persembahannya menggunakan patung yang diukir dan alat muzik. Bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu Patani
ii. Wayang Melayu - Diambil daripada episod tentang Pandawa Lima di dalam epik Mahabharata dan sastera Panji. Persembahannya menggunakan patung-patung ukiran Jawa dan alat muzik. Bahasa yang digunakan ialah bahasa melayu pengaruh Jawa atau bahasa Jawa.
iii. Wayang Gedek - Banyak persamaan dengan wayang kulit di Thailand tetapi telah diubah suai. teks yang digunakan ialah Hikayat Seri rama yang disadurkan daripada epik Ramayana. Persembahannya menggunakan patung yang diukir dan alat muzik. bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh Bahasa Tahi.
iv. Wayang Purwa - Membawa cerita seperti Wayang Melayu tetapi tidak ada cerita panji. Persembahannya menggunkan patung dan alat muzik. Bahasa yang digunakan ialah bahasa jawa atau bahasa Melayu yang dipengaruhi bahasa Jawa.

Bentuk drama tradisional yang kedua ialah drama bangsawan. Seni bangsawan berasal dari India dan dibawa masuk ke Pulau Pinang. Persembahan ini diambil alih oleh seorang usahawan di dalam kalangan Jawi Pekan yang bernama Muhammad Pusi. Kepopularan ‘Pusi Indera Bangsawan of Penang’ telah menumbuhkan banyak kumpulan lain. Harus diingat bahawa persembahan bangsawan tidak menggunakan sebarang skrip. Seni bangsawan mula menggunakan cerita yang berpijak di bumi nyata apabila kumpulan Dardanella dan Bolero dari Indonesia datang ke Tanah Melayu. Kumpulan dari Indonesia itu telah memperkenalkan drama sandiwara di Tanah Melayu.

4. Sajak

Sajak ialah satu-satunya genre puisi di dalam kategori Puisi Melayu Moden. Puisi moden yang pertama dihasilkan oleh Omar Mustafa pada tahun 1913. Karya beliau berjudul ‘Angan-angan dengan Gurindam’ yang disiarkan oleh Utusan Melayu keluaran 18 Januari 1913. Daripada tajuknya kita dapati Omar bermaksud untuk menulis gurindam. Namun demikian, jika ditinjau bentuk dan isinya, karya itu sebenarnya sajak, bukan gurindam.

Lihat rangkap pertama karya tersebut:
     
  Bangkitlah bangkit!
Mengapa tidur lama sangat?
Di mana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita?
Bangkitlah bangkit!
Timah dimasak sudahlah hangat.
 
     
Sayangnya, gaya persajakan Omar tidak menjadi ikutan penulis lain dengan segera. Hanya pada dekad 30-an barulah sajak menjadi genre puisi yang popular dengan gaya yang lembut dan romantik. Penyair yang bertanggungjawab mempopularkannya ialah Muhammad Yassin Maamur atau nama penanya Punggok. Sajak pertamanya berjudul ‘Di Tengah Segara’ yang bermodelkan pantun.

Rangkap pertamanya berbunyi:
     
  Di dalam gelombang hambur menghambur
Kudengar seru sayup bahasa
Hatiku lebur bagaikan hancur
Hendakku renang beta tak bisa.
 
     
Sajak di atas dikatakan bermodelkan pantun kerana:
  1. Ada empat baris serangkap;
  2. Mempunyai 8 hingga 12 suku kata setiap baris; dan
  3. Rima akhirnya a-b-a-b.
Namun demikian, kita tidak boleh menyamakan sajak di atas dengan pantun kerana tidak ada bahagian yang menjadi pembayang. Tidak juga syair kerana rima akhirnya bukan a-a-a-a walaupun semuanya maksud.

Bentuk sedemikian tidak lagi kelihatan di dalam sajak dekad 50-an. Ini bermakna, sajak yang dihasilkan sudah seratus peratus bebas daripada ikatan puisi tradisional. Perhatikan sajak di bawah yang ditulis pada tahun 1956.

Sajak hasil karya A. Samad Said

Rajah di atas, memperlihatkan sebuah sajak karya A. Samad Said, antara penulis sajak yang terulung di Malaysia. Sajak di atas terhasil penuh syahdu dan terangkum dengan rasa cintakan negara yang mendalam. Kita menemui pernyataan bercirikan romantisisme di dalam sajak tersebut. Walau bagaimanapun, pada penghujung tahun 1955, terdapat dua aliran yang mulai menyimpang jauh antara satu sama lain. Pihak pertama, iaitu Othman Awang dan Masuri S. N. mementingkan isi, penggunaan bahasa yang sangat biasa, dan mudah difahami khalayak. Pihak kedua, iaitu Noor S. I., A. S. Amin, dan M. Ghazali membuat pembaharuan melalui penggunaan simbol-simbol dan imej yang terkeluar daripada kebiasaan di dalam sajak mereka. Sajak mereka telah dilabel sebagai sajak kabur.

Label itu diberi kerana terdapat gambaran yang sukar difahami maksudnya dengan tepat. Hal itu telah menimbulkan polemik dalam kalangan pelbagai pihak.

Misalnya, di bawah adalah sebuah sajak yang ditulis oleh A. S. Amin.

Sajak hasil karya A. S. Amin

Tentulah puisi ini tidak mudah ditelusuri maksudnya. Beliau menggunakan imej-imej ‘tua’, ‘hijau’, ‘ombak’, ‘merah’, dan ‘orang dagang’. Di dalam puisi yang singkat ini, ia memberi imej yang banyak dan kita mesti menafsirkan imej itu dan mengaitkannya antara satu dengan lain untuk sampai kepada ‘kuasa’ yang dipersoalkan. Walau bagaimanapun, itu masih boleh dibahas dan dianalisis. Puisi ini dihasilkan pada tahun 1957, tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Oleh sebab itu, isinya boleh sahaja dihubungkan dengan soal hak, kesetiaan kepada negara, nasib rakyat asalnya dan masa depan mereka. Ternyata bahawa ‘kesukaran’ itu tiada kebenarannya.

Namun demikian, sajak dekad 60-an yang diperturunkan di bawah tidak romantis, sebaliknya mengandungi pengucapan yang menjelaskan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu.

Rajah di bawah, memperlihatkan sebuah sajak karya A. Latiff Mohidin bertajuk Sungai Tua.

Sajak hasil karya A. Latiff Mohidin

Sajak di atas berbentuk konvensional. Unsur-unsur protes yang terdapat di dalam sajak itu dan sajak-sajak karya ramai penyair lain telah menghasilkan satu bentuk dalam Puisi Melayu Moden, iaitu sajak protes. Pada tahun 70-an, banyak lagi perubahan yang berlaku. Kemala memantapkan aliran mistisisme Islam melalui sajak panjang ‘Meditasi’ dan kumpulan puisi Kaktus-kaktus. Suhaimi Haji Muhammad mengemukan sajak-sajak eksperimen yang:
  1. Mengkonkritkan idea dan kata;
  2. Memanipulasikan kata, suku kata, dan tanda baca; dan
  3. Ada yang menggunakan rajah-rajah tertentu.
Beliau menghasilkan kumpulan Bumi Hijau (1971) dan Chorus Manusia Pengungsi (1976) yang mengandungi puisi konkrit. A. Ghafar Ibrahim muncul dengan kumpulan Tan Sri Bulan (1976) dan Tak Tun (1978) yang mengandungi sajak 3V, iaitu Vokal, Verbal dan Visual. Sajak bentuk ini kaya dengan gerakan dan wawasan. Demikian juga dengan sajak Dundun Cakcak yang bertolak daripada unsur-unsur bunyi alat muzik tradisional Melayu. Selain itu muncul pula sajak berunsur Islam yang dihasilkan oleh Nahmar Jamil, A. Wahab Ali, Shafie Abu Bakar dan lain-lain.

Tiada perubahan yang mendadak pada dekad 80-an hingga kini. Sejak A. Samad Said mengumumkan persaraannya selepas menerbitkan puisi panjangnya yang berjudul al-Amin sehingga kini, sajak-sajak konvensional terus menguasai dada-dada akhbar dan majalah di Malaysia.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan