PROSA TULISAN BUKAN NARATIF

Prosa tulisan bukan naratif bermaksud karya prosa yang menggunakan bahasa Melayu lama tetapi kadar naratifnya amat sedikit. Ada empat genre di dalam kategori ini, iaitu:
  1. Sastera Kitab;
  2. Sastera Ketatanegaraan;
  3. Sastera Undang-Undang; dan
  4. Sastera Sufi.

1. Sastera Kitab

Sejak Islam masuk ke Alam Melayu, Kitab Jawi atau Kitab Kuning dijadikan bahan pengajaran di dalam majlis-majlis mengaji kitab. Tradisi itu berterusan hingga kini di masjid dan surau. Kitab-kitab yang menjadi bahan pengajaran dan pengajian itu terdiri daripada kitab ilmu fikah, tauhid, tasawuf, tafsir, akhlak dan sejarah Nabi.

Kitab-kitab tersebut digolongkan sebagai karya kesusasteraan kerana pengarang memasukkan unsur-unsur sastera ke dalamnya. Antaranya ialah naratif, dialog, dan hiperbola. Selainnya ialah bahasa-bahasa kiasan seperti simile, metafora, dan personifikasi. Contoh-contohnya ialah seksaan di dalam neraka yang dinyatakan amat dahsyat sehingga tidak terjangkau oleh pemikiran manusia biasa. Begitu juga halnya dengan pernyataan tentang burung merak malu kepada Allah S.W.T.

Harus diingat bahawa di dalam sejarah perkembangannya, sastera kitab yang bermula dengan terjemahan kitab-kitab di dalam bahasa Arab ke bahasa Melayu itu ditangani oleh pengarang karya-karya kesusasteraan. Walaupun mereka amat ghairah, namun keterbatasan pengetahuan di dalam bidang ilmu Islam menyebabkan idea keislaman yang dikemukakan terpesong. Oleh sebab itu, ada unsur syirik, bidaah dan khurafat di dalamnya. Sungguhpun demikian, Kitab Jawi yang dihasilkan pada abad ke-16 dan 17 Masihi oleh ulama Acheh khasnya dan Nusantara amnya dianggap sebagai karya-karya yang unggul dan murni.

Sejarah Melayu menceritakan sebuah kitab agama yang berjudul al-Dur al-Manzum. Kitab ini dibawa oleh Maulana Abu Bakar dari Makkah ke Melaka. Pokok pembicaraannya ialah ilmu tasawuf. Sultan Mansur Syah menitahkan kitab ini dibawa ke Pasai untuk diterjemah dan disalinkan ke bahasa Melayu.

Kitab Jawi yang pertama di dalam bentuk cetak ialah Babu Khalq al-Samawat wa al-Ard (Bab Kejadian Langit dan Bumi) dikarang oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani menulis kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin

2. Sastera Ketatanegaraan

Sastera Ketatanegaraan bermaksud karya sastera yang mengandungi unsur aturan, kaedah dan cara-cara yang penting dalam pemerintahan dan kerajaan. Genre ini juga membicarakan kewajipan raja dan para pembesar dalam menjalankan pentadbiran negara. Sehubungan itu, genre ini membicarakan tanggungjawab raja, menteri, hulubalang dan rakyat. Oleh sebab itu, genre tersebut bolehlah ditakrifkan sebagai karya yang mengetengahkan tatacara pentadbiran negara yang perlu dijadikan panduan oleh raja, pembesar dan rakyat.

Pada zaman Acheh, terdapat dua buah karya yang berjudul Taj al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari dan Bustanus Salatin karya Syeikh Nuruddin al-Raniri. Kedua-duanya mencatatkan tanggungjawab pemerintah seperti raja, para pembesar dan pegawai-pegawai lain. Turut dinyatakan ialah sejarah kerajaan-kerajaan Islam di Asia Barat dan di Nusantara. Selainnya ialah hukum-hakam agama Islam.

Di samping itu, ada sebuah lagi karya yang tergolong di dalam kategori ini. Judulnya ialah Kitab Nasihat Segala Raja-Raja. Kitab yang dihasilkan oleh Sultan Zainal Abidin III yang memerintah negeri Terengganu itu disadur daripada versi Arab yang dikarang oleh Syed Abdul Qadir. 

3. Sastera Undang-Undang

Undang-undang ialah keseluruhan peraturan yang digubal oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan. Bagi memastikan peraturan-peraturan itu dipatuhi, kerajaan mengadakan pasukan polis, mahkamah dan badan-badan lain.

Walau bagaimanapun, Undang-Undang Melayu Lama tidak boleh disamakan dengan undang-undang yang ditakrifkan di atas. Undang-undang itu pada mulanya berbentuk lisan. Isinya digubal dan disusun oleh para pembesar dengan persetujuan raja. Teksnya hanya ditulis sesudah tulisan Jawi yang sistematik terhasil.

Oleh sebab itu, Undang-Undang Melayu Lama merupakan satu lagi genre selain historiografi yang mengesahkan kekuasaan dan kedudukan raja. Raja berkuasa penuh sama ada melaksanakan peraturan yang ditetapkan ataupun mengetepikannya. Peraturan tersebut merupakan adat resam yang dipusakai secara turun-temurun bagi menjaga negara dan kedudukan raja. Oleh sebab itu, kewujudannya menandakan bahawa orang Melayu hidup berpandukan adat dan peraturan.

Undang-Undang Melayu Lama boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
  1. Adat Perpatih yang digunakan di Negeri Sembilan dan Alor Gajah, Melaka.
  2. Adat Temenggung yang meliputi hukuman-hukuman jenayah, undang-undang laut serta pelabuhan yang terletak di bawah pentadbiran Raja-Raja Melayu.
  3. Undang-Undang Islam yang didasarkan kepada hukum fikah Mazhab Syafie tentang nikah-kahwin, cerai-talak dan pembahagian harta pusaka.
Antara karya-karya yang tergolong dalam genre ini ialah Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Hukum Kanun Johor dan Undang-Undang Kedah.

4. Sastera Sufi

Sastera Sufi ialah genre kesusasteraan yang dihasilkan oleh pengarang yang mengamalkan ajaran tasawuf.
Ciri-ciri utamanya ialah:
  1. Berjiwa tinggi;
  2. Dalam maknanya;
  3. Khayalannya melayang jauh;
  4. Melukiskan sesuatu dengan menggunakan rumus yang pelik;
  5. Pernyataan-pernyataannya bersifat ketaksaan; dan
  6. Patuh secara keseluruhannya kepada Allah.
Hasan Basri ialah zahid yang mula-mula sekali membicarakan ilmu kebatinan, kemurnian akhlak dan penyucian jiwa. Pandangan tasawuf beliau ialah selalu bersedih hati kerana takut tidak dapat menunaikan perintah dan larangan Allah. Rabiatul Adawiyah ialah zahidah yang turut mengemukakan pandangan tasawuf, iaitu cinta suci murni kepada Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan daripada-Nya. Lain-lain tokoh tasawuf ialah Husin bin Mansur al-Hallaj, Ibnu Arabi dan Jalaluddin Rumi.

Dua orang tokoh sufi di Alam Melayu ialah Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsuddin al-Sumatera-i. Antara karya sufi yang ditulis oleh Hamzah ialah al-Muntahi dan Syaraf al-Asyikin. Syeikh Syamsuddin menulis Miratul Muhaqiqin, Miratul Mukminin, dan lain-lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan