PUISI MELAYU TRADISIONAL

Puisi merupakan genre sastera paling awal bagi semua bangsa di dunia. Masyarakat Eropah menggunakan puisi untuk menghasilkan dua buah epik yang berjudul Iliad dan Odyssey. Masyarakat Hindu juga menggunakan puisi untuk melahirkan Mahabharata dan Ramayana. Kesusasteraan awal bangsa Arab tertulis di dalam bentuk puisi. Puisi-puisi yang terbaik digantung di Ka’abah pada Zaman Jahiliah. Orang Melayu berbangga dengan puisi milik mereka yang dinamakan pantun.

Puisi Melayu Tradisional yang akan kita bincangkan terbahagi kepada dua kumpulan utama, iaitu:
  1. Puisi Melayu Tradisional Warisan Melayu; dan
  2. Puisi Melayu Tradisional Warisan Islam.

1. Puisi Melayu Tradisional Warisan Melayu

Puisi dalam kumpulan ini terbahagi kepada dua bentuk, iaitu:
  1. Terikat: Pantun dan Gurindam
  2. Bebas: Seloka
1.1 Pantun

Bentuk-bentuk Pantun
  • Bentuk-bentuk pantun yang paling popular ialah pantun dua kerat dan pantun empat kerat.
  • Contoh-contohnya ialah:
Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

  • Bentuk-bentuk yang lain ialah pantun enam kerat, pantun lapan kerat, dan pantun dua belas kerat.
Ciri-ciri Pantun
  1. Setiap baris pantun mempunyai empat hingga lima patah perkataan.
  2. Setiap baris mempunyai lapan hingga dua belas suku kata.
  3. Baris pertama dan kedua pantun empat kerat dinamakan pembayang atau sampiran.
  4. Dua baris kemudiannya disebut maksud.
  5. Pantun empat kerat memakai skema rima a-b-a-b.
  6. Setiap rangkap pantun melengkapkan satu idea yang hendak disampaikan.
  7. Pantun berkait memerlukan lebih daripada satu rangkap untuk melengkapkan idea yang hendak disampaikan
Jenis-jenis Pantun



Peranan dan Fungsi
  • Pantun memainkan peranan penting di dalam masyarakat Melayu seperti di dalam upacara meminang, majlis berbalas pantun, penghias ucapan dan sebagainya.
  • Antara fungsinya ialah mendidik, menyindir, menyatakan perasaan, menyampaikan buah fikiran dan menghibur.
1.2 Gurindam

Kata ‘gurindam’ berasal daripada bahasa Sanskrit. Genre puisi ini tergolong sebagai satu daripada Puisi Melayu Tradisional di dalam kategori bukan naratif.

Ciri-ciri gurindam ialah:
  1. Setiap untai mengandungi dua baris ayat.
  2. Baris pertama disebut syarat, manakala baris kedua disebut jawab.
  3. Rima hujungnya sama, iaitu a-a.
  4. Isinya ialah hal-hal yang berat dan serius.
  5. Puisi bertulis.
Contoh gurindam ialah:

Barang siapa mengenal Allah,
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa tiada mengenal agama,
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.


Peranan dan fungsi 
  • Gurindam berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk mendidik khalayak.
  • Unsur-unsur pendidikan yang diketengahkannya ialah iman dan moral yang baik.
1.3 Seloka

Kata ‘seloka’ berasal daripada bahasa Sanskrit ‘shloka’. Puisi jenis ini digunakan di dalam epik Mahabharata dan Ramayana. Walau bagaimanapun, seloka Melayu tidak sama dengan seloka Sanskrit.

Ciri-ciri seloka ialah:
  1. Sejenis puisi bebas;
  2. Rangkapnya tidak tetap;
  3. Tidak tetap jumlah baris serangkap;
  4. Tidak tetap jumlah perkataan sebaris; dan
  5. Ada yang berima dan ada yang tidak berima.
Contoh seloka ialah:

Baik budi emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tiada berkayu rumah diruntuh,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusukan.


Peranan dan fungsi:
  • Seloka berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk menyindir, mengejek, bergurau senda, atau berjenaka.

2. Puisi Melayu Tradisional Warisan Islam

Bahagian ini akan memfokuskan perbincangan kepada genre puisi yang paling popular, iaitu syair. Kata ‘syair’ berasal daripada kata ‘syi’r’ di dalam bahasa Arab yang bermaksud puisi.

Ciri-ciri syair ialah:
  1. Sejenis puisi naratif di dalam bahasa Melayu;
  2. Bentuknya berangkap-rangkap;
  3. Setiap rangkap yang biasa ada empat baris;
  4. Setiap baris mengandungi purata empat patah perkataan;
  5. Setiap baris mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata;
  6. Rima hujungnya sama, iaitu a-a-a-a;
  7. Tidak mempunyai pembayang dan maksud seperti pantun, dan
  8. Setiap rangkap syair tidak boleh berdiri sendiri kerana memerlukan lebih daripada satu rangkap untuk melengkapkan sesuatu idea.
Syair Agama telah diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri untuk menyampaikan hal-hal keagamaan. Contohnya ialah Syair Sidang Fakir dan Syair Perahu.



Jenis-jenis syair

Syair Romantik mempunyai struktur dan juga isinya yang sama dengan cerita dongeng. Contoh-contohnya ialah Syair Siti Zubaidah Perang China dan Syair Dandan Setia. Syair sejarah mengandungi kisah berunsur sejarah. Contoh-contohnya ialah Syair Singapura Terbakar dan Syair Sultan Maulana. Syair kiasan menggunakan watak binatang untuk menyedarkan khalayak melalui sindiran-sindiran tajam. Contohnya ialah Syair Burung Pungguk dan Syair Ikan Terubuk.

Contoh serangkap syair:

Peranan dan fungsi syair

Ada kepada suatu hari,
Saya ke pasar berlari-lari,
Berjumpa dengan seekor nuri,
Sangatlah bijak ia berperi.
  • Syair berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pendidikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan