MATLAMAT PSIKOLOGUISTIK

Sebelum meneruskan perbincangan, kita haruslah memastikan bahawa kita telah benar-benar memahami konsep psikolinguistik. Ia adalah penting kerana terdapat perkaitan dengan persoalan seterusnya iaitu, mengapakah kita perlu mempelajari bidang ini? Tentunya, ada matlamat dan sebab mempelajarinya. Marilah kita sama-sama meneliti hal tersebut.

Menurut George A. Miller (1965), ilmu psikolinguistik bertujuan untuk menghuraikan proses psikologi yang berlaku ketika orang menggunakan ayat. Beliau pernah menegaskan bahawa kelahiran disiplin ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ahli psikologi sudah lama mengakui bahawa otak manusia itu menerima simbol-simbol linguistik. Manakala ahli linguistik pula telah menerima hakikat bahawa sejenis motor psikososial telah dikenal pasti untuk menggerakkan mesin tatabahasa dan leksikon. Maka, tujuan utama psikolinguistik adalah untuk mencari satu teori bahasa yang munasabah dan unggul daripada segi linguistik dan psikologi, yakni teori yang mampu menerangkan hakikat bahasa dan pemerolehannya. Dengan demikian, psikolinguistik merupakan bidang ilmu yang berminat untuk mengetahui hal yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa.

Seperti yang telah disentuh dalam tajuk lalu, aspek-aspek yang berkaitan dengan perlakuan manusia yang melibatkan bahasa juga menjadi tumpuan dalam kajian bidang psikolinguistik. Adakah anda benar-benar faham tentang hari ini? Sebenarnya, bidang ini berusaha untuk mengenal pasti struktur dan proses yang mendasari kebolehan manusia untuk bercakap dan memahami bahasa. Oleh yang demikian, harus diingat bahawa ilmu psikolinguistik bukanlah bidang yang berminat untuk meneliti interaksi antara manusia, tetapi lebih berminat untuk meneliti hal yang berlaku di dalam diri individu. Selain itu, psikolinguistik juga mengkaji salah satu aspek terpenting dalam disiplin ini, iaitu cara-cara kanak-kanak menguasai bahasa. Oleh sebab skop tumpuan psikolinguistik adalah terhadap pemerolehan bahasa serta pembelajaran dan pengajaran bahasa, maka banyak masalah pemerolehan bahasa dan pengajaran dan pembelajaran dapat diselesaikan melalui kajian psikolinguistik. Persoalan tentang bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa memang merupakan satu persoalan yang sentiasa menjadi bahan perbincangan di kalangan mereka yang berkecimpung dalam bidang psikolinguistik dan pengajaran bahasa. Justeru, sumbangan psikolinguistik dalam pengajaran bahasa amat bernilai tinggi.

Berdasarkan takrif oleh Aitchison (1987), kita dapat membahagikan kajian psikolinguistik kepada empat aspek utama, iaitu:
(a)  Aspek yang berkaitan dengan pemerolehan pengetahuan bahasa pertama atau bahasa ibunda.
(b)  Aspek yang berkaitan dengan proses pemahaman input bahasa.
(c)  Aspek yang berkaitan dengan proses penghasilan output bahasa.
(d)  Aspek yang berkaitan dengan penyimpanan maklumat bahasa atau pengetahuan bahasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan