KEMAMPUAN BAHASA MELAYU MENYAMPAIKAN PELBAGAI ILMU

Sekiranya anda bertanya saya adakah bahasa Melayu mampu menyampai pelbagai ilmu; jawapan saya "Sudah tentu". Sejak kita merdeka, hampir 51 tahun dan sejak lebih 25 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolahsekolah, negara telah dapat menghasilkan ratusan, malahan ribuan pakar,sarjana, doktor, arkitek, pakar sains dan lain-lain melalui sistem prasekolah atau pendidikan yang sedia ada, yakni aliran kebangsaan. Keadaan ini dapat dijelmakan kerana bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa lain (seperti Jepun, Korea, Jerman, China, Inggeris dan lain-lain) di dalam semua bidang dan digunakan di institusi pengajian tinggi.
 
Bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyatakan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Ini telah terbukti sejak sekian lama. Melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat di kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga ikut turut stabil. Ini adalah berkat bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan sejak awal tahun 70-an.
 
Bahasa Melayu juga telah memperkasa anak bumiputera di dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi dan sekali gus dapat melahirkan golongan kelas menengah di kalangan bumiputera yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara. Bahasa yang dahulunya hanya berperanan sebagai "lingua franca" dan juga bahasa "kelas kedua", akhirnya telah menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahasa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Maka, bagi memastikan semangat dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu, usaha promosi harus dipergiat dari semasa ke semasa.


2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam