PSIKOLINGUISTIK SEBAGAI SATU DISIPLIN ILMU

Tahukah anda bagaimana disiplin psikolinguistik muncul? Ia muncul kerana ada ahli-ahli linguistik yang menunjukkan minat terhadap bidang psikologi dan ada ahli-ahli psikologi pula yang meminati linguistik. Mereka ini telah merintis jalan untuk melahirkan cabang baharu dalam bidang linguistik, iaitu ilmu psikolinguistik. Pada mulanya bidang ini dikenal sebagai psikologi bahasa. Kerjasama antara kedua-dua golongan ini sudah lama terjalin apabila ahli psikologi dan linguistik mendapati bahawa gabungan teori psikologi dan linguistik boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah bahasa yang dihadapi mereka. Ahli-ahli linguistik dan psikologi seperti Humboldt, Bloomfield, Chomsky, Dewey, Wundt, Watson, Lashley, Osgood dan Caroll telah mempelopori kerjasama ini sehingga lahir bidang baharu ini. Ahli-ahli linguistik dan psikologi ini mendapati bahawa kedua-dua bidang ini ada pertalian rapat antara satu sama lain, selain menunjukkan minat terhadap soal bahasa. Bidang psikolinguistik sebagai suatu disiplin ilmu yang baharu muncul pada tahuntahun akhir 1950an. Hal ini berlaku terutamanya kerana usaha khusus yang diambil oleh Noam Chomsky yang cuba menyediakan iklim untuk menyuburkan  disiplin tersebut.
 
Berikut kita akan mempelajari kronologi beberapa peristiwa yang menyusurgalurkan perkembangan psikolinguistik sehingga bidang ini dapat berdiri dengan sendiri sebagai suatu disiplin ilmu.

Peristiwa

1900 :  
Buku Wilhelm Wundt berjudul Die Sprache menegaskan kepentingan keadaan mental atau akal budi serta kaitannya dengan ujaran dan keadaan dalamannya.

1954 :
Penerbitan makalah "A Survey of Theory and Research Problems" oleh Osgood dan Sebeok telah menimbulkan minat dalam kalangan ahli bahasa di Amerika dan Eropah terhadap disiplin ini.
 
1951 : 
Persidangan di Cornell, Amerika Syarikat telah memulakan kerjasama antara ilmu linguistik dan psikologi.
 
1954 :
Perkataan psikolinguistik pertama kali digunakan oleh Osgood dan Sebeok dalam buku suntingan mereka yang berjudul Psycholinguistics, a survey of theory and research problems.
 
1959 :
Komentar Chomsky terhadap buku Verbal Behaviour, tulisan B. F . Skinner, tokoh yang mempelopori aliran behaviorisme. Dalam komentarnya, Chomsky mengkiritik tulisan Skinner yang menegaskan bahawa pemerolehan bahasa berlaku berdasarkan operasi rangsangan dan tindak balas. Chomsky berpendapat bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara semula jadi kerana manusia sudah ada keupayaan mental untuk
mempelajari bahasa.

1960an :
Ilmu psikolinguistik terpisah daripada bidang linguistik dan menjadi  disiplin ilmu yang tersendiri.

1970an :
Psikolinguistik menjadi sebahagian daripada aliran perdana bidang sains kognitif.
 
Walaupun ahli linguistik dan ahli psikologi masing-masing berhujah bahawa ilmu psikolinguistik termasuk dalam bidangnya, namun bidang ini kini sudah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan