Manusia menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi yang penting di dalam kehidupan seharian mereka. Ini demikian, kerana bahasa dan pertuturanlah yang membezakan manusia dengan haiwan. Selain, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis, dinamik dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya. Halliday, di dalam bukunya bertajuk "Explorations in the Functions of Language" (1973), yang telah mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antaranya adalah:
i. Instrumentalii. Regulasi
iii. Pemerian
iv. Interaksi
v. Personal
vi. Heuristik
vii. Khayalan
Fungsi instrumental bermaksud manusia menggunakan bahasa bagi melayani pengelolaan lingkungan yang menyebabkan sesuatu peristiwa berlaku. Fungsi regulasi adalah fungsi bahasa yang bertindak sebagai pengawas dan mengendalikan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Fungsi ini digunakan untuk mengendalikan serta mengatur orang lain. Fungsi pemerian pula boleh ditafsirkan sebagai penggunaan bahasa untuk membuat penyataan-penyataan, menyampaikan pengetahuan, membuat penjelasan dan membuat laporan tertentu.
Fungsi interaksi merupakan fungsi bahasa yang memainkan peranan bagi menentukan supaya hubungan antara manusia dapat terus berlangsung ataupun dipertahankan. Oleh itu, perlu pengetahuan yang luas berkenaan bahasa, loghat, jargon, slanga, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya. Pokoknya, kita mesti tahu pelbagai perkara tentang bahasa. Fungsi peribadi pula adalah fungsi bahasa yang memberi kesempatan kepada manusia bagi menyatakan perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya. Seterusnya, fungsi heuristik melibatkan penggunaan bahasa bagi memperoleh ilmu pengetahuan. Ini demikian kerana ia disampaikan di dalam bentuk pertanyaan yang memerlukan jawapan. Fungsi khayalan juga merupakan fungsi bahasa yang digunakan oleh manusia bagi mencipta mimpi-mimpi yang mustahil diterima oleh akal. Fungsi ini dibawa melalui buku-buku dan cerita-cerita dongeng.
Ketujuh-tujuh fungsi di atas sebenarnya bersifat saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi menghasilkan satu bentuk komunikasi yang berkesan di dalam menyatakan pelbagai topik serta memahamkan pelbagai bangsa di dunia. Bahasa merupakan alat komunikasi yang paling berkesan di dalam kehidupan manusia; ia bersifat arbiter, simbolik, sistematik dan manusiawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan