BAHASA MELAYU ZAMAN KEDATANGAN INGGERIS

Sebelum Inggeris bertapak di semenanjung Tanah Melayu, Bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa perantaraan bagi penduduk negara ini. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pentadbiran di semua pusat pemerintahan dan menjadi bahasa pengantar di institusi pendidikan yang ada pada ketika itu seperti pusat pengajian Islam dan kelas agama. Perhubungan antara rakyat juga menggunakan Bahasa Melayu, termasuk di pusat-pusat perniagaan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Sebelum penjajahan Inggeris, Bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

Pada abad ke-19 bermula dengan  karangan Munsyi Abdullah, zaman ini  dianggap sebagai permulaan zaman Bahasa Melayu Moden. Beberapa karya terkenal pada zaman ini ialah hasil tulisan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munsyi. Karya pertama beliau ialah Syair Singapura Terbakar. Abdullah Munsyi bukan sahaja memperlihatkan keunggulan Bahasa Melayu melalui karya kesusasteraan, malahan memberikan kesedaran tetantang betapa pentingnya nahu Bahasa Melayu. Bagi beliau, sekiranya nahu Bahasa Melayu ditulis oleh orang asing maka nahu Bahasa Melayu yang ditulis itu hanyalah merupakan pengubahsuaian nahu bahasa mereka sendiri yang cuba dipaksakan terhadap Bahasa Melayu. Perkembangan Bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh Abdullah Munsyi tidaklah menghairankan kerana latar pendidikannya yang berbahasa Inggeris. 

Tokoh yang terkenal pada zaman ini juga ialah Muhammad Ibrahim bin Abdullah Munsyi menulis Kitab Pemimpin Johor sejak tahun 1871 Masihi dan diterbitkan pada tahun 1878 Masihi.  Beliau menggunakan banyak ibu perkataan dalam kitabnya kerana bentuk ini dikatakan dapat membanyakkan beberapa perkataan lain sehingga menjadi ayat dan juga perenggan.  Yang dimaksudkan dengan ibu perkataan tersebut ialah perkataan istimewa, adapun, arakian, alkisah, bermula, bahawasanya, bahawa, hatta, dan, dewasa, sebermula, sebagai lagi, sebagai pula, sekali persetua, seyogiayanya, syahdan, kalian dan maka Kitab ini beracuankan Bahasa Inggeris namun penggunaan bahasanya terlihat masih lebih banyak dipengaruhi oleh struktur Bahasa Arab dan berusaha mengelakkan perkataan yang keinggerisan. Muhammad Ibrahim juga telah menubuhkan organisasi yang diberi nama Pakatan Mengajar bahasa (1888 M).  Tujuan penubuhan ini adalah untuk mengkaji dan mempelajari Bahasa Melayu agar pengetahuan Bahasa Melayu itu lebih mudah disebar luaskan.

Tokoh lain yang sezaman dengan Abdullah Munsyi ialah Raja Ali Ibni Raja Haji Ahmad. Walaupun sezaman dengan Abdullah Munsyi tetapi Raja Ali mempunyai latar pendidikan yang berbeza. Abdullah Munsyi berpendidikan Inggeris manakala Raja Ali Haji berpendidikan Arab serta seorang pendakwah.  Bukunya Bustanul Katibin bertarikh 1850 Masihi didasarkan kepada nahu bahasa Arab. Walaupun nahu ini berdasarkan nahu Bahasa Arab, buku ini dianggap penting kerana inilah buku nahu berbahasa Melayu yang ditulis oleh orang Melayu. Kitab Pengetahuan bahasa  pula dihasilkan pada tahun 1859 Masihi. Hasil ini merupakan sebuah kamus Melayu. Bahagian awalnya membincangkan kamus Melayu secara ringkas dan sederhana. Namun begitu tidak semua abjad dalam kamus diakhiri dengan sebahagian perkataan ca. Erti perkataan disertakan dengan penjelasan walaupun berdasarkan kaedah dalam Bahasa Arab. 

Raja Ali Haji dilahirkan pada tahun 1909 Masihi dan dibesarkan di Pulau Penyengat, iaitu sebuah pulau kecil yang tidak jauh dari Tanjung Pinang di Riau yang pada ketika itu menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan. Beliau telah menghasilkan kitab tatabahasa Melayu yang dinamakan Bustanil Katibina Lis Subyani’il Mutaalamin atau diterjemahkan sebagai Kitab Perkebunan Juru Tuli bagi Kanak-Kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa. Kitab ini setebal 70 halaman mengandungi bahagian pendahuluan, 31 fasal dan khatimah (penutup). Kitab ini dibahagikan kepada dua bahagian: bahagian pertama terdiri daripada penulisan tentang Bahasa Melayu dan bahagian kedua, mengenai tatabahasa Bahasa Arab.  Di sini penulisnya cuba menyesuaikan dan menerapkan sistem tatabahasa Arab ke dalam struktur ayat Bahasa Melayu. Penggunaan kata-kata dan struktur ayat Bahasa Melayu dipindahkan dan diklasifikasikan secara langsung dalam bahasa Arab agar sesuai dengan kata dan tatabahasa Arab. 

Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, khususnya ketika sebelum berlaku Perang Dunia Kedua, Bahasa Melayu terus digunakan untuk tujuan urusan rasmi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di Negeri-Negeri Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dikehendaki mempelajari Bahasa Melayu dan mesti lulus dalam peperiksaan Bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan. Sebahagian daripada pegawai-pegawai itu terus menaruh minat yang tinggi terhadap Bahasa Melayu, sehingga dikenali sebagai sarjana Bahasa Melayu. Antaranya ialah R.O. Winstedt, J.R. Wilkinson, C.C. Brown, W.E. Maxwell, W. Marsden, W.G. Shellabear dan J. Crawford.
William Marsden telah menulis A Grammar of Malayan Language  pada tahun 1812 masihi. Beliau telah mengutarakan beberapa hal penting dalam perkembangan Bahasa Melayu, iaitu Bahasa Melayu itu indah, susunan ayatnya teratur, dan nahunya sederhana. Penyebutannya juga mudah dan mudah diselaraskan dengan kata pinjaman. Bahasa Melayu dikatakan bukan berasal daripada bahasa Sanskrit tetapi bahasa Sanskritlah yang memperkayakan Bahasa Melayu.  Tajuk-tajuk kecil dalam buku ini ialah abjad Jawi, konsonan dan vokal, tanda bacaan tulisan Jawi, golongan kata, bahagian ayat, nama sifat, perbandingan, bilangan, ganti nama, penunjuk, sendi, keterangan, penghubung, seruan, pengimbuhan, binaan ayat, dialek, prosodi dan praksis. Marsden mengatakan bahawa orang Melayu telah mengambil 28 huruf Arab, dan mencipta beberapa huruf lagi dengan menambah titik tertentu pada bentuk yang sudah sedia ada. 

Tokoh besar dunia Melayu yang lahir pada zaman Inggeris ialah Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Za’ba. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan pada 16 September 1895 dan banyak menghabiskan hayatnya dalam bidang kebahasaan. Beliau mendapat pendidikan Inggeris dengan kelulusan Senior Cambridge di St. Paul’s Institution di Seremban, di samping lulus di peringkat tertinggi di sekolah Melayu.  Beliau telah menghasilkan Pelita Bahasa Melayu (PBM) bertujuan untuk menyusun kaedah buku nahu (tatabahasa) Bahasa Melayu dengan lebih lengkap daripada buku-buku nahu Bahasa Melayu oleh tokoh-tokoh pengkaji Melayu sebelumnya.  Buku nahu ini menghuraikan kaedah nahu Bahasa Melayu atau aturan rangkanya mengikut pengaruh atau acuan nahu Bahasa Inggeris dan sedikit pengaruh nahu Bahasa Arab yang dipadankan dengan pembawaan tabiat sejati Bahasa Melayu serta pendekatan khasnya yang tersendiri.  Oleh itu, nahu Za’ba ini lebih menekankan ciri-ciri makna dan struktur dalam penggolongan kata. Pelita Bahasa Melayu (1) diterbitkan pada tahun 1940 oleh Pejabat Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada cetakan pertamanya, buku ini diterbitkan dalam tulisan Jawi yang membicarakan masalah huruf, tulisan, ejaan, saraf dan nahu Melayu.  Pelita Bahasa Melayu (2) merupakan lanjutan terbitan yang pertama mengandungi 12 bab yang merangkumi beberapa aspek yang dimulai dengan permulaan mengarang, latihan membuat ayat, mengarang ayat-ayat tunggal, pemakaian tanda-tanda berhenti, cakap pindah sehingga kepada penghabisan karangan. Buku ini dikarang untuk murid-murid darjah 2 , 3 dan 4 sekolah Melayu pada masa itu.     

Seperkara yang menarik dapat dikatakan bentuk Bahasa Melayu pada era ini ialah gaya bahasanya masih mengikut cara lama, iaitu Bahasa Melayu Klasik seperti penggunaan sahaya, arakian, kemudian daripada itu, adapun, maka, sekalian dan lain-lain. Fonem-fonem Bahasa Melayu ditambah dengan fonem-fonem baharu daripada Bahasa Arab masih kekal.  Kata-kata istilah baharu juga muncul buat pertama kali terutama dalam pentadbiran moden yang diamalkan sewaktu zaman pemerintahan keluarga Temenggung Ibrahim. Pada masa yang sama, beberapa istilah Inggeris juga diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu untuk urusan pentadbiran seperti jawatankuasa, setiausaha, pejabat, pesuruhjaya dan jabatan.  Kata-kata bahasa asing dari Barat seperti kata Belanda di Indonesia juga meresap masuk ke dalam Bahasa Melayu seperti kompeni, gabenor dan lain-lain.

Selepas Perang Dunia Kedua, British mengubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan Bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara. Hanya selepas Perang Dunia Kedua kedudukan serta peranan Bahasa Melayu mula terancam. Pegawai-pegawai Inggeris baru yang jahil terhadap Bahasa Melayu membawa tekanan kepada kehidupan rakyat di negara ini, menerusi nilai-nilai baru yang diperkenalkan. Orang-orang Inggeris menjadi “tuan” dan segala yang bersangkutan dengan cara hidup mereka diberi nilaian yang tinggi termasuk bahasa mereka. Ini diperkukuhkan dengan dasar menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem persekolahan. Dalam keadaan Bahasa Melayu menerima tekanan, kesusasteraan Melayu terus dihasilkan, bukan oleh cendiakawan berpendidikan Barat tetapi cerdik pandai lulusan sekolah Melayu atau Arab. 

Pada awal abad ke-20, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Wartawan, sasterawan, budayawan, guru-guru Melayu dan ahli-ahli politik berganding bahu memperjuangkan cita-cita ini. Akhbar dan majalah menjadi saluran utama untuk menyuarakan hasrat ini. Perjuangan Bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyebut bahawa “bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi Bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah menjadi lingua franca bagi seluruh kepulauan Melayu. Perbincangan tentang perkembangan bahasa seterusnya akan dibincangkan dengan lebih perinci dalam topik-topik seterusnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan