BAHASA MELAYU KUNO



Bahasa Melayu Kuno ialah bahasa yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit dikatakan banyak mempengaruhi kosa kata dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu Kuno melalui zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Sriwijaya, kira-kira pada abad ke-7 hingga abad ke-13. Kegemilangannya terbukti apabila Bahasa Melayu mampu menjadi lingua franca  dan bahasa pemerintah. Kerajaan Sriwijaya berjaya menghasilkan Bahasa Melayu yang dipertuturkan oleh semua masyarakat sehingga Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi di kepulauan Melayu, kepulauan Riau dan juga Sumatera. Kewujudan bahasa ini dibuktikan melalui penemuan-penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683SM); batu bersurat di Talang Tuwo, dekat Palembang (684M); batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka (686M); dan batu bersurat di Karang Brahi, Jambi (686M).  Batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832M) ialah batu bersurat yang pertama ditemui menerima pengaruh tulisan Nagiri.

Rumpun ini merupakan keluarga bahasa Nusantara dan berkembang dari abad ke-7 hingga abad ke-13 sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa lingua franca. Penuturnya terdapat di semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau dan Sumatera.  Kepentingannya sebagai bahasa lingua franca kerana sifatnya yang sederhana dan mudah menerima pengaruh asing, tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa. Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh sistem Bahasa Sanskrit yang banyak menyumbang kepada pengayaan kosa kata Bahasa Melayu. Pengaruh Sanskrit kuat akibat kaitannya dengan agama Hindu, kedudukannya sebagai bahasa golongan bangsawan dan hirarkinya yang tinggi. Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno dapat dilihat berdasarkan butiran yang berikut:

CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KUNO
  1. Banyak kata-kata pinjaman Sanskrit
  2. Susunan ayat bersifat Melayu
  3. Bunyi b ialah w dalam Melayu Kuno (Contoh: bulan - wulan)
  4. Bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  5. Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu Kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  6. Awalan di- ialah ni- dalam Bahasa Melayu Kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  7. Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  8. Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Tulisan yang digunakan merupakan tulisan yang berasal dari India seperti Devanagiri dan Pallava. Tulisan ini dikatakan pengaruh tulisan India seperti Jawa Kuno dan tulisan Kawi. Ini didapati pada prasasti dengan banyaknya pengaruh kata pinjaman Sanskrit yang berkait rapat dengan pengaruh kebudayaan India dan agama Hindu.  Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Bahasa Arab baik dari segi kosa kata atau tulisan.  Bahasa Melayu Kuno ternyata disebarkan pada zaman beberapa buah kerajaan lama seperti Kerajaan Campa dan Empayar Funan di Vietnam Tengah dan Selatan, Thailand Tengah dan Selatan, Kerajaan Sailendra di Pulau Jawa dan Empayar Sriwijaya yang terdapat di Sumatera Utara, Pulau Jawa dan Tanah  Semenanjung hingga ke Segenting Kra.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan