BAHASA MELAYU KLASIK


Menurut Awang Sariyan, Bahasa Melayu Klasik merupakan tahap ketiga dalam periodisasi Bahasa Melayu, sesudah Bahasa Melayu Purba dan Bahasa Melayu Kuno.  Bahasa Melayu Klasik dikatakan bermula pada abad ke-13 dan berakhir pada abad ke-19. Bahasa Melayu Klasik ini diasaskan sewaktu terdirinya kerajaan Islam pertama di sebelah timur Aceh, iaitu kerajaan Samudera-Pasai  di bawah Sultan Malikul Salih.  Bahasa ini merupakan kesan langsung kedatangan agama Islam dan kebudayaan Islam. Zaman permulaannya ditandai dengan kemunculan prasasti Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi. Bahasa Melayu Klasik muncul dengan wujudnya tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu pada awal abad ke-14. Prasasti Bahasa Melayu Klasik banyak terdapat di semenanjung Tanah Melayu seperti di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lain. Prasasti ini juga ditemui di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
 
Pada abad ke-13, peralihan bahasa berlaku ekoran daripada pengaruh yang dibawa oleh agama Islam ke Asia Tenggara. Kehadiran agama Islam ke Asia Tenggara banyak mempengaruhi perkembangan Bahasa Melayu ketika itu terutama dari aspek kosa kata, struktur kata dan  juga tulisannya. Peralihan Bahasa Melayu Kuno kepada Bahasa Melayu Klasik ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye Tujuh, Aceh (1390), iaitu batu bersurat pertama yang ditemui penggunaan kata-kata Arab seperti khalifah, nabi-nabi, Allah dan rahmat. Batu bersurat Pagar Ruyung pula mempunyai sedikit perbezaan dengan batu bersurat abad ke-7, iaitu dari segi bahasanya. Bahasa Melayu Klasik dikatakan mengalami zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau. Hal ini disebabkan kerajaan-kerajaan tersebut pernah menjadi kawasan yang penting untuk kegiatan perdagangan dan perkembangan Islam dan seterusnya bahasa pada ketika itu.  

Kemunculan Bahasa Melayu Klasik ini juga ditemui dalam manuskrip Melayu Lama. Terdapat kira-kira 10,000 naskhah manuskrip Melayu lama ini tersimpan di beberapa buah negara terutamanya di Barat. Manuskrip Melayu lama yang tertua ialah surat kiriman Sultan Ternate, dari kepulauan Maluku kepada Raja Portugis yang bertarikh tahun 1521 dan 1522. Tulisan berbentuk buku pula ialah  ialah kitab Aqa’id al-Nasafi yang bertarikh 1590 (988H).  Terdapat juga manuskrip lama lain seperti Tutinameh (1600), Hikayat Seri Rama (1633), surat Raja Aceh kepada Harry Middleton (1602) dan surat emas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Aceh kepada Raja Inggeris, King James I (1615). Penemuan ini menunjukkan Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca di Asia Tenggara pada masa itu.  
Dari segi fonologi, sistemnya tidak dapat ditentukan kerana tiada data lisan. Kebanyakan data berbentuk tulisan dan ini menyukarkan pengesanan sebutan yang sebenar. Awang Sariyan mengatakan bahawa perlambangan bunyi vokal terbatas kepada tiga sahaja, iaitu ‘i’, ‘a’ dan ‘u’ (daripada vokal Arab alif, ya dan wau). Namun demikian dapat diandaikan bahawa Bahasa Melayu Klasik mempunyai enam bunyi vokal sebagaimana yang terdapat dalam Bahasa Melayu, iaitu ‘a’, ‘e’ pepet, ‘e’ taling, ‘i’, ‘o’, dan ‘u’.  Dari segi bunyi konsonan pula, dapat diandaikan bahawa bunyi konsonan Bahasa Melayu Klasik  sama dengan yang terdapat dalam Bahasa Melayu Moden. Pelambangan bunyi getaran alveolar ‘r’ yang jelas menggunakan  huruf “ra” dalam bahasa Arab. Penggunaan ini pada hujung suku kata akhir tertutup menggambarkan bahawa bunyi getaran alveolar itu hidup dan tidak senyap dalam bahasa lisan klasik.  Bunyi diftong pula memperlihatkan persamaan dengan bunyi diftong dalam Bahasa Melayu Moden, iaitu ‘ai’, ‘au’ dan ‘oi’.

Dari segi tatabahasa pula, imbuhan yang digunakan sama dengan yang digunakan dalam Bahasa Melayu Moden.  Hal yang sama juga berlaku bagi proses morfofonemik, penggandaan dan pemajmukan. Dari segi sintaksis, ayat dalam bahasa ini memanfaatkan empat pola ayat dasar, iaitu ayat tunggal, ayat majmuk yang sama rumusannya dengan Bahasa Melayu Moden, ayat kompleks dan ayat pasif. Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik ialah:
  1. Ayat yang panjang dan berbelit-belit
  2. Banyak ayat pasif
  3. Menggunakan bahasa istana
  4. Kosa kata klasik seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul dan sebagainya
  5. Banyak menggunakan kata pangkal ayat atau perdu perkataan seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun dan sebagainya
  6. Penggunaan ayat songsang dan banyak menggunakan partikel ‘pun’ dan ‘lah’
Kajian Asmah haji Omar tentang kitab ‘Aqai’id al-Nasafi, iaitu teks tertua Bahasa Melayu menunjukkan hampir 82% kosa katanya merupakan kosa kata Bahasa Melayu asli.  Kata pinjaman yang agak menonjol ialah bahasa Arab, Parsi dan Sanskrit. Terdapat juga penggunaan penanda wacana yang tidak digunakan lagi dalam Bahasa Melayu Moden, iaitu bermula, hatta, syahadan, kalakian dan seumpamanya. 

Gaya Bahasa Melayu Klasik pula memperlihatkan gaya yang tersendiri. Gaya Bahasa Melayu Klasik kelihatan pada ayat kompleks, ayat pasif dan ayat songsang. Hal ini disebabkan oleh pengaruh bahasa Arab dan lenggoknya yang jelas kelihatan kearab-araban. Selain daripada itu, bunga bahasanya juga menggambarkan kehalusan dan daya cipta berseni karyawan pada zaman tersebut. Bahasa Melayu Klasik bertunjangkan sistem tulisan Jawi yang berasaskan aksara Arab. Sistem tulisan ini merupakan alat yang meluaskan penyebaran dalam bahasa persuratan di Alam Melayu. Malah sistem tulisan inilah merupakan bukti yang nyata tentang kewujudan bahasa ini. Warisan Bahasa Melayu Klasik tertulis dalam karya persuratan yang meliputi pelbagai bidang, iaitu agama, undang-undang, ketatanegaraan, historiografi, sastera, perubatan dan pentadbiran serta hubungan politik.  Bahasa Melayu Klasik juga mendapat pengaruh kata-kata pinjaman daripada bahasa Arab dan Parsi.

Bahasa Melayu Klasik jelas banyak digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin, syariah atau undang-undang Islam, dan tasawuf.  Karya agama yang tertua dihasilkan dalam Bahasa Melayu Klasik ialah ‘Aqai’id al-Nasafi. Kitab ini membicarakan tentang hakikat kejadian benda, kemungkinan ilmu, punca ilmu, keobjektifan ilmu, teori cakerawala, hakikat Tuhan dan diri manusia. Jelasnya, kitab ini merupakan titik awal bidang ilmu yang jauh jangkauan pemikiran manusia dan diungkapkan dalam Bahasa Melayu. Ini merupakan  pencapaian penting bagi membuktikan bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.

Tokoh-tokoh lain yang terkenal ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin Pasai atau Syamsudin al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel.  Di samping itu, muncul ahli ilmu dari luar Alam Melayu, iaitu Nuruddin al Raniri. Hamzah Fansuri terkenal dengan karya prosa seperti Asrarul-Arifin fi bayan Ilm al-Suluk wal-Tawhid, al-Muntahi dan Sharabul-Ashiqin  atau Zinatul-Muwahiddin.  Syairnya yang terkenal ialah Syair Dagang, Syair Jawi fasal fi bayan Ilm al-suluk wal-tawhid  dan Syair Perahu

Dari segi sejarah, Bahasa Melayu Klasik mempunyai kesignifikanannya tersendiri. Bahasa ini dikatakan sebagai titik bermulanya Bahasa Melayu Moden.  Bahasa Melayu Klasik juga memperkenalkan ragam bahasa persuratan dengan munculnya tulisan Jawi yang digunakan secara meluas di Alam Melayu. Peranannya juga penting sebagai asas kepada pembentukan bahasa baku, konsep kebangsaan Melayu, dan mengungkapkan pelbagai jenis laras bagi memulakan transformasi ciri budaya yang penting. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan