BAHASA MELAYU DAN DASAR PENDIDIKAN



Dasar bahasa pendidikan ialah dasar yang dipegang dalam menggunakan bahasa sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar bahasa am ialah dasar yang secara tidak rasmi diterima oleh kerajaan mengenai penggunaan bahasa dalam perdagangan, perhubungan rakyat dan dalam hubungan dengan orang-orang luar, badan-badan atau negara-negara luar (Asmah,1985:23).  Prinsip asas pembuatan keputusan masih berfokuskan kepada pembinaan bangsa. Apa-apa pun yang diputuskan di peringkat kerajaan, termasuklah bahasa,  memberikan kesan kepada perkembangan pembinaan bangsa. Dalam hal ini, sekiranya tidak ada apa-apa polisi juga merupakan satu polisi kerajaan  itu sendiri. Kerajaan haruslah memberikan  perhatian kepada bahasa. Bahasa merupakan komponen yang penting dalam mendefinisikan identiti atau jati diri bangsa.  Malah kita dapati banyak negara-negara bekas Kesatuan Soviet berusaha untuk mengekalkan bahasa ibunda mereka bagi menjaga kepentingan hak minoriti. Bahasa juga merupakan konsep yang penting bagi menjaga kepentingan masyarakat  asli.   Perjanjian Rom memberikan hak kepada orang-orang Eropah bertutur dalam bahasa ibunda dalam urusan seharian mereka.  

Perancangan taraf Bahasa Melayu telah memberikan tiga aspek penting kepada Bahasa Melayu, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pendidikan. Taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan menyediakan ruang yang cukup luas untuk Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu. Sebagai bahasa ilmu, dua ciri penting yang perlu ada ialah keintelektualan dan kesempurnaan. Bahasa Melayu mempunyai kedua-dua ciri tersebut dan hakikatnya Bahasa Melayu berada pada landasan yang tepat menuju kesempurnaan sebagai bahasa ilmu moden. Ini bersesuaian dengan ketetapan yang diisytiharkan oleh UNESCO berkaitan dengan perancangan bahasa dalam dasar pendidikan masyarakat yang multi bahasa. Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-31 pada Oktober 2001 telah mengisytiharkan satu deklarasi  prinsip yang harus dipatuhi olah anggota-anggotanya, iaitu:
(a)     Menyokong pengajaran dalam bahasa ibunda sebagai kaedah untuk meningkatkan kualiti pendidikan dengan membina pengetahuan pelajar dan pengajar.
  • Pengajaran dalam bahasa ibunda amat penting bagi pendidikan awal kanak-kanak dan seharusnya diperluaskan kepada peringkat pendidikan yang lebih tinggi. Oleh itu, setiap kanak-kanak seharusnya memulakan pendidikan formal dalam bahasa ibunda dan keadaan buta huruf dalam kalangan orang dewasa juga harus dimulai dengan pengajaran dalam bahasa ibunda.
  • Celik huruf hanya dapat dicapai sekiranya ada bekalan bahan bacaan yang mencukupi bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. Oleh itu penghasilan dan penyebaran bahan pengajaran, sumber pembelajaran, dan bahan bacaan yang berkaitan seharusnya dihasilkan dalam bahasa ibunda.
  • Semua perancangan pendidikan seharusnya merangkumi latihan, iltizam  yang tinggi, guru yang cekap dan kompeten serta biasa dengan kehidupan masyarakatnya sendiri agar dapat mengajar dengan baik dalam bahasa ibunda.
(b)     Menyokong pengajaran dalam dwibahasa atau multibahasa pada semua tahap pendidikan sebagai satu kaedah untuk meningkatkan kualiti sosial dan persamaan jantina  dan unsur penting bagi masyarakat yang pelbagai linguistik.
Komunikasi, ekspresi dan keupayaan mendengar dan bertutur seharusnya ditingkatkan, pada awalnya mestilah dalam bahasa ibunda dan kemudian dalam bahasa kebangsaan dan selepas itu baharulah bahasa asing.
(c)     Menyokong bahasa sebagai komponen penting dalam pendidikan antara budaya dalam usaha untuk menggalakkan pemahaman antara kumpulan populasi yang pelbagai bangsa serta menghormati hak-hak fundamental.
  • Hak mendapat pendidikan setiap anggota kumpulan minoriti sebagaimana juga hak bagi penduduk asli perlulah dihormati melalui pelaksanaan hak mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda.
  • Pendidikan seharusnya melahirkan kesedaran tentang nilai positif kepelbagaian budaya dan linguistik.
Masalah kritikal yang dihadapi oleh negara multibangsa ini ialah konflik antara kesetiaan individu terhadap komuniti etniknya berbanding dengan kesetiaan terhadap komuniti yang lebih besar. Persoalan inilah yang perlu difikirkan untuk memudahkan proses pembinaan bangsa.  Masalah ini akan menjadi lebih serius sekiranya kumpulan etnik yang ada terus menerus menggunakan penggunaan bahasa yang pelbagai dan memperlihatkan kesetiaan mereka kepada tradisi linguistik mereka. Kepelbagaian linguistik ini pasti menyebabkan integrasi komunikasi yang rendah sehingga mengakibatkan pemodenan proses yang panjang dan menyulitkan.

Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara Malaysia telah dipertahankan dan diperkembang berdasarkan pelbagai akta dan laporan semula bermula dengan Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961), Akta Bahasa Kebangsaan (1963), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979) dan Akta Pendidikan (1996).  Jawatankuasa Pelajaran Razak merupakan jawatankuasa pendidikan pertama yang dibentuk sesudah negara mencapai taraf kerajaan sendiri pada tahun 1956. Gagasan pendidikan kebangsaan yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut berteraskan matlamat perpaduan, dengan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Penyata Razak (1956: Perenggan 2 mengatakan bahawa ”…usaha menyatukan  budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar (utama) walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan serta merta melainkan dengan beransur-ansur”. 

Perincian dan penegasan gagasan pendidikan kebangsaan itu dimantapkan oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib (1960). Oleh itu jelaslah bahawa selepas kemerdekaan, Bahasa Melayu telah tumbuh dan berkembang dengan pesat seiring dengan pencapaian dalam pembangunan negara khususnya sektor pendidikan. Isunya ialah perubahan dalam dasar pendidikan negara jugalah yang nampaknya “melupakan” hasrat murni dalam Penyata Razak tersebut telah mencorakkan pemikiran masyarakat kita hari ini yang “terlebih sudu daripada kuah”  dalam mengutamakan Bahasa Inggeris. Laporan Razak mengatakan bahawa Bahasa Inggeris ialah bahasa kedua yang wajib diajarkan di sekolah.  Kini, permasalahannya ialah dasar tersebut nampaknya sudah mengalami perubahan apabila Bahasa Inggeris bukanlah lagi bahasa kedua malah bahasa utama bagi mendapatkan  ilmu pengetahuan. Perubahan ini melibatkan satu generasi yang bakal membina sebuah tamadun pada masa akan datang. Penerimaan dasar ini sering dipertikaikan dan memperlihatkan kesan langsung perubahan dasar ini untuk direnung bersama-sama oleh masyarakat  umum, dan  khususnya mereka yang terlibat dalam membuat keputusan dan yang melaksanakannya.

Akta Pendidikan (1996) digunakan untuk menentukan dasar, hala tuju dan garis panduan bagi mengawasi perkembangan pendidikan awam yang berfungsi sebagai pelaburan sosial tetapi berbeza dalam pendidikan swasta dilihat sebagai pelaburan pendidikan. Hashim Musa (1996) mengatakan bahawa cabaran yang paling serius terhadap Bahasa Melayu ialah penubuhan kolej swasta dan separuh swasta dan institusi pengajian tinggi awam yang semuanya bergerak ke arah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dasar pendidikan negara seharusnya menekankan secara menyeluruh dan bersepadu terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.  Walaupun Akta Pendidikan Tinggi Swasta (1996) mengatakan bahawa semua IPTS di negara ini hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tetapi ini bukan jaminan utuh bagi pemerkasaan Bahasa Melayu. Akta yang sama juga memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk membenarkan IPTS menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Penyata Razak (1956) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Cadangan untuk mengetepikan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah swasta tidak harus diterima.  Sistem pendidikan kebangsaan berhasrat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang multibahasa ke dalam satu kelompok melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan haruslah diteruskan. Lebih mencabar lagi apabila perbadanan gergasi seperti PETRONAS, Syarikat Telekom Bhd., dan Tenaga Nasional masing-masing menubuhkan Universiti PETRONAS, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Kesemua universiti ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Sikap membelakangkan Bahasa Melayu ini seolah-olah dimaafkan demi kepentingan negara  agar berada sama taraf dengan negara-negara barat dalam era globalisasi. Kita tidak seharusnya meminggirkan Bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dunia. Negara Jepun dan Cina masih lagi terkehadapan di Asia sebagai pusat pendidikan dunia walaupun bahasa utamanya ialah bahasa ibunda mereka.

Namun demikian, hasrat untuk mengukuhkan Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang paling getir apabila munculnya idea pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah dibentangkan dalam perjumpaan kabinet pada 17 April 2002. Ini  diikuti pula dengan cadangan oleh Kementerian Pendidikan menyemak semula Kurikulum Baharu Bersepadu untuk memberikan ruang bagi pengajaran Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik yang dilaksanakan bagi murid tahun satu, pelajar tingkatan satu dan pelajar tingkatan enam rendah pada tahun 2003. Alasan yang diberikan ialah pelajar masih tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, walaupun telah diberikan peluang pemelajaran selama lebih kurang 11 tahun dalam alam persekolahan rendah dan menengah. Sekiranya Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, maka ini dikira bercanggah dengan apa yang termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara. 

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada 8 November 2006  telah membuat ketetapan meminta kerajaan supaya tidak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah  demi mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu pada tempat yang sewajarnya, sebagaimana termaktub dalam Laporan Razak (1956). Apa yang kurang diberikan perhatian ialah penguasaan Bahasa Inggeris itu sendiri memang lemah dari segi penyediaan kurikulum, kemahiran pengajaran, dan pelaksanaan strategi menyebabkan kemerosotan yang begitu ketara dalam  pelajar. Namun begitu Bahasa Melayu tidak perlu ”dihukum” apabila menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik yang telah berjaya ditangani dengan baik sekali selama ini dalam Bahasa Melayu. Sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti telah berjaya melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya menjelang 1983.  Anjakan dasar pendidikan terhadap Bahasa Melayu kelak akan merugikan bangsa Melayu sendiri. Apa yang perlu dilakukan ialah menjalankan kajian semula terhadap kaedah pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Pengalaman penulis sendiri apabila membuat kajian di sekolah di sekitar Petaling Jaya mendapati bahasa penguasaan tulisan pelajar dalam Bahasa Inggeris begitu tinggi sekali. Masalah yang timbul ialah kemahiran komunikasi mereka dalam bahasa tersebut. Pokok persoalan inilah yang harus ditangani dengan berhemat. Kita mempunyai tokoh-tokoh akademik yang boleh menjalankan kajian ini dan menyarankan langkah-langkah yang berkesan mengatasi masalah ini, tanpa mengorbankan Bahasa Melayu.  

Awang Sariyan (2002) mengatakan bahawa pendekatan, kaedah dan prinsip mempelajari Bahasa Inggeris perlu dipertingkat seperti membaiki kaedah pengajaran bahasa itu di institusi pendidikan yang ternyata tidak mencapai matlamatnya dan kegagalan sesuatu mata pelajaran tidak seharusnya membabitkan subjek lain. Kementerian Pendidikan perlu menambah kemudahan bahan bantu pengajaran Bahasa Inggeris, termasuk penggunaan teknologi terkini, selain menyelia atau menambah serta membaiki kemudahan makmal bahasa. Pembudayaan sains dan teknologi dalam Bahasa Melayu memerlukan keyakinan, iltizam dan usaha bersungguh-sungguh serta berterusan semua pihak. Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman, Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan bahasa maju yang lain terbina dalam tempoh yang cukup lama; sebaliknya, Bahasa Melayu telah berjaya dibangunkan sebagai bahasa sains dan teknologi serta mencapai kemajuan seperti sekarang ini dalam tempoh kira-kira 49 tahun sahaja.    

Kita sedia maklum bahawa falsafah pendidikan negara dihasilkan dalam usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara. Dasar Pendidikan Negara mempunyai matlamat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu dasar pendidikan negara seharusnya menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan  dalam kalangan pelajar. Keperluan ini bukan sahaja pada peringkat sekolah kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam tetapi juga perlulah diperluaskan ke peringkat sekolah swasta dan institusi pengajian tinggi swasta. Bahasa Melayu dapat dijadikan alat perpaduan  kerana pelajar berinteraksi dengan mudah serta dapat berbincang menggunakan satu bahasa yang difahami oleh semua golongan bangsa. Mereka dapat menyampaikan pendapat dengan mudah dan keadaan ini akan mewujudkan sikap saling memahami dan melahirkan semangat perpaduan yang kukuh. Bahasa dan pendidikan merupakan dua unsur yang penting dalam pembangunan sesebuah negara. Peminggiran Bahasa Melayu dalam dunia pendidikan seharusnya tidak berlaku kerana hal ini jelas sekali bertentangan dengan perlembagaan negara. Oleh itu, semua pihak yang berwajib dan rakyat Malaysia seharusnya berkerjasama bagi mengekalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan