KEMAMPUAN BAHASA MELAYU MENYAMPAIKAN PELBAGAI ILMU

Sekiranya anda bertanya saya adakah bahasa Melayu mampu menyampai pelbagai ilmu; jawapan saya "Sudah tentu". Sejak kita merdeka, hampir 51 tahun dan sejak lebih 25 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolahsekolah, negara telah dapat menghasilkan ratusan, malahan ribuan pakar,sarjana, doktor, arkitek, pakar sains dan lain-lain melalui sistem prasekolah atau pendidikan yang sedia ada, yakni aliran kebangsaan. Keadaan ini dapat dijelmakan kerana bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa lain (seperti Jepun, Korea, Jerman, China, Inggeris dan lain-lain) di dalam semua bidang dan digunakan di institusi pengajian tinggi.
 
Bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyatakan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Ini telah terbukti sejak sekian lama. Melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat di kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga ikut turut stabil. Ini adalah berkat bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan sejak awal tahun 70-an.
 
Bahasa Melayu juga telah memperkasa anak bumiputera di dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi dan sekali gus dapat melahirkan golongan kelas menengah di kalangan bumiputera yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara. Bahasa yang dahulunya hanya berperanan sebagai "lingua franca" dan juga bahasa "kelas kedua", akhirnya telah menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahasa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Maka, bagi memastikan semangat dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu, usaha promosi harus dipergiat dari semasa ke semasa.


KEMAMPUAN MENYATAKAN PELBAGAI TOPIK DAN MEMAHAMI PELBAGAI BANGSA DI DUNIA

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, misalnya, telah membawa satu dimensi baru di dalam arena kebahasaan. Bahasa Melayu, misalnya, telah digunakan secara meluas di China (diajar di China Foreign Studies University, Beijing) sebagai bahasa komunikasi. Dengan usaha yang telah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam merealisasikan jalinan hubungan bahasa dan kesusasteraan Melayu ke peringkat antarabangsa telah membuktikan kepada kita bahasa Melayu mampu untuk menyatakan pelbagai topik dan memahamkan pelbagai bangsa di dunia. Ini sesuai dengan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang penting di dunia melalui pelbagai rangkaian kerjasama secara 'institutional' dan rasmi.
 
Contohnya, kerjasama dengan Beijing Foreign Studies University dan lain universiti seperti University Peking dan Institut Penyiaran Beijing adalah antara usaha-usaha yang boleh diteruskan bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan boleh membuktikan bahasa Melayu mudah difahami dan mampu menyatakan pelbagai topik. Perasmian Pusat Bahasa Melayu (PBM) di Beijing telah mencetus satu era baru di dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dunia. Kemampuan bahasa Melayu menyatakan pelbagai topik dan mudah difahami ini telah menimbulkan minat di kalangan pelajar China untuk mempelajari bahasa Melayu kerana mereka menyedari bahawa bahasa Melayu bakal menjadi bahasa yang penting sebagai alat komunikasi dan kajian peradaban di dunia Melayu.
 
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi telah diperluaskan di dalam pendidikan di mana badan-badan pembinaan dan pengembangan bahasa dan institusi pengajian tinggi telah memainkan peranan yang penting bagi meningkatkan mutu bahasa dan pengembangan penggunaannya di dalam pelbagai bidang. Penyelidikan korpus dan pelbagai aspek bahasa, penyeragaman ejaan rumi, pembentukan istilah sains dan teknologi dan penerbitan telah dijalankan bagi memantapkan aspek-aspek bahasa agar ianya mudah difahami oleh setiap penutur dan pengguna bahasa tersebut. Di dalam bidang pendidikan, bahasa Melayu menjadi bahasa utama untuk berkomunikasi. Hal ini adalah kerana bahasa Melayu dapat menyampaikan pelbagai topik .


BAGAIMANA BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU BOLEH TERCAPAI

Menurut Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting: keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Melalui keintelektualan, bahasa tersebut mestilah mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran yang berkesan dan tepat yakni mampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa melalui pelbagai rintangan. Beliau juga mengatakan bahawa, kemuncak pencapaian taraf keintelektualan bahasa tersebut mesti sudah berada di dalam suasana 'saintifik' yang boleh menganalisis bahasa secara tepat yang mencerminkan kejelasan pemikiran yang logik.

Keintelektualan bahasa dicapai melalui perbendaharaan kata dan melalui sistem tatabahasa. Keintelektualan perbendaharaan kata boleh dicapai melalui dua cara, iaitu:
i.  Pengembangan perbendaharaan kata (lexical development ) dengan menambah istilah baru, yang bersifat khusus dan kadangkala sukar difahami.
ii.  Melalui penukaran bentuk dan corak perbendaharaan kata iaitu dengan memberi pengertian khusus atau tertentu kepada perkataan tertentu yang berbeza dengan penggunaan biasa; perkataan baru mesti bersifat tepat, spesifik dan abstrak.

Kesempurnaan bahasa pula bermaksud satu bahasa yang akan berfungsi sebagai bahasa ilmiah harus mempunyai sistem dan peraturan bahasa yang lengkap yakni mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan. Kestabilan bermaksud sesuatu bahasa itu mesti lah mempunyai peraturan-peraturan atau sistem, contohnya peraturan sebutan, peraturan memakai imbuhan, peraturan menggunakan frasa atau ayat, di samping mempunyai sistem atau cara membentuk kata atau istilah-istilah. Tanpa peraturan ini, kestabilan bahasa tidak mungkin tercapai. Bersifat luntur pula bermaksud bahasa itu boleh menerima pembaharuan yang berlaku di dalam bahasa-bahasa lain. Misalnya, penggunaan imbuhan pinjaman (pro-, anti-, -isme, is-), penggunaan istilah baru dan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris dan Arab. Sifat keterbukaan ini membolehkan bahasa Melayu berfungsi dengan sempurna sebagai bahasa ilmu di dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

Sifat kepelbagaian di dalam bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa ilmu pula bermaksud mempunyai pelbagai cara untuk menyatakan pelbagai peristiwa, perasaan atau pemikiran untuk mendapatkan kesan-kesan yang berbeza. Contohnya, untuk meminta seseorang itu membuka 'suis angin' kerana hawa di dalam bilik itu panas, boleh disampaikan dengan pelbagai gaya atau cara seperti:

i.    Berpeluh pula badan. Panas rasanya sekarang!
ii.   Panas sungguh malam ini.
iii.  Tolong pasangkan kipas angin. Saya rasa panas.
iv.  Bilik ini patut dipasang dengan alat pendingin udara. Memang tidak sesuai pakai baju jenis ini. Panas rasanya.

Sifat keberkesanan pula bermaksud yang sempurna itu mempunyai keupayaan memberikan maksud dengan tepat dan berkesan. Antara ciri-cirinya ialah, bahasa itu mestilah mempunyai perkataan, istilah, frasa dan ayat yang boleh digunakan untuk menyemai maksud dengan tepat tanpa menimbulkankeraguan, kekeliruan dan kekaburan erti. Pada masa kini juga terdapat banyak buku ilmiah sama ada di dalam bidang teknologi mahupun sains yang digunakan sebagai rujukan di pusat pengajian tinggi atau universiti. Bahasa yang sempurna juga mestilah mempunyai keindahan bahasa yakni boleh melahirkan buah fikiran, pendapat ataupun kenyataan dengan bahasa yang indah dan sedap didengar serta mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi. Nilai estetika ini dapat kita lihat melalui puisi tradisional mahupun puisi moden seperti pantun, syair, gurindam dan sajak. Antara contoh keindahan bahasa dapat dilihat melalui bait-pait puisi di bawah:

1. Tanjung Katong airnya biru,
    Tempat orang bermandi manda,
    Sedang sekampung lagikan rindu,
    Inikan pula jauh di mata.

2. Apa guna berkain batik,
    Kalau tidak dengan sujinya,
    Apa guna beristeri cantik,
    Kalau tidak dengan budinya.

3. Barang siap tiada memegang agama,
    Sekali-kali tiada boleh dibilang nama.

4. Burung kedidi terbang ke hutan,
    Gugur bulunya di ranting sena,
    Ranting patah menimpa budak,
    Jangan menjadi rambutan jantan,
    Orang berbunga awak berbunga,
    Orang berbuah awak tidak.

(Dipetik daripada A. Halim Ali (2006), Mendekati Puisi Melayu Tradisional.
Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris)


Sebenarnya, hasil daripada kerjasama pelbagai pihak boleh membuahkan buku ilmiah yang dapat digunakan di sekolah rendah, menengah, institut perguruan dan universiti. Peranan utama dimainkan oleh DBP sejak tertubuhnya institusi tersebut pada tahun 1956 dan hingga sekarang isu buku rujukan bagi sekolah rendah dan menengah sudah dapat diselesaikan. Di samping itu, pihak kerajaan juga telah memainkan peranan yang penting di dalam kemajuan menuju ke arah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pihak kerajaan telah memberi bantuan kewangan yang amat banyak di dalam hal ini dan pelbagai aktiviti disediakan untuk pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Bahasa ilmu boleh ditakrifkan sebagai bahasa yang mempunyai ciri-ciri formal dan dapat mengungkapkan sesuatu konsep dan pemprosesan ilmu. Jadi, adakah Bahasa Melayu berkemampuan menjadi bahasa ilmu yang boleh digunakan di dalam pelbagai bidang ilmiah atau ilmu pengetahuan? Melalui sejarah kita boleh menjejak laluan bahasa Melayu hingga ia menjadi bahasa pengantar dan bahasa yang digunakan untuk mengajar pelbagai bidang ilmu, termasuk sains dan teknologi.
 
Melihat dari segi sejarah, bahasa Melayu di rantau ini pernah digunakan di dalam peradaban tinggi, di dalam istana dan di kota-kota di mana bahasa itu tersebar. Bahasa Melayu juga telah lama digunakan untuk mengungkapkan konsep-konsep dan proses-proses yang tinggi serta kompleks, terutama sekali di dalam bidang agama, falsafah, sastera dan budaya. Setelah tiga puluh tahun dirancang dengan begitu rapi, perkembangan yang positif di dalam penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat di dalam bidang ilmiah. Penggunaan bahasa Melayu di dalam bidang sains sosial telah lama wujud, malahan lebih awal daripada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Srivijaya, Acheh dan Melaka. Malahan di dalam sejarah yang mutakhir, pusat kebudayaan seperti Pulau Pinang telah banyak menghasilkan buku untuk institusi pengajian tinggi dan akhbar diterbitkan. Bahasa Melayu telah digunakan dengan banyaknya di dalam konteks agama, sastera dan budaya.
 
Ukuran kejayaannya tidak mudah dapat difahami kerana penggunaannya terhad kepada bidang-bidang itu sahaja dan tidak pernah dikembangkan ke bidang-bidang lain. Oleh itu, usaha menggunakan bahasa Melayu di dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan ini juga adalah jauh lebih mudah kerana bahasa tersebut telah lama digunakan untuk tujuan ini, walaupun tidak abstrak dan sukar berbanding dengan sains dan teknologi. Bahasa Melayu ilmiah ini dapat dilihat melalui beberapa ciri umum iaitu peristilahan, tatabahasa, laras
dan lain-lain.
 
Berikut diperturunkan senarai istilah kosa kata bahasa Melayu ilmiah yang banyak bilangannya dan khusus sifatnya. Kamus Dewan yang diterbitkan padatahun 1970, iaitu edisi kedua tahun 1980, hanya berupaya mencipta 28,000 kata masukan, tetapi istilah yang sudah dicipta oleh DBP setakat ini , untuk semua bidang telah mencapai 477,300 (Berita Peristilahan, Mei 1986). Setiap satu bidang ilmu terdapat sejumlah peristilahannya sendiri dan mempunyai maknanya yang tersendiri pula.
 
Di dalam hal penciptaan istilah ternyata bahawa istilah, walaupun banyak iaitu berjumlah 487,249 dan meliputi 36 bidang, namun kerja-kerja menokok tambah jumlah istilah terus berjalan. Usaha membina istilah baru telah bermula sejak 1957 lagi dan jumlah di bawah merupakan senarai beberapa bidang yang dikumpulkan sejak tarikh tersebut.
i.    Jawatan dan jabatan 1964 (5,034 istilah)
ii.   Pentadbiran , 1962 (6,074 istilah )
iii.  Ekonomi , 1965/1979 (6,421 istilah)
iv.  Pendidikan, 1966/ 81 (15,308 istilah)
v.  Geografi , 1967/76/81 (18,148 istilah)
vi.  Linguistik, 1975 (3,500 istilah)
vii. Sejarah, 1973/83 (14,322 istilah)
viii. Muzik, 1974 (4,969 istilah )
ix.  Seni Lukis 1974 (6,348 istilah)
x.   Biologi, 1980/1981 (13,000 istilah )
xi.  Kejuteraan Pengajian Tinggi , 1986 (33,341 istilah)
xii. Kimia Pengajian Tinggi, 1986 (20,3000 istilah)

Daripada senarai yang diberi di atas bolehlah kita mengandaikan hingga kini, telah banyak istilah baru masuk ke pangkuan bahasa Melayu dan atas dasar itu bahasa Melayu memang layak menjadi bahasa ilmu.
Bahasa Melayu ilmiah sekarang menampung kemasukan Latin dan Yunani yang dipinjam melalui bahasa Inggeris. Jika dilihat jumlah imbuhan di dalam bahasa Melayu (22 buah semuanya) maka kita menyetujui dan mengerti bahawa bilangan imbuhan yang sedikit ini tentu sekali tidak dapat menampung banyak fungsi keseluruhan di dalam bahasa Melayu. Bilangan imbuhan yang sedikit ini menampung pelbagai fungsi, misalnya [ter-] yang menunjukkan 'tidak sengaja' itu dipakai di dalam 'terserapkan, terbalikkan', untuk membawa maksud boleh. Jika dilihat Âmaksud negatifÊ imbuhan berikut digunakan di dalam bahasa Inggeris [ a-, in-, un-, ab, an- , ir- , non- ], semuanya menunjukkan penafian. Di dalam bahasa Melayu hanya terdapat dua jenis negatif, itu 'bukan dan tidak', jadi mudah apabila hendak digunakan di dalam ayat.

Dewasa ini, kosa kata di dalam bahasa Melayu ilmiah sudah bertambah banyak dan khusus sifatnya. Kita tidak mengetahui semua istilah untuk menulis atau bertutur, tetapi perlu mengetahui bidang pengkhususan kita. Misalnya, kalau bidang saya linguistik, saya hanya menumpukan dan memberi perhatian kepada istilah linguistik sahaja, tidak yang lain. Untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa ilmu di dalam bidang ilmu atau
ilmiah, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak kurang aktif di dalam hal ini. Peranan Dewan patut diberi pujian. Setakat ini DBP sudah berjaya menyelesaikan dan memenuhi permintaan buku-buku teks bagi sekolah-sekolah rendah dan menengah serta pra-universiti. Buku-buku teks untuk institusi pengajian tinggi juga sudah berjalan dengan lancar. Terdapat dua langkah yang dibuat di dalam hal ini: bantuan tenaga pengajar daripada institusi pengajian tinggi dan menerbitkan karya-karya asal untuk diterbitkan bagi keperluan institusi pengajian tinggi.
 
Untuk menyelesaikan masalah di atas, DBP dengan sokongan akademik di universiti tempatan telah bekerjasama untuk mengenal buku teks yang diperlukan di universiti dan yang ditulis di dalam bahasa Inggeris. Setelah buku teks ini dikenal pasti, buku-buku tersebut boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk keperluan mereka. Kedua, DBP juga menerbitkan karya asal dan hingga kini telah menghasilkan 700 buah buku untuk digunakan di institusi pengajian tinggi. Buku ini meliputi semua bidang.
 
Di dalam usaha ke arah penerbitan buku teks untuk institusi pengajian tinggi, memang mudah menerbitkan buku-buku di dalam bidang sains sosial dan bahasa dan kesusasteraan; hingga kini DBP telah menghasilkan lebih 500 buah buku di dalam pelbagai topik: novel, kritikan sastera, antologi cerpen dan sajak serta buku-buku prosiding mengenai bahasa dan kesusasteraan.

BAGAIMANA BAHASA MENYATUPADUKAN RAKYAT

Selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa pengantar utama bagi semua peringkat prasekolah dan pengajian. Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Menengah adalah memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meluas sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Pelajar-pelajar bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras dengan fungsinya sebagai bahasa perpaduan rakyat, perhubungan utama, dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi rakyat.
 
Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah yang meliputi Tingkatan 1 hingga 5 akan terus meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di kalangan pelajar remaja dan memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa di dalam pelbagai situasi, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah. Pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah juga menanam kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan. Pemupukan semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia diberi penekanan di dalam pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah agar pelajar-pelajar membina semangat rasa bangga dan cinta akan tanah air di dalam satu wawasan budaya yang dihasratkan.

Di samping itu juga, bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja di dalam memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Selain itu juga, pendidikan sebagai alat yang digunakan untuk perpaduan antara kaum jelas dinyatakan di dalam Penyata Razak 1956. Oleh itu, apabila pendidikan dianggap sebagai alat secara automatiknya, bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan boleh mengambil bahagian di dalam isu menyatupadukan rakyat kerana bahasa Melayu itu digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar di pelbagai bidang.

Aspek penting untuk menyatupadukan rakyat mengikut fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah melalui pendidikan. Sesungguhnya pendidikan hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara di dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidikan hari ini telah membuktikan bahawa negara berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Perpaduan rakyat atau pembentukan satu negara bangsa dapat dicapai melalui sistem pendidikan. Oleh itu, perpaduan rakyat dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama laintidak mengira bangsa dan agama. Secara faktanya, sejarah tidak menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan cerdik pandai menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Selain itu, penyatupaduan rakyat dapat mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan kerana sistem persekolahan yang berbeza-beza mempunyai haluan masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti bangsa. Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Cadangan itu dikenali sebagai Penyata Razak.
 
Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Selain itu, bahasa Melayu juga dapat membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatupaduan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni; seperti yang tercatat di dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
 
Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk telah mewujudkan masalah polarisasi kaum terutamanya di kalangan pelajar. Masalah polarisasi kaum di kalangan pelajar, jika tidak dibendung akan menimbulkan implikasi yang kurang sihat terhadap negara. Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Pemisahan kaum antara pelajar-pelajar boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan. Para pelajar tentu sukar bekerjasama untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran mereka, jika setiap kaum mengutamakan bangsa sendiri. Hal ini akan menimbulkan pula prasangka dan salah faham yang pasti merenggangkan hubungan pelajar. Antara faktor yang menimbulkan situasi tersebut ialah perbezaan kebudayaan dan corak hidup, di samping mengamalkan dan menganuti kepercayaan yang berbeza dan bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.
 
Sesungguhnya gejala tidak sihat ini perlu dihapuskan demi perpaduan dan masa depan negara. Para pelajar perlu digalakkan berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlain bangsa dan kaum. Benih-benih perpaduan perlu disemai di dalam jiwa pelajar semasa berada di bangku sekolah. Selain daripada itu, penyatupaduan rakyat di negara ini dapat dilaksanakan melalui aktiviti kelab dan persatuan Bahasa Melayu di mana pelajar atau orangramai dapat berinteraksi di antara satu sama lain di dalam komuniti tersebut. Mereka juga dapat berpeluang memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama dan semangat kekitaan. Aktiviti seperti minggu bahasa kebangsaan, majlis deklamasi sajak, berbalas pantun, syarahan dan pidato antara kaum dan antara pelajar boleh meningkatkan perpaduan sesama mereka. Semua aktiviti ini harus melibatkan semua kaum yang ada di negara ini.

SEJARAH BAHASA PERPADUAN

Ketika penjajahan, pendidikan sebelum merdeka, sistem persekolahan yang diamalkan adalah dasar 'pecah dan perintah'. Kerajaan British mengamalkan dasar 'laissez-faire' dengan membiarkan setiap sistem persekolahan itu berkembang mengikut haluan masing-masing. Kesannya telah wujud empat sistem persekolahan yang berbeza di negara kita pada masa itu. Hala ini menyebabkan jurang ekonomi dan sosial yang semakin ketara di kalangan rakyat yang berbilang kaum. Kaum Melayu dengan sekolah pondoknya dan
sekolah rendahnya , yang bersifat tradisional, memperlihatkan mutu pendidikan yang mat terbatas dan sekolah-sekolah Melayu didirikan atas daya inisiatif perseorangan. Manakala kaum Cina dengan sekolah Cina, yang diusahakan oleh sukarelawan Cina, sedangkan sekolah Tamil pula diuruskan oleh kaum India, manakala sekolah Inggeris diberi keutamaan, duduk di tangga teratas dan ada yang dikendalikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian.

Ada teori politik yang mengatakan apabila sesebuah negara bekas tanak jajahan mempunyai banyak bahasa peribumi, jalan yang paling selamat untuk menyatupadukan semua rakyat ialah memilih bahasa bekas penjajah sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar sistem pendidikannya, kerana dengan mengambil bahasa asing tidak ada mana- mana pihak yang berasa bahasanya teraniaya, meskipun apa yang mereka tidak sedari ialah semua bahasa peribumi mereka adalah teraniaya oleh bahasa asing tersebut, tetapi pada mereka itu tidak
menjadi hal.
 
Teori ini sudah dicuba dan masih dicuba di India, Filipina, Nigeria, Kenya, Ghana dan lain-lain. Ternyata, selepas setengah abad teori itu diuji, yang ada hanyalah bukti-bukti negatif. Jauh daripada bersatu padu, India makin berpecah belah dan melahirkan Pakistan; dan Pakistan pula kemudiannya melahirkan Bangladesh. Kini Kashmir dan Punjab menuntut kebebasan. Keadaan di negara lain tidak jauh bezanya. Di sebaliknya pula, negara yang menggunakan bahasa peribumi hidup subur dan berkembang di dalam semua aspek. Contohnya, Jepun, Korea, China, Thailand dan sebagainya.
 
Bandingkan keadaan ini dengan Indonesia yang menguji teori lain iaitu, apabila terdapat 1,485 bahasa dan bahasa tersebut pula tersebar di 23,000 buah pulau, bahasa yang dapat menyatupadukan seluruh rakyat negara tersebut ialah daripada kumpulan peribumi yang terkecil, yakni bahasa Melayu. Maka di Indonesia, dipilih bahasa yang dituturkan oleh suatu kaum yang tinggal sepanjang Sungai Jambi di Sumatera, yang jumlahnya tidak lebih daripada dua ratus ribu orang. Bahasa mereka dikenali sebagai bahasa Melayu dan kemudian dinamakan bahasa Indonesia. Seolah-olah ia memiliki kuasa sakti kerana ia mampu menggenggam puluhan ribu pulau dan ribuan suku kaum yang menjadi satu kesatuan negara dan bangsa.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PERPADUAN

Perpaduan atau solidariti dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Di samping itu juga, menurut Kamus Dewan (1994), perpaduan ditakrifkan sebagai penggabungan, pelaburan persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Di dalam erti kata yang lain, perpaduan dapat diertikan
sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja di kalangan dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.
 
Oleh itu pengertian bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat diertikan sebagai bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain) yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di dalam sesebuah negara. Bahasa adalah suatu keseluruhan, suatu prinsip klasifikasi dengan sesuatu yang dikuasai dan bersifat konvensional yang seharusnya terkebawah daripada naluri semula jadi. Whitney (1998), berpendapat bahasa adalah salah satu institusi sosial dan menganggap bahawa kita menggunakan alat ujaran sebagai wadah bahasa hanyalah secara kebetulan sahaja, untuk kesenangan sahaja: manusia boleh sahaja memilih bahasa isyarat dan lambang tampak dan bukan lambang
'akuistik'.