KONSEP PENTING TATABAHASA DALAM KBSR DAN KBSM

Morfologi
Untuk pengetahuan anda, dalam morfologi, morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata tersebut terdiri daripada satu unit atau satu morfem. Misalnya minum. Minum tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata diminum boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di dan minum. Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.

Jenis Morfem
Morfem dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat (imbuhan)

Morfem Bebas
- boleh berdiri sendiri contohnya: minum, cuti, sekolah dan periksa
- mempunyai maksud sendiri

Morfem Terikat / Imbuhan
- bentuk imbuhan iaitu mem, per, kan, ber.....
- tidak mempunyai makna tetapi mengandungi fungsi tatabahasa atau nahi yang boleh mengubah makna sesuatu kata seterusnya makna ayat.

TEORI HURAIAN BAHASA

Apakah maksud teori huraian bahasa? Teori bahasa ialah pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang bahasa. Oleh yang demikian, kita dapat memahami teori huraian bahasa sebagai pendapat yang memerihalkan teori dalam bahasa, iaitu pandangan atau pemikiran tokoh-tokoh tentang huraian
bahasa.

Terdapat empat aliran pemikiran teori huraian bahasa, iaitu;

(a) Teori Tradisional (Panini)
Teori Tradisional oleh Panini (ahli tokoh fonetik India) menganggap bahawa bahasa ialah ucapan fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara. Selain itu, ciri nahu teori ini mementingkan bahasa tulisan. Dalam hubungan ini, semua bahasa mempunyai peraturan yang sama dengan bahasa Yunani. Di samping itu, semua penutur diwajibkan untuk mematuhi peraturan dan kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan.

(b) Teori Struktural (Bloomfield)

Teori ini dipelopori oleh Bloomfield, Edward Sapir, de Saussure dan Otto Jespersen. Mereka berpendapat
bahawa bahasa ialah sistematis, mempunyai tatabahasa yang tersendiri, hidup dan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa perkaitan antara fonem sebagai unit bahasa yang terkecil, dan unit tatabahasa dan ayat dapat dianalisis secara konstituen terdekat. Dalam kajian nahu pula mereka berpendapat bahawa bahasa sebagai sistem yang mempunyai ciri peraturan, sistem, arbitari untuk perhubungan. Mereka menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Golongan struktural juga berpendapat bahawa huraian bahasa dilakukan secara induktif. Mereka juga berpendapat bahawa huraian bahasa tidak mementingkan makna dan analisis dibuat secara luaran.
Leonard Bloomfield

(c) Teori Transformasi Generatif (Chomsky)

Teori yang dipelopori oleh Noam Chomsky ini bersetuju bahawa manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Penutur natif berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang baharu. Daripada kebolehan ini, akan terbentuklah rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap berdasarkan bahasa pertama terlebih dahulu. Binaan ayat biasanya mempunyai hubungan erat antara elemen dan menggunakan simbol atau rumus untuk menganalisis nahu. Sesuatu binaan ayat dapat dihuraikan dengan memahami stuktur luaran dan stuktur dalaman.

Noam Chomsky

(d) Teori Fungsional (Halliday)

Halliday dan Wilkins mempelopori teori fungsional. Teori ini berkembang pada tahun 1960- an dan 1970-an. Penteori ini mengkaji bahasa dari segi struktur dan fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Di samping itu, mereka menganggap bahawa bahasa sebagai alat pertuturan. Oleh hal yang demikian, dapatan mereka ini mementingkan aspek semantik. Mereka bersetuju bahawa kewujudan variasi dalam penggunaan bahasa tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur. Golongan ini beranggapan bahawa pengukuhan bahasa adalah secara verbal dan non-verbal. Aliran dan golongan ini bukan sahaja mengkaji bahasa daripada segi struktur tetapi memberi perhatian juga kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.

Halliday

KEDUDUKAN PSIKOLINGUISTIK DALAM KAJIAN BAHASA

Ahli-ahli bahasa berpendapat bahawa psikolinguistik menduduki tempat yang penting dalam kajian bahasa. Bidang ini banyak membantu menyelesaikan persoalan bahasa. Hal ini sudah lama diakui oleh ahli linguistik dan ahli psikologi kerana mereka sudah lama bekecimpung di dalam bidang ini.

Menurut Mangantar (1987), secara amali disiplin ini cuba menerapkan pengetahuan linguistik dan psikologi terhadap penyelesaian masalah bahasa. Antaranya adalah seperti masalah pengajaran dan pembelajaran termasuk pengajaran bacaan, kedwibahasaan dan multibahasaan, serta penyakit bertutur seperti afasia dan gagap, komunikasi, pemikiran manusia, dialek, pidginisasi dan kreolisasi dan masalah sosial lain yang melibatkan bahasa.

Bidang psikolinguistik muncul berdasarkan kesedaran ahli bahasa bahawa kajian bahasa tidak boleh dilakukan secara persendirian tetapi perlu dilakukan secara kerjasama dengan disiplin lain. Bidang ini telah berkembang dengan pesat kebelakangan ini sehingga dapat melahirkan pelbagai subdisiplin. Rajah1.3 menunjukkan cabang-cabang bidang psikolinguistik.
 
Rajah 1.3: Cabang-cabang Psikolinguistik


Disiplin-disiplin ini telah memberi sumbangan cukup bermakna kepada kemajuan masyarakat secara amnya dan kepada bahasa secara khususnya. Ia juga sudah menjadi salah satu kursus penting yang diajarkan di universiti dan institut perguruan di negara kita memandangkan kepentingan bidang ini.

TEORI PSIKOLINGUISTIK

Apakah itu teori psikolingistik? Bagi sesetengah pelajar perkataan teori agak menakutkan. Namun begitu, teori hanyalah bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Oleh yang demikian kita dapat memahami bahawa teori psikolinguistik adalah sesuatu pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang psikolinguistik. Justeru, teori psikolinguistik dianggap sebagai teori moden yang berdasarkan hasil kajian terbaharu mengenai hakikat kognitif manusia.

Noam Chomsky
Tokoh yang mempelopori teori psikolinguistik ialah Noam Avram Chomsky pada tahun 1957. Tokoh ini
telah membawa revolusi dalam bidang linguistik, khususnya psikolinguistik. Tokoh unggul ini berpendapat bahawa otak manusia dipraprogramkan oleh mekanisme kognitif yang disebut sebagai Peranti Pemerolehan Bahasa atau Language Acquistion Device (LAD). Alat ini telah membolehkan individu untuk menjana ayat gramatis dengan cara sejagat atau bebas budaya. Chomsky telah memperkenalkan beberapa perkara melalui teori kod kognitifnya. Bagi anda yang tidak faham akan maksud kognitif, apa kata luangkan sedikit masa untuk merujuk kamus ataupun pencarian melalui web. Anda juga boleh berbincang dengan tutor untuk
mendapat penjelasan lanjut semasa di kelas.
 
Berbalik kepada teori kod kognitif Chomsky. Menurutnya, setiap manusia yang dilahirkan di dunia sudah ada kecekapan untuk berbahasa apabila sampai waktunya. Potensi berbahasa ini sebenarnya ialah sifat akal, iaitu yang bersifat semula jadi. Dengan yang demikian, akalnya membolehkan seseorang untuk menerbitkan perkataan atau ayat yang tak terkira. Chomsky juga berhujah bahawa peringkat permulaan belajar bukan sahaja terhad kepada operasi rangsangan dan tindak balas, malah proses kognitif turut terlibat dalam proses pembelajaran tersebut. Tanpa peranan kognitif perkembangan bahasa terbatas pada hal yang dialami sahaja.

Seterusnya, beliau berpendapat bahawa bahasa bersifat kreatif. Penghasilan sesuatu bahasa itu tidak terbatas kepada objek dan peristiwa atau pengalaman yang dapat digarap oleh perilaku semata-mata. Ujar beliau, semua komponen bahasa berkembang secara kreatif, mengimbau atau melangkau batasan pengalaman naluri, iaitu rangsangan dan tindak balas. Oleh sebab daya kreativiti itu, maka setiap kalimat seseorang mendengar, bertutur, membaca dan menulis adalah sesuatu yang baharu. Chomsky berpendapat bahawa bahasa yang dipelajari melalui satu set rumus yang digunakan untuk menerbitkan kalimat baharu itu. Di sini beliau memperkenalkan dua istilah seperti berikut:
i.   Kompetens
ii.  Prestasi
 
Chomsky menjelaskan bahawa setiap penutur dan pendengar mempunyai kompetens dan prestasi. Kompetens dapat diertikan sebagai sistem rumus yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas. Dengan kata lain, kompetens ialah pengetahuan penutur mengenai bahasanya. Ia merupakan unsur dalaman dan berada di dalam otak. Sementara prestasi pula dapat diertikan sebagai bunyi-bunyi yang dilafazkan. Bunyi-bunyi ini bermakna dan dapat difahami oleh pendengarnya. Berbaze dengan kompetens ia terletak di bahagian luar otak.

Seterusnya, Chomsky menerangkan bahawa tatabahasa generatif dalam otak diperoleh oleh penutur daripada otaknya sendiri. Ini adalah kerana penutur telah pun mempunyai tatabahasa sejagat yang diperoleh secara semula jadi. Semasa seseorang kanak-kanak itu membesar, dia sudah tentu akan dipengaruhi oleh persekitaran. Setelah berumur lima tahun, kanak-kanak itu akan membentuk tatabahasa generatif dalam otaknya. Dengan menghubungkan tatabahasa sejagat dan pengalaman daripada persekitarannya, kanak-kanak itu akan dapat menghasilkan tatabahasa generatif pada taraf kompetens. Setelah kanak-kanak memperoleh kompetens, dia akan mempunyai prestasi.
 
Kompetens seumpama ini seterusnya menghasilkan prestasi. Kemudian prestasi ini pula akan menghasilkan elemen seperti ayat-ayat yang didengar oleh pendengar, iaitu dari telinga ke dalam otak dan mengulangi pula proses yang sama apabila pendengar bertutur.
 
Teori linguistik Chomsky menekankan bahagian dalam bahasa yang berupa proses mental yang dapat menghasilkan bahasa tanpa perangsang daripada luar. Teori ini memakai skema S-O-R (stimulus-organism-response) yang menganggap bahasa sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu dalam otak dan saraf setelah menerima unsur-unsur dalam bentuk perangsang daripada pancaindera. 

Sehubungan itu, Chomksy telah memperkenalkan teori linguistik yang disebut Nahu Transformasi Generatif (TG). Teori ini menerangkan bahawa kanak-kanak mempunyai LAD yang dibawa sejak lahir yang memungkinkan kanak-kanak itu memperoleh bahasa ibundanya dengan mudah. Dengan adanya LAD, kanakkanak dapat memilih bentuk-bentuk yang diterima dalam bahasa itu, dan 
menolak bentuk-bentuk yang bukan struktur bahasa berkenaan.

MATLAMAT PSIKOLOGUISTIK

Sebelum meneruskan perbincangan, kita haruslah memastikan bahawa kita telah benar-benar memahami konsep psikolinguistik. Ia adalah penting kerana terdapat perkaitan dengan persoalan seterusnya iaitu, mengapakah kita perlu mempelajari bidang ini? Tentunya, ada matlamat dan sebab mempelajarinya. Marilah kita sama-sama meneliti hal tersebut.

Menurut George A. Miller (1965), ilmu psikolinguistik bertujuan untuk menghuraikan proses psikologi yang berlaku ketika orang menggunakan ayat. Beliau pernah menegaskan bahawa kelahiran disiplin ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ahli psikologi sudah lama mengakui bahawa otak manusia itu menerima simbol-simbol linguistik. Manakala ahli linguistik pula telah menerima hakikat bahawa sejenis motor psikososial telah dikenal pasti untuk menggerakkan mesin tatabahasa dan leksikon. Maka, tujuan utama psikolinguistik adalah untuk mencari satu teori bahasa yang munasabah dan unggul daripada segi linguistik dan psikologi, yakni teori yang mampu menerangkan hakikat bahasa dan pemerolehannya. Dengan demikian, psikolinguistik merupakan bidang ilmu yang berminat untuk mengetahui hal yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa.

Seperti yang telah disentuh dalam tajuk lalu, aspek-aspek yang berkaitan dengan perlakuan manusia yang melibatkan bahasa juga menjadi tumpuan dalam kajian bidang psikolinguistik. Adakah anda benar-benar faham tentang hari ini? Sebenarnya, bidang ini berusaha untuk mengenal pasti struktur dan proses yang mendasari kebolehan manusia untuk bercakap dan memahami bahasa. Oleh yang demikian, harus diingat bahawa ilmu psikolinguistik bukanlah bidang yang berminat untuk meneliti interaksi antara manusia, tetapi lebih berminat untuk meneliti hal yang berlaku di dalam diri individu. Selain itu, psikolinguistik juga mengkaji salah satu aspek terpenting dalam disiplin ini, iaitu cara-cara kanak-kanak menguasai bahasa. Oleh sebab skop tumpuan psikolinguistik adalah terhadap pemerolehan bahasa serta pembelajaran dan pengajaran bahasa, maka banyak masalah pemerolehan bahasa dan pengajaran dan pembelajaran dapat diselesaikan melalui kajian psikolinguistik. Persoalan tentang bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa memang merupakan satu persoalan yang sentiasa menjadi bahan perbincangan di kalangan mereka yang berkecimpung dalam bidang psikolinguistik dan pengajaran bahasa. Justeru, sumbangan psikolinguistik dalam pengajaran bahasa amat bernilai tinggi.

Berdasarkan takrif oleh Aitchison (1987), kita dapat membahagikan kajian psikolinguistik kepada empat aspek utama, iaitu:
(a)  Aspek yang berkaitan dengan pemerolehan pengetahuan bahasa pertama atau bahasa ibunda.
(b)  Aspek yang berkaitan dengan proses pemahaman input bahasa.
(c)  Aspek yang berkaitan dengan proses penghasilan output bahasa.
(d)  Aspek yang berkaitan dengan penyimpanan maklumat bahasa atau pengetahuan bahasa.


DEFINISI PSIKOLINGUISTIK

Seterusnya, kita akan meneliti beberapa definisi psikolinguistik untuk memahami bidang ini dengan lebih lanjut lagi. Berikut adalah beberapa definisi utama: Menurut Garnham (1985), psikolinguistik ialah kajian tentang mekanisme mental yang membolehkan manusia menggunakan bahasa. Matthews (1997) berpendapat bahawa bidang ini ialah kajian bahasa dari pada sudut psikologi. Aitchison (1998), pula mendefinisikan psikolinguistik sebagai kajian bahasa dan akal budi.

Mangantar Simanjuntak (1980), mentakrifkan psikolinguistik sebagai cabang linguistik yang bergabung dengan ilmu psikologi untuk menganalisis bahasa dan pertuturan, iaitu proses-proses yang berlaku pada waktu seseorang bertutur dan memahami ayat-ayat yang didengarnya. Oleh yang demikian, boleh kita ertikan bahawa psikolinguistik merupakan disiplin ilmu yang meneliti perkara-perkara yang dikaji dalam ilmu linguistik
dan psikologi. Jadi bidang ini merupakan antara disiplin psikologi dan linguistik. Dengan demikian, disiplin ini kadangkala dikenali juga sebagai psikologi bahasa. Disiplin ilmu ini secara saintifik menganalisis perkara-perkara yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa.

PSIKOLINGUISTIK SEBAGAI SATU DISIPLIN ILMU

Tahukah anda bagaimana disiplin psikolinguistik muncul? Ia muncul kerana ada ahli-ahli linguistik yang menunjukkan minat terhadap bidang psikologi dan ada ahli-ahli psikologi pula yang meminati linguistik. Mereka ini telah merintis jalan untuk melahirkan cabang baharu dalam bidang linguistik, iaitu ilmu psikolinguistik. Pada mulanya bidang ini dikenal sebagai psikologi bahasa. Kerjasama antara kedua-dua golongan ini sudah lama terjalin apabila ahli psikologi dan linguistik mendapati bahawa gabungan teori psikologi dan linguistik boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah bahasa yang dihadapi mereka. Ahli-ahli linguistik dan psikologi seperti Humboldt, Bloomfield, Chomsky, Dewey, Wundt, Watson, Lashley, Osgood dan Caroll telah mempelopori kerjasama ini sehingga lahir bidang baharu ini. Ahli-ahli linguistik dan psikologi ini mendapati bahawa kedua-dua bidang ini ada pertalian rapat antara satu sama lain, selain menunjukkan minat terhadap soal bahasa. Bidang psikolinguistik sebagai suatu disiplin ilmu yang baharu muncul pada tahuntahun akhir 1950an. Hal ini berlaku terutamanya kerana usaha khusus yang diambil oleh Noam Chomsky yang cuba menyediakan iklim untuk menyuburkan  disiplin tersebut.
 
Berikut kita akan mempelajari kronologi beberapa peristiwa yang menyusurgalurkan perkembangan psikolinguistik sehingga bidang ini dapat berdiri dengan sendiri sebagai suatu disiplin ilmu.

Peristiwa

1900 :  
Buku Wilhelm Wundt berjudul Die Sprache menegaskan kepentingan keadaan mental atau akal budi serta kaitannya dengan ujaran dan keadaan dalamannya.

1954 :
Penerbitan makalah "A Survey of Theory and Research Problems" oleh Osgood dan Sebeok telah menimbulkan minat dalam kalangan ahli bahasa di Amerika dan Eropah terhadap disiplin ini.
 
1951 : 
Persidangan di Cornell, Amerika Syarikat telah memulakan kerjasama antara ilmu linguistik dan psikologi.
 
1954 :
Perkataan psikolinguistik pertama kali digunakan oleh Osgood dan Sebeok dalam buku suntingan mereka yang berjudul Psycholinguistics, a survey of theory and research problems.
 
1959 :
Komentar Chomsky terhadap buku Verbal Behaviour, tulisan B. F . Skinner, tokoh yang mempelopori aliran behaviorisme. Dalam komentarnya, Chomsky mengkiritik tulisan Skinner yang menegaskan bahawa pemerolehan bahasa berlaku berdasarkan operasi rangsangan dan tindak balas. Chomsky berpendapat bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara semula jadi kerana manusia sudah ada keupayaan mental untuk
mempelajari bahasa.

1960an :
Ilmu psikolinguistik terpisah daripada bidang linguistik dan menjadi  disiplin ilmu yang tersendiri.

1970an :
Psikolinguistik menjadi sebahagian daripada aliran perdana bidang sains kognitif.
 
Walaupun ahli linguistik dan ahli psikologi masing-masing berhujah bahawa ilmu psikolinguistik termasuk dalam bidangnya, namun bidang ini kini sudah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.