KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Batas pemisah telah diberi untuk memudahkan pemahaman terhadap pembicaraan yang berkaitan dengan sejarah pertumbuhan dan perkembangan Kesusasteraan Melayu. Pembatasan itu membahagikan Kesusasteraan Melayu kepada dua bahagian yang utama, iaitu Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kesusasteraan Melayu Moden. Saya telah membincangkan pelbagai perkara mengenai Kesusasteraan Melayu Tradisional sebelum ini. Kesusasteraan Melayu Moden ditanda oleh karya yang dicetak dengan mesin. Boleh dikatakan bahawa Kesusasteraan Melayu Moden bermula dengan munculnya karya-karya Abdullah Munsyi. 

Latar Belakang
Harus diingat bahawa pembatasan yang disebutkan di atas terus dipertikai hingga hari ini. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya yang membahaskan tentang konsep moden itu mengatakan bahawa Islam yang membawa kemodenan ke Alam Melayu. Sehubungan itu, beliau berpegang teguh kepada kecemerlangan Islam mengubah setiap aspek kehidupan umat Melayu.

Satu daripada perubahan itu berlaku di dalam bidang persuratan. Agama Islam telah memberi sumbangan terpenting ke arah tamadun bangsa Melayu melalui penyebaran ilmu. Oleh demikian, beliau menamakan Hamzah Fansuri sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden berdasarkan ketinggian mutu karya-karya yang beliau hasilkan.

Terpulanglah kepada para pemuka Kesusasteraan Melayu untuk menangani permasalahan ini. Modul ini tidak bertujuan untuk membincang atau membahaskannya. Semua perkara yang terkandung di dalam modul ini diasaskan kepada fakta-fakta yang sedia ada.

Perkara lain yang dijadikan asas kepada kemodenan itu ialah perubahan yang berlaku dalam isi kandungan karya yang dihasilkan. Buat pertama kali karya-karya mengemukakan hal-hal yang berpijak di bumi nyata, meninggalkan kebiasaan-kebiasaan dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional (walaupun tidak semuanya), dan karya sastera boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa pengecualian. Hal-hal yang disebutkan itu akan dibicarakan di dalam bahagian lain topik ini.

Kegiatan serupa itu berlangsung hingga sebelum Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, muncul pengarang-pengarang yang terus menghasilkan karya yang berjejak kepada kenyataan dan dan menyentuh kehidupan masyarakat Melayu secara langsung. Semua hasil sastera telah diterbitkan dengan menggunakan teknologi percetakan.



Saya akan membincangkan aspek yang telah dikemukakan di atas mengikut tahap-tahapnya. Di samping itu, akan disentuh juga sejarah pertumbuhan dan perkembangan sesuatu genre, faktor-faktor yang menggalakkan pertumbuhannya, tokoh penting, dan institusi sastera yang turut menyumbang ke arah memartabatkan sastera tanah air.

1. Zaman Abdullah Munsyi




Tokoh Abdullah Munsyi
Sumber: http://tomhakim.blogspot.com/2007/12/permasalahan-bangsa-pengkhianatan-dan.html

Abdullah Munsyi telah diiktiraf sebagai Pelopor Kesusasteraan Melayu Moden. Gelaran itu diberikan kerana beliau yang memulakan penulisan corak baru yang menyimpang daripada tradisi sebelumnya. Ciri-ciri penulisan beliau ialah:
  1. Tidak lagi berkisar di istana;
  2. Tidak juga mengandungi mitos dan legenda;
  3. Tidak terbina atas khayalan melulu; dan
  4. Telah berhenti mengagung-agungkan golongan istana dan bangsawan.
Abdullah meninggalkan ungkapan-ungkapan tradisional seperti talibun yang sering diulang-ulang untuk melukiskan sesuatu. Beliau juga menggunakan ganti nama diri aku atau ku yang menjelaskan sifat keakuan dan sifat bertanggungjawab terhadap karya yang dihasilkan. Genre-genre baru yang diterokai beliau ialah autobiografi dan memoir. Walau bagaimanapun, masih terdapat ciri-ciri sastera Melayu tradisional dalam karya seperti Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Di samping itu, lenggang-lenggok bahasa yang digunakan oleh beliau masih terikut-ikut dengan bahasa yang terdapat dalam Sejarah Melayu

2. Zaman Sebelum Perang

  1. Prosa Melayu Moden
  2. Asas Kesusasteraan Melayu Moden yang dikarang oleh Abdullah Munsyi menjadi pegangan para pengarang selepas beliau pada tahun-tahun 1860-an dan seterusnya. Pengaruh luar dan teknologi moden telah menyebabkan terhasil dan tersebar karya sastera dalam bahasa Melayu. Pendidikan (tidak kira sistem Barat atau sistem Timur Tengah) telah mempertingkat kadar kenal huruf. Selain itu, pelajar-pelajar Melayu terpengaruh dengan bahan-bahan bacaan dari luar. Hal tersebut telah mendorong mereka yang kreatif melahirkan karya-karya sendiri. Karya-karya yang dimaksudkan itu tersiar dalam akhbar dan majalah yang tumbuh akibat kemasukan teknologi percetakan. Apabila syarikat-syarikat percetakan didirikan, genre-genre sastera seperti novel dicetak dalam bentuk buku. Pada era sebelum Perang Dunia Kedua, lahir akhbar, majalah, novel, cerpen dan sajak. Peranan Akhbar Sebelum Perang Jawi Peranakan (1876), ialah akhbar terawal yang diterbitkan di Singapura. Antara akhbar-akhbar terawal yang telah diterbitkan di Tanah Melayu ialah Sekolah Melayu (1883) dan Bintang Timur (1894). Menjelang tahun-tahun 1900 hingga 1920, muncul akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu, Neracha, dan Lembaga Malaya. Pada dekad seterusnya muncul pula Warta Malaya, Majlis, Warta Ahad, dan Warta Jenaka. Selain berita tempatan dan luar negeri, akhbar juga menyiarkan rencana berbentuk nasihat, politik dan sosioekonomi orang Melayu serta karya sastera seperti cerpen, novel bersiri dan sajak. Antara pengarang-pengarang yang aktif menyumbangkan karya mereka di dalam akhbar pada masa itu ialah Abdul Rahim Kajai, Onn Jaafar, Syed Syeikh al-Hadi, dan Mohd. Eunos Abdullah. Peranan Majalah Sebelum Perang Majalah-majalah yang muncul sebelum Perang Dunia Kedua ialah al-Imam (1906), Pengasuh (1918), dan Majalah Guru (1924). Mengikut urutan, majalah itu diterbitkan di Singapura, Kota Bharu dan Pulau Pinang. Majalah lain yang popular ialah Hiburan, Kencana, Qalam dan Tunas. Kesemua majalah yang disebutkan itu kemudian diterbitkan di Singapura. Majalah al-Imam yang diutarakan oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Mohd. Tahir Jalaluddin dan Haji Abas Mohd. Taha itu menyiarkan rencana berunsur Islam yang mengetengahkan pegangan Kaum Muda dan semangat kebangsaan. Akibat tekanan Kaum Tua, majalah ini diberhentikan penerbitannya pada tahun 1908. Berbeza dengan al-Imam, majalah Pengasuh yang diusahakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dimuatkan dengan karangan pengarang daripada golongan kaum tua. Selain rencana pengetahuan dan pendidikan, Majalah Guru memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan Puisi Melayu Moden. Majalah ini menyiarkan sajak yang ditulis oleh Punggok. Penulis-penulis lain yang turut menyumbangkan karya-karya mereka di dalam majalah ini ialah Harun Aminurrashid, Embong Yahya dan Abdullah Sidek.
 Peranan Golongan Intelek Agama dalam Prosa Melayu Moden Sebelum Perang

Golongan intelek agama di dalam sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden bermaksud penulis yang cerdik pandai agama Islam. Mereka mempunyai latar belakang, pendidikan, kegiatan, penerbitan dan penulisan yang berunsur Islam. Kesemuanya mendapat pendidikan di Timur Tengah. Di sana mereka terdedah kepada gerakan pembaharuan Islah yang dipelopori oleh Syed Syeikh Muhammad Abduh di Kaherah. Di Tanah Melayu, gerakan ini dimulakan oleh Mohd. Tahir bin Jalaluddin al-Azhari manakala di Singapura, Syeikh Mohd. bin Salem al-Khalali yang memulakannya.

Gerakan ini bertujuan untuk menghapuskan pemikiran kuno dan karut. Di samping itu, mereka berusaha meletakkan Al-Qur’an dan Hadis sejajar dengan proses pemodenan. Sehubungan itu, mereka mengajak golongan belia keluar daripada kebudayaan kuning melalui penerbitan majalah agama. 
Perbincangan ini akan bertumpu kepada Kaum Muda kerana mereka berperanan besar dalam pertumbuhan novel sebelum Perang Dunia Kedua

Tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Syed Syeikh al-Hadi, Ahmad Rasyid Talu, dan Haji Ahmad Ismail. Syed Syeikh al-Hadi dengan novel Hikayat Faridah Hanum (1926) digelar sebagai Bapa Penovelan Saduran. Selepas beliau, muncul pula Ahmad Rasyid Talu. Novelis ini ialah orang yang pertama menghasilkan novel Melayu asli. Beliau digelar Bapa Novel Melayu Asli. Novel pertama karangan Ahmad Rasyid Talu ialah Kawan Benar (1927). Tokoh ketiga ialah Haji Ahmad Ismail yang menulis novel Cogan Setia (1929).

Peranan Guru-Guru Sekolah Melayu dalam Prosa Melayu Moden

Selain penulis agama, wujud pula guru sebagai penulis yang memberi sumbangan di dalam bidang penulisan. Penulis guru ialah golongan yang bekerja sebagai guru dan secara sambilan menghasilkan karya sastera. Mereka dilatih di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjong Malim, Perak. Di Maktab itu mereka terdorong untuk menulis kerana kewujudan badan yang bersifat bahasa dan sastera, iaitu Pejabat Karang Mengarang. Mereka menghasilkan karya untuk membawa masyarakat ke arah kemajuan dan mengubah cara berfikir orang Melayu. Kesedaran demikian timbul kerana dipengaruhi idea penulis agama dan karya-karya dari Indonesia.

Tokoh-tokoh penulis guru ialah Harun Muhammad Amin (Harun Aminurrashid), Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nassaruddin, dan Za’ba. Za’ba merupakan orang Melayu yang pertama memperkatakan persuratan Melayu moden di dalam Journal of Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS) seperti Recent Malay Literature (1941).


Tokoh-tokoh Penulis Guru dan Novel Sulung

Tokoh-tokoh Penulis Guru Novel Sulung Tahun
Harun Muhammad Amin(Harun Aminurrashid) Melur Kuala Lumpur 1930
Abdullah Sidek Bercinta yang Tak Berfaedah 1932
Ahmad Bakhtiar Rahsia Seorang Gadis 1936
Ahmad Murad Nassaruddin Nasib Mertua 1937

Peranan Wartawan di dalam Prosa Melayu Moden

Wartawan merupakan golongan profesional yang menggerakkan akhbar dan majalah. Namun demikian, mereka turut berkarya di dalam bentuk kreatif. Mereka menghasilkan novel dan cerpen. Penulis-penulis wartawan yang menabur banyak jasa di dalam bidang persuratan ialah Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, Shamsuddin Salleh, A. Samad Ahmad, dan Raja Mansor. Abdul Rahim Kajai yang digelar Bapa Cerpen Melayu menulis cerpen yang berjudul Awang Putat di dalam Utusan Melayu keluaran 1 dan 7 Oktober 1941. Cerpen-cerpen beliau telah dibukukan dalam bentuk antologi, iaitu:
  1. Banyak Udang Banyak Garam;
  2. Lain Padang Lain Belalang; dan
  3. Pusaka Kajai.
Ishak Haji Muhammad atau dikenali juga sebagai Pak Sako menulis novel dan cerpen. Novel-novel beliau yang terkenal ialah Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila. Cerpen-cerpen beliau termuat dalam Warta Jenaka, Warta Ahad dan Utusan Zaman.

Shamsuddin Salleh memulakan kerjayanya sebagai pengarang cerpen dalam majalah dan akhbar. Walau bagaimanapun, beliau turut menulis novel. Antaranya ialah:
  1. Siasat yang Dahsyat (1936);
  2. Bingkisan Rahsia (1937); dan
  3. Kesetiaan Perempuan (1942).
A. Samad Ahmad menghasilkan dua buah novel sebelum Perang Dunia Kedua. Novel-novel itu ialah Cinta Itu Bahaya dan Setia Itu Jaya. Raja Mansor turut menghasilkan novel. Antaranya ialah Tujuh Kali Beristeri (1935) dan Satu Kali Cium Tiga Kali Tempeleng (1936).


Tokoh Abdul Rahim Kajai dan Tokoh Ishak Haji Muhammad
Sumber: http://syahrilkadir.files.wordpress.com/2008/02/rahimkajai.jpg &
http://mohdfazli.files.wordpress.com/2008/02/180px-paksako1.jpg
 
Selain daripada Abdul Rahim Kajai dan Pak Sako terdapat beberapa orang lagi yang turut menulis cerpen sebelum Perang Dunia Kedua. Mereka ialah Harun Muhammad Amin, Yusuf Arshad, Yusuf Adil, Abdullah Sidek dan Muhammad Yassin Maamur. Kesemuanya merupakan cerpenis golongan guru. Pada hakikatnya, cerpen sebelum perang boleh dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu:
  1. Cerpen tahun-tahun 1920 dan 30-an; dan
  2. Cerpen tahun 1940 hingga 1941
Cerpen bagi kedua-dua peringkat itu disiarkan di dalam majalah dan akhbar. Antara majalah tahun 1920-an ialah Pengasuh, Majalah Guru, Massa dan al-Ikhwan. Akhbar tahun 1930-an termasuklah Warta Ahad, Majlis dan Warta Malaya. Akhbar dan majalah yang terbit pada tahun-tahun 1940-an ialah Utusan Zaman, Lembaga Melayu dan Mastika. Antara cerpen yang disiarkan pada tahun-tahun 1920-an ialah Kebijaksanaan Seorang Lawyer dan Mencari Isteri. Gelombang Hidup, Salah Sendiri dan Hantu Arak ialah contoh-contoh cerpen yang disiarkan pada tahun-tahun 1930-an. Contoh-contoh cerpen tahun 1940-an ialah Dolly Bidadari dari Shanghai dan Rumah Besar Tiang Seribu.
Pada tahun-tahun 1930-an, pementasan bangsawan telah mengalami perubahan. Antaranya apabila bekalan elektrik disediakan oleh penjajah British dan ketika campur tangan guru lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris yang menyediakan skrip bangsawan. Melalui campur tangan tersebut persembahan bangsawan lebih teratur dan sistematik. Perubahan seterusnya berlaku apabila rombongan sandiwara Dardanella dan Suhara Bolero daripada Indonesia datang ke Tanah Melayu. Isi cerita beralih daripada khayalan dan fantasi kepada cerita yang berjejak di bumi nyata.

Walau bagaimanapun, perkembangan drama merosot pada tahun-tahun 1936–1945. Hal ini berlaku kerana rakyat Tanah Melayu menghadapi kesusahan akibat Perang Dunia Kedua.
  1. Puisi Melayu Moden
  2. Puisi Melayu Moden atau sajak dipelopori oleh Punggok. Sajak pertama yang beliau hasilkan berjudul Di Tengah Segara yang disiarkan dalam Majalah Guru keluaran bulan Disember 1933. Tahun-tahun berikutnya muncul beberapa orang penulis yang menyumbangkan sajak mereka di dalam majalah dan akhbar mingguan. Antaranya termasuklah Kasmani Haji Arif, Nata, Danial Din, Mohammad Yusof Awang, Ahmad Din bin Idris, Abu Samah, Mualim, dan Yusof Arshad. Kesemuanya merupakan guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris. Oleh sebab itu, penyair guru memainkan peranan penting dalam penulisan sajak dari tahun 1933 hingga 1941. Sajak-sajak sebelum perang disiarkan di dalam majalah dan akhbar mingguan. Majalah Guru menjadi pelopor dalam penyiaran sajak. Media lain ialah Idaman, Sarjana, Warta Ahad, dan Warta Jenaka

3. Zaman Asas 50

ASAS 50 ialah sebuah persatuan penulis yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950. Nama penuhnya ialah Angkatan Sasterawan 50. Angka 50 diambil sempena tahun kelahirannya. Persatuan yang serupa telah ditubuhkan oleh penulis-penulis Indonesia pada tahun 1945 dan dinamakan Angkatan 45. Idea penubuhan ASAS 50 dizahirkan di rumah Mohd. Arif Ahmad (MAS) di Singapura. Ahli-ahlinya terdiri daripada penulis-penulis yang berhasrat memajukan bahasa dan sastera Melayu. Pada masa itu, Singapura menjadi pusat berkumpul penulis-penulis daripada seluruh Tanah Melayu.

Selain itu, pertubuhan ini bertujuan untuk mempertingkatkan martabat sastera dan budaya melalui penciptaan karya-karya yang mengandungi pemikiran ke arah kemajuan; mengadakan syarahan di dalam bidang itu; menerbitkan karya-karya; menyatukan seluruh kaum penulis; serta menjaga kebajikan dan memberi perlindungan undang-undang kepada para penulis.

Antara kegiatan-kegiatan ASAS 50 adalah mengadakan Kongres Bahasa I, II, dan III. Saranan dan cadangan kongres ini diterbitkan di dalam Memoranda. Kedua, menggalakkan penulisan di dalam lapangan sajak, novel, cerpen, esei, dan kritikan. Cerpen pilihan dimuatkan di dalam kumpulan Mekar dan Segar. Ketiga, mengadakan pertemuan sesama penulis sehingga ke peringkat Asia, misalnya Pertemuan Sasterawan Nusantara 1. Di dalam bidang penulisan, ASAS 50 mempertahankan konsep ‘Seni Untuk Masyarakat’ (SUM). Penggemblengan konsep SUM bertujuan untuk memperjuangkan keadilan dengan mendedahkan segala bentuk ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

Namun demikian, konsep ini ditentang oleh segolongan penulis pimpinan Hamzah. Beliau mempertahankan konsep ‘Seni Untuk Seni’ (SUS). Kumpulan Hamzah yang tidak mempunyai ramai penyokong akhirnya bertindak keluar daripada ASAS 50 dan menubuhkan persatuan lain yang dinamakan Angkatan Persuratan Melayu Baru. Walau bagaimanapun, perdebatan antara pendokong SUM dan SUS itu tidak berkesudahan. ASAS 50 berjaya membawa aliran baru di dalam perkembangan bahasa dan sastera. Aliran yang dimaksudkan ialah romantisisme dan realisme.

Romantisisme ialah aliran sastera yang memberi penekanan kepada perasaan. Oleh sebab itu, karya yang dihasilkan bergelumang dengan ungkapan romantis, sedih, dan pilu. Realisme ialah aliran sastera yang menggembleng isu masyarakat. Oleh sebab itu, pengkarya memperjuangkan keadilan sosial di dalam karya mereka. Antara penulis ASAS 50 yang prolifik ialah Masuri S.N, Usman Awang, Awam il-Sarkam, Wijaya Mala, A. Samad Ismail, Keris Mas, Rosmera, MAS, Jah Lelawati, A. Samad Said, Noor S.I, A.S. Amin, dan Jimmy Asmara.
     

1 ulasan:

  1. nk tye,sy tgh cari isi permasalahan sastera melayu lama..tlg sy..

    BalasPadam