JENIS-JENIS BACAAN

Secara luaran kita mungkin mengatakan bahawa ‘bacaan’ itu adalah ‘membaca’, menukar grafik kepada ‘makna’ dan seterusnya memahami keseluruhan apa yang dibaca. Sebenarnya ‘bacaan’ boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti:
  1. Bacaan Mekanis
  2. Bacaan Mentalis
  3. Bacaan Intensif
  4. Bacaan Ekstensif
1. Bacaan Mekanis

Bacaan mekanis adalah bacaan kuat yang mementingkan sebutan huruf dan bunyi dengan betul, membaca mengikut intonasi, nada dan tekanan yang betul. Bahan bacaan yang digunakan dalam bacaan mekanis terdiri daripada perkara yang mudah difahami dan tidak membebankan fikiran.

2. Bacaan Mentalis

Bacaan mentalis atau dikenali juga sebagai bacaan akaliah merupakan bacaan secara senyap. Aspek-aspek kefahaman diberikan penekanan, sementara aspek-aspek sebutan, nada, tekanan dan intonasi tidak ditekankan dalam bacaan ini.

3. Bacaan Intensif

Bacaan intensif ialah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memaham dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Di samping itu, bacaan intensif memberi tekanan kepada kajian-kajian terhadap ciriciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid.

Konsep-konsep bacaan intensif:
  1. Bacaan intensif merupakan satu kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa murid di bawah pimpinan guru.
  2. Bacaan intensif memberi asas untuk pengajar memberi penjelasan atau keterangan mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembang perbendaharaan kata.
  3. Bacaan intensif dikaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh murid dalam bacaannya
  4. Bacaan intensif mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan.
  5. Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap amat penting.
4. Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya memberi tumpuan kepada beberapa aspek terutamanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Mengikut kebiasaannya, melalui bacaan ekstensif ini murid akan dapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Konsep bacaan ekstensif;

  1. Bacaan ekstensif merupakan satu kegiatan membaca yang dilakukan oleh murid di luar kelas secara bersendirian tanpa bimbingan guru.
  2. Bahan bacaan harus luas, bukan sahaja sesuai dari segi perbendaharaan katanya tetapi juga sesuai dengan minat, umur, jantina, pengalaman, sikap dan cita-cita murid itu.
  3. Bahan bacaan ekstensif harus daripada bahan-bahan yang berbeza.
  4. Bacaan ekstensif mengandaikan murid membaca sesuatu bahan tanpa menghadapi kesukaran dan melalui bacaan ekstensif ini murid mendapat kepuasaan, seronok dan terhibur.
Bacaan ekstensif mempunyai peranannya yang tersendiri khususnya dalam pembelajaran bahasa. Antara peranannya ialah;
  1. Meningkatkan pemahaman murid terhadap bahan bacaan.
  2. Meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan murid. Dalam hal ini, bacaan ekstensif dapat membantu murid untuk mengenal perkataan dan mengenal simbol-simbol yang terdapat dalam bahan bacaan.
  3. Mendedahkan murid kepada aspek-aspek bahasa. 
  4. Menambahkan kosa kata. Kajian menunjukkan kanak-kanak tidak banyak mengetahui atau menguasai kosa kata melalui pembelajaran secara formal. Sebaliknya, penguasaan kosa kata banyak diperoleh melalui bahan bacaan. Malah, penguasaan kosa kata melalui bacaan dapat membantu kanak-kanak memahami kosa kata berkenaan.
  5. Membantu murid dalam penulisan. Kajian mendapati kanak-kanak atau murid yang banyak membaca dapat menulis dengan baik. Perkara ini berlaku disebabkan oleh penguasaan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki oleh murid berkenaan yang akhirnysa dapat disalurkan dalam penulisan mereka.
  6. Memotivasikan murid untuk membaca. Bahan bacaan yang digunakan untuk bacaan ekstensif sebaik-baiknya bersesuaian dengan keperluan, minat dan cita rasa murid. Perkara ini perlu diberi perhatian sebagai usaha untuk menarik minat dan motivasi murid untuk membaca.
  7. Mengukuhkan pengetahuan bahasa yang telah dipelajari. Aspek-aspek bahasa yang telah dipelajari sebelumnya di dalam bilik darjah dapat diberi pengukuhan dan penekanan serta dapat diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa pada masa yang akan datang.
  8. Menyakinkan murid untuk membaca teks yang panjang. Pada kebiasaannya, pengajaran bacaan yang dilakukan di dalam kelas kebanyakannya menggunakan teks yang pendek dan ringkas, serta tumpuan yang terhad kepada aspek tatabahasa dan kosa kata. Sebaliknya, bacaan ekstensif memberi keyakinan kepada murid untuk menerokai aspek-aspek bahasa yang lebih mencabar.
  9. Meningkatkan kemahiran dalam membuat jangkaan. Bacaan ekstensif kadangkala melibatkan pengetahuan lepas yang dimilki oleh murid. Pengetahuan ini banyak membantu murid dalam membuat jangkaan terhadap sesuatu kejadian atau situasi yang terdapat dalam bahan bacaan. Perkara ini akan memudahkan murid untuk memahami dan membuat tafsiran terhadap bahan bacaan yang dibaca dengan lebih mudah dan cepat.
Ciri-ciri pendekatan bacaan ekstensif
  1. Murid membaca seberapa banyak buku yang termampu. Bacaan boleh dilakukan di dalam atau di luar kelas.
  2. Menyediakan bahan bacaan yang pelbagai topik. Perkara ini penting bagi menggalakkan murid membaca dengan pelbagai tujuan dan pelbagai cara.
  3. Murid memilih sendiri bahan untuk dibaca dan seterusnya murid juga dibenarkan menghentikan bacaan sekiranya bahan bacaan berkenaan didapati tidak menarik.
  4. Matlamat membaca untuk keseronokan, mendapat maklumat dan pemahaman secara umum. Matlamat ini dikenal pasti melalui keaslian bahan dan minat murid.
  5. Membaca dilakukan mengikut kehendak murid itu sendiri. Dalam hal ini, latihan yang sedikit ataupun tidak ada latihan diberikan selepas bacaan.
  6. Bahan bacaan bersesuaian dengan ketrampilan berbahasa murid khususnya dari pada aspek kosa kata dan tatabahasa. Penggunaan kamus sebaik-baiknya dielakkan bagi memastikan bacaan berjalan lancer tanpa gangguan.
  7. Bacaan dilakukan bersendirian secara senyap dan mengikut kemampuan sendiri. Murid akan menentukan di mana dan bila mereka akan membaca.
  8. Kelajuan bacaan ditingkatkan terutamanya apabila menmbaca bahan bacaan yang mudah difahami.
  9. Guru memandu murid ke arah mencapai matlamat program, menjelaskan kaedah, memastikan bahan yang dibaca oleh murid dan membimbing murid agar mendapat manfaat daripada bacaan berkenaan.
  10. Guru menjadi model kepada murid dengan menunjukkan manfaat yang diperoleh daripada bahan bacaan.

PROSES MEMBACA

Proses membaca yang bermatlamatkan kefahaman melibatkan proses mental yang kompleks iaitu merangkumi proses-proses seperti yang di bawah;
  1. mengecam perkataan
  2. memilih makna yang sesuai.
  3. menghubungkaitkan idea dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada.
  4. menyusun idea.
  5. membuat generalisasi.
  6. membuat penilaian.
Dalam pengajaran bacaan di sekolah, penekanan diberikan kepada bacaan mekanis dan bacaan mentalis. Pada peringkat awal, proses pengajaran dan pembelajaran bacaan mengutamakan bacaan mekanis, iiatu guru akan memberikan contoh sebutan bunyi-bunyi dan bacaan yang betul dengan kuat dan jelas. Proses ini diikuti oleh murid yang akan membunyikan secara kuat sama ada secara beramai-ramai, berkumpulan ataupun secara individu.

Murid-murid akan diajar dengan bacaan mentalis atau akaliah setelah mereka menguasai atau berkemahiran dalam bacaan mekanis. Murid-murid diberi masa untuk membaca sesuatu bahan bacaan yang diberikan sebelum bahan berkenaan dibincangkan atau menjawab soalan-soalan untuk menguji kefahaman murid. Bacaan mentalis ini boleh juga diikuti dengan bacaan kuat. Perkara penting yang perlu diketahui oleh guru ialah bacaan mentalis diutamakan bagi murid-murid di sekolah rendah, sementara bacaan mentalis lebih diutamakan pada peringkat sekolah menengah.



TUJUAN MEMBACA

Tujuan membaca boleh dibahagikan kepada dua, iaitu;
  1. Tujuan serta-merta
  2. Tujuan lanjut

1. Tujuan Serta-Merta

Tujuan serta-merta adalah untuk membolehkan murid membaca dan memaham sesuatu bahan yang digunakan. Apabila seseorang murid dikatakan ‘boleh membaca’, maka kenyataan itu bermaksud murid berkenaan boleh membaca dengan cepat, tidak teragakagak, boleh membaca dengan serta-merta dan tidak mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan sesuatu bahan bacaan. Selain itu, ‘boleh membaca’ juga bererti murid boleh membaca bersendirian tanpa bergantung kepada bantuan guru.

Tujuan serta-merta juga mempunyai tujuan-tujuan yang lain;
  • untuk membolehkan murid membaca dengan sebutan dan rentak irama atau intonasi yang betul.
  • Untuk membolehkan murid membaca senyap tanpa berasa sebarang gangguan.
  • Untuk mewujudkan sikap suka dan mahu membaca terus menerus dan mencari pengertian daripada yang dibaca.
  • Untuk menimbulkan minat mahu membaca sebagai alat hiburan atau alat pengisi masa lapang dan menambah pengetahuan.
2. Tujuan Lanjut

Tujuan lanjut bermaksud murid dapat membetulkan fahamannya yang salah, membandingkan fikiran dan pengalaman orang lain untuk menyelesaikan masalah hidupnya sendiri. Murid seharusnya dapat berfikir dan melahirkan fikiran dengan cara yang teratur. Apabila mereka boleh membaca maka dapatlah mereka menambah satu lagi alat perhubungan iaitu membolehkan mereka merapatkan diri dengan orang lain yang ada di sekelilingnya. Tujuan lanjut bermatlamat;
  • Sebagai alat untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman setelah keluar dari sekolah dan juga sebagai satu cara untuk menyambung murid dan.
  • Merapatkan lagi diri dengan masyarakat dan memudahkan mereka untuk mengikuti perkembangan alam dan manusia. 
  • Meluaskan fahaman serta membetulkan idea-idea yang salah. Menjadikan bahanbahan perbandingan dengan orang lain.
  • Mendapat bahan fikiran untuk dijadikan panduan hidup iaitu dengan meneladani perkara-perkara yang baik yang dilakukan oleh orang lain.
Tujuan membaca juga dapat dilihat berdasarkan kepada tujuan pengajaran dan pembelajaran membaca. Secara umumnya, membaca dilaksanakan bagi mencapai tujuan atau matlamat yang berikut;
  1. Membolehkan murid mengenal huruf, menyebut nama dan bunyi huruf.
  2. Melatih murid membaca dengan sebutan, tekanan, nada dan intonasi yang betul.
  3. Membina kebiasaan menuturkan ayat-ayat yang gramatis sebagaimana dalam bahan bacaan yang dibacanya.
  4. Melatih murid membaca secara senyap dan pantas di samping dapat memahami isi yang dibaca dengan pantas juga.
  5. Melatih murid memetik isi-isi bahan bacaan dengan cepat dan tepat dan menyatakan semula kepada orang lain dengan ayat yang betul dan boleh difahami dengan mudah.
  6. Menanamkan kemahiran untuk menjelaskan makna perkataan dan ayat-ayat dengan cepat, jelas dan tepat.
  7. Menghidupkan minat suka menyiasat dan mendalami maksud yang dibaca.
  8. Meluaskan kosa kata, mengenal pasti perbezaan maknanya dalam konteks yang berbeza.
  9. Menambahkan ilmu pengetahuan.
  10. Membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik bahan yang dibaca dengan jujur.
  11. Membetulkan pengetahuan sedia ada yang salah.
  12. Memudahkan mereka menyelesaikan masalah seharian yang melibatkan diri sendiri dan masyarakat.
  13. Membina sikap, cita-cita dan fikiran yang terbuka dan positif.
  14. Memberi peluang kepada murid uantuk mengetahui hal-hal luar negara.
  15. Membolehkan mereka mengerti dan memahami kehendak, situasi dan aspirasi masyarakat sekelilingnya.
  16. Memperkenalkan keindahan dan keseniaan bahasa di samping menggalakkan mereka dalam bidang penulisan kreatif sekiranya mereka mempunyai minat dan bakat.
  17. Membina sikap suka membaca sama ada untuk hiburan ataupun untuk menambahkan ilmu pengetahuan.


KEMAHIRAN MEMBACA 1

Pendahuluan

Di dalam topik ini kita akan berbincang beberapa subjek penting yang akan diperjelaskan melalui beberapa konsep dan huraian yang berkaitan dengan kemahiran membaca. Perkara yang akan dibincangkan termasuk definisi kemahiran membaca, tujuan dan proses membaca, jenis-jenis bacaan, ciri ciri pendekatan bacaan ektensif dan peringkat peringkat bacaan.



Definisi Membaca

  1. Membaca merupakan satu proses mengubah simbol-simbol grafik iaitu tulisan kepada konsep-konsep intelektual dan proses ini memerlukan daya mental.
  2. Membaca adalah terjemahan daripada bentuk tulisan kepada satu bentuk bahasa yang membolehkan pembaca menimbulkan makna daripada bentuk tulisan berkenaan.
  3. Membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi bahasa dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu. Oleh itu, untuk membaca seseorang mestilah mengenal dan menyebut lambang-lambang bertulis dan juga mesti mempunyai satu tanggapan bagi memudahkan fahamannya..
  4. Membaca merupakan satu cara untuk memahami pola-pola bahasa daripada bentuknya yang bertulis.
  5. Membaca melibatkan proses mekanikal iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca dan melibatkan proses pemikiran yang konstruktif.
Oleh itu, membaca boleh ditakrifkan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak. Aktiviti membaca melibatkan dua proses, iaitu;
  1. Menterjemahkan lambang bertulis atau bercetak kepada bunyi bahasa.
  2. Mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan itu.
Membaca juga boleh dimaksudkan sebagai menyuarakan tulisan, mengambil isi dan fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya. Mengajar membaca bererti mengajar murid memindahkan tulisaan kepada suara serta melatih mereka memahami apa yang terkandung dalam bacaan itu.