JENIS-JENIS BACAAN

Secara luaran kita mungkin mengatakan bahawa ‘bacaan’ itu adalah ‘membaca’, menukar grafik kepada ‘makna’ dan seterusnya memahami keseluruhan apa yang dibaca. Sebenarnya ‘bacaan’ boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti:
  1. Bacaan Mekanis
  2. Bacaan Mentalis
  3. Bacaan Intensif
  4. Bacaan Ekstensif
1. Bacaan Mekanis

Bacaan mekanis adalah bacaan kuat yang mementingkan sebutan huruf dan bunyi dengan betul, membaca mengikut intonasi, nada dan tekanan yang betul. Bahan bacaan yang digunakan dalam bacaan mekanis terdiri daripada perkara yang mudah difahami dan tidak membebankan fikiran.

2. Bacaan Mentalis

Bacaan mentalis atau dikenali juga sebagai bacaan akaliah merupakan bacaan secara senyap. Aspek-aspek kefahaman diberikan penekanan, sementara aspek-aspek sebutan, nada, tekanan dan intonasi tidak ditekankan dalam bacaan ini.

3. Bacaan Intensif

Bacaan intensif ialah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memaham dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Di samping itu, bacaan intensif memberi tekanan kepada kajian-kajian terhadap ciriciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid.

Konsep-konsep bacaan intensif:
  1. Bacaan intensif merupakan satu kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa murid di bawah pimpinan guru.
  2. Bacaan intensif memberi asas untuk pengajar memberi penjelasan atau keterangan mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembang perbendaharaan kata.
  3. Bacaan intensif dikaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh murid dalam bacaannya
  4. Bacaan intensif mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan.
  5. Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap amat penting.
4. Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya memberi tumpuan kepada beberapa aspek terutamanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Mengikut kebiasaannya, melalui bacaan ekstensif ini murid akan dapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Konsep bacaan ekstensif;

  1. Bacaan ekstensif merupakan satu kegiatan membaca yang dilakukan oleh murid di luar kelas secara bersendirian tanpa bimbingan guru.
  2. Bahan bacaan harus luas, bukan sahaja sesuai dari segi perbendaharaan katanya tetapi juga sesuai dengan minat, umur, jantina, pengalaman, sikap dan cita-cita murid itu.
  3. Bahan bacaan ekstensif harus daripada bahan-bahan yang berbeza.
  4. Bacaan ekstensif mengandaikan murid membaca sesuatu bahan tanpa menghadapi kesukaran dan melalui bacaan ekstensif ini murid mendapat kepuasaan, seronok dan terhibur.
Bacaan ekstensif mempunyai peranannya yang tersendiri khususnya dalam pembelajaran bahasa. Antara peranannya ialah;
  1. Meningkatkan pemahaman murid terhadap bahan bacaan.
  2. Meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan murid. Dalam hal ini, bacaan ekstensif dapat membantu murid untuk mengenal perkataan dan mengenal simbol-simbol yang terdapat dalam bahan bacaan.
  3. Mendedahkan murid kepada aspek-aspek bahasa. 
  4. Menambahkan kosa kata. Kajian menunjukkan kanak-kanak tidak banyak mengetahui atau menguasai kosa kata melalui pembelajaran secara formal. Sebaliknya, penguasaan kosa kata banyak diperoleh melalui bahan bacaan. Malah, penguasaan kosa kata melalui bacaan dapat membantu kanak-kanak memahami kosa kata berkenaan.
  5. Membantu murid dalam penulisan. Kajian mendapati kanak-kanak atau murid yang banyak membaca dapat menulis dengan baik. Perkara ini berlaku disebabkan oleh penguasaan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki oleh murid berkenaan yang akhirnysa dapat disalurkan dalam penulisan mereka.
  6. Memotivasikan murid untuk membaca. Bahan bacaan yang digunakan untuk bacaan ekstensif sebaik-baiknya bersesuaian dengan keperluan, minat dan cita rasa murid. Perkara ini perlu diberi perhatian sebagai usaha untuk menarik minat dan motivasi murid untuk membaca.
  7. Mengukuhkan pengetahuan bahasa yang telah dipelajari. Aspek-aspek bahasa yang telah dipelajari sebelumnya di dalam bilik darjah dapat diberi pengukuhan dan penekanan serta dapat diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa pada masa yang akan datang.
  8. Menyakinkan murid untuk membaca teks yang panjang. Pada kebiasaannya, pengajaran bacaan yang dilakukan di dalam kelas kebanyakannya menggunakan teks yang pendek dan ringkas, serta tumpuan yang terhad kepada aspek tatabahasa dan kosa kata. Sebaliknya, bacaan ekstensif memberi keyakinan kepada murid untuk menerokai aspek-aspek bahasa yang lebih mencabar.
  9. Meningkatkan kemahiran dalam membuat jangkaan. Bacaan ekstensif kadangkala melibatkan pengetahuan lepas yang dimilki oleh murid. Pengetahuan ini banyak membantu murid dalam membuat jangkaan terhadap sesuatu kejadian atau situasi yang terdapat dalam bahan bacaan. Perkara ini akan memudahkan murid untuk memahami dan membuat tafsiran terhadap bahan bacaan yang dibaca dengan lebih mudah dan cepat.
Ciri-ciri pendekatan bacaan ekstensif
  1. Murid membaca seberapa banyak buku yang termampu. Bacaan boleh dilakukan di dalam atau di luar kelas.
  2. Menyediakan bahan bacaan yang pelbagai topik. Perkara ini penting bagi menggalakkan murid membaca dengan pelbagai tujuan dan pelbagai cara.
  3. Murid memilih sendiri bahan untuk dibaca dan seterusnya murid juga dibenarkan menghentikan bacaan sekiranya bahan bacaan berkenaan didapati tidak menarik.
  4. Matlamat membaca untuk keseronokan, mendapat maklumat dan pemahaman secara umum. Matlamat ini dikenal pasti melalui keaslian bahan dan minat murid.
  5. Membaca dilakukan mengikut kehendak murid itu sendiri. Dalam hal ini, latihan yang sedikit ataupun tidak ada latihan diberikan selepas bacaan.
  6. Bahan bacaan bersesuaian dengan ketrampilan berbahasa murid khususnya dari pada aspek kosa kata dan tatabahasa. Penggunaan kamus sebaik-baiknya dielakkan bagi memastikan bacaan berjalan lancer tanpa gangguan.
  7. Bacaan dilakukan bersendirian secara senyap dan mengikut kemampuan sendiri. Murid akan menentukan di mana dan bila mereka akan membaca.
  8. Kelajuan bacaan ditingkatkan terutamanya apabila menmbaca bahan bacaan yang mudah difahami.
  9. Guru memandu murid ke arah mencapai matlamat program, menjelaskan kaedah, memastikan bahan yang dibaca oleh murid dan membimbing murid agar mendapat manfaat daripada bacaan berkenaan.
  10. Guru menjadi model kepada murid dengan menunjukkan manfaat yang diperoleh daripada bahan bacaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan