PENGENALAN PSIKOLINGUISTIK

Mengapa kita perlu mempelajari ilmu psikolinguistik? Tentunya, ada sebab kita perlu mempelajari disiplin ini. Oleh itu, kita akan membincangkan matlamat mempelajari bidang ilmu ini. Berikutnya, kita akan meneliti teori psikolinguistik yang dikemukakan oleh Noam Chomsky. Seterusnya, kita akan membincangkan perkembangan bidang psikolinguistik sebagai suatu disiplin ilmu dalam kajian linguistik secara ringkas. Terdapat beberapa teori huraian bahasa dalam ilmu psikolinguistik. Namun demikian, kita cuma akan membincangkan empat teori huraian bahasa, iaitu teori tradisional, struktural, transformasi generatif dan fungsional.

Psikologi ialah disiplin ilmu yang mengkaji hal-hal yang berkaitan dengan akal budi atau jiwa dan juga tingkah laku manusia. Ilmu linguistik pula ialah bidang yang mengkaji bahasa dan cara bahasa berfungsi untuk membantu manusia mencapai matlamat atau hasrat dalam kehidupan hariannya. Dengan ini bolehlah kita huraikan bahawa bidang psikolinguistik merupakan gabungan dua bidang ilmu, iaitu bidang psikologi dan linguistik. Perlu diingatkan bahawa kedua-dua bidang ini adalah berlainan dan dapat berdiri sebagai disiplin yang tersendiri. Oleh yang demikian, disiplin psikolinguistik meneliti perkara-perkara yang dikaji dalam disiplin linguistik dan psikologi kerana kedua-dua bidang ini adalah saling bekerjasama dalam menyelesaikan
persoalan bahasa.


LARAS BAHASA PERNIAGAAN

LARAS BAHASA IKLAN

Menurut Kamus Bahasa Melayu, susunan Arbak Othman (1999), iklan dapat diertikan sebagai sesuatu kenyataan yang ditulis, dibuat untuk tujuan memberitahu kepada orang ramai atau masyarakat tentang sesuatu perkara atau maklumat. Iklan biasanya disampaikan melalui media massa - media cetak dan media elektronik. Namun ada juga yang berbentuk poster-poster yang ditampalkan pada dinding-dinding kenyataan dan sebagainya. Bahasa iklan mula berkembang dengan pesat di negara ini pada tahun 1960 an. Pada masa itu iklan dalam bahasa Melayu lahir sebagai terjemahan daripada iklan dalam bahasa Inggeris, maka kebanyakan iklan adalah sangat berbau Inggeris.

Iklan itu ada berbagai-bagai jenis antaranya, iklan yang dibuat khas oleh pihak kerajaan (seperti iklan-iklan  kekosongan pekerjaan, iklan tawaran tender-tender dan sebagainya), iklan yang bersifat peribadi (umpamanya iklan-iklan ucapan tahniah atau ucapan takziah kematian seseorang) dan sebagainya.
 
Fungsi iklan itu dibuat ialah untuk mempengaruhi pengguna dan untuk menimbulkan tanggapan tertentu tentang sesuatu produk atau barangan atau perkhidmatan yang hendak diperkenalkan. Penggunaan bahasa yang baik dan berkesan bertujuan menyampaikan mesej kepada sasaran iaitu pengguna. Iklan yang baik bertujuan mengubah sikap pengguna dan mempengaruhi mereka membeli atau melanggan barangan yang diperkenalkan (Kamaruddin Husin 1995). Mesej yang digunakan dalam iklan harus mempunyai pelbagai strategi
yang membawa ke arah pengaruh yang positif (Asmah Omar 1982). Dalamhubungannya dengan perniagaan, iklan adalah sesuatu yang mustahak dan menjadi salah satu faktor yang terpenting menggerakkan sesebuah perniagaan.

Oleh yang demikian, kewujudan akhbar-akhbar selaku penyampai informasi perkembangan terbaru semasa baik tempatan, 'regional' mahupun global berperanan secara tidak langsung sebagai landasan untuk syarikat-syarikat perniagaan memperagakan perniagaan dan barangan mereka.

i.  Cara Penghasilan Iklan dan Pemilihan Larasnya

Iklan-iklan yang dibuat terdiri dari pelbagai saiz yang biasanya disokong oleh gambar-gambar produk atau barangan yang diiklankan, disertai lukisan grafik, ilustrasi dan sebagainya. Dari itu, dengan memfokuskan laras bahasa yang digunakan, dapatlah dikatakan majoriti iklan dihasilkan dengan beberapa cara seperti berikut:

(a) Mempunyai Slogan
 
Slogan ialah kata-kata yang dijadikan pegangan sesuatu pertubuhan atau syarikat pengeluaran barangan.  eperti juga halnya dengan iklan-iklan di televisyen, sebilangan iklan-iklan di akhbar juga mempunyai
slogan. Slogan dicipta sebagai trademark sesuatu barangan. Contohnya dalam iklan pil multivitamin Kiddi Pharmaton dengan slogannya 'Membantu Anak Anda Membesar Untuk Masa Depan yang
Cemerlang',
juga slogan 'Cepat, Mudah, Mesra' iaitu seperti yang terdapat dalam iklan pinjaman wang, ruangan Rampaiklan.

(b) Kaedah Pernyataan

Menyatakan secara langsung tujuan pengiklanan. Seperti yang banyakterdapat dalam ruangan Rampaiklan, dengan menggunakan frasa-frasa atau klausa-klausa seperti 'Rumah/Kenderaan /  Tanah Untuk
dijual / sewa', 'Kerja Sambilan Kontraktor Dikehendaki Segera', 'Agensi
Pembantu Rumah'
dan sebagainya.

(c) Ada Kaitan Konsep

Yang dimaksudkan dengan kaitan konsep ialah dengan mengaitkansesebuah produk dengan sesuatu atau individu yang terkenal atau yang mempunyai nilai komersial, seperti dengan mengaitkan seseorang artis atau penyanyi dengan sesuatu produk barangan. Sebagai contoh, sebuah syarikat pembekal akses internet, TM Net prabayar telah mengaitkan perniagaannya dengan melantik penyanyi terkenal Malaysia, Siti Nurhaliza sebagai duta TM Net. Kaedah iklan sebegini adalah bertujuan untuk menarik perhatian pelanggan, khasnya golongan remaja memandangkan penyanyi berkenaan mempunyai 'fanbased' yang begitu ramai. Begitu juga dengan barangan lain seperti sabun mandi, tilam berjenama, rantai berlian, minyak rambut dansebagainya yang kebanyakannya turut dikaitkan dengan artis-artis, khasnya artis wanita. Dan artis berkenaan akan menyatakan sesuatu yang berupa ayat-ayat atau laras-laras tertentu yang dapat dijadikan tarikan barangan yang diniagakan.

(d) Umpanan

Kaedah umpanan kerap didapat dalam mana-mana iklan, tidak terkecuali iklan akhbar. Umpanan bermaksud merancang strategik untuk menarik atau memperdayakan pelanggan. Contoh laras iklan yang berbentuk umpanan ini adalah seperti yang berbunyi 'Beli Satu, Percuma Satu' iaitu iklan berkenaan dengan peraduan minuman Vitagen dan Marigold yang menawarkan hadiah SATU SET RUANG TAMU YANG LENGKAP, dengan syarat mengumpulkan seberapa banyak mungkin bukti pembelian minuman berkenaan. 

Selain itu, dalam iklan pesanan Cakera Padat (CD) Al-Qur'an Interaktif, ada dinyatakan kata umpanan yang berbunyi 'Penghantaran Pos Percuma'. 

(e) Pesanan (Menyertakan Borang)

Terdapat juga iklan yang menyediakan kemudahan pesanan barangan dengan menyediakan borang pesanan. Misalnya, iklan pesanan Cakera Padat (CD) Al-Qur'an Interaktif yang menyediakan borang pesanan. Dalam borang itu mengehendaki pembaca mengisikan butir-butir peribadi, seperti nama penuh, umur, jantina, bangsa, alamat, nombor telefon dan sebagainya. Begitu juga halnya dengan, iklan peraduan minuman Vitagen dan Marigold yang menawarkan hadiah SATU SET RUANG TAMU YANG LENGKAP juga turut menyediakan borang penyertaan yang juga memerlukan pembaca yang ingin menyertai pertandingan itu untuk
mengisi butir-butir peribadi yang dikehendaki. Tetapi dalam peraduan itu, ditambah dengan beberapa syarat penyertaan yang berupa sebuah wacana lengkap mengenai pertandingan tersebut.

(f) Bandingan

Iklan yang berbentuk sebegini dibuat dengan cara membandingkan sesuatu barangan dengan barangan lain. Umpamanya akan dinyatakan serbuk pencuci Dynamo lebih berkuasa daripada serbuk pencuci berjenama X.

(g) Gesaan

Laras iklan sebegini menggesa pengguna atau pembaca untuk mengambil perhatian perkara atau barangan yang diiklankan.Contohnya, dalam iklan makanan segera ala barat Mc Donald di atas ada menyatakan dengan klausa "Cubalah Nasi Ayam McD hari ini "

(h) Pertanyaan

Penggunaan penanda "?" kerap didapati dalam iklan-iklan akhbar. Teknik ini adalah salah satu lagi cara dalam penggunaan laras bahasa iklan. Dalam iklan cairan pencuci pakaian DYNAMO ada dinyatakan dengan ayat "LEBIH MUDAH!
 
Penggunaan tanda tanya "?" dapat menguatkan hujah / laras iklan. Erti kata lain ia seolah-olah memaksa pengguna menyahut cabaran iklan berkenaan. Contoh frasa lain yang digunakan ialah seperti, "Sakit Kepala? Sapulah Dengan Minyak Angin ABC".
 

CIRI-CIRI LARAS BAHASA LISAN RADIO & TELEVISYEN

i.   Pengguguran kata hubung 'yang'
ii.  Pengguguran kata hubung 'bahawa'
iii. Pengguguran Kata Depan
iv. Pengguguran Penjodoh Bilangan
v.  Pengguguran Imbuhan

i.  Pengguguran kata hubung 'yang'

Laras ini menggunakan pengguguran "yang". Ayat-ayat yang digunakan akan melalui pengguguran "yang", supaya ayat yang ingin disampaikan akan lebih ringkas dan cepat, namun masih difahami oleh pendengar.
Contohnya lihat ayat berikut :

"Tiga puluh orang tercedera dalam beberapa serangan bom terbaru olehpelajar universiti di Burma"

Jika tidak ada kendala waktu, ayat itu akan lebih panjang. Namun walaupun mengalami pengguguran "yang" ia masih lagi mempunyai maksud yang sama dan masih jelas penggunaan ayat tersebut.

"Tiga puluh orang tercedera dalam beberapa serangan bom yang terbaru yang telah dilakukan oleh pelajar universiti di Burma"

ii.  Pengguguran kata hubung "bahawa"

Laras ini juga menggugurkan kata hubung "bahawa" supaya lebih menjimatkan masa penyampaian serta tepat dan jelas. Pengguguran "bahawa", iaitu kata penghubung, menimbulkan klausa objek langsung. Pengguguran ini menyebabkan pernyataan akan menjadi lebih tegas dan bertenaga. Contohnya :
 
"Pertubuhan Pembebesan Palestin (PLO) mendakwa tenteranya berjaya mematahkan satu serangan besar Israel semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terbunuh"

Di dalam ayat tersebut, kata bahawa di antara "mendakwa" dan "tenteranya" dihilangkan. Jika tidak ada penghilangan tersebut, ayat itu akan berbunyi seperti berikut :

"Pertubuhan Pembebesan Palestin (PLO) mendakwa bahawa tenteranya berjaya mematahkan satu serangan besar Israel semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terbunuh"

iii.  Pengguguran Kata Depan

Laras bahasa lisan radio dan televisyen ini juga mengalami pengguguran kata depan. Ada kata depan yang telah mengalami pengguguran, misalnya dengan, oleh atau dari. Misalnya:

"Pertubuhan Pembebesan Palestin (PLO) mendakwa bahawa tenteranya berjaya mematahkan satu serangan besar Israel semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terbunuh"

Ungkapan yang berbunyi satu serangan besar Israel semalam, memperlihatkan ada unsur sebelum Israel yang telah digugurkan. Unsur itu boleh terdiri daripada oleh atau dari, bergantung kepada tafsiran yang diberikan kepada ayat tersebut. Jika tafsiran mentafsirkan pelaku yang menghasilkan "serangan besar", maka yang digugurkan ialah oleh. Seandainya tafsiran memberatkan arah datangnya "serangan besar", maka yang hilang itu ialah dari.

iv.  Pengguguran Penjodoh Bilangan

Dalam laras lisan ini juga penjodoh bilangan terutamanya penjodoh bilangan kata nama manusia mengalami pengguguran dalam frasa nama yang terdiri daripada kata nombor-penjodoh bilangan-nama. Penjodoh bilangan itu ialah orang. Contohnya adalah seperti berikut:

(i) Lima anak kapal yang cedera parah dalam perlanggaran di Laut China Selatan Rabu lalu...beransur pulih.
(ii) Walaupun kelapan-lapan pemain ini sudah melebihi usia 21 tahun, mereka masih layak bermain.

Penjodoh bilangan orang digugurkan walaupun tidak diikuti oleh sebarang kata nama manusia. Dengan pengguguran yang seperti itu, maka yang tinggal hanyalah kata bilangan nombor.

(iii) Lima daripada mereka menghadapi tiga tuduhan dan lapan yang lain menghadapi dua tuduhan.

Selain itu, ada contoh yang menunjukkan penggunaan orang tetapi tanpa kata nama inti yang mengikuti penjodoh bilangan tersebut.

"Katanya, tiga orang mengikutinya ke balai polis. Walau bagaimanapun, empat orang lagi pergi secara sukarela"

Berhubung dengan ini, perlu diperhatikan bahawa kata bilangan orang dan kata bilangan lain tidak digugurkan bagi jumlah satu yang menggunakan imbuhan awalan se-. Misalnya:

"Satu keluarga lima orang, termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak,menemui nasib yang sama minggu lalu"

v.  Pengguguran Imbuhan

Dalam laras ini juga, ada pengguguran imbuhan yang ada kalanya menjejaskan asas tatabahasa Bahasa Melayu. Pengguguran yang dimaksudkan ialah pengguguran yang menimbulkan bentuk yang menyimpang daripada peraturan tatabahasa bahasa Melayu. Keadaan ini adalah hasil daripada pengguguran akhiran-kan. Contoh:

(i)    Penjualan saham belum diputus
(ii)   Kerja mengukur tanah di Sabah akan diswasta
(iii)  Yayasan sedia sepuluh biasiswa untuk MBA

Dalam ayat  perkataan sedia yang sebenarnya merupakan kata adverb, digunakan sebagai kata kerja. Mengikut peraturan tatabahasa, sedia boleh dijadikan dasar penerbitan kata kerja dengan imbuhan akhirnya -kan. Hasilnya ialah bentuk dasar sedia-kan, yang merupakan asas penerbitan menyediakan dan disediakan. Namun awalan me- yang tidak boleh digugurkan ialah awalan me- yang ditambah antara lain kepada kata dasar yang merupakan kata kerja tak transitif (misalnya: meninggal), kata kerja transitif (misalnya: melawat, melayan).
 
Justeru laras lisan ini adalah sangat kompleks jika dibandingkan dengan laras lain kerana laras radio dan televisyen ini memerlukan ungkapan yang seringkasnya namun masih boleh disampaikan dengan tepat dan betul. Laras lisan yang diaplikasikan dalam radio dan televisyen adalah tidak memerlukan frasa yang terlalu panjang atau mempunyai ayat yang berbunga-bunga. Contoh laras yang digunakan dalam radio dan televisyen secara lisan.

(a) Contoh 1:

KAHERAH: Penduduk Muslim Albania yang mewakili majoriti di Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia seminggu lalu, merayu negara Islam mengiktiraf negara baru itu segera. Mereka juga
merayu negara Islam menyumbang bantuan kepada Kosovo bagi menolongnya membangunkan negara  berkenaan. Perdana Menteri Kosovo, Hashim Thaci mengisytiharkan kemerdekaan negaranya dari Serbia lalu yang mendapat pengiktirafan segera Amerika Syarikat dan kebanyakan Negara Barat tetapi tidak diiktiraf Serbia dan Russia.

Pengumuman itu disambut dengan kegembiraan di Kosovo tetapi dibantah oleh sekumpulan tertentu di Belgrade dengan kedutaan negara Barat, termasuk Amerika menjadi sasaran serangan. Kosovo, dengan 2 juta penduduk Muslim Albania mewakili lebih 95 peratus  daripada jumlah penduduk negara itu, ditadbir oleh PBB sejak 1999 selepas tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengusir tentera Serbia dari wilayah berkenaan kerana didapati terbabit dengan pembersihan etnik.

(b) Contoh 2:

SKUAD badminton lelaki negara mengesahkan status selaku pasukan harus diberi tumpuan apabila menjuarai pusingan kelayakan Piala Thomas Zon Asia selepas menundukkan Korea 3-2 pada saingan akhir di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, semalam. Kejayaan itu turut diiringi berita gembira apabila skuad wanita turut layak secara automatik ke kejohanan Piala Uber, kedua-duanya berlangsung di Jakarta, Mei ini selepas menduduki tempat ketiga terbaik sesudah menundukkan Hong Kong 3-0. Dalam akhir bertemu Korea, pemain perseorangan utama Negara, Lee Chong Wei memberikan mata pertama buat negara apabila membenam cabaran Shon Seung-mo, 21-8, 21-11. harapan yang kemudian tampak mudah untuk memungut mata kedua dalam perlawanan kedua bertemu Lee Jae-Jin-Jung Jae-sung ternyata meleset.

LARAS BAHASA DALAM BENTUK LISAN

1. Sukan
Kamaruddin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (1998), berpendapat laras sukan ialah satu wacana tentang sukan. Setiap cabang sukan mempunyai istilahnya sendiri. Sebagai contoh Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan daftar istilah untuk isi cabang sukan yang dipertandingkan di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998. Istilah yang digunakan dalam laras sukan biasanya merujuk peraturan-peraturan sukan yang dipertandingkan itu. Sebagai contoh dalam perlawanan bola sepak dan hoki para pengulas sukan akan menggunakan istilah-istilah sukan. Setiap laras bahasa mempunyai perbendaharaan kata yang berbeza-beza terutamanya perkataan-perkataan khusus, struktur ayat serta cara pengungkapan dan format yang digunakan. Contoh laras sukan adalah seperti berikut:

"Sistem liga merupakan satu-satunya format pertandingan yang paling digemari oleh pihak penganjur dan para peserta dalam permainan sukan berpasukan. Dalam sistem ini, setiap pasukan akan bertemu seberapa banyak yang mungkin dengan pasukan yang lain bergantung kepada bilangan ahli kumpulan masingmasing. Dengan perkataan lain, mereka akan melawan dengan setiap ahli dalam kumpulannya. Dalam tem ini terdapat formula-formula  yang penting yang boleh dibuat sebagai panduan untuk menentukan jumlah peruntukan masa, pengadil, padang permainan dan kelengkapan yang diperlukan"

Laras bahasa dalam lisan adalah seperti ulasan berita sukan, laporan sukan antarabangsa dan sebagainya. Penggunaan laras bahasa dalam laras sukan memerlukan perkataan-perkataan yang berunsur kesukanan seperti liga, penalti, pengadil, padang, gol, sepakan percuma, atlet, kad merah, kad kuning, balingan ke dalam, tendangan gol, tendangan sudut, tendangan terus, tendangan tidak terus,bagi perlawanan hoki antara istilah-istilah yang kerap digunakan ialah kawasan D, pukulan penalti, sudut, gol padang, kad hijau dan sebagainya. Laporan sukan banyak menggunakan ragam aktif dengan jenis ayat tunggal yang pendek-pendek. 

Bagi khalayak khusus frasa dan ayat misalnya, bidang undang-undang, banyak menggunakan frasa penerang atau keterangan dengan ayat majmuk campuran. Biasanya pengulas sukan akan menggunakan bahasa
baku dan suara mereka harus jelas dan tepat. Bahasa yang digunakan juga adalah tidak bercampur-campur dengan bahasa lain atau dalam istilah terkini ialah bahasa rojak. Ini kerana berita adalah dalam situasi formal dan dalam interaksi terbuka bukannya secara individu. Selain itu intonasi yang digunakan juga harus berbeza-beza kerana perlu menyeimbangkannya dengan emosi penonton dan pendengar. Hal ini kerana nada suara yang digunakan memainkan peranan yang penting dalam ulasan perlawanan sesebuah sukan atau berita sukan kerana berbeza dengan laporan berita semasa atau setempat.

Dalam ulasan berita sukan di televisyen, pengulas biasanya perlu bermain dengan memek muka, nada suara yang betul manakala bagi pengulas sukan radio mereka hanya perlu bermain dengan intonasi suara sahaja.

i.  Laporan Berita Sukan Radio

Barrie Redfern (1985:157) menjelaskan laporan sukan dan berita kilat dikirim melalui pelbagai sumber. Berita kilat biasanya adalah berita terbaharu yang dibuat secara ringkas mengenai skor dan pembuat skor. Berita kilat ini membentuk satu corak di mana pemberita akan bergilir-gilir membuat laporan berita terbaru dalam rancangan sukan. Berita penting yang pertama ialah sama ada skor telah berubah dan apakah skor terbaru.

Kemudian diberitakan mengenai pembuat skor, masa, dan butir-butir terperinci. Dengan hanya mengemukakan fakta penting, pemberita boleh memadatkan maklumat dalam masa kurang dari 15 saat tetapi masih mempunyai masa untuk mengulangi skor di akhir rancangan. Lebih baik mengakhiri laporan dengan menyatakan punch line atau skor, yang berperanan sebagai ingatan, dan tidak hanya menyerahkan kembali ke studio. Seluruh siri bahan rakaman akan kedengaran seperti ulangan dan amalan setengah stesen ialah mengetepikan cara ini. Pemberita juga akan kedengaran lebih berpengetahuan (dan menjadi sebahagian dari rancangan) sekiranya beliau lebih sekali memetik komen atau frasa yang digunakan oleh juruhebah hubungan di studio, ataupun pemberita di tempat permainan lain, untuk menyampaikan berita yang bertentangan atau pengesahan seperti 'Di sini pun bel um ada sebarang skor lagi tetapi...'.

ii.  Radio- Televisyen

Bahasa merupakan alat perhubungan yang amat penting dalam kehidupan manusia sehari-hari. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, gagasan, pengetahuan mendapatkan maklumat, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya. Semakin baik penguasaan seseorang itu terhadap kemahiran-kemahiran bahasa maka semakin tinggilah keupayaannya untuk berkomunikasi secara berkesan sama ada secara lisan, bacaan mahupun penulisan. Begitu juga dalam laras bahasa lisan radio dan televisyen yang bertujuan untuk menyampaikan sesuatu perkara atau maklumat.

Laras bahasa lisan yang digunakan oleh siaran radio atau televisyen adalah lebih kepada berbentuk rasmi dan berformat. Laras yang digunakan penyampai radio dan televisyen sesuatu bahasa yang mudah difahami oleh
semua lapisan masyarakat. Ini kerana Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa serta agama. Bahasa Melayu digunakan dalam laras radio dan televisyen kerana mampu dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat. Namun ada juga bahasa yang digunakan seperti bahasa Tamil dan bahasa Cina untuk masyarakat tersebut yang kurang memahami bahasa Melayu. Laras bahasa lisan yang biasa digunakan oleh radio dan televisyen adalah jelas dan tepat. Apa yang paling penting ialah kejelasan perkataan dan nada yang disebut oleh penyampai radio atau televisyen.

Justeru, DI dalam laras lisan radio dan televisyen juga mempunyai ciri-ciri seperti penyingkatan. Ini kerana radio dan televisyen menghadapi beberapa kendala atau masalah. Kendala yang paling besar dan menonjol ialah masa. Ini kerana masa telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan tidak boleh melebihi masa yang sepatutnya, kerana mungkin akan mengganggu rancangan lain yang akan ke udara. Kendala tersebut akan mempengaruhi gaya bahasa yang digunakan. Kendala waktu ini bermaksud masa untuk menyampaikan sesuatu telah di -tetapkan dan dihadkan supaya rancangan yang dirancang akan berjalan dengan lancar dan tidak ada yang tergendala.

Teknik penyingkatan ini yang digunakan ialah dengan menggabungkan ayat dengan klausa relatif dan dengan penghilangan unsur tertentu. Penyingkatan yang dilakukan akan menjimatkan masa penyampaian dan sesuatu perkara itu akan dapat disampaikan dengan cepat dan tepat.


APLIKASI LARAS BAHASA

Laras bahasa merupakan aspek yang penting dalam menjelaskan variasi atau kelainan dalam bahasa. Dengan wujudnya pengetahuan berkaitan sesuatu laras, seseorang pengguna bahasa akan menggunakan laras yang sesuai bagi menyampaikan buah fikiran atau maklumat dengan tepat kepada sasaran. Selain itu juga, pengetahuan berkaitan laras akan mendedahkan kepada pengguna bahasa tentang wujudnya pelbagai variasi bahasa dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna. Dengan menggunakan laras bahasa yang tepat, segala maklumat dapat disampaikan dengan mudah dan senang difahami.

Dalam bidang pengajaran penulisan, pengetahuan berkaitan laras bahasamembolehkan seseorang pengguna bahasa dapat menggunakan laras-laras tertentu dalam aktiviti penulisan mereka. Manakala dalam bentuk komunikasi pula, pengetahuan berkaitan laras bahasa membolehkan seseorang pengguna bahasa dapat menggunakan laras yang tepat semasa berkomunikasi. Selain itu, pengetahuan mereka berkaitan laras, membolehkan seseorang pengguna bahasa dapat berbahasa dengan baik dan berkesan.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KOMUNIKASI

Manusia menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi yang penting di dalam kehidupan seharian mereka. Ini demikian, kerana bahasa dan pertuturanlah yang membezakan manusia dengan haiwan. Selain, bahasa mempunyai suatu sistem yang sistematis, dinamik dan selalu berubah-ubah sesuai dengan perkembangan zamannya. Halliday, di dalam bukunya bertajuk "Explorations in the Functions of Language" (1973), yang telah mengemukakan tujuh fungsi bahasa. Antaranya adalah:
i.    Instrumental
ii.   Regulasi
iii.  Pemerian
iv.  Interaksi
v.   Personal
vi.  Heuristik
vii. Khayalan

Fungsi instrumental bermaksud manusia menggunakan bahasa bagi melayani pengelolaan lingkungan yang menyebabkan sesuatu peristiwa berlaku. Fungsi regulasi adalah fungsi bahasa yang bertindak sebagai pengawas dan mengendalikan peristiwa-peristiwa yang berlaku. Fungsi ini digunakan untuk mengendalikan serta mengatur orang lain. Fungsi pemerian pula boleh ditafsirkan sebagai penggunaan bahasa untuk membuat penyataan-penyataan, menyampaikan pengetahuan, membuat penjelasan dan membuat laporan tertentu.
 
Fungsi interaksi merupakan fungsi bahasa yang memainkan peranan bagi menentukan supaya hubungan antara manusia dapat terus berlangsung ataupun dipertahankan. Oleh itu, perlu pengetahuan yang luas berkenaan bahasa, loghat, jargon, slanga, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya. Pokoknya, kita mesti tahu pelbagai perkara tentang bahasa. Fungsi peribadi pula adalah fungsi bahasa yang memberi kesempatan kepada manusia bagi menyatakan perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya. Seterusnya, fungsi heuristik melibatkan penggunaan bahasa bagi memperoleh ilmu pengetahuan. Ini demikian kerana ia disampaikan di dalam bentuk pertanyaan yang memerlukan jawapan. Fungsi khayalan juga merupakan fungsi bahasa yang digunakan oleh manusia bagi mencipta mimpi-mimpi yang mustahil diterima oleh akal. Fungsi ini dibawa melalui buku-buku dan cerita-cerita dongeng.
 
Ketujuh-tujuh fungsi di atas sebenarnya bersifat saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi menghasilkan satu bentuk komunikasi yang berkesan di dalam menyatakan pelbagai topik serta memahamkan pelbagai bangsa di dunia. Bahasa merupakan alat komunikasi yang paling berkesan di dalam kehidupan manusia; ia bersifat arbiter, simbolik, sistematik dan manusiawi.