BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA


Era selepas merdeka atau pascamerdeka bermula selepas 31 Ogos 1957 hinggalah tahun 1967. Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan dengan jelas bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.


Perkara 152 Perlembagaan Malaysia
1.   Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parlimen. Dengan syarat bahawa:
  • Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, selain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
  • Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.
2.      Walau apa pun peruntukan Fasal (10) selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.
3.      Walau apa pun peruntukan fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskhah yang sahih:
  • Bagi segala Rang Undang-Undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen; dan
  • Bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam Bahasa Inggeris.
4.    Walau apa pun peruntukan Fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam Mahkahmah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan atau direkodkan dalam Bahasa Inggeris. 

Berdasarkan peruntukan yang diberikan, jelaslah bahawa pertimbangan sewajarnyalah telah diberikan terhadap kedudukan Bahasa Melayu.  Sejak tahun 1957, apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemederkaan, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan yang disarankan oleh Suruhanjaya Reid. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berasaskan beberapa faktor, iaitu Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang terbesar di negara ini.  Pada waktu itu, kumpulan ini membentuk 49.78 peratus, manakala kaum Cina merupakan 37.1 peratus, dan kaum India 11.0 peratus (Ensiklopedia Kebudayaan Melayu, hlm. 1260). Faktor kedua, ialah Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat pribumi bagi negara ini. Oleh itu, Bahasa Melayu dapat melahirkan jati diri penduduk negara ini. Faktor ketiga ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sudah sekian lama berjalan dan ini tidak akan menimbulkan masalah bagi komunikasi umum. Akhirnya, keempat ialah Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pentadbiran di negeri Melayu. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga alat perpaduan tidak disanggah oleh mana-mana pihak. Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran tidak menyekat penggunaan dan pembelajaran bahasa-bahasa lain dalam urusan bukan rasmi.  Pada dasarnya, pengiktirafan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikawal oleh dasar bahasa kebangsaan dan dari segi undang-undang,  dasar ini telah dimaktubkan melalui perlembagaan dan akta.

Pada 7 Mac 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Penyata ini adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan yang dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-orang bukan Melayu yang menetap di negara ini (Undang-Undang Pelajaran 1957, 2008.). Undang-undang Pelajaran 1957 yang diluluskan setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah digubal berdasarkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan pada dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956. Laporan ini dinamakan Laporan Razak 1956.

Perkara yang paling penting pada era ini ialah peranan yang dimainkan oleh Dewan bahasa dan Pustaka (DBP). Pada tahun 1959, DBP berubah tarafnya daripada jabatan kerajaan kepada badan berkanun apabila Parlimen meluluskan  Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Pemberian autonomi ini membolehkannya menggubal dasar tentang matlamat yang ditetapkan dalam akta tersebut. DBP dibenarkan menggubal dasar-dasarnya yang khusus, menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera menurut kebijaksanaan pihak pengurusannya sendiri, dan menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara lebih kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa berkembang dan hidup. Matlamat utamanya ialah membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan sesuai dengan dasar negara dan hasrat rakyat yang menubuhkan DBP.

Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan mempunyai rakyat yang berbilang kaum, satu orientasi baru diperlukan untuk membentuk sikap rakyat menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. DBP melancarkan gerakan psikologi melalui kempen-kempen bahasa yang melibatkan penyertaan rakyat daripada semua kaum dalam kegiatan bahasa secara besar-besaran. Gerakan ini dilakukan di seluruh negara tiap-tiap tahun selama tujuh tahun dari 1960-1966. Pada 30 Januari 1960, Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya di seluruh negara yang berlangsung hingga 6 Februari, 1961. (lihat Rajah 3.5).
r3.5
Rajah 3.5: Pelancaran Pertama Minggu bahasa Kebangsaan pada 30 Januari 1960

Pelancaran itu dilakukan oleh pengerusi jawatankuasa pusat Minggu Bahasa Kebangsaan, Tuan Syed Nasir bin Ismail. Minggu Bahasa Kebangsaan ini merupakan rancangan kebangsaan yang bertujuan untuk menggalakkan seluruh rakyat supaya menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan mereka sehari-hari; menunjukkan kepada dunia bahawa kita sebagai bangsa yang merdeka menggunakan bahasa kebangsaan yang difahami oleh seluruh rakyat daripada segala keturunan sebagai bahasa perantaraan; untuk menyakinkan orang yang masih ragu-ragu bahawa bahasa kebangsaan kita ini adalah bahasa besar teristimewa di sebelah Timur dan menjadi bahasa ilmu pengetahuan; memberitahu kepada dunia bahawa bahasa kebangsaan kita akan menjadi bahasa yang kaya raya setelah mendapat jiwa baharu dalam pergolakan dunia sekarang; dan hendak menerangkan kepada pelajar bahawa bahasa kebangsaan kita memakai bentuk yang khas dan boleh menerima segala perkataan bahasa asing yang dapat disesuaikan dengan keadaan bahasa itu sendiri. Keadaan yang demikian telah berlaku beribu-ribu tahun yang Ialu dan terus berjalan hingga sekarang, dan hendak menerangkan kepada orang ramai bahawa Dewan bahasa dan Pustaka yang mempunyai tugas besar dalam perkembangan bahasa kebangsaan ini sentiasa berharapkan kerjasama daripada segala pihak untuk kemajuan bahasa kebangsaan dan perkembangannya dalam segala lapangan.

Acara-acara dalam Minggu Bahasa Kebangsaan ini dijalankan dalam dua bentuk: “pertama, acara umum yang ditujukan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala lapangan; dan yang kedua, ialah melalui peraduan-peraduan untuk menimbulkan keinginan menyertai dalam penggunaan dan perkembangan bahasa itu. Dalam menjalankan acara-acara itu segala tugas dibahagi kepada peringkat-peringkat, iaitu peringkat daerah, peringkat negeri dan peringkat kebangsaan.” (Mahfudz bin Abdul Hamid, 1960)

Dalam bahagian acara umum diadakan berbagai-bagai acara penerangan seperti mengadakan poster-poster, pelekat-pelekat cogan kata, kain-kain cogan kata, iklan-iklan dan filem-filem serta ucapan-ucapan oleh pembesar-pembesar dan pakar-pakar dan juga pengguna-pengguna bahasa kebangsaan dari orang-orang Melayu dan bukan Melayu. Dalam bahagian peraduan pula diadakan peraduan-peraduan syarahan yang dimulakan pada peringkat daerah dan berakhir di peringkat kebangsaan apabila pensyarah-pensyarah yang menang dalam bahagian-bahagian yang tertentu bertanding untuk mencapai gelaran johan pensyarah bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Di peringkat negeri pula diadakan peraduan-peraduan bahas, peraduan melukis poster, peraduan mengarang rencana dan sebagainya.

Pada peringkat kebangsaan rancangan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dihadiri dan dikelolakan oleh suatu Jawatankuasa Kerja Pusat yang dilantik oleh persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha-Setiausaha Kementerian dan jabatan-jabatan. Dalam tiap-tiap negeri pula diadakan satu Jawatankuasa Negeri untuk memutuskan rancangan di peringkat negeri dan  juga berkuasa menubuhkan Jawatankuasa Daerah untuk melancarkan pengelolaan rancangan di tiap-tiap negeri. Pelaksanaan rancangan kebangsaan Minggu Bahasa Kebangsaan ini dirancang untuk disertai oleh seluruh pihak yang meliputi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun separuh kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah, akhbar-akhbar, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan yang mengenai bahasa dan persuratan secara langsung atau tidak langsung dan bahkan kepada tiap-tiap rakyat dan kumpulan rakyat dengan mengadakan rancangan-rancangan penyambutan dan perayaan yang sesuai dengan tujuan mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan.

Pada 15 April 1962, satu seminar mengenai bahasa dan Sastera telah diadakan di Balai Budaya Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Dewan bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Dato' Hussein. Sebanyak 50 kertas kerja dibincangkan dalam seminar yang berlangsung selama empat hari ini. Kertas-kertas kerja ini disumbangkan oleh beberapa pakar bahasa dari seluruh tanah air. Antara perkara-perkara yang dibahaskan dalam seminar tersebut termasuklah mengenai bahasa dan kesusasteraan, ilmu pengetahuan dan buku-buku sekolah. Ini mencakupi masalah sastera, perpustakaan juga perkembangan kesusasteraan dan persuratan Melayu sebagai bahan dan alat pendidikan ke arah pembangunan rakyat (Seminar Bahasa dan Sastera – Ke Arah Meninggikan Mutu Bahasa dan Kesusasteraan Kebangsaan, 2008).
Pada 11 April 1963, satu akta yang berkaitan khusus dengan bahasa kebangsaan, iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan dikuatkuasakan. Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun 1967, Akta bahasa Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September 1967. Akta ini kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 1971 dengan nama Akta Bahasa Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967).

Pada 27 Jun 1967 (lihat Rajah 3.6) satu keputusan muktamad mengenai satu sistem ejaan baru yang ilmiah, praktikal serta sesuai untuk Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia telah dicapai. Rundingan mengenai persetujuan sistem ejaan bahasa Malaysia-Indonesia ini telah dihadiri oleh Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir bin Ismail (Pengarah Dewan bahasa dan Pustaka) dengan Team Ahli Bahasa KOTI (Komando Tertinggi Indonesia) yang diketuai oleh Nyonya S. W. Ruddjiati Muljadi.
Rajah 3.6: Pengisytiharan Sistem Ejaan Indonesia Malaysia


Rundingan antara kedua-dua belah pihak telah berjalan dengan lancar dan dalam suasana kekeluargaan serta ramah tamah. Dalam rundingan itu tanggapan masing-masing pihak telah dibahas bersama secara ilmiah dan mendalam dengan memerhatikan sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam masyarakat kedua-dua negara. Hasil pertukaran fikiran dan pendapat serta penelitian dan pengolahan bersama, kedua-dua pihak telah mencapai kesimpulan dan persefahaman bahawa perkembangan ejaan dalam kedua-dua bahasa adalah hal yang wajar dan sesuai dengan tuntutan kemampuan ilmiah dan keperluan praktikal. Pengertian bersama juga telah dicapai mengenai hubungan antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia yang perlu ditingkatkan lagi melalui semua saluran, baik pertuturan mahupun tulisan. Kesemuanya ini adalah dalam rangka usaha mencapai cita-cita bersama antara rakyat Indonesia dan Malaysia. Dengan tercapainya keputusan muktamad yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak itu pada tahun 1967, maka terciptalah Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia, dan pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan serta pengesahannya daripada kerajaan kedua-dua buah negara. Kempen-kempen memberikan penerangan mengenai Ejaan Bersama ini ke seluruh negara telah dijalankan melalui akhbar-akhbar, radio dan televisyen, serta melalui majalah-majalah, dan ceramah-ceramah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di merata tempat di Malaysia (Sistem Ejaan Indonesia-Malaysia, 2008).

Sepuluh tahun selepas merdeka, Parlimen meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang mewajibkan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi yang tunggal dalam semua urusan rasmi negara menggantikan tempat Bahasa Inggeris.  Pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967. Dalam warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal merupakan permulaan suatu zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan memajukan Bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai bahasa rasmi negara ini.
r3.7
Rajah 3.7: Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


YM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama (lihat Rajah 3.7) pula dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960.

Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan bahasa kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan bahasa kebangsaan, perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Berikutan daripada pengisytiharan baginda itu, pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Kerajaan-Kerajaan Tempatan dan Badan-Badan Berkanun di Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan Mahkamah di mana Bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau bahasa kebangsaan tidak dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan Bahasa Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 akta tersebut.

Zaman selepas ini merupakan zaman pengembangan dan pengukuhan taraf dan korpus Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara yang maju, bahasa kegiatan intelektual dan budaya, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan teknologi.

4 ulasan:

  1. Maklumat yang bagus. Minta halal ya, saya cedok idea untuk esei saya. Terima kasih

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

      Padam