BAHASA MELAYU ZAMAN KEDATANGAN PORTUGIS


Era kedatangan Barat ke tanah Melayu bermula dengan bertapaknya kuasa Portugis di Melaka dengan kejatuhan kesultanan Melaka pada tahun 1511. Penjajahan Barat pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 di wilayah kebudayaan Melayu di Asia Tenggara telah mencetuskan pelbagai jenis penentangan oleh bangsa Melayu terhadap penjajahan. Namun begitu, keruntuhan kerajaan Melayu Melaka tidak meruntuhkan Bahasa Melayu. Banyak pengkaji terus menjalankan penyelidikan tentang Bahasa Melayu. Antaranya ialah Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Dokumen ini  merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh dari tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar. Seorang lagi pengkaji ialah  Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

Penulisan tentang Bahasa Melayu yang penting pada zaman ini ialah daftar kata Pigafetta  yang merakamkan perbualan Magellan dengan lelaki Melayu beragama Kristian bernama Hendrick. Pigafetta mempelajari bahasa yang dituturkan dan menyalin beberapa perkataan dalam bahasa Itali dan dipadankan dengan perkataan Melayu.  Oleh sebab beliau bukan ahli bahasa, maka pertuturan yang disalin adalah berdasarkan ejaan Itali. Beliau telah berjaya mengumpulkan 426 perkataan dan rangkai kata Bahasa Melayu. Senarai ini kemudiannya disusun semula oleh Alessandrio Bausani dan dijadikan buku Perbendaharaan kata Itali-Melayu yang pertama.  

Sarjana Barat yang berusaha mengembangkan Bahasa Melayu ialah Casper Wittens yang menyusun kamus Bahasa Melayu-Belanda dan diperbaiki oleh Sebastian Danckaerts dan diterbitkan oleh Gravenhaghe pada tahun 1623 Masihi dan di Batavia pada tahun 1707 Masihi. Kamus ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh David Haex dan diterbitkan di Rom pada tahun 1631 Masihi.

Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis mengenai wilayah kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut, “bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.” Selain daripada itu, penggunaan Bahasa Melayu meluas dalam warkah-warkah rasmi sebagai utusan daripada raja Melayu. Antaranya ialah surat Sultan Aceh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601), surat Sultan Alauddin Shah dari Aceh kepada Harry Middleton (1602) dan surat sultan Aceh kepada raja Inggeris, King James (1612). Ketiga-tiga surat ini tersimpan di Perpustakaan Bodelein, London.

Thomas Bowrey menyusun kamus Inggeris-Melayu pada tahun 1701 Masihi dengan mengemukakan sedikit peraturan nahu. Kamus ini mencatat semua perkataan yang diingatinya (daripada bahasa lisan) sehingga berlaku banyak kesalahan ejaan. George Werndley seorang sarjana Bahasa Melayu menulis “Nahu Melayu” yang diterbitkan di Amsterdam pada tahun 1736 Masihi, M. John Howison menyusun kamus Inggeris-Melayu pada tahun 1801 dan P. Farve menyusun kamus Perancis-Melayu pada tahun 1871 Masihi.    

Zaman kedatangan Portugis merupakan detik permulaan pengaruh bangsa Eropah kepada bahasa dan kebudayaan Melayu. Selain daripada kuasa Portugis, pengaruh bahasa Belanda juga kelihatan dalam Bahasa Melayu khususnya perkembangan di Indonesia. Bagi Tanah Melayu pula, pengaruh Barat yang paling banyak mempengaruhi Bahasa Melayu ialah kedatangan kuasa Inggeris pada awal abad ke-19. Pengaruh ini masih lagi kelihatan khususnya dalam perkembangan ilmu Bahasa Melayu dan perkembangan peristilahan dalam pelbagai bidang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan