SALAM AIDIL FITRI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selama sebulan kita menahan diri dari makan dan minum di samping melatih seluruh anggota bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, anggota zahir dan batin agar sentiasa taat dan patuh kepada perintah ALLAH SWT. Syawal kini menjelma lagi dengan memberikan seluruh kehidupan ini bermula dengan “fitrah” (bersih) seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan berkat kerahmatan, keampunan dan kelepasan dari api neraka seperti yang dijanjikan oleh ALLAH swt.


Alangkah indahnya jika momentum ini dapat diteruskan lagi dalam semua lapangan kehidupan manusia. Jika kita seorang pemerintah jadilah kita seorang yang patuh dan taat melaksanakan segala hukum-hakam yang berpandukan Al Quran dan Hadith, jika kita seorang majikan jadilah orang yang menjaga kebajikan orang bawahan, jika kita seorang pegawai yang berkuasa bersihkanlah perut kita dari memakan rasuah, jika kita seorang guru, bersihkan hati kita dari rasa malas dan curi tulang dalam menjalankan amanah Allah, jika kita pula seorang bapa, maka jadilah seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap ahli keluarga dan jika kita seorang anak, kita jadilah seorang anak yang soleh dan solehah, yang tidak memberikan musibah kepada ibubapanya, yang membahagiakan ibubapa kita, di dunia mahupun di akhirat nanti. Siapa juga kita maka pastikanlah kita menjunjung segala perintah ALLAH dan menjauhkan diri sejauh-jauhnya dari larangan ALLAH swt. Moga kita akan terhindar jauh sejauhnya dari azab api neraka Allah swt. 


Sesungguhnya Ramadhan yang berlalu amat bererti untuk kita. Ramadhan adalah program tarbiyah untuk menjana manusia berkualiti tinggi laksana sifat-sifat sahabat Rasulullah dan para solehin. Namun agak malang mutakhir kini selepas menjalani proses pertarbiyahan serta pembersihan jiwa selama sebulan Ramadhan ini tiba sahaja Syawal maka sebulanlah kita didedahkan pula dengan hiburan Hari Raya yang melalaikan. Kenapa sambutan Aildilfitri perlu ada nyanyian, tari menari dan pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram? Inilah menunjukkan bahawa tarbiyah dari media massa lebih berjaya dari tarbiyah Ramadhan.


Sempena 1 Syawal ini, marilah kita menyeru dan mengajak diri kita dan rakan-rakan, muslimin muslimat sekalian supaya dapat meneruskan lagi “tamak haloba” kita untuk terus beribadah seperti yang kita sama-sama laksanakan dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Moga tarbiyah Ramadhan ini akan menjadikan kita muslim dan muslim dan muslimah sejati. Yang patuh dan sujud kepada perintah dan surahanNya.

Dikesempatan ini saya dengan rendah hati memohon kemaafan di atas ucapan yang tidak terjaga, janji yang tidak terkota, hati yang tidak terjaga dengan prasangka,dan semua sikap yang lara, yang pernah menyakitkan hati semua insan-insan yang pernah dikenali mahupun tidak. ssesungguh yang baik itu hanya dari ALLAH swt dan yang buruk itu dari diri ini. Moga keikhlasan hati semua dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara kita. Amin

Sekian, terima kasih.

HURAIAN TATABAHASA DALAM SUKATAN PELAJARAN KBSR DAN KBSM

Sistem Bahasa
Bagi pengetahuan anda, sistem bahasa berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa.

Penerangan ringkas tentangnya dinyatakan di bawah. 
(a) Tatabahasa
 
Tatabahasa hendaklah dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang dalam konteks untuk ketepatan berbahasa. Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaktis.
 
(b) Morfologi
 
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk kata dan penggolongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ajaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan.
 
Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Aspek morfologi yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut: 

(i) Struktur kata merujuk kepada pola suku kata bagi
  Kata asli bahasa Melayu
  Kata pinjaman bahasa Melayu

(ii) Bentuk kata
  Kata tunggal
  Kata terbitan
  Kata majmuk
  Kata ganda
 
(iii) Proses pembentukan kata bahasa Melayu ialah:
  Pengimbuhan
  Penggandaan
  Pemajmukan
 
Antara ketiga-tiga proses pembentukan kata, yang amat kompleks ialah sistem imbuhan bahasa Melayu. Oleh itu, penekanan hendaklah diberikan kepada aspek penggunaan imbuhan yang betul dari segi bentuk dan makna.
 
(iv) Golongan kata
! Kata nama
! Kata kerja
! Kata adjektif
! Kata tugas
 
(c) Sintaksis
 
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah
penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Aspek sintaksis yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut:
(i) Unsur utama yang terdiri daripada kata frasa, klausa dan aspek pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat;
(ii) Jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan;
(iii) Ragam ayat iaitu ayat aktif dan ayat pasif;
(iv) Susunan ayat iaitu susunan biasa dan songsang;
(v) Binaan dan proses penerbitan ayat:
! Ayat dasar;
! Ayat tunggal; dan
! Ayat terbitan atau ayat majmuk.
(vi) Aspek tanda baca.
 
(Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR dan KBSM 2003).



KONSEP PENTING TATABAHASA DALAM KBSR DAN KBSM

Morfologi
Untuk pengetahuan anda, dalam morfologi, morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata tersebut terdiri daripada satu unit atau satu morfem. Misalnya minum. Minum tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada mi dan num. Sebaliknya, kata diminum boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di dan minum. Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.

Jenis Morfem
Morfem dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat (imbuhan)

Morfem Bebas
- boleh berdiri sendiri contohnya: minum, cuti, sekolah dan periksa
- mempunyai maksud sendiri

Morfem Terikat / Imbuhan
- bentuk imbuhan iaitu mem, per, kan, ber.....
- tidak mempunyai makna tetapi mengandungi fungsi tatabahasa atau nahi yang boleh mengubah makna sesuatu kata seterusnya makna ayat.

TEORI HURAIAN BAHASA

Apakah maksud teori huraian bahasa? Teori bahasa ialah pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang bahasa. Oleh yang demikian, kita dapat memahami teori huraian bahasa sebagai pendapat yang memerihalkan teori dalam bahasa, iaitu pandangan atau pemikiran tokoh-tokoh tentang huraian
bahasa.

Terdapat empat aliran pemikiran teori huraian bahasa, iaitu;

(a) Teori Tradisional (Panini)
Teori Tradisional oleh Panini (ahli tokoh fonetik India) menganggap bahawa bahasa ialah ucapan fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara. Selain itu, ciri nahu teori ini mementingkan bahasa tulisan. Dalam hubungan ini, semua bahasa mempunyai peraturan yang sama dengan bahasa Yunani. Di samping itu, semua penutur diwajibkan untuk mematuhi peraturan dan kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan.

(b) Teori Struktural (Bloomfield)

Teori ini dipelopori oleh Bloomfield, Edward Sapir, de Saussure dan Otto Jespersen. Mereka berpendapat
bahawa bahasa ialah sistematis, mempunyai tatabahasa yang tersendiri, hidup dan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa perkaitan antara fonem sebagai unit bahasa yang terkecil, dan unit tatabahasa dan ayat dapat dianalisis secara konstituen terdekat. Dalam kajian nahu pula mereka berpendapat bahawa bahasa sebagai sistem yang mempunyai ciri peraturan, sistem, arbitari untuk perhubungan. Mereka menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Golongan struktural juga berpendapat bahawa huraian bahasa dilakukan secara induktif. Mereka juga berpendapat bahawa huraian bahasa tidak mementingkan makna dan analisis dibuat secara luaran.
Leonard Bloomfield

(c) Teori Transformasi Generatif (Chomsky)

Teori yang dipelopori oleh Noam Chomsky ini bersetuju bahawa manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Penutur natif berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang baharu. Daripada kebolehan ini, akan terbentuklah rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap berdasarkan bahasa pertama terlebih dahulu. Binaan ayat biasanya mempunyai hubungan erat antara elemen dan menggunakan simbol atau rumus untuk menganalisis nahu. Sesuatu binaan ayat dapat dihuraikan dengan memahami stuktur luaran dan stuktur dalaman.

Noam Chomsky

(d) Teori Fungsional (Halliday)

Halliday dan Wilkins mempelopori teori fungsional. Teori ini berkembang pada tahun 1960- an dan 1970-an. Penteori ini mengkaji bahasa dari segi struktur dan fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Di samping itu, mereka menganggap bahawa bahasa sebagai alat pertuturan. Oleh hal yang demikian, dapatan mereka ini mementingkan aspek semantik. Mereka bersetuju bahawa kewujudan variasi dalam penggunaan bahasa tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur. Golongan ini beranggapan bahawa pengukuhan bahasa adalah secara verbal dan non-verbal. Aliran dan golongan ini bukan sahaja mengkaji bahasa daripada segi struktur tetapi memberi perhatian juga kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.

Halliday

KEDUDUKAN PSIKOLINGUISTIK DALAM KAJIAN BAHASA

Ahli-ahli bahasa berpendapat bahawa psikolinguistik menduduki tempat yang penting dalam kajian bahasa. Bidang ini banyak membantu menyelesaikan persoalan bahasa. Hal ini sudah lama diakui oleh ahli linguistik dan ahli psikologi kerana mereka sudah lama bekecimpung di dalam bidang ini.

Menurut Mangantar (1987), secara amali disiplin ini cuba menerapkan pengetahuan linguistik dan psikologi terhadap penyelesaian masalah bahasa. Antaranya adalah seperti masalah pengajaran dan pembelajaran termasuk pengajaran bacaan, kedwibahasaan dan multibahasaan, serta penyakit bertutur seperti afasia dan gagap, komunikasi, pemikiran manusia, dialek, pidginisasi dan kreolisasi dan masalah sosial lain yang melibatkan bahasa.

Bidang psikolinguistik muncul berdasarkan kesedaran ahli bahasa bahawa kajian bahasa tidak boleh dilakukan secara persendirian tetapi perlu dilakukan secara kerjasama dengan disiplin lain. Bidang ini telah berkembang dengan pesat kebelakangan ini sehingga dapat melahirkan pelbagai subdisiplin. Rajah1.3 menunjukkan cabang-cabang bidang psikolinguistik.
 
Rajah 1.3: Cabang-cabang Psikolinguistik


Disiplin-disiplin ini telah memberi sumbangan cukup bermakna kepada kemajuan masyarakat secara amnya dan kepada bahasa secara khususnya. Ia juga sudah menjadi salah satu kursus penting yang diajarkan di universiti dan institut perguruan di negara kita memandangkan kepentingan bidang ini.

TEORI PSIKOLINGUISTIK

Apakah itu teori psikolingistik? Bagi sesetengah pelajar perkataan teori agak menakutkan. Namun begitu, teori hanyalah bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Oleh yang demikian kita dapat memahami bahawa teori psikolinguistik adalah sesuatu pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang psikolinguistik. Justeru, teori psikolinguistik dianggap sebagai teori moden yang berdasarkan hasil kajian terbaharu mengenai hakikat kognitif manusia.

Noam Chomsky
Tokoh yang mempelopori teori psikolinguistik ialah Noam Avram Chomsky pada tahun 1957. Tokoh ini
telah membawa revolusi dalam bidang linguistik, khususnya psikolinguistik. Tokoh unggul ini berpendapat bahawa otak manusia dipraprogramkan oleh mekanisme kognitif yang disebut sebagai Peranti Pemerolehan Bahasa atau Language Acquistion Device (LAD). Alat ini telah membolehkan individu untuk menjana ayat gramatis dengan cara sejagat atau bebas budaya. Chomsky telah memperkenalkan beberapa perkara melalui teori kod kognitifnya. Bagi anda yang tidak faham akan maksud kognitif, apa kata luangkan sedikit masa untuk merujuk kamus ataupun pencarian melalui web. Anda juga boleh berbincang dengan tutor untuk
mendapat penjelasan lanjut semasa di kelas.
 
Berbalik kepada teori kod kognitif Chomsky. Menurutnya, setiap manusia yang dilahirkan di dunia sudah ada kecekapan untuk berbahasa apabila sampai waktunya. Potensi berbahasa ini sebenarnya ialah sifat akal, iaitu yang bersifat semula jadi. Dengan yang demikian, akalnya membolehkan seseorang untuk menerbitkan perkataan atau ayat yang tak terkira. Chomsky juga berhujah bahawa peringkat permulaan belajar bukan sahaja terhad kepada operasi rangsangan dan tindak balas, malah proses kognitif turut terlibat dalam proses pembelajaran tersebut. Tanpa peranan kognitif perkembangan bahasa terbatas pada hal yang dialami sahaja.

Seterusnya, beliau berpendapat bahawa bahasa bersifat kreatif. Penghasilan sesuatu bahasa itu tidak terbatas kepada objek dan peristiwa atau pengalaman yang dapat digarap oleh perilaku semata-mata. Ujar beliau, semua komponen bahasa berkembang secara kreatif, mengimbau atau melangkau batasan pengalaman naluri, iaitu rangsangan dan tindak balas. Oleh sebab daya kreativiti itu, maka setiap kalimat seseorang mendengar, bertutur, membaca dan menulis adalah sesuatu yang baharu. Chomsky berpendapat bahawa bahasa yang dipelajari melalui satu set rumus yang digunakan untuk menerbitkan kalimat baharu itu. Di sini beliau memperkenalkan dua istilah seperti berikut:
i.   Kompetens
ii.  Prestasi
 
Chomsky menjelaskan bahawa setiap penutur dan pendengar mempunyai kompetens dan prestasi. Kompetens dapat diertikan sebagai sistem rumus yang mampu menghasilkan kalimat yang tidak terbatas. Dengan kata lain, kompetens ialah pengetahuan penutur mengenai bahasanya. Ia merupakan unsur dalaman dan berada di dalam otak. Sementara prestasi pula dapat diertikan sebagai bunyi-bunyi yang dilafazkan. Bunyi-bunyi ini bermakna dan dapat difahami oleh pendengarnya. Berbaze dengan kompetens ia terletak di bahagian luar otak.

Seterusnya, Chomsky menerangkan bahawa tatabahasa generatif dalam otak diperoleh oleh penutur daripada otaknya sendiri. Ini adalah kerana penutur telah pun mempunyai tatabahasa sejagat yang diperoleh secara semula jadi. Semasa seseorang kanak-kanak itu membesar, dia sudah tentu akan dipengaruhi oleh persekitaran. Setelah berumur lima tahun, kanak-kanak itu akan membentuk tatabahasa generatif dalam otaknya. Dengan menghubungkan tatabahasa sejagat dan pengalaman daripada persekitarannya, kanak-kanak itu akan dapat menghasilkan tatabahasa generatif pada taraf kompetens. Setelah kanak-kanak memperoleh kompetens, dia akan mempunyai prestasi.
 
Kompetens seumpama ini seterusnya menghasilkan prestasi. Kemudian prestasi ini pula akan menghasilkan elemen seperti ayat-ayat yang didengar oleh pendengar, iaitu dari telinga ke dalam otak dan mengulangi pula proses yang sama apabila pendengar bertutur.
 
Teori linguistik Chomsky menekankan bahagian dalam bahasa yang berupa proses mental yang dapat menghasilkan bahasa tanpa perangsang daripada luar. Teori ini memakai skema S-O-R (stimulus-organism-response) yang menganggap bahasa sebagai pengetahuan yang dihasilkan oleh sesuatu dalam otak dan saraf setelah menerima unsur-unsur dalam bentuk perangsang daripada pancaindera. 

Sehubungan itu, Chomksy telah memperkenalkan teori linguistik yang disebut Nahu Transformasi Generatif (TG). Teori ini menerangkan bahawa kanak-kanak mempunyai LAD yang dibawa sejak lahir yang memungkinkan kanak-kanak itu memperoleh bahasa ibundanya dengan mudah. Dengan adanya LAD, kanakkanak dapat memilih bentuk-bentuk yang diterima dalam bahasa itu, dan 
menolak bentuk-bentuk yang bukan struktur bahasa berkenaan.

MATLAMAT PSIKOLOGUISTIK

Sebelum meneruskan perbincangan, kita haruslah memastikan bahawa kita telah benar-benar memahami konsep psikolinguistik. Ia adalah penting kerana terdapat perkaitan dengan persoalan seterusnya iaitu, mengapakah kita perlu mempelajari bidang ini? Tentunya, ada matlamat dan sebab mempelajarinya. Marilah kita sama-sama meneliti hal tersebut.

Menurut George A. Miller (1965), ilmu psikolinguistik bertujuan untuk menghuraikan proses psikologi yang berlaku ketika orang menggunakan ayat. Beliau pernah menegaskan bahawa kelahiran disiplin ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ahli psikologi sudah lama mengakui bahawa otak manusia itu menerima simbol-simbol linguistik. Manakala ahli linguistik pula telah menerima hakikat bahawa sejenis motor psikososial telah dikenal pasti untuk menggerakkan mesin tatabahasa dan leksikon. Maka, tujuan utama psikolinguistik adalah untuk mencari satu teori bahasa yang munasabah dan unggul daripada segi linguistik dan psikologi, yakni teori yang mampu menerangkan hakikat bahasa dan pemerolehannya. Dengan demikian, psikolinguistik merupakan bidang ilmu yang berminat untuk mengetahui hal yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa.

Seperti yang telah disentuh dalam tajuk lalu, aspek-aspek yang berkaitan dengan perlakuan manusia yang melibatkan bahasa juga menjadi tumpuan dalam kajian bidang psikolinguistik. Adakah anda benar-benar faham tentang hari ini? Sebenarnya, bidang ini berusaha untuk mengenal pasti struktur dan proses yang mendasari kebolehan manusia untuk bercakap dan memahami bahasa. Oleh yang demikian, harus diingat bahawa ilmu psikolinguistik bukanlah bidang yang berminat untuk meneliti interaksi antara manusia, tetapi lebih berminat untuk meneliti hal yang berlaku di dalam diri individu. Selain itu, psikolinguistik juga mengkaji salah satu aspek terpenting dalam disiplin ini, iaitu cara-cara kanak-kanak menguasai bahasa. Oleh sebab skop tumpuan psikolinguistik adalah terhadap pemerolehan bahasa serta pembelajaran dan pengajaran bahasa, maka banyak masalah pemerolehan bahasa dan pengajaran dan pembelajaran dapat diselesaikan melalui kajian psikolinguistik. Persoalan tentang bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa memang merupakan satu persoalan yang sentiasa menjadi bahan perbincangan di kalangan mereka yang berkecimpung dalam bidang psikolinguistik dan pengajaran bahasa. Justeru, sumbangan psikolinguistik dalam pengajaran bahasa amat bernilai tinggi.

Berdasarkan takrif oleh Aitchison (1987), kita dapat membahagikan kajian psikolinguistik kepada empat aspek utama, iaitu:
(a)  Aspek yang berkaitan dengan pemerolehan pengetahuan bahasa pertama atau bahasa ibunda.
(b)  Aspek yang berkaitan dengan proses pemahaman input bahasa.
(c)  Aspek yang berkaitan dengan proses penghasilan output bahasa.
(d)  Aspek yang berkaitan dengan penyimpanan maklumat bahasa atau pengetahuan bahasa.