BAHASA MELAYU ERA GLOBALISASI


Istilah 'globalisasi' ialah satu istilah yang terlalu umum dan merangkumi berbagai-bagai perkara termasuk kesan-kesan ekonomi, budaya, teknologi, dan maklumat yang kini sudah mampu disebarkan ke seluruh pelusuk dunia dengan begitu cepat. Kata globalisasi diambil daripada kata ‘global’, yang bermakna universal. Oleh itu, globalisasi bermaksud  universalisasi ideologi kapitalisme, atau menjadikan kapitalisme sebagai satu-satunya ideologi dalam peradaban dunia. UNESCO mendefinisikan globalisasi sebagai set struktur dan proses  ekonomi, sosial, teknologi, politik, dan budaya terhasil daripada perubahan ciri-ciri dalam  pengeluaran, penggunaan, dan perdagangan barangan serta aset yang merangkumi asas kepada ekonomi politik antarabangsa.  Keith Porter melihat fenomena  kehidupan manusia di seluruh dunia yang lebih mudah berhubungan antara satu sama lain, aliran maklumat, kewangan, barangan dan perkhidmatan, perjalanan antarabangsa serta komunikasi antarabangsa sudah menjadi perkara biasa sebagai globalisasi.

“Era Globalisasi” menjadi istilah yang terkenal untuk menerangkan keadaan semasa. Sama seperti  istilah zaman kemelesetan, perang dingin, era angkasa lepas dan  gempakan abad 20 merupakan  istilah yang menjelaskan konsep tempoh dalam sejarah manusia. Globalisasi menghuraikan suasana politik, ekonomi dan budaya hari ini. Sesetengah orang mengatakan bahawa globalisasi sinonim dengan perniagaan global tetapi sebenarnya istilah ini memberikan makna yang lebih daripada konsep perdagangan semata-mata.  Kuasa yang sama juga yang telah membenarkan perdagangan dijalankan  merentasi sempadan negara-negara seolah-olah sempadan itu tidak wujud; malah dalam kegiatan sosial, pertubuhan buruh, kewartawanan, golongan akademik dan banyak lagi bidang telah mencecah ke perpantaian global.

Thomas Friedman dalam buku The Lexus and the Olive Tree (1999) menolak andaian Keith. Bagi beliau, globalisasi bukanlah satu fenomena. Konsep ini bukan satu tren atau aliran yang muncul dan kemudian berlalu begitu sahaja.  Globalisasi merupakan sistem antarabangsa lampau litup (overarching) yang membentuk politik domestik dan hubungan luar  tiap-tiap negara dan kita perlu memahami konsep ini sedemikian rupa.  Sebagai warga dunia yang prihatin kepada peristiwa semasa, tugas kita ialah meneliti istilah ‘globalisasi’ ini dari banyak segi, mengupasnya, dan mencari jalan bagaimana  hal ini bergerak dan kemudian kita haruslah memilih bahagiannya yang terbaik sahaja untuk dikembangkan. Namun begitu, pemilihannya tentulah subjektif bergantung kepada siapa dan untuk apa pilihan itu dibuat.  Kita seharusnya melihat globalisasi bukan sesuatu untuk dipuja atau digeruni, sebaliknya menguruskan globalisasi sebaik mungkin untuk kebaikan semua pihak.
Globalisasi merupakan istilah yang dikaitkan dengan kajian ekonomi, sosiologi dan budaya merupakan barisan depan pembuatan banyak polisi di hemisfera Barat bagi tempoh dua abad yang lalu.  Polisi terkini globalisasi tertumpu pula kepada neo-liberalisme, satu ideologi  untuk menggalakkan kebebasan perdagangan, pasaran, hak pilihan individu dan pengurangan peraturan pemerintah (Steger:2002).  Sebenarnya tidak ada satu istilah yang benar-benar tepat mendefinisikan globalisasi, walaupun negara-negara seperti Amerika dan United Kingdom cuba mendefinisikan istilah ini melalui perdebatan akademik dan wacana pidato umum. Para sarjana cuba memberikan huraian yang luas bagi istilah ini, iaitu “peningkatan hubungan global, melibatkan proses yang panjang dan kompleks, dipacu oleh pengaruh politik dan ekonomi dan juga aliran kapital, manusia, dan idea merentangi sempadan kebangsaan” (Steger:19).

Kesukaran sarjana untuk menentukan apakah yang dimaksudkan dengan globalisasi mungkin disebabkan istilah ini mendukung konsep dalam ekonomi, politik dan budaya. Evolusi dalam perdagangan antarabangsa dan institusi ekonomi seperti Kesatuan Eropah telah membawa kepada ketergantungan global antara negara-negara tersebut. Dari sudut pandangan ekonomi, globalisasi melibatkan hubungan pertukaran antara ekonomi nasional melalui perdagangan dan pelaburan langsung oleh firma multinasional.  Hal ini juga berkaitan dengan mobiliti buruh, keupayaan menghasilkan barangan yang baik menggunakan bahan mentah dan buruh murah dari Dunia Ketiga. Transaksi kewangan dilakukan secara transnasional, membenarkan mobiliti yang lebih besar kepada institusi kewangan dan meningkatkan peluang pelaburan global. Globalisasi ekonomi serta aliran kapital, wang dan teknologi merentasi  sempadan, kerap kali mempersoalkan kawalan pemerintah ke atas dasar ekonomi. Ahli strategi perniagaan Jepun, iaitu Kenichi Ohmae berhujah bahawa semakin kurang relevan sempadan teritorial maka semakin kurang  relevanlah peranan pemerintah dan akhirnya globalisasi politik menghasilkan “beberapa siri ekonomi wilayah” yang dihubungkan dengan siri prinsipal pasaran bebas (Steger:29).  

Persoalan globalisasi sering membawa debat tentang kemungkinan globalisasi menyebabkan kehomogenan atau keheterogenan budaya atau  diversifikasi yang lebih besar. Budaya global dibentuk oleh perbadanan media yang berkuasa menggunakan teknologi komunikasi terkini. Bunyi dan imej dipindahkan merentasi sempadan memberikan kesan terhadap cara berfikir masyarakat global. Budaya tidak lagi dihadkan kepada lokaliti tertentu dan budaya global akan sentiasa mencabar nilai yang sedia ada yang menghubungkan budaya dengan ketetapan setempat.  Budaya global yang mengandungi nilai Anglo-Amerika inilah yang dipindahkan melalui barangan dan perkhidmatan serta gaya hidup yang berbeza  dengan masyarakat setempat.  Hal ini akan memberikan kesan dalam jangka masa panjang kepada keruntuhan budaya dan nilai sedia ada dan mengancam jangka hayat budaya setempat tersebut.  

Budaya Amerika kemungkinan besar tersebar melalui dominasi ekonomi dunia   pasaran antarabangsa. Antara persoalan keheterogenan dan kehomogenan  budaya akibat globalisasi, lahirlah idea tentang budaya niche yakni pengwujudan dan pengekalan budaya sedia ada di setengah-setengah tempat di dunia ini. Ahli sosiologi Roland Robertson mengatakan budaya setempat akan mengukuhkan kedudukannya dalam niche geografi yang kecil sebagai tindak balas terhadap globalisasi. Hal ini membawa kepada ‘glokalisasi’, iaitu interaksi kompleks global dan setempat, dicirikan dengan peminjaman budaya. Dalam konteks tulisan ini, globalisasi dapat dikatakan unsur dalam dunia ekonomi moden perdagangan bebas, pergerakan kapital bebas,  pertumbuhan badan regulatori antarabangsa, dan pengembangan badan korporat multinasional yang bakal mempengaruhi suasana sosiobudaya, politik dan ekonomi negara kita. Dunia global merupakan satu jaringan saling bergantung pada jarak besar apabila pasaran mengikat manusia secara ekonomi dan kebergantungan enviromental, politik, ketenteraan, budaya,  dan sosial.  Globalisasi ini akan memberikan kesan kepada governans domestik dan ini termasuklah perancangan dasar bahasa negara yakni perancangan Bahasa Melayu. 

Globalisasi sering dikaitkan dengan proses menjadikan dunia satu perkampungan sejagat yang berkembang pesat sejak akhir-akhir ini. Thomas Friedman, dalam bukunya The Lexus and The Olive Tree: Understanding Globalization menganggap globalisasi sebagai 'Orde Baru Dunia' yang diwarwarkan oleh kuasa-kuasa Barat selepas tamatnya Perang Dingin dengan blok Komunis. Ramai mengaitkan globalisasi dengan ideologi neo-liberalisme yang kini menjadi pilihan begitu banyak kuasa-kuasa dunia. Ada pelbagai definisi mengenai gelombang persejagatan yang melanda dunia dewasa ini. Namun secara umumnya, bolehlah dikatakan bahawa globalisasi membawa maksud proses saling bergantungan yang makin meningkat bagi seluruh dunia yang semakin kecil. Dunia semakin hari menjadi entiti yang 'satu'.
Dari segi bahasa pula, jelas sekali Bahasa Inggeris muncul sebagai bahasa global.  Apa yang menarik dalam hal ini ialah dalam usaha menobatkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa global, muncul  pula mitos tentang kekuatan Bahasa Inggeris. Mitos pertama ialah apabila kehomogenan telah menguasai seluruh dunia, pengaruh budaya  dan citarasa Amerika akan menular segenap penjuru dunia kerana Bahasa Inggeris dilihat sebagai bahasa ideologi Barat dan bahasa perdagangan. Satu lagi mitos ialah pembinaan bangsa sedang mengalami keruntuhan akibat globalisasi. Thomas Friedman, penulis ruangan pojok dalam New York Times, mengatakan bahawa kemunculan badan korporat global, aliran keluar wang yang melampau serta kelahiran institusi multilateral seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) merupakan unsur-unsur yang meruntuhkan pembinaan bangsa seolah-olah dunia ini sudah menjadi monobudaya dan monobahasa. Pun begitu mitos ini tidaklah boleh dipegang tanpa asas-asas yang kukuh. 

Perbincangan mutakhir mengenai globalisasi sering berasaskan anggapan bahawa globalisasi merupakan fenomena yang baru dan belum pernah berlaku. Banyak yang melihatnya sebagai satu gelombang besar yang akan menghancurkan ‘tembok-tembok’ yang memisahkan umat manusia kepada negara, bangsa dan suku. Sesetengah aspek globalisasi dewasa ini  seperti kepesatan dan pencapaian dalam sesuatu perkara misalnya teknologi komunikasi  tidak pernah disaksikan dalam sejarah. Namun, jika globalisasi dilihat sebagai satu pertembungan atau pertemuan peradaban dan budaya, Asia Tenggara sudah melalui globalisasi selama berabad-abad lamanya. Sejarah membuktikan bahawa tidak ada masalah bagi masyarakat di rantau ini menyesuaikan diri  walaupun apa yang berlaku itu berbeza dengan tradisi dan kepercayaan di rantau ini. Bangsa Melayu sendiri menerima pelbagai pengaruh  luar seperti India, Cina, Belanda, Portugis, Arab dan  Inggeris.  Asimilasi berlaku secara perlahan-lahan  dan masyarakat menerima perubahan ini secara beransur-ansur.

Walaupun dikatakan globalisasi meningkatkan kehomogenan tetapi sebenarnya globalisasi juga menyebabkan keadaan keheterogenan semakin meningkat. Dunia yang sudah bebas daripada persaingan kuasa-kuasa besar mulai mengenali keperluan saling bergantung antara satu dengan lain dan ini melahirkan dunia aneka jenis. Dunia tanpa Perang Dingin antara kuasa-kuasa besar bermakna meningkatnya juga pusat kuasa bukan satu, malah lebih daripada satu. Boleh dikatakan tidak terdapat satu pusat kewangan atau pusat politik yang unggul di dunia ini.  Malah dengan peningkatan dalam komunikasi dan teknologi bermakna tidak ada lagi unit yang terpusat dan dunia semakin difragmenkan serta individualistik. Misalnya industri pembuatan  seluar jeans Levi Strauss dipasarkan secara komputer, syarikat Dell menggunakan sistem dalam talian untuk pemasaran, pasaran menawarkan lebih banyak pilihan dan menembusi seluruh pelusuk dunia.  Dari segi penyebaran maklumat, sekiranya anda berada di Jepun anda masih boleh   membaca akhbar harian di Perancis, atau menonton perlawanan bola sepak di Eropah dan sebagainya. Teknologi membenarkan kewujudan komuniti maya atau virtual, satu lagi bentuk keanekaan jenis. Tegasnya di sini, terdapat banyak pilihan  bagi pengguna.
Penggunaan internet juga memperlihatkan kemunculan bahasa lain selain daripada Bahasa Inggeris. Global Reach (2001) mendapati 220 juta penutur jati Bahasa Inggeris mempunyai hubungan langsung dengan internet dan jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, jumlah pengguna internet bukan berBahasa Inggeris juga telah meningkat lebih daripada 560 juta pada tahun 2003.  Pun begitu perbincangan tentang peranan bahasa dalam globalisasi dan kesannya kurang diberikan perhatian.  Hal ini mungkin kerana hakikat bahawa peratus besar penggunaan internet oleh elit berpendidikan Inggeris dan kebanyakan penulis serta pengulas tentang isu globalisasi berbahasa Inggeris, persoalan bahasa selain daripada Bahasa Inggeris diketepikan. Secara linguistiknya, memang tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris sudah muncul sebagai bahasa lingua franca yang dituturkan untuk tujuan komunikasi merentangi pelbagai bidang. Bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca juga merupakan bahasa pertuturan segmen elit tertentu di dunia ini, sebagai lambang prestij atau kedudukan dalam masyarakat tetapi kita harus ingat bahawa jumlah golongan ini tidak begitu besar dibandingkan dengan jumlah penduduk dunia ini. 
Rajah 5.1: Populasi bahasa dalam talian.
Populasi penggunaan bahasa di internet dapat dilihat seperti di Rajah 5.1. Secara umumnya, jumlah pengguna yang berbahasa natif Bahasa Inggeris tidak dijelaskan di sini. Gambaran yang diberikan ialah pengguna yang menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengakses internet. Kelihatan bahawa Bahasa Cina sudah mulai mendapat tempat di kalangan pengguna internet. Bahasa-bahasa lain mulai berkembang seperti Sepanyol, Jepun, Jerman dan sebagainya. Oleh itu kemungkinan Bahasa Melayu juga mendapat tempat tidak mustahil. Berdasarkan statistik menunjukkan Bahasa Melayu dituturkan oleh 8.7 penutur dalam menggunakan talian internet dan 8.1 juta pengguna Bahasa Indonesia. Bahasa Melayu juga dituturkan oleh 15% daripada 2.14 juta penduduk di Singapura. Terdapat kira-kira 14.2 juta penutur berbahasa Melayu menggunakan internet.
Kini segenap masyarakat dunia sedang mengalami suatu transformasi yang amat ketara. Keadaan ini bagaikan sebuah reformasi budaya sedunia yang mempengaruhi segenap lapisan masyarakat. Perubahan dalam kehendak dan pemikiran masyarakat amat jelas. Kita hidup dalam arus 'globalisasi' yang begitu banyak digembar-gemburkan oleh dunia Barat. Pengertian globalisasi yang pada asalnya diarahkan kepada keterbukaan dalam aktiviti ekonomi sedunia kini telah mula merangkumi keterbukaan dan perubahan dalam aspek politik, sosial dan pemikiran di negara-negara seluruh dunia. Perubahan-perubahan mendadak dalam cara hidup segenap lapisan masyarakat dunia dikatakan sebagai merupakan natijah daripada globalisasi. Mahu tidak mahu, tidak kira sama ada kesan yang timbul akibat daripada perubahan ini positif atau negatif, kita secara langsung dan tidak langsung terdedah kepada kesan-kesan globalisasi. Hari ini, walau di mana kita berada, kita tidak akan dapat mengelakkan diri daripada bahang globalisasi yang datang daripada pergerakan bebas manusia, produk, pemikiran, dan cara hidup dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Kajian tentang kaitan bahasa dan ekonomi  telah dijalankan oleh Albert Breton dari Kanada. Hal ini berkaitan dengan pendekatan yang melihat bahasa sebagai unsur kapital manusia. Bahasa merupakan unsur penting dalam komunikasi. Tanpa bahasa komunikasi akan menjadi sukar dan ilmu juga tidak dapat berkembang.  Bahasa juga merupakan alat untuk kita berfikir dan mempunyai unsur-unsur yang dapat dinilai, diubah, diperbaiki, diganti dan disesuaikan dengan bahasa lain atau unsur-unsur lain. Antara komponen pengetahuan  dalam kapital manusia ialah bahasa ibunda  dan juga bahasa-bahasa lain. Oleh itu dalam era globalisasi, mempelajari lebih daripada satu bahasa merupakan sumber pelaburan – yuran pengajian, kamus, kaset serta buku-buku rujukan dan sebagainya  merupakan bentuk kapital manusia. Bahasa ibunda merupakan agen utama dalam sosialisasi primer bagi seorang kanak-kanak dengan bantuan ahli keluarga. Bahasa ini dikatakan kapital yang diwarisi oleh manusia.  Selepas menguasai bahasa ibunda, baharulah kanak-kanak akan mempelajari bahasa keduanya, sama ada Bahasa Inggeris, Cina, Tamil, Arab dan lain-lain.  Terdapat juga dalam situasi tertentu lebih daripada satu bahasa lingua franca boleh wujud apabila masyarakat memilih untuk menggunakan. Bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan boleh dikatakan lingua franca dalam konteks ini. Bahasa Inggeris  boleh wujud seiring dengan Bahasa Melayu di rantau ini.  Persoalan pokoknya ialah kemahuan masyarakat penutur itu sendiri. Apa yang berlaku hari ini ialah masyarakat dimomokkan dengan istilah globalisasi dan keagungan Bahasa Inggeris, hinggakan kita tidak yakin dengan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan; hanya senang dengan nostalgia bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca tetapi kini tidak lagi. 

Statistik terkini memang menunjukkan bahawa Bahasa Inggeris mendominasi bahasa dalam halaman web tetapi ada dapatan menunjukkan bahasa Cina mulai mendapat perhatian. Malah Cina melancarkan rangkaian kartunnya ke luar negara dan Viacom pula melancarkan stesen TV kanak-kanak Nickleodeon di China. Berbeza dengan perkembangan Bahasa Cina, globalisasi memberikan impak terhadap bahasa-bahasa di India dari segi status dan pilihan bahasa yang menentukan pola, struktur dan fungsi dan perkembangan bahasa itu sendiri. Bahasa-bahasa di India terpaksa berjuang untuk memastikan mendapat pengiktirafan oleh pemerintah.  Dasar Pendidikan Nasional yang diluluskan oleh Kongres India pada tahun 1920 menjadikan bahasa-bahasa di India sebagai bahasa pengantar tetapi Bahasa Inggeris kekal menjadi bahasa rasmi, pendidikan Bahasa Inggeris terus berkembang. Apabila merdeka, tidak terdapat satu pun dokumen yang mengisytiharkan ‘dasar bahasa’ India. Hal ini menimbulkan banyak masalah dalam pentadbiran negara dan terdapat beberapa akta yang memberikan ruang untuk memberikan status kepada beberapa bahasa yang terpilih dalam bahasa terjadual, bahasa rasmi, bahasa wilayah, bahasa oriental, bahasa klasik, bahasa minor, bahasa minoriti dan bahasa tribal.  Banyak penutur dalam wilayah dan daerah di India mula bergerak ke arah penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya akibat globalisasi dan kemungkinan ada bahasa yang akan mati dalam proses tersebut. Malaysia masih lagi berpeluang untuk memperbaiki keadaan. Globalisasi tidak seharusnya dilihat faktor  utama untuk mengubah dasar bahasa negara tetapi kita seharusnya mempertahankan Bahasa Melayu dan memperkembangkan lagi penggunaan Bahasa Melayu agar kembali menjadi bahasa lingua franca sekurang-kurangnya di  rantau ini.

Globalisasi juga menerjah masuk ke dalam Bahasa Jerman. Christian Meier mengatakan kemasukan yang begitu banyak kata-kata Inggeris ke dalam perbendaharaan kata Bahasa Jerman merupakan unsur penting pengaruh globalisasi yang dinamakan sebagai “anglizisimes”. Beliau mendapati juga kebanyakan syarikat, sama ada yang bergerak di peringkat antarabangsa atau kebangsaan di Jerman, sudah mulai meninggalkan slogan dalam bahasa Jerman sebaliknya berpindah ke Bahasa Inggeris. Apabila kemasukan produk baharu, maka pengaruh dan kaedah baharu juga diperkenalkan melalui bahasa, sama ada dalam bahasa ibunda atau Bahasa Inggeris. Ini merupakan proses biasa yang berlaku dalam mana-mana bahasa. Bahasa yang hidup perlu menerima perubahan bagi menjamin kesinambungan bahasa tersebut. Namun demikian, beliau melahirkan kerisauan akan tiba masanya semua bahasa di dunia akan berada pada tahap bahasa kedua pada satu ketika nanti.

Di Indonesia pula, pada tahun 1920-an, penutur Bahasa Indonesia (pada ketika itu Bahasa Melayu)  berjumlah 2.8 juta daripada sejumlah 57 juta penduduknya. Pada tahun 1940-an meningkat sehingga 3.75 juta dan pada tahun 1990 meningkat menjadi 131 juta. Dengan kedudukannya sebagai bahasa nasional, kehadiran Bahasa Indonesia diterima oleh seluruh warga suku bangsa dengan tangan terbuka.  Dalam hal ini, terbukti bahawa Bahasa Indonesia mampu menjadi wahana penyatu berbagai-bagai suku bangsa yang memiliki latar sosial, budaya dan agama  yang berbeza-beza menjadi satu bangsa, iaitu bangsa Indonesia. Globalisasi memasuki alam Indonesia hingga menyebabkan berlakunya globalisasi kebudayaan yang pastinya melibatkan bahasa. Bahasa sebagai unsur budaya memainkan peranan penting memenuhi wahana keperluan ekonomi di samping keperluan lain.  Sebagai sebuah negara yang berkembang dan memiliki sumber daya alam dan budaya yang besar, Indonesia menjadi negara tumpuan bangsa asing dan berhubungan dengan Indonesia. Walaupun telah ada wadah Bahasa Inggeris untuk komunikasi antarabangsa, namun ramai antara warga asing yang mendambakan diri untuk bertutur dalam Bahasa Indonesia dalam melaksanakan kerjasamanya. Jelas sekali bahawa Bahasa Melayu juga mampu menjadi sedemikian utuh seperti Bahasa Indonesia walaupun globalisasi menerjah masuk. Untuk menghadapi persiapan itu, Bahasa Indonesia berani melakukan usaha untuk memperkaya kosa kata agar dapat menampung konsep moden setepat mungkin. Ardika (2001) berpandangan inilah peluang  yang amat baik untuk mengukuhkan Bahasa Indonesia kerana Bahasa Indonesia akan menjadi jendela bagi orang asing untuk melihat keanekaragaman budaya Indonesia melalui penguasaan Bahasa Indonesia dalam mengekspresikan kebudayaan Indonesia. Malaysia seharusnya mengambil iktibar ini dalam memperkukuhkan Bahasa Melayu. Tidak semua globalisasi itu memerlukan Bahasa Inggeris, malah peluang yang diambil oleh Indonesia dalam bidang budaya mempamerkan kesempatan yang ada digunakan dengan bijaksana.

Kita menyedari hakikat bahawa abad ke-21 ialah abad globalisasi, yakni kemajuan sains dan teknologi serta kemajuan teknologi maklumat yang cepat pacuannya hinggakan Bahasa Melayu terasa terpinggir  dalam perlumbaan tersebut.  Tambahan pula faktor sejarah memudahkan kita memberikan alasan untuk menggunakan Bahasa Inggeris kerana kita dijajah oleh Inggeris, berbeza dengan Indonesia yang dijajah oleh Belanda.  Dalam konteks Malaysia, bahasa antarabangsa ialah Bahasa Inggeris. Kepentingan Bahasa Inggeris akibat globalisasi tidak seharusnya menutup hakikat bahawa Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar di negara ini.  Bahasa Inggeris ialah bahasa menimba ilmu tetapi bukan bahasa ibunda. Bahasa Inggeris perlu dipelajari kerana fungsinya tetapi bukan untuk mengambilalih status Bahasa Melayu yang sedia termaktub dalam perlembagaan.  Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa mereka tersendiri walaupun Singapura mungkin berbeza dengan mewujudkan empat bahasa rasminya, iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.  

Di Malaysia, Bahasa Melayu ialah perhubungan antara rakyat dan mencerminkan jati diri. Daya kreativiti Bahasa Melayu dalam sastera masih lagi dalam Bahasa Melayu.  Bahasa Melayu seharusnya menjadi penggerak tamadun bangsa Malaysia. Kedinamikan Bahasa Melayu dapat dilihat dalam penciptaan istilah dan kebolehlenturan Bahasa Melayu menyerap unsur asing untuk mengungkap konsep asing harus digunakan sebaik mungkin. Kemasukan unsur asing dikawal melalui peraturan yang ditetapkan oleh pembuat dasar dan badan pelaksana (Dewan Bahasa dan Pustaka).  Inilah yang harus disemaikan di kalangan generasi hari ini agar tidak keliru dengan gelombang globalisasi hinggakan terlupa peranan Bahasa Melayu dalam mencorakkan pemikiran dan pembudayaan masyarakat Malaysia yang seharusnya mengekalkan ciri-ciri kesantunan, kehalusan, keindahan, dan keperibadian  ciri-ciri  Melayu.   

BAHASA MELAYU DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)


Apakah yang kita faham tentang istilah teknologi? 
Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah (Wikipedia, 2007).

Apakah hubungan teknologi dengan maklumat dan komunikasi? 
Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuknya sangat luas, iaitu  berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah dapat dikatakan sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu (Wikipedia, 2007). Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan sebagainya. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. Namun demikian, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting untuk menyebarkan  ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat di Malaysia. 

Apakah pula hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK)?  
Bahasa merupakan alat untuk berhubung antara anggota masyarakat. Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu. Strategi yang perlu dirancang ialah memperkukuhkan kekuatan bahasa secara dalaman yang telah terbina sekian lama.  Masyarakat pengguna Bahasa Melayu perlu bersikap terbuka dan bersedia menerima cabaran perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang dipengaruhi oleh bahasa asing, iaitu Bahasa Inggeris. Usaha untuk membentuk peristilahan Bahasa Melayu dalam bidang ini perlu lebih progresif dan terbuka dengan menerima penyerapan masuk kata-kata asing bagi pengayaan perbendaharaan kata Bahasa Melayu. 

Sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menempuh beberapa zaman yang mencabar dengan kedatangan unsur asing ke alam Melayu misalnya kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris. Evolusi Bahasa Melayu turut berlaku secara perlahan-lahan.  Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah mencorakkan bentuk masyarakat, struktur ekonominya dan persaingan sengit dalam pasaran antarabangsa. Kewujudan bahasa amat penting dalam konteks ini kerana bahasa merupakan sumber komunikasi yang penting. Bahasa Melayu perlu kukuh dan mantap untuk membolehkannya memperkatakan apa sahaja bidang yang begitu cepat muncul dan berkembang dalam kehidupan manusia. 

Masyarakat berbahasa Melayu perlu mencari kaedah untuk membolehkan Bahasa Melayu mempunyai nilai tambah dalam masyarakat yang kelihatannya jelas sekali mementingkan Bahasa Inggeris. Perkembangan era globalisasi memberikan cabaran baru kepada Bahasa Melayu. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) melahirkan unsur baru yang dikenali sebagai bahasa rojak.  Bahasa rojak semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna bahasa. Ini dicirikan dengan penggunaan Bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris. Kelahiran K-Ekonomi pula telah membawa perubahan besar kepada semua bentuk perlakuan dan pemikiran manusia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam internet juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan penggunaan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penggunaan Bahasa Melayu dalam ruang siber ini menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara khususnya ruang sembang siber yang memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet. Muncul perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), tipon (telefon), persal (mengapa), nko (engkau) dan lain-lain. Fenomena ini merupakan unsur perubahan yang dikhuatiri akan mencemarkan nilai-nilai asli dalam Bahasa Melayu. Ayat-ayat yang terbentuk juga tidak mematuhi hukum tatabahasa Bahasa Melayu dan kelihatan janggal. Inilah yang perlu disedari oleh pengguna internet yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah komunikasi agar tidak menggunakan Bahasa Melayu sesuka hati tanpa mengambil kira soal peraturan yang sedia ada. 

Keupayaan Bahasa Melayu bertahan dalam era siber banyak bergantung kepada keupayaan masyarakat penutur Bahasa Melayu itu sendiri menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Sikap masyarakat terhadap Bahasa Melayu telah menyebabkan kesukaran untuk meletakkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa. Ketidakyakinan terhadap bahasa ibunda berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa dalam kalangan penutur Bahasa Melayu mengakibatkan Bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Penutur Bahasa Melayu lebih senang menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin menjadi ancaman terhadap kemurnian Bahasa Melayu. Mereka menganggap Bahasa Melayu tidak setanding dengan Bahasa Inggeris dan akhirnya mula meminggirkan Bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Bahasa rojak dikatakan lebih santai dan tidak begitu formal, sama seperti penggunaan Bahasa Melayu pasar. Justeru, penekanan terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul harus diutamakan khususnya dalam laman sesewang yang dikendalikan oleh anak Malaysia, walaupun menggunakan dwibahasa. Amalan berbahasa yang baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai daripada peringkat sekolah lagi dan secara menyeluruh mencapai segenap anggota masyarakat. Hanya dengan cara ini sahajalah, Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi  (TMK).  

Kita menerima hakikat bahawa bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan ilmu yang datang dari luar. Konsep yang didukung oleh bidang ini tidak ditemui dalam dunia Melayu. Namun begitu, ini tidak bermakna kita harus berkiblatkan Barat dalam menghasilkan istilah bidang ini. Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa bagi dunia siber, malah kini kita dapati bahasa Arab dan Bahasa Mandarin mulai mendapat tempat dalam kalangan pengguna internet. Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang cukup besar di dunia. Bak kata perumpamaan Melayu, “hendak seribu daya, tidak  hendak seribu helah”. Laman sesawang yang dibina oleh badan kerajaan dan badan bukan kerajaan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu atau dwibahasa agar maklumat tersebar dalam Bahasa Melayu selain daripada Bahasa Inggeris. Sokongan yang berterusan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu berterusan, di samping pembinaan pangkalan data yang bersesuaian bagi pengembangan Bahasa Melayu. Dengan cara ini, bahasa ini mudah dicapai oleh pusat-pusat Pengajian Melayu di luar negara yang menggunakan Bahasa Melayu. 

BAHASA MELAYU DAN DASAR PENDIDIKAN



Dasar bahasa pendidikan ialah dasar yang dipegang dalam menggunakan bahasa sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar bahasa am ialah dasar yang secara tidak rasmi diterima oleh kerajaan mengenai penggunaan bahasa dalam perdagangan, perhubungan rakyat dan dalam hubungan dengan orang-orang luar, badan-badan atau negara-negara luar (Asmah,1985:23).  Prinsip asas pembuatan keputusan masih berfokuskan kepada pembinaan bangsa. Apa-apa pun yang diputuskan di peringkat kerajaan, termasuklah bahasa,  memberikan kesan kepada perkembangan pembinaan bangsa. Dalam hal ini, sekiranya tidak ada apa-apa polisi juga merupakan satu polisi kerajaan  itu sendiri. Kerajaan haruslah memberikan  perhatian kepada bahasa. Bahasa merupakan komponen yang penting dalam mendefinisikan identiti atau jati diri bangsa.  Malah kita dapati banyak negara-negara bekas Kesatuan Soviet berusaha untuk mengekalkan bahasa ibunda mereka bagi menjaga kepentingan hak minoriti. Bahasa juga merupakan konsep yang penting bagi menjaga kepentingan masyarakat  asli.   Perjanjian Rom memberikan hak kepada orang-orang Eropah bertutur dalam bahasa ibunda dalam urusan seharian mereka.  

Perancangan taraf Bahasa Melayu telah memberikan tiga aspek penting kepada Bahasa Melayu, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pendidikan. Taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan menyediakan ruang yang cukup luas untuk Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu. Sebagai bahasa ilmu, dua ciri penting yang perlu ada ialah keintelektualan dan kesempurnaan. Bahasa Melayu mempunyai kedua-dua ciri tersebut dan hakikatnya Bahasa Melayu berada pada landasan yang tepat menuju kesempurnaan sebagai bahasa ilmu moden. Ini bersesuaian dengan ketetapan yang diisytiharkan oleh UNESCO berkaitan dengan perancangan bahasa dalam dasar pendidikan masyarakat yang multi bahasa. Persidangan Antarabangsa UNESCO ke-31 pada Oktober 2001 telah mengisytiharkan satu deklarasi  prinsip yang harus dipatuhi olah anggota-anggotanya, iaitu:
(a)     Menyokong pengajaran dalam bahasa ibunda sebagai kaedah untuk meningkatkan kualiti pendidikan dengan membina pengetahuan pelajar dan pengajar.
  • Pengajaran dalam bahasa ibunda amat penting bagi pendidikan awal kanak-kanak dan seharusnya diperluaskan kepada peringkat pendidikan yang lebih tinggi. Oleh itu, setiap kanak-kanak seharusnya memulakan pendidikan formal dalam bahasa ibunda dan keadaan buta huruf dalam kalangan orang dewasa juga harus dimulai dengan pengajaran dalam bahasa ibunda.
  • Celik huruf hanya dapat dicapai sekiranya ada bekalan bahan bacaan yang mencukupi bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa. Oleh itu penghasilan dan penyebaran bahan pengajaran, sumber pembelajaran, dan bahan bacaan yang berkaitan seharusnya dihasilkan dalam bahasa ibunda.
  • Semua perancangan pendidikan seharusnya merangkumi latihan, iltizam  yang tinggi, guru yang cekap dan kompeten serta biasa dengan kehidupan masyarakatnya sendiri agar dapat mengajar dengan baik dalam bahasa ibunda.
(b)     Menyokong pengajaran dalam dwibahasa atau multibahasa pada semua tahap pendidikan sebagai satu kaedah untuk meningkatkan kualiti sosial dan persamaan jantina  dan unsur penting bagi masyarakat yang pelbagai linguistik.
Komunikasi, ekspresi dan keupayaan mendengar dan bertutur seharusnya ditingkatkan, pada awalnya mestilah dalam bahasa ibunda dan kemudian dalam bahasa kebangsaan dan selepas itu baharulah bahasa asing.
(c)     Menyokong bahasa sebagai komponen penting dalam pendidikan antara budaya dalam usaha untuk menggalakkan pemahaman antara kumpulan populasi yang pelbagai bangsa serta menghormati hak-hak fundamental.
  • Hak mendapat pendidikan setiap anggota kumpulan minoriti sebagaimana juga hak bagi penduduk asli perlulah dihormati melalui pelaksanaan hak mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda.
  • Pendidikan seharusnya melahirkan kesedaran tentang nilai positif kepelbagaian budaya dan linguistik.
Masalah kritikal yang dihadapi oleh negara multibangsa ini ialah konflik antara kesetiaan individu terhadap komuniti etniknya berbanding dengan kesetiaan terhadap komuniti yang lebih besar. Persoalan inilah yang perlu difikirkan untuk memudahkan proses pembinaan bangsa.  Masalah ini akan menjadi lebih serius sekiranya kumpulan etnik yang ada terus menerus menggunakan penggunaan bahasa yang pelbagai dan memperlihatkan kesetiaan mereka kepada tradisi linguistik mereka. Kepelbagaian linguistik ini pasti menyebabkan integrasi komunikasi yang rendah sehingga mengakibatkan pemodenan proses yang panjang dan menyulitkan.

Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara Malaysia telah dipertahankan dan diperkembang berdasarkan pelbagai akta dan laporan semula bermula dengan Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961), Akta Bahasa Kebangsaan (1963), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979) dan Akta Pendidikan (1996).  Jawatankuasa Pelajaran Razak merupakan jawatankuasa pendidikan pertama yang dibentuk sesudah negara mencapai taraf kerajaan sendiri pada tahun 1956. Gagasan pendidikan kebangsaan yang dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut berteraskan matlamat perpaduan, dengan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Penyata Razak (1956: Perenggan 2 mengatakan bahawa ”…usaha menyatukan  budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar (utama) walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan serta merta melainkan dengan beransur-ansur”. 

Perincian dan penegasan gagasan pendidikan kebangsaan itu dimantapkan oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib (1960). Oleh itu jelaslah bahawa selepas kemerdekaan, Bahasa Melayu telah tumbuh dan berkembang dengan pesat seiring dengan pencapaian dalam pembangunan negara khususnya sektor pendidikan. Isunya ialah perubahan dalam dasar pendidikan negara jugalah yang nampaknya “melupakan” hasrat murni dalam Penyata Razak tersebut telah mencorakkan pemikiran masyarakat kita hari ini yang “terlebih sudu daripada kuah”  dalam mengutamakan Bahasa Inggeris. Laporan Razak mengatakan bahawa Bahasa Inggeris ialah bahasa kedua yang wajib diajarkan di sekolah.  Kini, permasalahannya ialah dasar tersebut nampaknya sudah mengalami perubahan apabila Bahasa Inggeris bukanlah lagi bahasa kedua malah bahasa utama bagi mendapatkan  ilmu pengetahuan. Perubahan ini melibatkan satu generasi yang bakal membina sebuah tamadun pada masa akan datang. Penerimaan dasar ini sering dipertikaikan dan memperlihatkan kesan langsung perubahan dasar ini untuk direnung bersama-sama oleh masyarakat  umum, dan  khususnya mereka yang terlibat dalam membuat keputusan dan yang melaksanakannya.

Akta Pendidikan (1996) digunakan untuk menentukan dasar, hala tuju dan garis panduan bagi mengawasi perkembangan pendidikan awam yang berfungsi sebagai pelaburan sosial tetapi berbeza dalam pendidikan swasta dilihat sebagai pelaburan pendidikan. Hashim Musa (1996) mengatakan bahawa cabaran yang paling serius terhadap Bahasa Melayu ialah penubuhan kolej swasta dan separuh swasta dan institusi pengajian tinggi awam yang semuanya bergerak ke arah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dasar pendidikan negara seharusnya menekankan secara menyeluruh dan bersepadu terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.  Walaupun Akta Pendidikan Tinggi Swasta (1996) mengatakan bahawa semua IPTS di negara ini hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tetapi ini bukan jaminan utuh bagi pemerkasaan Bahasa Melayu. Akta yang sama juga memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk membenarkan IPTS menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Penyata Razak (1956) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan sebagai bahasa rasmi yang tunggal. Cadangan untuk mengetepikan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah swasta tidak harus diterima.  Sistem pendidikan kebangsaan berhasrat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang multibahasa ke dalam satu kelompok melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan haruslah diteruskan. Lebih mencabar lagi apabila perbadanan gergasi seperti PETRONAS, Syarikat Telekom Bhd., dan Tenaga Nasional masing-masing menubuhkan Universiti PETRONAS, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Kesemua universiti ini menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Sikap membelakangkan Bahasa Melayu ini seolah-olah dimaafkan demi kepentingan negara  agar berada sama taraf dengan negara-negara barat dalam era globalisasi. Kita tidak seharusnya meminggirkan Bahasa Melayu dalam usaha memartabatkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dunia. Negara Jepun dan Cina masih lagi terkehadapan di Asia sebagai pusat pendidikan dunia walaupun bahasa utamanya ialah bahasa ibunda mereka.

Namun demikian, hasrat untuk mengukuhkan Bahasa Melayu menghadapi cabaran yang paling getir apabila munculnya idea pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang telah dibentangkan dalam perjumpaan kabinet pada 17 April 2002. Ini  diikuti pula dengan cadangan oleh Kementerian Pendidikan menyemak semula Kurikulum Baharu Bersepadu untuk memberikan ruang bagi pengajaran Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik yang dilaksanakan bagi murid tahun satu, pelajar tingkatan satu dan pelajar tingkatan enam rendah pada tahun 2003. Alasan yang diberikan ialah pelajar masih tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, walaupun telah diberikan peluang pemelajaran selama lebih kurang 11 tahun dalam alam persekolahan rendah dan menengah. Sekiranya Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, maka ini dikira bercanggah dengan apa yang termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara. 

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada 8 November 2006  telah membuat ketetapan meminta kerajaan supaya tidak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah  demi mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu pada tempat yang sewajarnya, sebagaimana termaktub dalam Laporan Razak (1956). Apa yang kurang diberikan perhatian ialah penguasaan Bahasa Inggeris itu sendiri memang lemah dari segi penyediaan kurikulum, kemahiran pengajaran, dan pelaksanaan strategi menyebabkan kemerosotan yang begitu ketara dalam  pelajar. Namun begitu Bahasa Melayu tidak perlu ”dihukum” apabila menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik yang telah berjaya ditangani dengan baik sekali selama ini dalam Bahasa Melayu. Sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti telah berjaya melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya menjelang 1983.  Anjakan dasar pendidikan terhadap Bahasa Melayu kelak akan merugikan bangsa Melayu sendiri. Apa yang perlu dilakukan ialah menjalankan kajian semula terhadap kaedah pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Pengalaman penulis sendiri apabila membuat kajian di sekolah di sekitar Petaling Jaya mendapati bahasa penguasaan tulisan pelajar dalam Bahasa Inggeris begitu tinggi sekali. Masalah yang timbul ialah kemahiran komunikasi mereka dalam bahasa tersebut. Pokok persoalan inilah yang harus ditangani dengan berhemat. Kita mempunyai tokoh-tokoh akademik yang boleh menjalankan kajian ini dan menyarankan langkah-langkah yang berkesan mengatasi masalah ini, tanpa mengorbankan Bahasa Melayu.  

Awang Sariyan (2002) mengatakan bahawa pendekatan, kaedah dan prinsip mempelajari Bahasa Inggeris perlu dipertingkat seperti membaiki kaedah pengajaran bahasa itu di institusi pendidikan yang ternyata tidak mencapai matlamatnya dan kegagalan sesuatu mata pelajaran tidak seharusnya membabitkan subjek lain. Kementerian Pendidikan perlu menambah kemudahan bahan bantu pengajaran Bahasa Inggeris, termasuk penggunaan teknologi terkini, selain menyelia atau menambah serta membaiki kemudahan makmal bahasa. Pembudayaan sains dan teknologi dalam Bahasa Melayu memerlukan keyakinan, iltizam dan usaha bersungguh-sungguh serta berterusan semua pihak. Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman, Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan bahasa maju yang lain terbina dalam tempoh yang cukup lama; sebaliknya, Bahasa Melayu telah berjaya dibangunkan sebagai bahasa sains dan teknologi serta mencapai kemajuan seperti sekarang ini dalam tempoh kira-kira 49 tahun sahaja.    

Kita sedia maklum bahawa falsafah pendidikan negara dihasilkan dalam usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara. Dasar Pendidikan Negara mempunyai matlamat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu. Oleh itu dasar pendidikan negara seharusnya menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu dengan lebih berkesan  dalam kalangan pelajar. Keperluan ini bukan sahaja pada peringkat sekolah kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam tetapi juga perlulah diperluaskan ke peringkat sekolah swasta dan institusi pengajian tinggi swasta. Bahasa Melayu dapat dijadikan alat perpaduan  kerana pelajar berinteraksi dengan mudah serta dapat berbincang menggunakan satu bahasa yang difahami oleh semua golongan bangsa. Mereka dapat menyampaikan pendapat dengan mudah dan keadaan ini akan mewujudkan sikap saling memahami dan melahirkan semangat perpaduan yang kukuh. Bahasa dan pendidikan merupakan dua unsur yang penting dalam pembangunan sesebuah negara. Peminggiran Bahasa Melayu dalam dunia pendidikan seharusnya tidak berlaku kerana hal ini jelas sekali bertentangan dengan perlembagaan negara. Oleh itu, semua pihak yang berwajib dan rakyat Malaysia seharusnya berkerjasama bagi mengekalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia.

MASA DEPAN DAN CABARAN BAHASA MELAYU


PENGENALAN

Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu mula-mula disarankan dalam Laporan Razak 1956 dan kemudian diperkukuh dalam Laporan Abdul Rahman Talib 1960.  Terbukti kini bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu apabila  digunakan sepenuhnya di institut pengajian tinggi awam di Malaysia.  Apakah dengan pencapaian tersebut mencerminkan masa depan yang gemilang bagi Bahasa Melayu? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak, bergantung kepada persepsi individu yang melihat persoalan ini. 

Terkadangnya kedengaran  suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu. Pada  hakikatnya orang itu sendiri yang tidak mampu menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sebaliknya. Bahasa yang canggih dikatakan bahasa  ilmu, bahasa bagi budaya tinggi, dan lebih tegas lagi bahasa bagi sains dan teknologi. Peningkatan ilmu dan profesionalisme dalam sesuatu bidang itu haruslah seiring dengan peningkatan ketrampilan wahana itu sendiri, yakni bahasa. Banyak orang berfikir bahasa itu jatuhnya di tempat kedua dan pertamanya ilmu itu. Persepsi ini perlu diubah. Bahasa itu juga satu ilmu dan sejarah membuktikan banyak ahli yang melahirkan pemikiran dan ciptaan baru menguasai ilmu dan bahasa sebagai satu entiti yang terpadu. Kita sebenarnya memiliki  bahasa yang berkembang dan dinamis dalam menghadapi apa juga cabaran yang bakal datang. Seharusnya tidak timbul lagi krisis kepercayaan terhadap Bahasa Melayu. Perbincangan topik ini akan menumpukan kepada persoalan cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu, iaitu: kewujudan masyarakat yang dwibahasa; Bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Negara; Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat dan komunikasi; dan akhirnya Bahasa Melayu dalam era globalisasi.  

5.1 KEDWIBAHASAAN

Kedwibahasaan berlaku dalam kalangan masyarakat yang menggunakan banyak bahasa. Kedwibahasaan atau bilingualisme ialah penguasaan dua bahasa seperti penutur bahasa asli. Penggunanya menggunakannya sebagai bahasa komunikasi, yakni menggunakan satu bahasa rasmi untuk berkomunikasi, dan bahasa ibunda untuk hubungan lain misalnya orang Cina dan India yang menggunakan Bahasa Melayu untuk komunikasi rasmi tetapi bahasa ibunda di rumah. Kedwibahasaan yang sempurna ialah penguasaan sepenuhnya dua bahasa oleh penutur. Kedwibahasaan sepenuhnya jarang berlaku kerana jarang sekali  seseorang individu dapat menguasai lebih dari satu bahasa dengan baik. Terdapat negara yang mempunyai dua bahasa atau lebih (bilingual atau multilingual) sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Negara Kanada dan Belgium misalnya mengamalkan bilingual, manakala Switzerland pula mengamalkan multilingual. Sesebuah negara itu tidak dapat dikatakan bilingual kecuali sebahagian besar daripada rakyatnya bertutur dalam dwibahasa. Menurut Mario Pei pula, kedwibahasaan ialah kualiti atau kebolehan seseorang bertutur dalam dua bahasa. Kedwibahasaan majmuk ialah individu yang memperoleh dua bahasa semasa kecil. 
Kedwibahasaan kordinat pula berlaku apabila individu tersebut memperoleh salah satu bahasa tersebut sebagai bahasa pertama dan bahasa kedua pula diperoleh kemudian. Kedua-dua sistem tersebut disepadukan dan disimpan secara berasingan.

Kedwibahasaan lahir dalam masyarakat majmuk yang pelbagai budaya, etnik, agama, bangsa, kaum dan lain-lain. Hubungan budaya dengan budaya asing biasanya berlaku di bandar-bandar besar dan pusat perdagangan yang mempunyai pelbagai ragam manusia dan budaya.  Penjajahan juga membawa masuk unsur budaya baru dan bangsa asing yang menggunakan dan memaksa rakyat pribumi menggunakan bahasa mereka dalam sistem pemerintahan, khususnya pendidikan dan ekonomi misalnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Hartmann (1976) mengatakan bahawa kedwibahasaan melibatkan penggunaan dua bahasa oleh penutur atau masyarakat pengguna bahasa. Penutur dwibahasa tidak semestinya penterjemah yang baik sebab kemahiran menukar kod dari satu bahasa ke bahasa yang lain diperoleh secara berasingan dan individu tersebut mestilah mahir dalam perbualan kedua-dua bahasa dalam semua keadaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang multibahasa dan terdapat individu yang dapat memahami dua bahasa atau lebih, sama ada Melayu-Inggeris, Cina-Melayu-Inggeris, atau India-Melayu-Inggeris, dan sebagainya. Individu yang berpengetahuan dalam kedua-dua bahasa tetapi yang satu lagi tidak pernah dilahirkan dalam bentuk ujaran atau tulisan, bahkan cuba disembunyikan atas sebab-sebab tertentu dinamakan covert bilingual atau dwibahasa terlindung. Individu dwibahasa tidak akan mempunyai pengetahuan kedua-dua bahasa yang sama baik. Kadang-kadang individu tersebut hanya memahami sahaja tetapi tidak boleh menulis atau bertutur dengan baik. 
  
Kedwibahasaan wujud di negara-negara yang menjadikan dialek sebagai bahasa rasmi seperti di Perancis. Keadaan dwibahasa yang memperlihatkan penutur mengamalkan dialek masing-masing dalam kehidupan seharian tetapi menggunakan dialek utama yang telah dijadikan bahasa rasmi. Sama juga halnya dengan Malaysia yang menggunakan dialek Melayu-Johor sebagai bahasa rasmi tetapi menggunakan dialek masing-masing di rumah misalnya dialek Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan sebagainya.
Kedwibahasaan berlaku akibat bahasa tempatan dijadikan bahasa rasmi tetapi bahasa lain digunakan sebagai bahasa penyatuan. Di Rusia misalnya, bahasa Rusia dijadikan bahasa penyatuan tetapi rakyat tempatan boleh menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi seperti bahasa Ukraine dan Estonia.  Kedwibahasaan juga berlaku akibat berpegang kepada idea bahawa penggunaan satu bahasa asing yang dipupuk di samping bahasa ibunda terus digalakkan dalam pembelajaran untuk tujuan mendapat pengiktirafan setaraf dengan bangsa lain. Mengikut ideologi ini, pembelajaran satu bahasa asing dalam keadaan tertentu akan membentuk individu yang mempunyai cara pemikiran baru untuk menghapuskan permusuhan dalam kalangan rakyat misalnya di Singapura.

Perdagangan memainkan peranan utama apabila bahasa merupakan wahana untuk berkomunikasi dan berinteraksi untuk urusan jual-beli. Penerokaan dunia baru juga memerlukan individu memahami dunia yang dilawati untuk memahami budaya bangsa merentasi pelbagai negara. Pengembangan agama oleh mubaligh Kristian dan Islam membawa masuk bahasa asing ke alam Melayu, iaiatu Bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, dan Arab. Dasar pendidikan sesebuah negara mencerminkan masyarakat yang lahir misalnya Malaysia yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan negara akan melahirkan penutur dwibahasa. Dasar bahasa negara juga melahirkan penutur dwibahasa. Malaysia telah menetapkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tetapi menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua; manakala Brunei Darussalam menetapkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.  Satu lagi unsur yang mewujudkan kedwibahasaan ialah perkahwinan campur dalam masyarakat majmuk yang melahirkan kanak-kanak yang berdwibahasa sejak dari lahir lagi. Pemerolehan dua bahasa serentak berlaku apabila kedua ibu dan bapa menggunakan kedua-dua bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian. 

Kesan yang paling ketara akibat kedwibahasaan ini ialah berlakunya penukaran kod atau pertukaran kod yang dikenali sebagai code switching.  Berlakunya penukaran daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain disebabkan oleh perubahan tajuk atau pertukaran siapa yang disapa. Fenomena ini begitu meluas dalam kalangan penutur di Malaysia. Misalnya pelajar Melayu berbahasa Inggeris dengan kawan berbangsa Cina tetapi menukar kodnya semula ke dalam Bahasa Melayu apabila bercakap dengan ibunya yang tidak fasih berbahasa Inggeris. 

Kesan yang selanjutnya ialah percampuran kod atau code mixing.  Ini berlaku apabila seseorang menukarkan kod apabila berbicara secara berganti-ganti untuk satu tajuk yang sama dalam ujaran mereka. Misalnya seorang pelajar bangsa Melayu bercakap dalam Bahasa Inggeris untuk membincangkan sesuatu tajuk tetapi kemudiannya mencampuradukkan dengan Bahasa Melayu kerana sesuatu hal seperti tidak tahu perbendaharaan kata yang sesuai digunakan atau sebagainya. Fenomena percampuran kod menggambarkan keadaan bahasa sebenar dalam tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Namun begitu, dengan berlakunya peredaran masa dan penambahan perbendaharaan kata, ciri ini mungkin luput apabila kanak-kanak berupaya menggunakan kata dalam bahasa kedua untuk menyampaikan maksud. Namun demikian, di Malaysia dengan latar pendidikan dwibahasa yang diamalkan di sekolah-sekolah dan luar persekitaran yang didedahkan dengan Bahasa Inggeris seperti media elektronik, kanak-kanak telah didedahkan dalam situasi dwibahasa  pada peringkat awal lagi. Malah, percampuran kod bukan sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. 

Pemindahan bahasa juga berlaku akibat kedwibahasaan. Ini berlaku apabila terdapat penggunaan unsur-unsur bahasa pertama dalam bahasa kedua. Terdapat dua jenis pemindahan bahasa, iaitu pemindahan negatif atau gangguan dan kedua, pemindahan positif. Pemindahan negatif melibatkan pola bahasa natif yang menyebabkan kesilapan dalam bahasa sasaran. Pemindahan positif pula melibatkan pemindahan yang memudahkan pembelajaran dan berlaku dalam kedua-dua bahasa natif dan bahasa sasaran yang mempunyai unsur persamaan. 

Kita juga dapat melihat bentuk pengasimilasian bahasa berlaku dalam kedwibahasaan. Proses ini melibatkan penerimaan bahasa secara beransur-ansur oleh generasi kedua sehingga akhirnya tidak menggunakan bahasa ibunda mereka. Kesan lain ialah kelahiran bahasa pijin dan bahasa kreol. Bahasa pijin memperlihatkan unsur kedua-dua bahasa bercampur sehingga melahirkan bahasa baru, namun tidak boleh diklasifikasikan sebagai bahasa asal. Bahasa kreol pula ialah bahasa pijin yang menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama masyarakat penuturnya  akibat pertembungan dua bahasa.  

PERANCANGAN KORPUS BAHASA



Perancangan korpus pula merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti pembinaan ortografi (pembakuan atau pemiawaian termasuklah sistem ejaan dan tulisan dalam sesuatu bahasa), pembinaan penggunaan kata baru yang difikirkan dan dipertimbangkan dengan teliti supaya bahasa itu dapat diperluaskan penggunaannya (sumber-sumber baru kosa kata dan penciptaan perbendaharaan kata) termasuklah penggubalan istilah, penyediaan kamus, dan kesusasteraan. Asmah Haji Omar (1985:22) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa tidak lain daripada pembinaan bahasa kerana perancangan bahasa ini meliputi penciptaan istilah-istilah baharu, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan dan morfologi, pengambilalihan sistem tulisan baharu, dan sebagainya. Perancangan korpus atau bahan melibatkan pembinaan ortografi yang menetapkan sistem ejaan  rasmi bagi sesuatu bahasa.  
 
Ismail Dahaman (2007) mengatakan bahawa usaha perancangan korpus bahasa termasuklah aktiviti pengayaan kosa kata umum dan ilmu melalui pembentukan istilah baharu, penyusunan kamus pelbagai jenis, penyempurnaan sistem ejaan Rumi dan Jawi, sebutan baku, penyelidikan dan pendokumentasian korpus bahasa pada peringkat nasional dan dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Ferguson (1968) mengatakan bahawa apabila bahasa vernakular dirancang untuk membentuk bahasa  baku, terdapat tiga komponen penting, iaitu pengabjadan, pemodenan, dan pembakuan. Pengabjadan ialah proses merancang penulisan bahasa, iaitu pemilihan aksara, sistem ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penambahan kosa kata, perkamusan, dan sebagainya. Usaha ini bagi memastikan bahawa sesuatu bahasa itu mampu untuk bersaing dan hidup supaya menjadi wahana untuk penyampaian ilmu dalam sains dan teknologi serta membentuk peradaban moden yang teguh, kukuh dan mantap. 

Ronald Wardhaugh (1998) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa itu termasuklah pembinaan ortografi, sumber-sumber baharu kosa kata, kamus, kesusasteraan dan penggunaan bahasa.  Oleh itu dapat disimpulkan bahawa perancangan korpus bahasa melibatkan beberapa unsur, iaitu pemilihan dan perancangan aksara, penyusunan ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penyeragaman sebutan baku, pembakuan kosa kata dan penyusunan kamus, pembakuan ungkapan, penyelarasan laras bahasa, penyelarasan wacana bahasa, penulisan hasil karya kesusasteraan, dan pengajaran bahasa pertama dan bahasa kedua. Logistik perancangan bahasa mengandungi tiga perkara penting, iaitu pakar bahasa dan perancang bahasa, institusi perancangan bahasa, dan sumber kewangan bagi membiayai perancangan bahasa. 

Perancangan bahasa melibatkan banyak tahap. Pertama, analisis keperluan dilakukan yang melibatkan analisis komunikasi pola sosiopolitik dalam masyarakat. Kemudian, pemilihan satu bahasa pelbagai bahasa untuk tujuan perancangan. Tahap ini kadangkala dikenali sebagai perancangan status yang merangkumi kodifikasi, penstandardan, perluasan dan pelaksanaan. Sebagai tambahan kepada pelaksanaan melalui perancangan status dan korpus, penilaian dan maklum balas perlu sebagai mekanisme bagi menentukan bagaimana perkembangan usaha perancangan bahasa bergerak.

Peristilahan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Asmah Haji Omar (2000) menyifatkan istilah Bahasa Melayu merupakan pengisi kepustakaan ilmu abad ke-21. Ahli linguistik merupakan golongan yang berfungsi sebagai anggota yang membantu penilaian menentukan bahasa, atau dialek khususnya dari segi pemiawaian morfologi dan sintaksis atau perkembangan perbendaharaan kata teknikal. Pendidik pula membantu melaksanakan dasar pendidikan negara yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan melalui program yang telah dirancang secara nasional. Penulis dan seluruh anggota masyarakat perlu digerakkan supaya menulis dalam Bahasa Melayu.

Antia (2000) mengatakan bahawa perancangan bahasa berorientasikan pengurusan peristilahan amat penting kerana peristilahan dan Bahasa Untuk Tujuan Khusus (BUTK)  sebagai komuniti akademik mempunyai kontak yang agak terhad.  Sebagai label (linguistik dan bukan linguistik) dalam bidang khusus, peristilahan mempunyai peranan sebagai pemeroleh, penyimpan, pencipta, penghubung, perwakilan, dan pemindah ilmu dalam bidang khusus. Di Malaysia, peristilahan merupakan  unsur yang penting dalam perancangan bahasa sebagai korpus bagi pengembangan dan pengayaan khazanah perbendaharaan bahasa, khususnya Bahasa Melayu. Peristilahan sebagai bidang ilmu menamakan  konsep, menghasilkan istilah baharu, menyimpan dan menyebarkan  istilah, melancarkan komunikasi dalam bidang khusus selalunya dikaitkan dengan perancangan bahasa. Perancangan bahasa dan peristilahan dalam komuniti akademik seharusnya saling berhubungan agar ilmu pengetahuan daripada luar dapat dipindahkan ke dalam bahasa ibunda. Peristilahan merupakan aspek penting dalam perancangan bahasa. 

Komuniti peristilahan lebih banyak menumpukan kepada subjek  bidang khusus yang mengkaji ilmu tentang unit, struktur, representasi, evolusi dan pemerolehan pengetahuan. Komuniti perancangan bahasa pula melihat evolusi ini berterusan dalam masyarakat dan pilihan bahasa  oleh pakar bidang sudah beralih daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.  Bahasa Melayu  memerlukan satu mekanisme untuk mengawal perluasan fungsi Bahasa Inggeris dalam domain khusus ini. Walaupun terdapat rungutan tentang ketidakupayaan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu namun usaha badan perancang bahasa di Malaysia yang ditubuhkan berdasarkan akta yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, perlu dianggap penting. Peristilahan dalam kerangka perancangan bahasa khususnya di Malaysia perlulah mengambil kira beberapa aspek penting, iaitu bahan yang digunakan sebagai korpus, teori dan kaedah yang diterapkan sebagai salah satu aspek penting dalam perancangan Bahasa Melayu.

Peristilahan juga membantu pengguna bahasa memberikan makna kepada bentuk istilah tertentu. Di samping itu kelahiran glosari istilah atau kamus istilah merupakan usaha mengorganisasikan pengurusan peristilahan secara tersusun. Ini juga dapat menjamin penyebaran istilah dalam kalangan masyarakat pengguna. Selain itu, peristilahan juga membantu penilaian istilah yang dihasilkan. Dalam peristilahan penstandardan merupakan fenomena yang biasa dan diterima umum malah menyumbang penyelesaian kepada masalah ketaksaan dalam komunikasi. Pemiawaian dilakukan pada tahap tertentu misalnya lima tahun sekali untuk memastikan proses kemas kini yang dinamik dalam peristilahan. Pengurusan peristilahan juga memerlukan bank data peristilahan yang sentiasa dikemas kini dan dihubungkan dengan semua badan peristilahan di dunia. Penyebaran dan penggunaan istilah secara meluas perlu dijanakan dengan adanya teknologi dan perisian terkini.
Pada peringkat awal perkembangan peristilahan, terdapat kelemahan dari segi kepakaran dan kemudahan bagi menggerakkan kegiatan peristilahan. Pada waktu itu mereka yang terlibat dalam peristilahan bukanlah ahli peristilahan tetapi merupakan pakar bidang khusus. Usaha yang dijalankan oleh DBP melalui penubuhan jawatankuasa istilah telah menghasilkan istilah dalam bidang pentadbiran dan urusan kerajaan yang meliputi nama kementerian, jabatan, pejabat, pangkat, jawatan, nama surat, dan borang. Kegiatan peristilahan semakin pesat apabila pada tahun 1983, semua institusi pengajian tinggi menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Peristilahan semakin penting apabila kegiatan penterjemahan bidang sains juga semakin berkembang. Sepanjang tahun 1959-1975, terdapat tiga pedoman pembentukan istilah yang telah dihasilkan: Pedoman Membentuk Istilah Baharu (1961); Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP (1971); dan Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya (1971).

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPI) menjadi penanda bermulanya zaman pembentukan istilah selepas 1975. Pedoman ini telah diisytiharkan pemakaiannya oleh Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia serentak mulai 30 Ogos 1975. Pedoman ini dikatakan umum kerana kaedah-kaedah dalam pedoman ini dapat digunakan sebagai panduan untuk membentuk istilah dalam apa juga bidang ilmu (Hassan Ahmad: 1981). Pedoman ini telah digunakan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI) di dalam DBP dan juga di luar DBP. Pedoman ini disemak semula pada tahun 1992. Terdapat juga beberapa JKI menyediakan pedoman tambahan yang membolehkan JKI ini membentuk istilah khusus. Pedoman tambahan ini adalah sebagai pelengkap dan ketentuan pembentukan istilah sahaja. 

Perkamusan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Perkamusan sebagai korpus bahasa sama pentingnya dengan peristilahan sebagai wahana ilmu dalam meningkatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa moden. Kosa kata yang terkumpul dalam kamus merupakan rakaman penggunaan bahasa yang digunakan pada ketika bahasa tersebut dirakamkan.  Perkamusan Melayu mempunyai sejarah yang panjang. Menurut Asmah Haji Omar (1987), kamus Melayu yang paling awal yang pernah diketahui ialah senarai kata Melayu-Cina yang terdiri daripada 482 kata entri yang dikumpulkan antara 1403M-1511M, seperti yang dihuraikan oleh C.O.Blagden dalam karangannya yang bertajuk “A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Words dan Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511”, dalam Bulletin of the School of Oriental and African Studies, Vol.VI, 1930-32, (h. 715-749). Daftar kata tertua dikatakan merupakan catatan daftar kata Itali-Melayu yang dihasilkan oleh Pigafetta pada tahun 1521. Senarai kata ini dinamakan Daftar Kata Orang Islam. Pada tahun 1623 muncul kamus Melayu yang lebih baik, iaitu kamus Belanda-Melayu yang berjudul Vacabularian ofte Woord-boek naer ordre vanden Alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende Maleysch-Duytsch. Kamus ini disusun oleh Casper Wiltens dan Sebastianus Dankaerts. Sejak tahun 1950, terdapat dua kamus yang dihasilkan, iaitu Kamus Am Bahasa Melayu dan Kamus Melayu (di Indonesia dikenali sebagai Kamus Modern Bahasa Indonesia dan Kamus Umum yang diterbitkan pada tahun 1954 dan 1952). Selepas tahun 1950, telah muncul beberapa kamus besar dan juga institusi-institusi formal yang berusaha menyusun kamus seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Pusat Bahasa Indonesia. Era ini ditandai dengan kemunculun Kamus Umum Bahasa Indonesia susunan W.J.S Poerwadaminta pada tahun 1952 yang telah menyimpan 20 ribu entri. Kamus ini dijadikan asas bagi penghasilan Kamus Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara perinci dalam Topik 8,  Perkamusan Bahasa Melayu.

Sistem Ejaan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Sistem Ejaan Rumi dalam Bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan. Sistem ejaan yang terawal ialah Sistem Ejaan Marsden (1812), diikuti oleh Sistem Ejaan Ophuisjen (1901), Sistem Ejaan Wilkinson (1902), Sistem Ejaan Za’ba (selepas 1904), Sistem Ejaan Fajar Asia (1943), Sistem Ejaan Suwandi (1947), Sistem Ejaan Kongres (1956/57), Sistem Ejaan Malindo (1959) dan akhir sekali, Sistem Ejaan (Rumi) Bersama 1967. Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara terperinci dalam Topik 7, Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu.

Kesimpulannya, perancangan Bahasa Melayu perlu mempunyai iltizam yang tinggi dan pelaksanaannya juga dilakukan dengan rasa keyakinan bagi meletakkan tarafnya sebagai salah satu bahasa ilmu di dunia ini.

PERANCANGAN TARAF BAHASA



Perancangan taraf bahasa meliputi kedudukan sesuatu bahasa dalam hubungannya dengan bahasa lain dalam sistem pemerintahan. Perancangan taraf atau status melibatkan perubahan-perubahan fungsi sesuatu bahasa atau kelainan bahasa dan hak-hak mereka yang menggunakannya. Hal ini mementingkan peranan yang dimainkan bahasa dalam pembinaan bangsa. Penggunaan satu bahasa rasmi merupakan penetapan taraf bahasa dalam sesebuah negara.  Perancangan taraf bahasa memberi pertimbangan kepada beberapa faktor, iaitu identiti kebangsaan, pengetahuan bahasa, prestij kebangsaan dan penyertaan bangsa dalam dunia antarabangsa (Asmah,1987).  Oleh itu perancangan ini dikatakan perancangan dasar bahasa. Dasar ini menetapkan peranan yang dipegang oleh sesuatu bahasa dalam sesebuah negara. Fernando Penalosa (1981) memetik pandangan Heinz Kloss yang mengatakan bahawa terdapat enam unsur dalam perancangan taraf bahasa:
  1. Pertama, dasar bahasa rasmi yang tunggal seperti di Indonesia, negara Thai, dan Perancis. Di negara-negara tersebut, bahasa rasmi digunakan dalam semua sistem pentadbiran kerajaan. Tidak ada bahasa-bahasa lain yang digunakan dalam sebarang upacara rasmi kerajaan.
  2. Kedua, dasar bahasa rasmi yang mengandungi lebih daripada satu bahasa. Misalnya di Brunei Darussalam yang menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi secara bersama. Di Kanada juga, Bahasa Inggeris dan bahasa Perancis digunakan secara meluas, manakala di Switzerland menggunakan empat bahasa rasmi, iaitu Perancis, Jerman, Itali dan Romansch.
  3. Ketiga, bahasa rasmi di negeri bahagian (regional official language) seperti Bahasa Ibo di Nigeria Timur dan Bahasa Tamil di Tamil Nadu. 
  4. Keempat, bahasa yang dinaikkan taraf (promoted language), iaitu bahasa yang tidak mempunyai taraf rasmi tetapi digunakan oleh kerajaan untuk berurusan dengan masyarakat dalam urusan rasmi. Misalnya bahasa Sepanyol di barat daya Amerika Syarikat oleh penduduk setempat dan pegawai kerajaan.
  5. Kelima, bahasa yang diizinkan (tolerated language), iaitu bahasa yang bukan bahasa rasmi tetapi dibenarkan untuk digunakan oleh penuturnya. Ini berlaku di sempadan negara Perancis, antara negara Perancis dan Sepanyol terdapat satu suku bangsa yang mempunyai bahasa mereka sendiri, iaitu bahasa Basque. 
  6. Keenam, bahasa yang dilarang, iaitu bahasa yang tidak dibenarkan oleh pemerintah seperti bahasa Turki di Asia Tengah sewaktu pemerintahan Tzar Rusia.         
Pembuatan keputusan tentang dasar dan perancangan bahasa lahir daripada keperluan sosiopolitik. Perancangan bahasa juga dilakukan demi mengurangkan kepelbagaian linguistik dalam sesebuah negara yang multibahasa dan multibangsa. Pada kebiasaannya perancangan dalam bahasa untuk tujuan khusus (BUTK) pula digerakkan ke arah perkembangan peristilahan yang belum lagi wujud dalam bahasa berkenaan. Misalnya negara-negara di Afrika yang perlu mengembangkan peristilahan bahasa ibunda mereka untuk berkomunikasi dalam bidang khusus. Terdapat juga negara-negara yang memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis bagi mendapatkan ilmu bidang khusus kerana menganggap bahasa ibunda mereka tidak dapat mendukung konsep-konsep yang terdapat dalam  bidang khusus ini.  Apa pun keputusan yang diambil oleh pihak yang berwibawa dalam menentukan perancangan taraf bahasa, semangat kecintaan kepada bahasa ibunda perlulah menjiwai pembuat dasar. Perancangan taraf Bahasa Melayu di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua zaman, iaitu:
i.   zaman sebelum merdeka
ii.  zaman selepas merdeka. 

Perancangan Taraf  Bahasa Melayu Sebelum Merdeka

Bagi zaman pertama, yakni sebelum tahun 1957, Malaysia yang dikenali sebagai Tanah Melayu berada di bawah penjajahan British. Kerajaan British tidak membuat sebarang dasar untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Oleh itu usaha perancangan bahasa bersifat individu semata-mata. Usaha-usaha ini dijalankan oleh tokoh seperti Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau merupakan orang Melayu yang pertama menyatakan pendiriannya sikap orang Melayu terhadap Bahasa Melayu. Kesedaran orang Melayu terhadap bahasanya telah menyebabkan mereka bertindak memajukan dan memperjuangkan kedudukannya dalam masyarakat Melayu di semenanjung Tanah Melayu. Kumpulan ini merupakan kumpulan guru dan wartawan Melayu menggunakan ruang akhbar untuk menyuarakan pandangan mereka. Fungsi dan perkembangan Bahasa Melayu seperti ejaan, sebutan, istilah, tatabahasa, perkamusan dan sebagainya sering dijadikan bahan perbincangan. Pertubuhan yang terlibat pula ialah Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan bahasa (1888), Persaudaraan Sahabat Pena (1949), ASAS 50 (1950), Lembaga Bahasa Melayu (1950) dan  Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (1955).  Kegiatan ini  berlangsung dalam bentuk kongres, iaitu Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Ke-2 (1954), dan Kongres Persuratan Melayu Ke-3 (1956). Antara perkara yang telah dicadangkan dalam ketiga-tiga kongres tersebut meliputi keperluan penggunaan tulisan Rumi bagi Bahasa Melayu, memorandum penubuhan Balai Pustaka, penyatuan Bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, dan perkembangan Bahasa Melayu dalam dunia pendidikan khususnya di sekolah-sekolah rendah dan menengah.  

Perancangan Taraf  Bahasa Melayu Selepas Merdeka

Perkembangan perancangan Bahasa Melayu selepas tahun merdeka (1957) menyaksikan peningkatan taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Perlembagaan ini hanya membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam tempoh sepuluh tahun selepas merdeka. Akta bahasa Kebangsaan 1963 yang berkuatkuasa pada 11 April 1963 memperuntukkan pula mengenai tulisan bagi bahasa kebangsaan, bentuk angka dan bahasa dalam borang rasmi kerajaan. Pada 1 Julai 1972, Akta bahasa Kebangsaan 1963/1967 diluluskan hasil semakan kepada Akta bahasa Kebangsaan tahun 1963 dan 1967. Akta ini menjelaskan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Akta-akta ini memberi taraf dan kedudukan undang-undang kepada Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disebabkan beberapa faktor seperti yang berikut (Raja Muktaruddin Raja Mohd. Dain, 1982:13):
  1. Bahasa Melayu merupakan bahasa lingua franca di Kepulauan Asia Tenggara sejak  awal lagi. Oleh itu kaum bumiputera di daerah ini, walaupun  menuturkan bahasa mereka sendiri, mereka menerima dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa  perantara. Bahasa Melayu telah tersebar luas sejak awal lagi kerana perhubungan yang dijalankan oleh penduduk daerah ini sejak dahulu lagi. Kegiatan perdagangan dan pengembangan agama melahirkan interaksi antara penduduk dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
  2. Bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri sejarah, keetnikan, autonomi dan daya hidup. Bahasa Melayu mempunyai tradisi kesusasteraan bertulis sejak dulu lagi. Bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisannya tersendiri, bermula dengan tulisan Melayu kuno, sistem tulisan Jawi dan sekarang sistem tulisan rumi. Bahasa Melayu begitu fleksibel dan boleh menyerap unsur asing dan sifat ini membolehkan Bahasa Melayu maju.
  3. Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar. Pada masa itu penutur Bahasa Inggeris hanya terdapat di bandar-bandar besar sahaja. Begitu juga halnya dengan kaum lain. Orang Cina mempunyai banyak dialek dan hal yang sama dengan orang India. Oleh itu tidak praktikal memilih bahasa lain kecuali Bahasa Melayu.
  4. Bahasa Melayu boleh diterima sebagai lambang untuk dijadikan identiti/jati diri kedaulatan negara. Bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan, bahasa yang menyatukan rakyat.
Perancangan bahasa biasanya amat rapat dengan masalah sosiopolitik. Oleh itu  ahli sosiologi dan ahli sains politik merupakan golongan pertama dikenal pasti dapat membantu perkembangan ini. Badan politik Melayu yang menjadikan isu bahasa sebagai bahan kempen, iaitu UMNO dengan lantang  memperjuangkan keunggulan Bahasa Melayu di samping parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan nasionalisme lain seperti PAS, Kesatuan Melayu di Semenanjung, ASAS 50, Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, PENA, Persatuan Pelajar-Pelajar Maktab Perguruan Bahasa, dan sebagainya. UMNO sebagai sebuah parti politik, telah menjadikan isu bahasa sebagai bahan kempen. UMNO telah memenangi pilihan raya dengan mempertahankan isu  Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Berikutan ini, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengumumkan penubuhan Balai Pustaka (kini DBP), iaitu Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan pada tahun 1956. ASAS 50 – sebuah pertubuhan karyawan seni yang memperjuangkan kepentingan Bahasa Melayu dari segi menentukan ejaan hingga kepada perjuangan memberi status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. ASAS 50 telah memperjuangkan pemakaian tulisan rumi secara rasmi dan mencadangkan agar Balai Pustaka ditukar menjadi Dewan Bahasa dan Pustaka 1956. 

Laporan Pelajaran Razak 1956 mencadangkan penggunaan satu jenis sekolah yang menggunakan bahasa kebangsaan dan memperjuangkan supaya Bahasa Melayu diberikan nilai ekonomi. Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah bergerak sejak tahun 1955 dan telah juga turut dalam perjuangan menentukan kedudukan Bahasa Melayu. Persatuan Pelajar-Pelajar Maktab Perguruan Bahasa (PPBPM) tahun 1959 telah mengadakan tunjuk perasaan untuk menuntut supaya Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di maktab perguruan.  PENA yang ditubuhkan pada Februari 1961 telah memperjuangkan pelaksanaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) turut berjuang melaksanakan kehendak perlembagaan seperti termaktub dalam Perlembagaan 152.
Satu akta untuk mendiri dan menubuhkan  satu badan yang bernama Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Akta ini hanya boleh dipakai di Malaysia Barat sahaja. Akta ini dinamakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 Akta 213 (disemak 1978). Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1995 Akta 930 (pindaan dan perluasan 1995) merupakan  satu akta untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, dan untuk memperluas akta tersebut, sebagaimana yang dipinda, ke negeri Sabah dan Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bahagian 6A – Lembaga hendaklah menjadi pihak berkuasa penyelaras yang tunggal berkenaan membentuk, mencipta dan membakukan istilah dalam bahasa kebangsaan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada mulanya ditubuhkan sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Pelajaran pada bulan Jun 1956 dan dikenali sebagai Balai Pustaka. Balai Pustaka kini dijadikan sebagai perbadanan di bawah Kementerian Pelajaran dan diberi nama baru, iaiatu Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Ogos 1959. Matlamat DBP yang ditetapkan oleh Seksyen 5(1) Ordinan 1959, dengan pindaan pada tahun 1972 adalah seperti yang berikut:
  1. Memaju dan memperkayakan bahasa kebangsaan
  2. Memajukan bakat kesusasteraan, terutama dalam bahasa kebangsaan
  3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan dalam bahasa kebangsaan
  4. Menyamakan ejaan dan bunyi sebutan dan menggubal istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan
Matlamat jangka panjang DBP ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang cekap dan berkesan dalam semua bidang terutama dalam bidang pentadbiran negara, dalam bidang pengajian tinggi, dan dalam kegiatan yang maju dan kompleks seperti kegiatan intelektual, kegiatan kebudayaan, ekonomi dan perdagangan. Tugas DBP adalah untuk menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan Bahasa Melayu, terutama melalui pembinaan dan pengembangan korpus bahasa. Jelas, perancangan taraf Bahasa Melayu telah berjaya menentukan dasar yang harus diikuti oleh kerajaan dalam menentukan hala tuju dan pembangunan pendidikan yang seharusnya berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkan Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada bahasa utama setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. 

PEMODENAN DAN PERANCANGAN BAHASA MELAYU


PENGENALAN 
Perkembangan Bahasa Melayu melalui beberapa tahap sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Topik 3. Kini Bahasa Melayu merupakan bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia dalam komunikasi harian. Pengetahuan masyarakat di Malaysia tentang bahasa ini tidak dapat dinafikan amat tinggi kerana hubungan sosial atau hubungan dagang mengutamakan Bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat umum di luar bandar. Perkembangan ini juga menyaksikan era pemodenan Bahasa Melayu. Di Malaysia, istilah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan membawa maknanya tersendiri. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara serta berfungsi sebagai alat perpaduan rakyat. Identiti bahasa kebangsaan haruslah mencerminkan penggunaan bahasa yang menggambarkan keseluruhan masyarakat yang mendiami negara Malaysia. Bahasa rasmi pula menekankan penggunaan bahasa dalam situasi rasmi misalnya pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan, acara rasmi dan sebagainya. Kedudukan bahasa rasmi amat tinggi prestijnya dalam kalangan pengguna bahasa kerana bahasa itu merupakan bahasa komunikasi harian dalam segala urusan rasmi. Jelasnya bahasa kebangsaan boleh menjadi bahasa rasmi tetapi bahasa rasmi tidak merupakan bahasa kebangsaan kerana bahasa rasmi hanya digunakan untuk tujuan tertentu tanpa dikaitkan dengan nasionalisme.

KONSEP DAN DEFINISI     

Pemodenan bahasa mempunyai pengertian yang khusus bagi menilai perkembangan sesuatu bahasa. Sukar untuk ditentukan garis pemisah antara moden dan tradisi dalam perkembangan Bahasa Melayu. Pemodenan ialah proses menjadikan bahasa-bahasa yang sudah berkembang maju sebagai bahasa media komunikasi, iaitu proses menyatukan masyarakat dunia bahasa-bahasa yang kian saling menterjemahkan yang dikenali sebagai cara yang wajar bagi bentuk-bentuk moden dalam wacana (Ferguson,1968:32 dipetik daripada Ismail Dahaman 2007). Pemodenan bahasa dapat dikatakan bermula dengan pemodenan kosa kata Bahasa Melayu melalui pembentukan korpus dalam bidang ilmiah yakni pembentukan kata baharu atau istilah. Perkembangan ini memperlihatkan kemunculan Bahasa Melayu tinggi yang digunakan dalam wacana ilmiah yang mempunyai ciri-cirinya tersendiri dengan kosa kata khusus, struktur morfologi dan fonologi menjadi lebih kompleks.
Rajah 4.1: Sutan Takdir Alisjahbana.
Alisjahbana (1965) (Lihat Rajah 4.1) pula mengatakan pemodenan itu sebagai usaha-usaha menyesuaikan konsep-konsep, fikiran-fikiran dan cara-cara berfikir kebudayaan negara-negara sedang membangun dengan konsep-konsep, fikiran-fikiran dan cara berfikir dunia moden, iaitu memodenkan kebudayaan untuk kemajuan ilmu, teknologi dan ekonomi dunia moden. Pemodenan bahasa dapat dilihat dari segi fungsi Bahasa Melayu itu sendiri, yakni pada masa dahulu merupakan bahasa lingua franca kemudian berkembang menjadi bahasa wacana ilmu bersifat ilmiah melalui pengayaan kosa kata atau perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu.

Perancangan bahasa ialah usaha untuk mempertingkatkan komunikasi dengan cara mengkaji hubungan antara pengguna bahasa atau mencipta satu situasi bahasa. Perancangan bahasa merupakan pembangunan matlamat, objektif, dan strategi untuk mengubah cara penggunaan bahasa dalam sesebuah masyarakat atau komuniti. Hal ini melibatkan perekasayaan sosial penggunaan bahasa bagi sesebuah negara.  Perancangan bahasa merangkumi dua komponen penting, iaitu perancangan taraf atau status dan perancangan korpus.  Perancangan taraf mementingkan peranan yang dimainkan bahasa dalam pembinaan bangsa (Asmah:1987). Penggunaan satu bahasa rasmi merupakan penetapan taraf bahasa dalam sesebuah negara. Usaha ini merupakan urusan rasmi di peringkat kerajaan atau pemerintah tentang pemilihan dan peningkatan penggunaan satu bahasa dalam pentadbiran negara. Usaha ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh individu, kumpulan, atau organisasi untuk mempengaruhi penggunaan atau pembangunan satu bahasa sebagai bahasa rasmi. Perancangan korpus pula merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan penciptaan perbendaharaan kata yang baharu dan pembakuan atau penstandardan termasuklah sistem ejaan dan tulisan dalam sesuatu bahasa.

Dari segi sistem pendidikan, perancangan bahasa yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah menggalakkan pelajar, pengajar, guru dan pensyarah, penggubal kurikulum, penyedia soalan peperiksaan, dan pentadbiran menuntut  kegiatan peristilahan Bahasa Melayu dipacu dengan lebih laju. Ini memperlihatkan proses pemodenan Bahasa Melayu berlaku secara terancang, iaitu melalui perancangan bahasa. Pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah dan hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi menggerakkan kegiatan peristilahan yang didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebar luas istilah Bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan. Perubahan ini menyaksikan perancangan korpus Bahasa Melayu berkembang dengan cepat sekali. 

Globalisasi menyaksikan perkembangan ilmu tanpa sempadan yang boleh diterokai oleh mana-mana pihak yang berminat untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang. Hal ini juga memperlihatkan keutamaan diberikan kepada Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu antarabangsa di samping beberapa bahasa utama lain seperti Perancis, Jerman, Mandarin dan sebagainya. Aspek ini amat berkait rapat dengan perancangan bahasa, khususnya bagi negara-negara membangun seperti Malaysia yang sedang berusaha untuk mempertingkatkan pembangunan ekonomi dan sosial.  Bahasa Melayu, sama ada dalam  penggunaan umum ataupun penggunaan bidang khusus, merupakan  wahana  penting dalam pengembangan ilmu pengetahuan. Perancangan bahasa juga merupakan fenomena yang berlaku dalam bahasa untuk tujuan umum (BUTU) dan juga bahasa untuk tujuan khusus (BUTK). Asas bagi perancangan  bahasa bagi bidang khusus ini adalah untuk membolehkan  komunikasi profesional berlangsung dalam Bahasa Melayu.

Perancangan bahasa adalah satu proses yang berterusan dan mengambil jangka masa yang agak panjang. Perancangan bahasa oleh mana-mana negara memerlukan pembentukan satu dasar oleh pemerintah. Noss (1971) melihat hal ini dari sudut  perancangan  dasar bahasa yang terbahagi kepada tiga, iaitu dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa am. Dasar bahasa rasmi ialah dasar yang dikeluarkan oleh pemerintah yang menentukan bahasa yang seharusnya digunakan dalam mencapai matlamat  tertentu. Dasar bahasa pendidikan ialah dasar bahasa yang dipegang dalam menggunakan bahasa sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar bahasa am ialah dasar yang secara tidak rasmi diterima oleh kerajaan mengenai penggunaan  bahasa dalam perdagangan, perhubungan rakyat dan dalam hubungan dengan orang-orang, badan-badan atau negara-negara luar (Asmah, 1985. ms 23).

Dalam perkembangan perancangan bahasa, terdapat beberapa istilah yang merujuk kepada usaha-usaha untuk merancang atau merencanakan pembinaan dan pengembangan bahasa secara sedar. Antaranya :
  1. Perancangan bahasa (language planning),
  2. Perekasayaan bahasa (language engineering),
  3. Politik bahasa (glottopolitics and glossopolitics),
  4. Pengurusan bahasa (language management),
  5. Pemupukan bahasa (language cultivation),
  6. Perawatan bahasa (language treatment), dan
  7. Pembinaan bahasa (language development).
r4.2
Rajah 4.2: Einar Haugen
Francis X. Karam (1974) telah memetik pendapat Einar Haugen (Lihat Rajah 4.2) bahawa orang yang pertama menggunakan perkataan language planning ialah Uriel Weinreich dalam satu seminar yang diadakan di Universiti Colombia. Namun demikian, orang yang pertama yang menggunakannya sebagai satu konsep dan menjelaskan konsep ini sebagai istilah ialah Einar Haugen sendiri berdasarkan sebuah makalah yang berjudul  Planning for a Standard Language in Modern Norway (1959)  dan kemudian makalah ini ditukar kepada Language Planning in Modern Norway. Einar Haugen mengatakan bahawa perancangan bahasa itu merangkumi kerja-kerja normatif  akademi atau jawatankuasa bahasa, terhadap semua bentuk usaha yang biasa dikenali sebagai pembinaan bahasa dan semua cadangan perubahan atau reformasi bahasa atau pembakuan standard.

Dalam versi klasik, skema perancangan bahasa Haugen merangkumi empat dimensi membentuk pasangan matriks dua-dengan-dua. Bahasa dilihat sebagai norma dan fungsi, dan objek perancangan dilihat sebagai masyarakat dan bahasa. Satu norma dipilih dan dikodkan melalui ortografi, tatabahasa dan leksikal. Pemilihan bahasa tertentu dibuat untuk menduduki tempat tertentu seperti bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Kodifikasi dilakukan dengan menentukan norma sesuatu bahasa. Pada aras fungsi, bentuk yang dipilih dikodkan untuk dijadikan identifikasi standard atau digunakan (implementasi sebagai satu amalan sosial), dan kemudian dihuraikan.  Peluasan perlu dilakukan untuk membuktikan kemampuan bahasa menghadapi kehendak-kehendak semasa dalam segala bidang pengetahuan.

Istilah  language planning  ini juga digunakan oleh beberapa ahli bahasa lain seperti Joshua A. Fishman dalam Advances in Language Planning (1974)  dan The Impact of Nationalism on Language Planning (1970),  Valter Tauli (dalam Theory of Language Planning (1974), Bonafacio P. Sibayan  (dalam Language Planning Processes and the Language Policy: Survey in the Philipines 1970), Rubin Jernudd (dalam Can Language be Planned? 1970), Joan Rubin (dalam Cost Benefit Analysis in Language Planning 1970), Chaim Rubin (dalam  Tentative Classification of Language Planning Aims 1970), Paul Gavin (dalam Some Comments on Language Planning 1970), Fernando Penalosa (1984), Roger T. Bell (1976), Khaidir Anwar (1980), Richard B. Noss (1984) dan S. Takdir Alisyahbana (1976) (dalam Language Planning for Modernization), dan Asmah Haji Omar(1979) (dalam Language Planning  for Unity and Efficiency).

Language engineering  atau perekasayaan bahasa digunakan oleh G.P. Springer dalam Early Soviet Theories in Communication (1956), Takdir Alisyahbana dalam Language Engineering Moulds Indonesian Language (1961) dan  Language Policy, Language Engineering and Literacy in Indonesia and Malaysia (1971), Richard B. Noss (1984), Stephen A. Wurm (1974), Bonifacio P. Sibayan(1974) dan Henri Lavondes (1974). Glottopolitics atau politik bahasa diperkenalkan oleh Robert A. Hall Jr. (dalam tulisannya berjudul American Linguistics 1925-1950 (1951). Selain itu, tokoh bahasa dari Indonesia seperti Amran Halim (Politik Bahasa Nasional 1980) dan Lembaga Bahasa Nasional Indonesia 1974 turut menggunakan istilah yang sama. Istilah glossopolitics  juga digunakan oleh Asmah Haji Omar. Language development atau pembinaan bahasa  dikemukakan juga oleh Richard B. Noss dalam Language Policy and Higher Education 1967 untuk pengertian perancangan bahasa yang dilakukan di negara-negara di Asia Tenggara. Bagi Noss istilah ini merupakan sebahagian daripada ruang lingkup dalam  Language Planning (Richard Noss 1984). Tokoh lain yang menggunakan istilah ini ialah Charles A. Ferguson 1968. Language treatment  atau perawatan bahasa  digunakan oleh Ferdinand Penalosa (1981) untuk berbagai-bagai jenis perhatian yang diberikan oleh masyarakat tentang bahasa. Jenis perawatan bahasa yang terpenting menurut beliau ialah perancangan bahasa. Oleh itu perancangan bahasa merupakan sebahagian sahaja daripada perawatan bahasa. Language management atau pengurusan bahasa, iaitu bahasa itu dibina dan dipupuk untuk menjadi satu bahasa yang berkeupayaan dan mampu digunakan untuk mendukung budaya yang tinggi serta moden.

Neustupny (1974) menyebut dua istilah lagi, iaitu Cultivation Approach dan Cultivation of Language yang menyentuh “...persoalan ketepatan, kecekapan, tahap linguistik memenuhi fungsi-fungsi khusus, masalah stail, sekatan terhadap kapasiti perhubungan dan sebagainya”  Istilah Cultivation of Language menurut Neustupny  mula digunakan oleh P.L. Garvin dalam tulisannya yang berjudul A Prague School Reader on Aesthetics Structure and Style (1964). Selain itu, terdapat beberapa istilah lain yang dikaitkan dengan perancangan bahasa, iaitu A. Peskovskij telah menemukan istilah practical linguistics, iaitu ilmu bahasa amali atau linguistik amali. Bruno Migliorini dan Hspang-Hansen menggunakan pula istilah applied linguistics atau linguistik terapan atau gunaan. Punya Sloka Ray pula memberikan nama prescriptive linguistics atau linguistik preskriptif. Einar Haugen telah menggunakan istilah normative linguistics atau linguistik normatif.  Akhir sekali, Valter Tauli menggunakan istilah Theory of Language Planning  atau teori perancangan bahasa (lihat Valter Vauli (1974 dan 1968) dalam J.A. Fishman  Advances in Language Planning.)

Rubin dan Jernudd dalam bukunya Can Language Be Planned? (1970) (atau bolehkah bahasa dirancang?), telah mengatakan bahawa perancangan bahasa itu membawa maksud pembuatan keputusan tentang bahasa atau decision making about language yakni segala keputusan yang dibuat untuk bahasa. Hal ini merangkumi keputusan penetapan taraf bahasa dan bahan bahasa seperti ejaan, tatabahasa, istilah, sebutan, dan kosa kata serta hal-hal lain yang berkaitan dengan bahasa. Dalam tahun 1971 dan 1974, kedua-duanya mengutarakan pandangan lanjutan, iaitu perancangan bahasa sebagai usaha-usaha yang tersusun yang diarahkan kepada perubahan yang difikirkan dan ditimbangkan secara teliti mengenai kod bahasa atau pertuturan atau kedua-duanya sekali.

Fishman (1972) (Lihat Rajah 4.3) memberikan takrifan istilah ini sebagai “usaha yang tersusun bagi menyelesaikan masalah-masalah bahasa terutama pada peringkat kebangsaan”. Valter Tauli mendefinisikan istilah ini sebagai kegiatan mengawal atur yang berkaedah dan membaiki bahasa-bahasa yang baru dan sepunya di peringkat daerah, negara atau antarabangsa (Valter Tauli 1974). Das Gupta (dalam Penalosa 1981) berpendapat bahawa perancangan bahasa itu ialah rangkap kegiatan yang difikirkan dan ditimbangkan dengan hati-hati, dan direkasayakan secara bersistem untuk menyusun dan membina daya sumber bahasa sesebuah masyarakat secara terstruktur dan mengikut jadual waktu yang tertentu.
Rajah 4.3: Joshua Fishman. 
Springer (1956) dan (1974) yang menggunakan istilah language engineering telah memberikan takrif istilah ini sebagai rujukan kepada usaha-usaha penulisan dan pembakuan bahasa-bahasa separa baku di Kesatuan Soviet. Alisyahbana (1961 dan 1974) menggunakan istilah yang sama bagi maksud pedoman pembinaan bahasa secara sedar dalam konteks perubahan masyarakat, kebudayaan dan teknologi yang lebih besar. Juga dikatakan bahawa istilah ini juga membawa maksud pemindahan pengalaman-pengalaman pengekodan yang lalu pada bahasa-bahasa di Eropah  dalam bidang ejaan, kosa kata dan tatabahasa  kepada bahasa-bahasa yang baru dibina dengan perancangan dan dipertimbangkan dengan teliti dan rasional.

Ronald Wardhaugh (1988) mengatakan bahawa terdapat dua fokus perancangan bahasa, iaitu perancangan taraf atau status, dan perancangan korpus atau bahan. Pertama, analisis keperluan dilakukan yang melibatkan analisis komunikasi pola sosiopolitik dalam masyarakat. Kemudian, pemilihan satu bahasa pelbagai bahasa untuk tujuan perancangan. Tahap ini kadangkala dikenali sebagai perancangan status  yang merangkumi kodifikasi dan penstandardan. Kodifikasi menentukan kriteria yang dikatakan bahasa yang baik manakala penstandardan berlaku apabila satu bahasa dipilih sebagai standard yang diikuti. Kedua-dua tahap ini merupakan perancangan status bahasa. Tahap seterusnya ialah peluasan dan pelaksanaan. Peluasan melibatkan sebarang aktiviti yang mengembangkan pembangunan sesuatu bahasa termasuklah peluasan leksikal yang memungkinkan perkembangan bahasa yang dinamis. Pelaksanaan merupakan proses pemupukan bahasa melalui penghasilan kamus dan penulisan ilmiah dalam bahasa tersebut. Sebagai tambahan kepada pelaksanaan melalui perancangan status dan korpus, penilaian dan maklum balas perlu sebagai mekanisme bagi menentukan bagaimana perkembangan usaha perancangan bahasa bergerak dan sejauh mana keberhasilan usaha yang dilaksanakan.