NARATIF TULISAN

Naratif tulisan wujud di dalam bahasa Melayu setelah Islam menganugerahkan tulisan Jawi. Sungguhpun sebelum Islam sudah ada tulisan, tetapi penggunaannya tidak meluas. Karya di dalam kumpulan ini terbahagi kepada tiga genre, iaitu sastera hikayat, sastera epik dan sastera sejarah. Sastera Hikayat pula terbahagi kepada lima subgenre, iaitu hikayat romantik, hikayat tentang Nabi Muhammad, hikayat nabi-nabi, hikayat tokoh-tokoh agama dan hikayat berbingkai. Sastera Epik terbahagi kepada dua subgenre, iaitu epik Melayu-Islam dan epik kebangsaan. Kesemuanya akan dibicarakan kemudian. 

1. Sastera Hikayat

Kata ‘hikayat’ berasal daripada kata ‘haka’ di dalam bahasa Arab atau ‘hekaye’ di dalam bahasa Parsi. Maksudnya ialah cerita panjang berbentuk prosa dan isinya ialah cerita rekaan, legenda dan sebagainya.

Genre ini tidak diketahui pengarangnya, tarikh dikarang atau disalin, dan menggunakan kata-kata ‘sahibu’l-hikayat’ atau ‘yang empunya cerita’ atau ‘kata yang empunya cerita’ sebagai rujukan pengarang.

Hikayat mengisahkan golongan bangsawan, pembesar-pembesar, atau para pedagang. Pada peringkat awal, hikayat disadur atau diterjemah daripada bahasa Arab atau Parsi. Struktur ceritanya bermula dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan dan diakhiri dengan peleraian yang berbentuk happy ending. Sastera boleh dibahagikan kepada lima subgenre, iaitu:




Subgenre sastera hikayat
1.1 Hikayat tentang Nabi Muhammad
Subgenre ini merupakan bentuk yang mula-mula sekali berkembang di Alam Melayu. Aktiviti-aktiviti budaya seperti sambutan maulid, membaca kisah mikraj, dan sambutan awal Muharram menyumbang kepada perkembangannya. Contoh-contohnya ialah Hikayat Bulan Berbelah dan Hikayat Nabi Wafat. Hikayat yang pertama antaranya menceritakan anak raja mendapat semula kaki dan tangannya yang hilang. Antara cerita di dalam hikayat kedua ialah wajah orang yang mencium pusat Rasulullah menjadi berseri-seri. Unsur-unsur itu sebenarnya mitos, legenda dan khayalan pengarangnya sahaja.

1.2 Hikayat Nabi-Nabi
Hikayat jenis ini didasarkan kepada kisah-kisah yang terdapat dalam Al-Qur’an. Kisahnya bermula daripada Nabi Adam hingga Nabi Isa. Sebahagian isinya menyampaikan ajaran tauhid. Amanatnya menekankan pentingnya mengamalkan ajaran Islam. Namun demikian, kisah-kisah yang dimaksudkan itu menggunakan latar belakang sejarah tetapi diolah dengan menggunakan daya kreatif melalui mitos dan legenda serta memasukkan unsur-unsur keindahan untuk menarik perhatian khalayak. Oleh sebab itu, cerita jenis ini hanya baik untuk dikaji tetapi tidak boleh dijadikan pegangan.

1.3 Hikayat Tokoh Islam
Subgenre ini mengandungi kisah sahabat Rasulullah dan orang-orang soleh. Contoh-contohnya ialah Hikayat Tamim al-Dari, Hikayat Ali Kahwin dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Hikayat yang pertama berunsur dakwah. Isinya memberi gambaran tentang alam akhirat, menyatakan balasan perbuatan baik dan jahat, serta hukum-hukum Islam.

Hikayat yang kedua berunsur syiah. Isinya menggambarkan Tuhan memberi wahyu menyuruh Rasulullah menikahkan Fatimah dengan Ali. Hal ini dilakukan pengarang berfahaman syiah untuk meninggikan status Saidina Ali.

Hikayat ketiga menceritakan tokoh yang mengamalkan ajaran sufi. Oleh itu, beliau digambarkan menolak keduniaan untuk mencari ketakwaan.

1.4 Hikayat Romantik
Hikayat Romantik bermaksud roman atau cerita yang menggambarkan pengembaraan dan/atau percintaan antara watak-watak utamanya. Fokus pengkisahannya ialah golongan bangsawan atau saudagar. Strukturnya terbahagi kepada tiga, iaitu pengenalan, perkembangan, dan peleraian yang biasanya berakhir dengan kegembiraan atau ‘happy ending’. Hikayat romantik dalam bahasa Melayu kebanyakannya diterjemah daripada karya-karya Arab-Parsi. Termasuk di dalamnya ialah Hikayat Jauhar Manikam, Hikayat Qamar al-Zaman, Hikayat Hasan Damsyik dan Hikayat Amir Arab.

1.5 Hikayat Berbingkai
Hikayat berbingkai berasal daripada Kesusasteraan Hindu yang dipanggil ‘akhyayika’. Maksudnya ialah percakapan yang menyenangkan. Bentuk ini meresap ke dalam Kesusasteraan Arab dan Kesusasteraan Parsi kemudian masuk ke dalam Kesusasteraan Melayu melalui penterjemahan.

Hikayat ini dimulakan dengan cerita induk. Cerita-cerita yang disampaikan oleh watak utama cerita induk dipanggil cerita-cerita sisipan. Jika dalam cerita sisipan itu ada lagi cerita lain, cerita itu dipanggil cerita sisipan terbitan. Setelah selesai, peleraiannya kembali kepada cerita induk. Cerita induk menjadi bingkai hikayat itu.

Antara karya yang tergolong di dalam hikayat berbingkai ialah Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Kalilah dan Dimnah, Hikayat Seribu Satu Malam, dan Hikayat Ghulam.  Hikayat berbingkai berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi nasihat, pengajaran, dan membentuk moral yang baik.

2. Sastera Sejarah

Sastera sejarah dikenali juga sebagai historiografi. Oleh sebab historiografi dikategorikan sebagai karya sastera, maka kandungannya terisi dengan unsur-unsur sejarah dan unsur-unsur kesusasteraan. Oleh sebab itu, konsep sejarah di dalam karya-karya sastera sejarah tidak sama dengan sejarah yang difahami pada masa ini, iaitu peristiwa yang sahih fakta-faktanya.

Walau bagaimanapun, jika dirujuk kepada catatan-catatan oleh pengembara Barat dan China, ternyata bahawa fakta-fakta tentang budaya bangsa Melayu, proses pengislaman dan dasar politik Kesultanan Melayu Melaka memang benar. Karya-karya di dalam genre ini menggunakan perkataan ‘hikayat’, ‘salasilah’, ‘silsilah’, ‘tawarikh’, ‘misa’, dan sebagainya. Contoh-contohnya ialah Hikayat Raja-Raja Pasai, Silsilah Melayu dan Bugis, Tawarikh Salasilah Negeri Kedah, dan Misa Melayu. Terdapat juga karya yang menggunakan judul dalam bahasa Arab. Misalnya, Sulalatus Salatin (Salasilah Raja-Raja) dan Tuhfat al-Nafis (Hadiah yang Berharga).

Sastera sejarah ada dua bentuk, iaitu prosa dan puisi. Prosanya mengisahkan sejarah sesebuah negeri untuk jangka masa lebih dari seratus tahun. Contoh-contohnya ialah Hikayat Merong Mahawangsa dan Sejarah Melayu. Puisinya terhad kepada penceritaan tentang sesuatu peristiwa, tempat atau tokoh tertentu. Contoh-contohnya ialah Syair Perang Makasar dan Syair Sultan Maulana.

Isi kandungan sesebuah karya yang termasuk dalam sastera sejarah ialah:
  1. Asal usul keturunan raja;
  2. Asal usul pembukaan negeri;
  3. Asal usul kedatangan agama Islam;
  4. Salasilah raja-raja yang diceritakan; dan
  5. Kejatuhan kerajaan yang diceritakan.
Kesemua hal yang dikisahkan dalam sastera sejarah ditulis oleh pujangga istana. Oleh sebab itu, kita dapat membaca pernyataan-pernyataan yang mengagung-agungkan raja di dalamnya. Aspek tersebut disampaikan melalui mitos dan legenda.

Walau bagaimanapun, unsur-unsur tersebut turut digunakan untuk mengkritik golongan bangsawan secara tersirat. Misalnya, raja digambarkan kurang bijaksana apabila menitahkan rakyat berkubukan betis semasa Singapura dilanggar todak. Sultan Mahmud digambarkan sebagai raja yang mementingkan diri sendiri apabila mahu mengambil darah puteranya Raja Ahmad semasa mengisahkan peminangan Puteri Gunung Ledang.

3. Sastera Epik

Genre ini dikenali juga sebagai Sastera Kepahlawanan. Fokus utamanya ialah nilai-nilai kepahlawanan dan keperibadian mulia seseorang watak. Genre ini boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:
  1. Epik Kebangsaan; dan
  2. Epik Melayu-Islam.
Satu-satunya epik kebangsaan ialah Hikayat Hang Tuah. Di dalam karya tersebut Hang Tuah digambarkan sebagai pahlawan Melayu yang gagah perkasa dan setia kepada rajanya. Watak ini terus diingati hingga kini.

Epik Melayu-Islam diwakili oleh Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Kedua-dua epik itu disebut di dalam Sejarah Melayu, cetera ke-34. Cetera itu mengisahkan pahlawan Melaka meminta Hikayat Muhammad Hanafiah untuk dibaca bagi menaikkan semangat mereka semasa menghadapi serangan Portugis. Sultan Ahmad memberikan Hikayat Amir Hamzah supaya mereka berani seperti Amir Hamzah. Cerita-cerita jenis ini dikarang untuk membangkitkan semangat cintakan negara, agama dan bangsa. Namun demikian, unsur-unsur mitos dan legenda masih melekat dalam sastera sejarah.


NARATIF LISAN

Naratif lisan di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional ialah karya yang menjadi milik masyarakat, disebarkan dari mulut ke mulut, dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Hal tersebut berlaku kerana pada suatu masa dahulu wujud tukang cerita profesional, iaitu penglipur lara yang menyampaikan cerita-cerita tersebut kepada khalayak. Di samping itu, cerita lisan turut disampaikan oleh orang-orang tua kepada anak atau cucu mereka dari semasa ke semasa sehingga cerita-cerita tersebut menjadi warisan bangsa. Naratif lisan Melayu terbahagi kepada tiga genre, iaitu mitos, legenda, dan cerita rakyat. Cerita rakyat terbahagi kepada tiga subgenre, iaitu cerita binatang, cerita jenaka dan cerita dongeng. Kesemuanya mempunyai bentuk, ciri dan fungsi yang tersendiri. Rajah di bawah menyatakan tiga genre Naratif lisan Melayu.





Naratif lisan Melayu

Berdasarkan huraian-huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan merupakan kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan ia ditujukan kepada khalayak. Khalayak bermaksud pembaca bagi karya yang bertulis atau penonton drama. Oleh sebab itu, istilah Kesusasteraan Melayu merujuk kepada karya-karya kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Manakala, cerita rakyat terbahagi kepada tiga subgenre: cerita jenaka, cerita binatang dan cerita dongeng. Kesemua genre dan subgenre yang telah disebutkan itu mempunyai bentuk, ciri dan fungsi yang tersendiri. 

1. Mitos

Mitos ialah naratif lisan yang paling tua di dalam mana-mana masyarakat di dunia ini. Genre ini mengandungi cerita tentang dewa-dewi, berunsur keagamaan dan dianggap benar oleh masyarakat yang melahirkannya. Di samping itu, mitos mengandungi unsur-unsur ajaib, “supernatural”, tidak berdasarkan logik dan tidak cenderung kepada sejarah. Namun demikian, isi-isinya dianggap kudus oleh pendukungnya.

Sebagai contoh, Gunung Jerai dikatakan berasal daripada sebuah kapal yang membawa Tuan Puteri Jerai. Teguran Sang Gedembai telah menyebabkan kesemuanya menjadi gunung. Hikayat Banjar mengisahkan Tuan Puteri Tanjung berasal daripada buih. Sejarah Melayu mengaitkan jurai keturunan raja-raja Melayu dengan Iskandar Zulkarnain daripada Makadonia. Kulit keras pada tapak kambing dikatakan berasal daripada kasut ayam yang enggan dipulangkan. Sebab itulah ayam selalu berkokok seolah-olah menyebut “Pulangkan kasut aku”. Nama negeri Melaka dikatakan diambil daripada nama pokok tempat Raja Iskandar bersandar semasa menyaksikan anjing perburuan baginda ditendang oleh pelanduk putih sehingga jatuh ke dalam air.

Walau bagaimanapun, mitos tidak wujud lagi di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional pada masa ini. Perkara ini berlaku semenjak orang Melayu memeluk agama Islam. Mereka tidak lagi mempercayai dewa-dewi dan semua kejadian yang dianggap tahyul. Jika ada sekalipun, kehadirannya dianggap sebagai cerita dongeng tinggalan zaman pra-Islam.

2. Legenda

Legenda ialah cerita tentang watak manusia yang pernah hidup atau dipercayai pernah hidup dan ada hubungan dengan sejarah. Perwatakan tokoh-tokoh di dalam cerita ini dilebih-lebihkan.

Genre ini dianggap benar kerana ada tanda-tanda di muka alam yang menyamai cerita yang disampaikan. Contohnya batu berbentuk manusia di Sumatera yang dikatakan Malim Kundang (setelah disumpah ibunya).
Legenda pendosa menceritakan anak derhaka yang disumpah ibu sehingga menjadi batu. Contoh-contohnya ialah Cerita Nakhoda Tanggang dan Malim Kundang. Memorat mengandungi cerita hantu dan makhluk halus.




Empat pecahan legenda
Sumber: http://www.dennisholmesdesigns.com/cartoons_clipart.html

Di dalam masyarakat Melayu terdapat cerita-cerita lisan tentang langsuir, toyol, pelesit, pontianak dan hantu raya. Legenda tokoh ternama mengisahkan tokoh agama dan tokoh sejarah. Tokoh sejarah terbahagi kepada dua, iaitu tokoh sejarah setempat dan tokoh sejarah menjelajah. Tokoh sejarah setempat yang paling popular ialah Hang Tuah. Cerita tokoh sejarah menjelajah ialah legenda yang dibawa masuk daripada negeri asing ke Alam Melayu. Tokoh sejarah menjelajah yang terkenal di seluruh dunia ialah Iskandar Zulkarnain. Legenda tempat pula menceritakan asal usul nama sesuatu tempat. Misalnya, Samudera mendapat nama setelah rajanya terlihat semut besar.




Jenis tokoh sejarah

3. Cerita Rakyat

Cerita rakyat merupakan rekaan dan disampaikan secara lisan daripada satu generasi ke satu generasi. Cerita jenis ini merupakan hasil tinggalan nenek moyang, tidak diketahui penciptanya dan dianggap sebagai milik bersama. Corak masyarakat yang melahirkan cerita rakyat ialah masyarakat kecil yang hampir tertutup dan terpencil seperti masyarakat tani atau nelayan yang tinggal di pedalaman atau pesisir pantai. Cerita jenis ini menjadi sumber hiburan, bahan pengajaran, alat untuk mengenali warisan nenek moyang dan alat komunikasi.

3.1 Cerita Jenaka

Anak anda atau mungkin juga anda sendiri akan ketawa terbahak-bahak apabila menonton aksi lucu lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di dalam filem Nujum Pak Belalang. Begitu juga apabila menonton lakonan yang serupa oleh Allahyarham A.R. Tompel dalam filem Abu Nawas. Kedua-duanya diadaptasi daripada cerita jenaka yang terdapat dalam khazanah Kesusasteraan Melayu Tradisional.

Cerita jenaka berlatarkan rakyat biasa. Watak-watak utamanya ialah manusia biasa, bukan golongan bangsawan atau raja-raja. Latar tempatnya ialah kawasan perdesaan. Masyarakat Melayu lama menjadi latar masyarakat cerita jenaka. Subgenre ini mengisahkan tindakan-tindakan watak yang menimbulkan kelucuan.

Antara faktor yang menimbulkan kelucuan ialah:
  1. Sifat watak yang terlalu bodoh atau terlalu pintar. Contohnya, Pak Pandir dan Pak Belalang.
  2. Kewujudan unsur-unsur kebetulan di dalam cerita.
  3. Kelucuan yang ditimbulkan plot cerita.
  4. Kewujudan permainan kata-kata yang melucukan.
Cerita-cerita jenaka Melayu ialah Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Belalang dan Mat Jenin. Cerita-cerita yang dipinjam daripada luar atau disadur ke bahasa Melayu ialah Abu Nawas dan Musang Berjanggut.

Subgenre ini berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk menghibur, mengkritik masyarakat, memberi pengajaran dan menggambarkan sistem sosial di dalam masyarakat Melayu lama.

3.2 Cerita Binatang


Cerita binatang ialah cerita teladan yang secara tersirat mengandungi pengajaran. Haiwan yang diberi sifat-sifat manusia menjadi watak utama di dalam cerita jenis ini. Terdapat tiga jenis cerita binatang di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, iaitu:
  • Cerita Asal Usul

    Kita diberitahu tentang asal usul harimau, beruang dan lain-lain. Kesemuanya diambil daripada cerita-cerita mitos. Tujuannya untuk memberi pengetahuan dan pendidikan kepada masyarakat di samping memberi hiburan.
  • Fable

    Cerita binatang jenis ini bertujuan untuk memberi teladan dan pengajaran serta nasihat yang berguna kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Dengan menggunakan watak-watak dan perwatakan yang diberikan kepada binatang-binatang tertentu, kritikan dihamburkan kepada sifat-sifat manusia yang tamak, malas, penipu, kejam, dan sebagainya. Contoh-contohnya ialah ‘cerita anjing dengan bayang-bayang’ dan ‘arnab berlumba dengan kura-kura’.
  • Beast Epic

    Cerita jenis ini merupakan cerita binatang yang paling popular di dalam sesebuah masyarakat. Ceritanya berpusat kepada satu pelaku atau watak utama sahaja. Dalam Epik Binatang Melayu, Sang Kancil atau pelanduk merupakan watak utamanya. Dua buah epik binatang yang terkenal di dalam masyarakat Melayu ialah Hikayat Sang Kancil dan Hikayat Pelanduk Jenaka.
3.3 Cerita Dongeng

Sastera rakyat Melayu berbentuk naratif yang terkenal ialah cerita dongeng. Cerita dongeng bermaksud cerita yang diada-adakan kejadiannya. Cerita dongeng terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
  1. lipur lara,dan
  2. cerita teladan.
Lipur lara ditakrifkan sebagai roman rakyat. Lipur bermaksud ‘hibur’. Orang yang menghibur disebut penglipur. Lara bermaksud sedih. Oleh itu, maksud istilah itu ialah menghiburkan orang yang bersedih.
Isi lipur lara merupakan naratif rekaan semata-mata. Kesemuanya disampaikan secara lisan dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Lipur lara ialah warisan nenek moyang orang Melayu. Pengarangnya tidak diketahui. Anggota masyarakat menganggapnya sebagai milik bersama. Cerita-cerita jenis ini lahir di dalam masyarakat yang bersifat tertutup dan terpencil. Kandungannya berpusat pada golongan bangsawan. Kewujudannya terdedah kepada pengubahsuaian sama ada di dalam bentuk penambahan, pengurangan, atau pembuangan.

Tema utama lipur lara ialah pengembaraan. Tema-tema yang lain ialah percintaan dan peperangan. Watak-watak utamanya ialah putera dan puteri raja. Fokus pengkisahan ialah pengembaraan putera raja selaku wira dan puteri raja selaku wirawati. Walau apa pun yang berlaku, cerita pasti berakhir dengan ‘happy ending’.

Struktur lipur lara terbahagi kepada tiga bahagian iaitu; pengenalan, perkembangan dan peleraian. Bahagian pengenalan terisi dengan kelahiran luar biasa wira dan wirawati. Bahagian perkembangan terisi dengan pengembaraan dan pertarungan. Pertarungan melibatkan penggunaan alat magis seperti pedang sakti. Bahagian peleraian mengisahkan kejayaan wira.

Dari segi watak dan perwatakan, wira memiliki paras yang tampan dan memiliki alat magis. Manakala wirawati memiliki wajah yang cantik. Mereka mempunyai pengikut atau pembantu yang setia. Pengikut setia wira dipanggil Bujang Selamat. Pembantu wirawati dipanggil Si Kembang Cina. Di samping itu terdapat seorang perempuan tua yang selalu menghulurkan pertolongan. Dia dipanggil Nenek Kebayan.

Pantun, gurindam, seloka, talibun, serta bahasa berirama digunakan di dalam bahagian-bahagian tertentu lipur lara. Puisi-puisi tersebut digunakan untuk menggambarkan kebesaran dan kemuliaan golongan istana, kemeriahan majlis, dan kegagahan wira yang luar biasa.

Antara cerita-cerita lipur lara yang dikenali ramai ialah Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Raja Muda, dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Cerita Teladan mempunyai struktur yang sama dengan lipur lara. Perbezaan terletak pada tema dan persoalannya. Oleh sebab itu, plotnya terhidang dengan maksud memberi contoh teladan kepada khalayak.
Misalnya, jangan sekali-kali mengguris hati ibu kerana akibatnya amat buruk. Ibu yang terguris hatinya ‘dimakan’ batu di dalam cerita Batu Belah Batu Bertangkup. Cerita ini juga mengajar khalayak mengenang jasa orang lain seperti yang dilakukan oleh Melur. Teladan yang lain ialah penganiayaan membawa bencana. Hal termaklum terhidang di dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah.

KESUSASTERAAN MELAYU TRADISIONAL


Puteri Gunung Ledang
Sumber: http://www.flickr.com/photos/mohdimran/76727710/

Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang telah dipersembahkan kepada penonton di Panggung Budaya pada tahun 2006. Persembahan itu telah mendapat sambutan hangat daripada penonton. Tahukah anda bahawa cerita itu diambil daripada khazanah Kesusasteraan Melayu Tradisional?

Kita harus menyedari bahawa ketika membuat penelitian terhadap hasil-hasil Kesusasteraan Melayu, kesusasteraan tradisional mempunyai peranan yang sangat penting di samping kesusasteraan moden. Ini kerana komponen pertama itulah yang menjadi akar kepada komponen kedua.

Kesusasteraan Melayu Tradisional terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu prosa dan puisi. Karya-karya dalam kategori Prosa Melayu Tradisional terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu; prosa naratif dan prosa bukan naratif. Daripada sudut yang lain, kita boleh membahagikan Prosa Melayu Tradisional kepada tiga cabang, iaitu naratif lisan, naratif tulisan, dan prosa tradisional bukan naratif. Secara ringkasnya boleh dilihat dalam rajah di bawah:


Prosa Melayu Tradisional

Naratif lisan mempunyai ranting-rantingnya yang tersendiri. Begitu jugalah halnya dengan dua lagi cabang yang telah disebutkan itu. Karya-karya di dalam kumpulan puisi juga demikian. Harus diingat bahawa setiap kategori dan kumpulan itu terbahagi kepada genre dan subgenre tersendiri. Kita akan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang telah disebutkan tadi secara berperingkat-peringkat.

PEMBAHAGIAN GENRE DI DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

Sub-topik ini akan membincangkan pembahagian genre di dalam Kesusasteran Melayu dengan lebih mendalam. Anda akan mempelajarai Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kesusasteraan Melayu Moden.

1. Kesusasteraan Melayu Tradisional
Rajah di bawah menghuraikan bahagian-bahagian dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional dengan lebih jelas.


Kesusasteraan Melayu Tradisional

Kesusasteraan Melayu Tradisional terbahagi kepada dua kategori, iaitu:
  1. Prosa
  2. Puisi
Prosa Melayu Tradisional terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu:
  1. Naratif
  2. Bukan Naratif
Prosa tradisional berbentuk naratif terbahagi pula kepada dua jenis, iaitu:
  1. Naratif Lisan
  2. Naratif Tulisan
Naratif Lisan di dalam Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada tiga genre, iaitu:
  1. Mitos
  2. Legenda
  3. Cerita Rakyat
Cerita Rakyat terbahagi kepada tiga subgenre, iaitu:
  1. Cerita Jenaka
  2. Cerita Binatang
  3. Cerita Dongeng
Cerita Dongeng ialah:
  1. Lipur Lara
  2. Cerita Teladan
Ada dua pengaruh di dalam Naratif Tulisan, iaitu:
  1. Pengaruh Hindu
  2. Pengaruh Islam
Pengaruh Hindu terdapat di dalam genre:
  1. Sastera Panji
Pengaruh Hindu-Islam terdapat di dalam genre:
  1. Sastera Transisi
Pengaruh Islam mempengaruhi genre-genre yang berikut:
  1. Sastera Hikayat
  2. Sastera Sejarah dan
  3. Sastera Epik.
Sastera Epik ada dua subgenre, iaitu:
  1. Epik Kebangsaan
  2. Epik Melayu-Islam
Genre-genre yang tergolong di dalam kategori Prosa Tulisan Bukan Naratif ialah:
  1. Sastera Kitab
  2. Sastera Ketatanegaraan
  3. Sastera Undang-Undang
  4. Sastera Sufi
Puisi Melayu Tradisional terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
  1. Puisi Narati
  2. Puisi Bukan Naratif
Di samping itu, genre-genre Puisi Melayu Tradisional dapat pula dikategorikan kepada tiga kumpulan yang berasingan jika dilihat dari sudut asal usulnya, iaitu:
  1. Puisi Tradisional Warisan Melayu
  2. Puisi Tradisional Warisan Islam
  3. Puisi Tumpangan
Puisi Tumpangan juga terbahagi kepada dua kategori, iaitu:
  1. Puisi Tumpangan Warisan Melayu
  2. Puisi Tumpangan Warisan Islam
Rajah 1.10 menyatakan dua kategori puisi tumpangan dan contoh-contohnya.


Puisi tumpangan

Teka-teki dan rejang menumpang pada bentuk syair dan pantun. Endoi pula menumpang pada bentuk syair, nazam dan pantun. Puisi Tumpangan Warisan Islam semuanya menumpang pada bentuk syair atau nazam yang biasanya berbahasa Arab.

Satu lagi genre puisi di dalam bahasa Melayu ialah puisi sufi. Puisi jenis ini memaparkan idea-idea tasauf. Salah seorang penulis puisi jenis ini yang paling terkenal ialah Hamzah Fansuri.


2. Kesusasteraan Melayu Moden

Kesusasteraan Melayu Moden memiliki pelbagai genre. Walau bagaimanapun, pada peringkat ini kita akan berbicara tentang novel, cerpen, drama, sajak, biografi dan esei atau kritikan sahaja.

Rajah di bawah memperjelaskan lagi genre-genre di dalam kesusasteraan melayu moden.


Kesusasteraan Melayu moden
     
  Novel ditakrifkan sebagai cereka yang berbentuk prosa. Cereka yang disampaikan itu luas jangkauannya. Maksudnya ialah cerita yang disampaikan itu terdiri atas:
  1. Plot yang kompleks;
  2. Watak yang menggerakkan cerita banyak jumlahnya;
  3. Persoalan-persoalan yang dikemukakan bersifat pelbagai; dan
  4. Suasana serta latar ceritanya beraneka.
 
     
Hal-hal itu menyebabkan sesebuah novel itu relatif panjang, yakni lebih panjang daripada cerpen. Istilah ‘novel’ diambil daripada bahasa Inggeris. Perkataan itu asalnya daripada bahasa Itali ‘novella’ yang bererti satu benda kecil yang baru.
     
  Cerpen juga dipanggil cerita pendek. Oleh sebab itu, sudah tentu ceritanya tidak panjang. Walau bagaimanapun, batasan atau tanggapan panjang pendeknya tidak boleh diukur berdasarkan jumlah perkataan yang dilihat lantaran sifatnya yang relatif.  
     
Pada kebiasaannya, sesebuah cerpen mengisahkan hanya satu kejadian dalam kehidupan yang diwarnai oleh pelbagai kejadian. Sesuatu kejadian yang digambarkan melalui cerpen dianggap sebagai pokok yang menentukan segalanya. Kemungkinan-kemungkinan lain ditinggalkan begitu sahaja. Oleh sebab itu, pengisahan yang diutarakan menjadi relatif pendek.

Sesebuah cerpen biasanya memusatkan pengisahannya kepada satu watak sahaja, terutama watak penting yang menghadapi permasalahan hidup. Persoalan yang ditimbulkan itu benar-benar bermakna, penting, dan dapat mengubah sikap, pemikiran watak-watak yang difokuskan.

Hal itu dapat dilihat pada watak Wak Da di dalam cerpen Kelapa Nan Sebatang karya Shahnon Ahmad. Wak Da hidup di dalam serba kesusahan. Sewaktu menyeberangi sungai melalui titi batang kelapa, Wak Da berhasrat mengakhiri derita dan kekecewaannya dengan membunuh diri. Namun demikian, setelah mendapat semangat baru dan keyakinan diri, Wak Da berjaya menyeberangi sungai itu.

Cerpen biasanya disiarkan di dalam akhbar mingguan dan majalah. Sungguhpun begitu, atas inisiatif pihak-pihak tertentu, cerpen-cerpen pilihan dikumpul dan dibukukan. Contohnya, kumpulan-kumpulan cerpen Janji Sutinah selenggaraan Rosnah Baharuddin dan Kelapa Nan Sebatang selenggaraan Ramli Isin dan Razak Mamat.

Ciri-ciri utama drama ialah:
  1. Aksi;
  2. Konflik; dan
  3. Persembahannya sekali jalan sahaja.
Jenis-jenisnya ialah:
  1. Tragedi;
  2. Komedi;
  3. Tragi-komedi;
  4. Opera;
  5. Pantomin; dan
  6. Bangsawan.
Tragedi mengandungi kisah sedih yang menimpa watak utama. Sekalipun watak itu cuba mengubah nasib malang tersebut dengan baik, tetapi dia tetap gagal. Contohnya Keris Laksamana Bentan oleh Shaharom Hussain. Drama berbentuk komedi mengisahkan telatah lucu watak-watak di dalamnya. Tujuannya untuk menghibur di samping menyindir penonton-penonton secara halus. Contohnya Cam Ni Cam Tu oleh Hafsham.

Ada pula drama yang menggabungkan unsur tragedi dengan komedi. Drama jenis ini dinamakan tragi-komedi. Contohnya Anak Kerbau Mati Emak karya Bidin Subari. Opera mementaskan sebuah cereka dengan iringan muzik, nyanyian dan lakonan. Cerita-cerita yang biasanya dipersembahkan ialah cerita daripada Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Siti Zubaidah Perang China dan Jula Juli Bintang Tujuh.

Sesebuah drama dapat juga dipersembahkan tanpa dialog. Pelakon-pelakonnya hanya mempamerkan gerak laku dan memek muka bagi menunjukkan aksi dan perasaan yang maksudnya difahami penonton. Drama jenis ini dinamakan pantomin dan ia sering dipersembahkan dalam majlis-majlis sambutan yang besar-besar seperti Maal Hijrah dan Hari Kebangsaan.

Jenis drama yang terakhir ialah bangsawan yang merupakan pementasan yang bercorak tradisional dalam masyarakat Melayu. Bangsawan amat popular pada era sebelum Perang Dunia Kedua hingga selepasnya. Cerita-cerita yang dipersembahkan oleh kumpulan-kumpulan bangsawan ini diambil daripada kisah-kisah tentang raja-raja seperti Hikayat Indera Bangsawan.

Antara pengarang yang terkenal dengan karya berbentuk drama dan contoh drama mereka ialah:
  1. Mustafa Kamal Yassin – Atap Genting Atap Rumbia
  2. Usman Awang – Tamu di Bukit Kenny
  3. Noordin Hassan – Sirih Bertepuk Pinang Menari
  4. Abdul Rahman Napiah – Pengadilan

 
  Biografi bermaksud catatan hidup. Kata ‘biografi’ ialah cantuman kata ‘bio’ yang bererti hidup dan ‘grafi’ yang bermaksud catatan. Dengan kata lain, biografi ialah cabang sastera yang berkaitan dengan riwayat atau kisah hidup seseorang. Tokoh di dalam karya biografi biasanya terdiri daripada pemimpin yang berjasa kepada masyarakat. Contohnya Riwayat Hidup Tun Datu Mustafa yang ditulis oleh Abdullah Hussain. Lawan kepada biografi ialah autobiografi, iaitu karya yang mencatat tentang diri sendiri. Contohnya Hikayat Abdullah yang ditulis oleh Abdullah Munsyi.  
     
     
  Esei/kritikan merupakan tulisan yang berdasarkan kenyataan yang benar-benar wujud. Tulisan jenis ini tidak mengandungi unsur khayalan. Pengarangnya akan membentangkan persoalan kemanusiaan atau kehidupan yang dihayatinya secara objektif mahupun subjektif berasaskan niatnya. Di dalam konteks kesusasteraan, esei sastera membicarakan segala hal yang bersangkutan dengan karya, tokoh, dan isu-isu semasa.  
     
Kritikan bermaksud mempertimbangkan baik buruk sesebuah karya yang telah disiarkan atau dibukukan. Mereka yang menceburi bidang ini dipanggil kritikus. Kritikus wajib mempunyai ilmu yang mapan untuk menangani sesebuah karya. Kedangkalan ilmu akan menyebabkan kritikan yang diutarakan itu tidak adil dan saksama. Pada masa ini terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh para pengkritik untuk menilai sesebuah karya sastera. Hal ini akan dibincangkan kemudian.
     
  Sajak ialah puisi moden. Di Malaysia, pertumbuhan dan perkembangannya terserlah selepas penyair terdedah dengan bacaan daripada luar sama ada daripada Indonesia atau Barat. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Punggok atau nama sebenarnya Muhammad Yassin Maamor menjadi pelopor puisi moden di Malaysia. Beliau dengan berani melemparkan sajaknya ke tengah masyarakat. Sajaknya yang berjudul Di Tengah Segara termuat di dalam Majalah Guru keluaran Disember 1933. Lihat petikannya:

Di dalam gelombang hambur-menghambur
Kudengar seru sayup bahasa
Hatiku lebur bagaikan hancur
Hendak kurenang beta tak bisa.
 
   
Petikan di atas kelihatan seperti pantun kerana dapat dikesan rangkap dan rima akhirnya. Sajak itu ditulis empat baris serangkap dan berima a-b-a-b. Kedua-duanya ialah ciri-ciri pantun. Walau bagaimanapun, puisi di atas telah menyimpang daripada pantun dan syair kerana tidak ada pembayang, semuanya maksud, dan rima akhirnya bukan a-a-a-a.

Dengan demikian, Punggok telah memperlihatkan kebebasan berkarya. Kebebasan itu bermaksud lari daripada puisi tradisional. Bertitik tolak dari sinilah lahir sajak-sajak lain yang bebas daripada ikatan puisi tradisional dan menjadi satu genre Kesusasteraan Melayu Moden yang popular. Sajak telah digunakan untuk:
  1. Menyampaikan pemikiran;
  2. Meluahkan perasaan; dan
  3. Menggambarkan sesuatu kejadian.
Sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, sajak memenuhi ruang akhbar dan majalah. Kesemuanya dihasilkan khusus untuk meluahkan perasaan dan membangkitkan semangat juang menentang penjajahan. Selepas itu, sajak menjadi alat untuk mengisi kemerdekaan, membentuk pemikiran, atau menggerakkan pembangunan. Antara penyair yang terkenal di tanah air sekarang ialah Usman Awang, Muhammad Haji Salleh, A. Ghafar Ibrahim, Siti Zainon Ismail, A. Latif Mohidin, Kemala, dan T. Alias Taib.

CIRI DAN PENGARUH DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

Kepelbagaian karya di dalam Kesusasteraan Melayu menampakkan perbezaan daripada segi bentuk dan isi. Berdasarkan aspek-aspek tersebut, kita boleh menyusur galurkannya melalui pembahagian yang mampu menjelaskan kedudukan atau kategori sesebuah karya dari dahulu hingga kini.

Bentuk sastera yang tertua bagi semua bangsa di dunia ialah sastera lisan. Sastera bentuk ini dilahirkan di dalam kalangan rakyat yang belum mengenal tulisan. Oleh sebab itu, sastera jenis ini disebut juga sastera rakyat. Sastera lisan terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu:
  1. Prosa : Karya yang terhasil di dalam bentuk karangan.
  2. Puisi : Karangan berangkap.



Sastera lisan


Setiap satunya boleh dipecahkan kepada dua kategori, iaitu :


Kategori prosa / puisi


Di samping itu, setiap kategori mempunyai genre atau genre-genre serta subgenre yang tersendiri. Genre bermaksud bentuk karya. Kesemua hal akan dibincangkan secara berperingkat-peringkat.

Agama Islam dikatakan sampai ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah. Agama Islam telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap perkembangan bahasa, kesusasteraan, dan kebudayaan Melayu. Salah satu daripadanya ialah pengenalan huruf-huruf Arab kepada penganut-penganut agama Islam di rantau ini dengan tujuan menjadikannya abjad baru di dalam penulisan berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, sistem tulisan yang teratur di dalam bahasa Melayu wujud setelah kedatangan Islam.

Sistem tulisan tersebut telah memasukkan beberapa huruf lain yang disesuaikan dengan bunyi atau sebutan Melayu. Sistem tulisan itu disebut Tulisan Jawi. Pada masa yang sama, perbendaharaan kata bahasa Melayu bertambah dengan banyak. Hal ini terjadi kerana kata-kata daripada bahasa Arab diambil untuk memberi pengertian kepada sesuatu yang baru ditemui disamping terus mengekalkan perbendaharaan kata daripada bahasa Sanskrit.

Dengan wujudnya sistem tulisan bermulalah tradisi tulisan di Alam Melayu. Ia bermula dengan penulisan yang berbentuk bukan kreatif, iaitu penulisan kitab-kitab bercorak agama yang membicarakan mengenai fikah, tafsir Al-Qur’an, tauhid dan sebagainya. Setelah itu diikuti dengan penulisan kreatif. Bidang ini bermula dengan munculnya Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Yusof, Hikayat Nabi Musa, dan hikayat-hikayat lain seumpamanya. Hikayat Nabi-nabi itu berdasarkan kepada kisah-kisah tentang diri mereka yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Kisah-kisah itu kemudiannya dicampuradukkan dengan unsur-unsur fiksyen. Anda harus ingat bahawa hikayat-hikayat ini sebenarnya merupakan saduran atau terjemahan daripada karya-karya berbahasa Arab. Khazanah Kesusasteraan Melayu Tradisional bertambah dan terus berkembang sejak itu dengan kemasukan cerita-cerita tentang pahlawan-pahlawan Islam yang berbentuk legenda di dalam bahasa Parsi.

Hingga saat ini kita telah melihat dengan jelas dua faktor luar yang mempengaruhi penghasilan karya dalam bahasa Melayu, iaitu pengaruh animisme yang terlihat di dalam mitos dan legenda. Satu lagi ialah pengaruh Arab-Parsi. Harus diingat bahawa orang-orang Melayu memeluk Islam ketika mereka berpegang kepada kepercayaan animisme. Golongan bangsawan pada masa itu menganuti agama Hindu. Sebagai golongan yang tertinggi di dalam hierarki sosial ia dikelilingi oleh pendeta-pendeta yang pandai dalam tulisan nagari dan pallava.

Karya-karya berunsur Hindu yang ditulis oleh oleh para pendeta itu terperap di istana. Rakyat jelata yang diletakkan di dalam kasta rendah menurut tradisi Hindu itu (sebenarnya tidak pun menghayati ajaran agama tersebut) tidak boleh merapati istana. Setelah Islam bertapak dan konsep persamaan hak dipraktikkan, seluruh bangsa Melayu mengetahui kewujudan karya-karya Hindu itu.

Pada hakikatnya, Kesusasteraan Melayu dapat berkembang pesat kerana adanya kecenderungan dan usaha-usaha pengembangan agama Islam menggunakan sastera sebagai alat penyebarannya. Kegiatan-kegiatan seumpama itu telah mendorong sasterawan Islam menghasilkan roman-roman Islam untuk menggantikan epik-epik Hindu, iaitu Mahabharata dan Ramayana, seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah di bawah.


Mahabrata dan Ramayana
Sumber: http://www.exoticindiaart.com/book/details/IDF394/ &
http://www.integraltradition.com/catalog/images/ramayana.jpg


Oleh hal demikian, selain cerita Nabi-nabi dan legenda Islam tadi, terdapat juga cerita tokoh-tokoh sebelum, semasa, dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah Hikayat Firaun, Hikayat Tamim al-Dari, dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Harus diingat bahawa pada masa itu juga transliterasi dan transkripsi dibuat untuk membolehkan orang ramai membaca karya-karya Hindu seperti Hikayat Syahi Mardan dan Hikayat Berma Syahdan.

Apabila mendapati karya-karya itu tidak selari dengan tuntutan Islam, maka penyesuaian pun dibuat agar sejajar dengan ajaran Islam. Nama-nama dewa Hindu seperti Visynu diganti dengan nama-nama Nabi dan malaikat. Dewata Mulia Raya ditukar menjadi Allah atau Tuhan yang Maha Esa. Kemudian watak-watak Hindu pula disesuaikan dengan watak bernama Islam hingga hasilnya bercampur aduk antara nama-nama Hindu dan Islam.

Di samping semua itu, anda harus ingat bahawa nama-nama hikayat seumpama itu turut ditukar atau ditambah dengan nama Islam. Contoh-contohnya ialah Hikayat Si Miskin asalnya Hikayat Marakarma dan Hikayat Ahmad Muhammad asalnya Hikayat Serangga Bayu. Kumpulan karya seperti itu disebut Kesusasteraan Zaman Peralihan atau Kesusasteraan Transisi atau Kesusasteraan Hindu-Islam.

Berikut akan dijelaskan kewujudan Sastera Panji di Jawa. Kata ‘panji’ pada asalnya merupakan gelaran bagi golongan bangsawan yang berdarah raja. Walau bagaimanapun, gelaran tersebut kemudiannya digunakan di dalam cerita-cerita roman Jawa bagi menunjukkan watak pahlawan yang gagah dan kacak sehingga dapat menawan hati wanita-wanita jelita.

Setelah sekian lama orang-orang Jawa mendengar cerita-cerita yang berunsur Hindu di dalam bahasa Jawa kuno dan bahasa Sanskrit, mereka mulai jemu. Sungguhpun sudah ada karya bercorak Islam pada masa itu, orang-orang Jawa tidak gemar membacanya. Oleh sebab itu, penglipur lara Jawa mencari jalan untuk menghasilkan satu bentuk karya berunsur setempat. Di dalam pencarian itulah terhasil Sastera Panji.

Cerita-cerita dongeng Jawa yang selama ini tenggelam akibat taklukan sastera saduran Hindu-Buddha, kini muncul kembali di dalam bentuk tersebut. Cerita itu ditulis dalam bahasa Jawa Tengahan dan sangat popular di istana Raja-Raja Jawa Timur pada abad ke-13 hingga ke-15 Masihi. Walaupun cerita-cerita itu ditulis oleh penulis Jawa, tetapi tidak dapat lari daripada pengaruh Hindu yang telah bertapak sekian lama di Jawa. Unsur-unsur itu termasuklah pertapaan, dewa-dewa, mitos dan legenda.

Kerajaan Majapahit dikatakan bertanggungjawab menyebarkan sastera Jawa ke serata tempat, termasuk ke Tanah Melayu. Selain itu, kewujudan hubungan antara orang-orang Jawa dengan orang-orang Melayu juga menjadi penyebab tersebarnya cerita-cerita panji ke luar Jawa. Ada pendapat yang mengatakan bahawa cerita-cerita panji berkembang ke Tanah Melayu di dalam bentuk lisan atau melalui wayang kulit dan bangsawan.

Ciri-ciri utama cerita panji yang membezakannya dengan genre-genre lain dapat dilihat melalui tiga aspek, iaitu:

  1. Tema dan Persoalan;
  2. Struktur cerita (plot, latar dan watak);
  3. Penerapan unsur-unsur Hindu;
Kerap dikatakan bahawa pengembaraan menjadi tema Sastera Panji. Tetapi, jika kita halusi plot cerita-cerita panji, kita akan menemui perkara pokok yang menjadi penyebab kepada pengembaraan itu ialah pencarian. Wira keluar mengembara kerana kekasihnya yang pertama dibunuh orang. Pengembaraan dilakukan untuk mencari ganti kekasih atau mencari ketenangan. Dalam cerita yang lain, wira mengembara untuk mencari kekasihnya yang menghilang atau diculik musuh atau diarah meninggalkan istana oleh dewa-dewa.

Oleh sebab itu, kunci kepada semua persoalan dalam cerita panji ialah pencarian. Persoalan-persoalan yang menyokong tema itu ialah pengembaraan, percintaan, penyamaran, dan peperangan. Rasa cinta mendorong wira mencari kekasihnya. Hal ini berlaku di dalam Hikayat Panji Semirang.

Raden Inu Kertapati mencari Raden Galoh Cendera Kirana yang meninggalkan istana. Raden Galoh meninggalkan istana kerana mencari kedamaian apabila ayah, ibu tiri, dan adik tirinya mewujudkan ketidakselesaan hidupnya di istana. Lantaran itu mereka pun mengembara. Raden Galoh menyamar sebagai lelaki untuk mendapatkan kekuatan dan keyakinan diri. Ternyata bahawa kemahuan itu menjadi satu aspek pencarian secara tersirat. Wira berperang untuk mencari kemegahan dan kuasa. Wirawati berperang untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa wanita juga perkasa dan boleh berdikari. Cerita digerakkan atas dasar pencarian. Dengan itu, persoalan utama Sastera Panji ialah pencarian.

Plot cerita panji dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan, dan diakhiri dengan peleraian. Cerita-cerita panji berakhir dengan kegembiraan. Daripada segi latar, kita dapati cerita panji berlatarkan empat buah negeri, iaitu Daha, Kuripan, Singasari, dan Gagelang. Tempat-tempat ini dikatakan pernah wujud di Jawa. Masyarakat zaman feudal di Jawa merupakan latar masyarakat dalam cerita panji.

Sebagai karya yang terhasil berdasarkan pemikiran dan budaya tradisi Jawa, Sastera Panji masih mengekalkan unsur-unsur Hinduisme dan mitos. Raja-raja dikatakan berketurunan dewa-dewa daripada kayangan. Pertapaan merupakan sebahagian daripada samadhi. Selain itu, dipaparkan penjelmaan yang seiring dengan inkarnasi di dalam ajaran Hindu.

Ciri terakhir yang hadir di dalam setiap cerita panji ialah pertukaran nama. Di dalam Hikayat Dewa Asmara Jaya, Raden Inu menukar namanya sebanyak tujuh kali. Antaranya ialah Kuda Waneng Baya, Misa Kelana Sira Panji, dan Adipati Macan Negara. Pertukaran nama tidak terhad kepada wira dan wirawati sahaja malah berlaku juga kepada watak-watak pembantu. Harus diingat bahawa pertukaran nama ialah amalan biasa dalam budaya Jawa.

Sastera Panji berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pengajaran kepada khalayak. Sehubungan itu, di dalam karya-karya tersebut terselit amanat penting daripada pengarangnya. Antaranya ialah niat jahat pasti gagal dan janji mesti ditepati. Hikayat Dewa Asmara Jaya menceritakan niat jahat Raja Sochawindu. Dia marah apabila pinangannya ditolak lalu bertindak menyerang Daha. Niat jahatnya tidak terlaksana kerana Raden Inu Kertapati mengalahkannya. Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma menceritakan balasan buruk yang diterima oleh para ratu yang mungkir janji.

Kita kembali semula kepada sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu. Selain Sastera Hikayat, Sastera Transisi, dan Sastera Panji, terdapat genre-genre lain di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional yang berbentuk naratif. Genre-genre itu ialah Sastera Sejarah dan Sastera Epik. Kedua-duanya akan dihuraikan di dalam topik berikut. Begitu juga dengan perincian tentang Sastera Hikayat. Kesusasteraan Melayu Tradisional yang berbentuk prosa dan tergolong di dalam kategori bukan naratif terbahagi kepada empat genre, iaitu Sastera Kitab, Sastera Undang-Undang, Sastera Ketatanegaraan dan Sastera Sufi.

Sastera Kitab telah disentuh secara sepintas lalu sebelum ini. Hal-hal lain tentang genre itu akan dibincangkan di dalam topik berikut. Begitu juga halnya dengan tiga genre yang berikutinya. Harus diingat bahawa prosa naratif di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional menjadi asas kepada genre novel dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Takrif moden yang dipakai untuk modul ini ialah karya-karya yang tertulis pada tahun-tahun 1880-an dan sesudahnya. Tahap itu bermula dengan karya-karya hasilan Abdullah Munsyi. Pada tahun-tahun tersebut juga muncul bangsawan yang menjadi asas kepada drama moden di Malaysia. Bangsawan bermula di Pulau Pinang, kemudian berkembang ke seluruh tanah air dan Indonesia.

Genre novel sebagai sastera bertulis yang bersifat kreatif di dalam Kesusasteraan Melayu Moden muncul sejak tahun-tahun 1920-an apabila Syed Syeikh al-Hadi menghasilkan novel saduran Hikayat Faridah Hanum atau Hikayat Setia Asyik kepada Masyuknya (1925-26). Ahmad Kotot menghasilkan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan atau Yazid Asyik dan Masyuk Akan Zamrud (1927). Ahmad Rasyid Talu menghasilkan Iakah Salmah? (1928).

Pada tahun-tahun tersebut juga muncul genre cerpen di dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Genre ini dimulakan oleh Nor bin Ibrahim (Madrasi). Beliau menulis cerpen yang berjudul Kecelakaan Pemalas. Cerpen tersebut disiarkan di dalam majalah Pengasuh keluaran 4 Februari 1920. Bermula daripada sini terbit pula cerpen-cerpen lain di dalam majalah-majalah Panduan Guru, Penyuluh dan Majalah Guru. Kedua-dua genre itu terus berkembang hingga kini.

Seperti karya prosa dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, karya berbentuk puisi juga terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu puisi naratif dan puisi bukan naratif. Setiap kumpulan mempunyai genre dan subgenre masing-masing.

Puisi naratif di dalam bahasa Melayu ialah syair. Genre tersebut dikatakan jenis puisi daripada Arab yang pertama dijumpai di Alam Melayu. Puisi yang dimaksudkan itu telah ditemui dalam bentuk tulisan Arab tetapi tidak sama dengan syair yang dikenali di dalam Kesusasteraan Melayu pada masa ini.

Sehubungan itu, para sarjana berpendapat bahawa syair-syair yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri merupakan karangan yang tertua dan muncul selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu. Bentuk yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri itulah yang menjadi ikutan kepada penghasilan syair-syair terkemudian. Selain syair, pantun berkait juga ada kalanya dihasilkan dalam bentuk naratif.

Puisi Melayu Tradisional yang lain lahir melalui tradisi lisan dan tulisan. Pengucapan bahasa itu diolah mengikut pengalaman, peraturan, pengaruh, dan persekitaran. Oleh sebab itu, kita menemui Puisi Melayu Tradisional yang asli, iaitu pantun, teromba, talibun, dan peribahasa berangkap. Yang mengandungi pengaruh Hindu ialah gurindam, rejang, seloka, dan mantera manakala yang mengandungi pengaruh Arab-Parsi ialah dikir atau zikir, endoi, rubai, nazam, masnawi, ghazal, dan qit’ah.

Bentuk genre-genre juga berbeza-beza. Ada yang terikat dan ada yang bebas. Rajah 1.7 di bawah menyatakan beberapa bentuk genre-genre yang terikat.


Genre-genre yang terikat


Manakala Rajah di bawah menyatakan beberapa bentuk genre-genre yang bebas atau tidak terikat.


Genre-genre yang bebas

Walaupun demikian, pengelasan tersebut tidak bersifat rigid kerana di dalam sejarah perkembangan genre-genre tersebut mungkin berlaku pertindihan pengaruh akibat daripada sifat asasnya yang terdedah kepada tokok tambah, pengubahsuaian, penghilangan dan seumpamanya.

Sebahagian yang lain disebut puisi tumpangan kerana menumpang pada genre-genre yang sedia ada. Puisi tumpangan terbahagi kepada dua, iaitu puisi tumpangan warisan Melayu dan puisi tumpangan warisan Islam.

Peredaran masa, peningkatan intelek dan perubahan situasi menjadi pendorong utama kepada pembaharuan dalam lapangan penulisan sastera. Sultan Idris Training College (SITC) telah ditubuhkan pada tahun 1922 di Tanjong Malim, Perak. Pelatih-pelatih di maktab ini terdedah kepada pelbagai jenis bahan bacaan yang mempengaruhi pemikiran mereka.

Akibatnya, guru-guru keluaran maktab ini banyak meminati bidang penulisan. Antaranya ialah Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Harun Aminurrashid, dan Punggok. Punggok atau nama sebenarnya Muhammad Yassin bin Maamor telah memperkenalkan sajak di dalam Kesusasteraan Melayu Moden pada tahun 1933. Genre ini segera mendapat tempat di hati penggiat sastera tanah air. Sajak menjadi perisian tetap akhbar mingguan dan majalah.

Dalam tahun-tahun 1960-an dan 70-an, dunia sastera Melayu dikejutkan oleh kehadiran ‘sajak kabur’ yang dipelopori oleh Noor S.I., A.S. Amin, dan M. Ghazali. Istilah tersebut timbul kerana khalayak menghadapi kesukaran untuk memahami sajak-sajak yang disiarkan. Hal ini berlaku kerana penyair-penyair ketika itu menggunakan imej dan lambang yang terlalu personal sifatnya. Para penyair menyalahkan khalayak yang tidak gemar berfikir dan tidak ada inisiatif untuk memahami karya mereka. Isu ini berakhir apabila orang-orang sastera sendiri mengambil inisiatif untuk mengulas dan mendidik khalayak memahami puisi yang didakwa merumitkan itu.

Kita telah membicarakan empat aspek penting dalam ciri Kesusasteraan Melayu, iaitu lisan, tulisan, kreatif dan bukan kreatif. Turut disentuh ialah sejarah dan pengaruh yang melatari sesuatu genre. Aspek kelima ialah estetika atau keindahan. Keindahan di dalam puisi atau prosa hanya ditemui melalui penilaian dan penghayatan. Peranan ini dimainkan oleh kritikan. Kritikan merupakan satu daripada karya-karya bukan kreatif. Fungsinya adalah untuk memperlihatkan kejayaan atau kegagalan sesebuah karya. Namun demikian, kita harus ingat bahawa persoalan yang berkaitan dengan estetika itu amat subjektif.

Oleh itu, tiada jawapan yang benar-benar tepat bagi menangani persoalan ini. Namun nilai estetik dapat ditonjolkan melalui permainan rentak, rima, diksi, dan bahasa-bahasa puitis (simile, metafora, simbol, personifikasi, dan sebagainya). Dengan mengambil puisi sebagai contoh, keindahannya tidak bergantung 100% kepada diksi yang bersandar kepada bunyi, malah memerlukan kesatuan dan keharmonian pelbagai unsur.

FUNGSI KESUSASTERAAN

Semua karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh pengarang adalah untuk bacaan pembaca atau masyarakat. Karya dan pembaca saling memerlukan dan lengkap-melengkapi. Apa jua karya yang tidak mendapat sambutan pembaca dianggap tidak berjaya. Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa kumpulan sasaran sesebuah karya ialah khalayak. Sehubungan itu, pengarang menetapkan tujuan sebelum menulis. Di sinilah bermulanya penelitian tentang peranan dan fungsi kesusasteraan kepada khalayak. Namun begitu, fungsi itu dilihat dari dua sudut, iaitu fungsi sastera kepada khalayak dan fungsi sastera kepada pengarang.



Tatapan hasil karya-karya sastera

Ditinjau daripada sudut pertama, peranan dan fungsi sastera kepada khalayak atau pembaca adalah sebagai alat yang digunakan untuk mengajar, mendidik, dan menghibur. Mengajar atau disebut juga didaktik ialah satu proses menyampaikan pengetahuan. Dengan ilmu yang dipelajari dan difahami, manusia mengetahui apa-apa yang mereka tidakketahui. Pengetahuan tidak bererti jika tidak diamalkan. Pada peringkat ini, pendidikan memainkan peranannya. Mendidik bermaksud menjaga dan melatih. Penjagaan dan latihan akan mewujudkan kebiasaan, berkembang menjadi adat, membentuk sifat (keperibadian), melahirkan kemahuan dan akhirnya menggerakkan perbuatan selaras dengan perkara yang dididik.

Seperti melalui cerita Nakhoda Tanggang, khalayak diajar supaya tidak menderhaka kepada ibu kerana perbuatan itu dilaknati Allah. Kesannya amat mengerikan. Si Tanggang menjadi batu. Pengetahuan tentang perkara ini akan tinggal menjadi ‘gajah putih’ seandainya tidak dipraktikkan atau diyakini.



Batu si Tanggang
Sumber: http://blog-misteri.blogspot.com/2008/04/si-tanggang.html

Demikianlah pentingnya pendidikan untuk menangani pelbagai masalah sosial. Orang yang tidak terdidiklah yang cenderung melakukan perbuatan salah. Di samping mengajar dan mendidik, karya sastera juga berfungsi untuk memberi hiburan. Menghibur bertujuan untuk menenangkan atau menggirangkan hati.

Oleh sebab itu, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan memberi pengetahuan, menyemai nilai-nilai murni untuk diteladani dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian, memberi ketenangan, dan merehatkan fikiran setelah penat bekerja, serta memberi kepuasan setelah menikmati keindahan karya seni.

Ditinjau daripada sudut yang kedua pula, usaha para pengarang menghasilkan pelbagai karya boleh dianggap sebagai perbuatan yang luar biasa. Sebagai manusia yang peka,sudah tentulah seseorang pengarang itu berkarya untuk memenuhi tuntutan tertentu. Pada hakikatnya, pengarang menjadikan karyanya sebagai alat untuk mendapatkan kepuasan serta keseronokan, memperbaiki dan menajamkan pemikirannya, berbakti kepada masyarakat dan menyara kehidupannya.

DEFINISI KESUSASTERAAN

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan untuk memberi makna kepada kata ‘kesusasteraan’. Hashim Awang menyimpulkan erti kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Namun demikian, untuk mengelakkan kekusutan, maksud perkataan itu diberi berdasarkan etimologi. Etimologi bermakna kajian asal usul bahasa. Kesusasteraan berasal daripada cantuman kata ‘su’ dan ‘sastra’ dalam bahasa Sanskrit. Kemudian diberi apitan ‘ke...an’ untuk membentuk kata nama. Makna-maknanya adalah seperti yang berikut:
i.  Su - Baik, Indah, Cantik, Seni dan Berguna
ii. Sastra - Karya (lisan/bertulis) atau buku
iii. Susastra - Karya yang indah dan berguna
iv. Kesusasteraan - Semua bentuk karya bernilai seni dan berguna

Berdasarkan huraian-huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan merupakan kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan ia ditujukan kepada khalayak. Khalayak bermaksud pembaca bagi karya yang bertulis atau penonton drama. Oleh sebab itu, istilah Kesusasteraan Melayu merujuk kepada karya-karya kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu.