PENGALAMAN BAHASA SEBELUM DAN SELEPAS MERDEKA

Sejarah awal penggunaan tulisan rumi di dalam bahasa Melayu dilakukan oleh pedagang, pengembara dan penjelajah yang datang dari Eropah ke Nusantara secara perseorangan. Penulisan mula dijalankan dengan membuat penulisan tentang bahasa Melayu dengan menggunakan huruf-huruf Rumi Latin. Huruf Latin yang mula-mula digunakan untuk menulis perihal bahasa Melayu ditemui di dalam senarai pelayaran Pigafetta dari Itali pada tahun 1522. Catatan-catatan di dalam bahasa Melayu daripada Antonio Pigafetta yang telah menyusun daftar kata Melayu-Itali pada tahun 1522 lagi membuktikan pengalaman bahasa Melayu sehingga menerbitkan kamus Melayu-Itali yang pertama iaitu Vocaboli De Quedti Popoli Mori. Berkisar tentang penerbitan tersebut, penerbitan kamus telah berkembang pesat. Selain itu, pengaruh bahasa Sanskrit amat luas sewaktu kebudayaan Melayu mengalami pengaruh peradaban India. Pengaruh tersebut meliputi bidang keagamaan, undang-undang, kesenian dan bidang lain. Namun, struktur bahasa Melayu tidak terjejas. Bermula pada abad ke-16 itu, bahasa Melayu terus ditulis dengan huruf rumi oleh pedagang, pengembara, penjelajah dan sarjana dari Eropah. Rumpun keluarga bahasa Melayu-Austronesia atau ikatan rumpun Melayu-Polynesia telah berkembang saling berhubung kait melalui asas budaya yang hampir sama. Penerimaan hubungan tersebut diolah dan diterima suai pengaruh kebudayaan asing tanpa melenyapkan asas-asas keserumpunan atau memusnahkan bahasa yang menjadi kekuatan bahasa Melayu.

Daripada tinjauan sosial juga, bahasa Melayu dipilih sebagai Bahasa Nasional kerana penyebarannya yang luas di Nusantara dan peranan tokoh yang berpengaruh. Malahan, orang Eropah tidak mengetahui bahawa bahasa Melayu baku sudah menjadi bahasa rasmi sejak beratus-ratus tahun. Di perpustakaan Sorbonne di Perancis, ada dua pucuk surat Raja Ternate kepada Raja Timor dalam abad ke-13 yang ditulis dalam bahasa Melayu Hikayat. Kenyataan itu membuktikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting untuk
urusan rasmi. Bahasa berkembang, bertukar dan berubah; iaitu yang dikatakan pendekatan dinamik (tidak statik).

Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan Malaysia. Sebelum 1969, Bahasa Kebangsaan ini dikenali sebagai bahasa Melayu, tetapi sesudah 13 Mei 1969, bahasa ini diberi nama baru. Namun, nama baru ini dapat diumpamakan sebagai pakaian baru yang dikenakan oleh orang perseorangan untuk tujuan tertentu
tanpa menimbulkan sebarang perubahan kepada dirinya (Asmah Omar, 1978). "Bahasa menunjukkan Bangsa" adalah perumpamaan yang sering disebutkan di dalam penggunaan berbahasa. Ini bermaksud secara tidak langsung, kita akan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama di dunia. Sebelum era kemerdekaan, bahasa Melayu telah banyak melalui cabang-cabang kegemilangan sebagai bahasa yang dipertuturkan di dalam urusan rasmi. Justeru, proses perubahan zaman pada abad ke-20 telah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa pengantar ilmu pengetahuan dan bahasa utama di dalam sistem pendidikan. Bahasa Melayu mampu berkembang seiring dengan keperluan dan tuntutan semasa serta berupaya menangani perubahan. Bahasa Melayu mempunyai kekuatan sejarah, kekuatan serumpun serta telah banyak melalui pengalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan