PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Bahasa Melayu telah menjadi alat bahasa pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya di dalam sistem  pendidikan negara. Keadaan ini berterusan apabila Bahasa Melayu dijadikan sebagai mata pelajaran teras dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, perubahan telah berlaku di dalam sistem pendidikan negara apabila pengajaran bagi subjek atau mata pelajaran Sains dan Matematik diajarkan di dalam bahasa Inggeris. Pengalaman Bahasa Melayu di dalam pengajaran di sekolah telah dipinggirkan selaras dengan dasar baru Kementerian Pelajaran yang menuntut supaya mata pelajaran Inggeris dipertingkatkan. Akhirnya, bahasa Melayu akan lenyap sekiranya kerajaan dan pihak kementerian khususnya, meminggirkan mata pelajaran Bahasa Melayu. Seharusnya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu kerana pengalaman yang lampau banyak ÂmematangkanÊ bahasa Melayu di dalam pembentukan tamadun Melayu di Malaysia sendiri.

Golongan yang dididik dengan bahasa pinjaman (bahasa Inggeris) akan membina pemikiran berdasarkan  kepada bahasa pinjaman tersebut. Berdasarkan kajian, didapati negara yang menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pengantar pendidikan akan dapat mengekalkan keaslian dan kreativiti pemikirannya.  Contohnya, negara Jepun yang menerima pendidikan Barat, masih lagi mengamalkan kebahasaan Jepun walaupun pentadbiran, perdagangan serta sains dan teknologi diserap daripada Barat. Keadaan ini disebabkan keutuhan dan keaslian pemikirannya yang dikekalkan melalui pendidikan dalam bahasa  ibundanya.

Perisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, telah meletakkan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Selangkah demi selangkah, bahasa Melayu membentuk peranan dalam merealisasikan hasrat masyarakat Malaysia untuk melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kepesatan  pembangunan ekonomi Malaysia di dalam negeri dan perkembangan ekonomi antarabangsa seharusnya membawa bersama tanggungjawab pengembangan dan penggunaan bahasa Melayu. Pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi mempunyai nilai bahasa perpaduan bangsa di negara Malaysia. Usaha untuk menegakkan perpaduan bangsa adalah sesuai dengan prinsip demokrasi dan peruntukan
Perlembagaan, yakni tidak juga menghalang penggunaan bahasa kaum atau dialek masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan