PEMBINAAN TAMADUN MELAYU

Pengalaman bahasa Melayu sebagai alat komunikasi serta asas kepada pembinaan tamadun Melayu haruslah dikekalkan dan dipertahankan melalui tradisi ilmu. Bahasa Melayu hendaklah berupaya mengungkapkan peranannya di dalam pelbagai bidang dan cara kehidupan bangsanya. Ia meliputi akal fikiran dan daya ciptaan di dalam tuntutan kemasyarakatan, persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Perancangan bahasa Melayu yang lebih tersusun memperlihatkan bahasa sebagai lambang negara. Pembinaan manusia yang berharkat-bermartabat sambil menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan teknologi selalu dipesankan melalui pesan-pesan bahasa. Oleh sebab itu, fungsi dan kedudukan bahasa Melayu bukan hanya sebagai bahasa pergaulan atau lingua franca tetapi juga sebagai bahasa kebudayaan dan adat istiadat di dalam masyarakat. Terdapatnya keragaman gaya bahasa dan variasi bahasa yang disebabkan pengelompokan masyarakat yang berupa idolektis, dialektis dan sosiolek. Bahasa Melayu juga merupakan alat untuk mengekspresikan harapan, maksud dan keinginan yang berkait dengan diri sendiri, keluarga mahupun di dalam lingkungan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan