PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LISAN

Perancangan aktiviti lisan melibatkan tiga peringkat iaitu:
(a) Peringkat persediaan
(b) Peringkat pelaksanaan aktiviti
(c) Peringkat susulan dan penilaian
Peringkat Persediaan
Tiga perkara yang boleh dilakukan oleh guru ialah;
(i) Guru menerangkan tugasan yang akan dilakukan oleh murid atau membuat tunjuk cara serta memberi contoh.
(ii) Guru mengedarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat aktiviti.
Contohnya, kad kiu, bahan stensilan dan peralatan lain yang mungkin diperlukan.
(iii) Guru memastikan semua alat dan bahan mencukupi dan murid memahami tugasan.

Peringkat Pelaksanaan Aktiviti
Dua perkara yang berlaku semasa peringkat pelaksanaan aktiviti iaitu;
(i) Murid menjalankan tugasan seperti yang diarahkan.
(ii) Guru menyelia dan membimbing kelas, kumpulan atau pasangan yang mengambil bahagian.

Peringkat Susulan dan Penilaian

Dalam sesuatu waktu pengajaran dan pembelajaran, aktiviti susulan dan penilaian perlu dilakukan oleh guru untuk mendapatkan maklum balas bagi aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan oleh murid. Penilaian yang dimaksudkan bukanlah dalam bentuk penilaian formal tetapi lebih merupakan penilaian berterusan. Contoh aktiviti susulan dan penilaian yang boleh dijalankan ialah seperti mengadakan perbincangan dan kemudian guru memberi maklum balas tentang prestasi dan pencapaian murid. Sebagai pengukuhan guru digalakkan memberi kerja rumah yang berkaitan untuk aktiviti susulan.

Dalam pengajaran dan pembelajaran bertutur, guru digalakkan membentuk kumpulankumpulan kecil supaya ramai murid dapat mengambil bahagian yang aktif dalam masa yang terhad. Kemahiran bertutur ini harus digabung jalin dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain untuk melahirkan satu kesepaduan yang bermakna. Penggabungjalinan juga penting dijalankan untuk mengukuhkan pembelajaran murid.

Beberapa aktiviti yang boleh dirancang dalam kemahiran bertutur ialah;
(a) Aktiviti berbual
(b) Dalam melaksanakan aktiviti ini guru menyediakan beberapa tajuk yang sesuai dengan tahap kebolehan berbahasa serta persekitaran murid. Guru juga boleh melaksanakan aktiviti dengan secara berdua ataupun secara berkumpulan.
(c) Aktiviti bercerita
(d) Guru memberikan garis panduan bagi memudahkan murid bercerita, misalnya tema dan masa yang diperuntukkan. Guru juga boleh menyediakan tempat yang sesuai supaya aktiviti itu menjadi menarik dan dapat menggalakkan murid untuk bercerita.
(e) Aktiviti berlakon
(f) Aktiviti berlakon dapat meningkatkan kemahiran lisan murid. Oleh itu, guru perlu menggalakkan murid mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Aktiviti berlakon boleh dijalankan di dalam kelas ataupun di luar kelas. Sekiranya aktiviti itu dijalankan di luar kelas, misalnya di dewan sekolah, maka murid akan membuat persediaan yang lebih rapi dan bersungguh-sungguh.
(g) Aktiviti berpuisi
(h) Aktiviti ini boleh dijalankan secara individu ataupun kumpulan. Guru menyediakan puisi sama ada puisi moden ataupun puisi tradisional dan meminta murid membacanya. Aktiviti ini menjadi lebih  menarik sekiranya tajuk puisi yang digunakan itu dimaklumkan lebih awal kepada murid. Langkah ini dapat memberi peluang kepada murid untuk berlatih, iaitu membaca dan menghayati puisi berkenaan.
(i) Aktiviti bercakap berdasarkan gambar
(j) Aktiviti ini dijalankan mengikut prestasi murid. Guru boleh menyediakan pelbagai gambar yang menarik minat murid untuk bercerita atau menerangkan sesuatu perkara yang terdapat dalam gambar berkenaan. Aktiviti ini boleh dijalankan dengan menggunakan gambar tunggal ataupun gambar bersiri.
(k) Aktiviti melaporkan berita
(l) Guru meminta murid melaporkan sesuatu berita tentang sesuatu perkara atau peristiwa yang mereka pernah terbaca, melihat, alami atau mendengar daripada orang lain.
(m) Aktiviti berbahas atau bersyarah
(n) Guru memberi tajuk syarahan atau perbahasan kepada murid. Syarahan boleh dijalankan secara individu sementara perbahasan dijalankan secara kumpulan. Guru menjelaskan syarat-syarat syarahan dan bahasa kepada murid.
(o) Aktiviti menyanyi
(p) Pada kebiasaannya,murid-murid berasa seronok apabila guru menjalankan aktiviti menyanyi. Dalam aktiviti ini, guru boleh menyanyikan lagu kanak-kanak yang mengandungi perkataan yang mudah untuk disebut dan difahami bagi kanak-kanak pada peringkat rendah. Aktiviti menyanyi boleh meningkatkan kebolehan murid dalam sebutan dan intonasi.
(q) Aktiviti perbincangan
(r) Aktiviti ini lebih sesuai dijalankan bagi murid yang berada di sekolah menengah ataupun bagi murid tahap dua di sekolah rendah. Perbincangan boleh dijalankan secara kelas ataupun secara kumpulan. Guru membahagikan murid mengikut kumpulan tertentu dan perbincangan bermula dengan membincangkan sesuatu tajuk dalam kumpulan masing-masing. Langkah seterusnya ialah hasil perbincangan itu akan dilaporkan oleh ketua kumpulan kepada kelas untuk disoal jawab.

Memilih dan Menggunakan Bahan Pengajaran Kemahiran Lisan

Guru boleh memilih alat atau bahan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kriteria yang berikut;
(a) bahan yang sedia ada
(b) kesesuaian dengan objektif pengajaran
(c) keberkesanannya.

Alat atau bahan bantuan mengajar boleh dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu;
(a) Guru, murid dan bilik darjah
Gerak laku guru dan murid boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya;
(i) guru menaikkan dan menurunkan tangan kanan atau menggerakkan kepala bagi menunjukkan perbezaan intonasi dalam pertuturan .
(ii) Guru menunjukkan cara-cara membunyikan sesuatu sebutan.
(iii) Guru menggunakan papan tulis untuk mencatat perkataan atau frasa yang perlu digunakan oleh murid apabila bertutur.

(b) Objek Sebenar
Objek yang biasa digunakan sehari-hari boleh dijadikan alat dan bahan pengajaran yang berkesan, untuk membolehkan murid;
(i) Mengaitkan konsep dengan bunyi, contohnya, bunyi pelbagai kenderaan, mergastua dan air dengan menggunakan alat audio seperti radio dan pita rakaman.
(ii) Mengaitkan situasi dengan pertuturan sebenar yang sedang berlaku.
Contohnya, pertuturan sekumpulan manusia di stesen bas berbeza dengan pertuturan di pasar. Contoh ini boleh ditunjukkan atau didengar melalui alat audio dan visual seperti televisyen, video, filem dan transperansi.
(iii) Bahan sebenar seperti tiket bas, menu, butang baju pelbagai warna dan saiz, buku, majalah, kalendar dan borang adalah bahan yang boleh digunakan secara kreatif sebagai bahan bertutur.

(c) Gambar
Guru digalakkan mempunyai fail untuk menyimpan gambar yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bertutur. Sama ada gambar tunggal atau gambar bersiri boleh digunakan sebagai bahan rangsangan untuk murid-murid bercerita, berlakon, berpuisi dan berdialog. Gambar-gambar yang digunakan hendaklah sesuai dari segi saiz, terang dan jelas.

(d) Grafik
Pelbagai grafik boleh digunakan sebagai bahan rangsangan yang baik untuk bertutur, seperti;
(i) Pelbagai jenis carta misalnya carta pai, carta palang, carta lingkaran dan carta organisasi seperti carta keluarga.
(ii) Jadual yang mengandungi maklumat untuk aktiviti pertuturan, misalnya jadual waktu, jadual perjalanan dan jadual tugas.
(iii) Pelan dan peta yang menunjukkan arah perjalanan atau kedudukan sesuatu tempat.

(e) Kad
Pelbagai jenis kad boleh digunakan sebagai bahan rangsangan, seperti;
(i) kad perkataan- untuk memperkenalkan perkataan-perkataan baru dan penting bagi digunakan dalam pertuturan. Penggunaan kad sebagai alat dan bahan bantuan mengajar akan lebih licin dan kemas sekiranya guru menggunakannya di atas papan flanel dan carta poket.
(ii) Kad arahan atau kad peranan – mengandungi arahan tentang peranan yang harus dimainkan oleh murid dalam situasi tertentu semasa berlakon atau main peranan.

(f) Bahan nyanyian, puisi dan permainan
Bahan ini dapat mewujudkan suasana gembira dalam kalangan murid. Penggunaannnya harus diawasi supaya objektif pengajaran dan pembelajaran tidak diabaikan. Permainan bahasa yang dirancang secara teliti akan dapat membantu pencapaian objektif bertutur. Melalui permainan murid dapat menggunakan kemahiran bertutur dalam keadaan bersahaja. Permainan bahasa dapat menambah kepelbagaian situasi pembelajaran, memberi motivasi dan peluang kepada murid mempelajari bahasa.

(g) Alat dan bahan yang dibeli
Alat dan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam kategori ini terdiri daripada perkakasan dan perisian. Alat dan bahan ini agak mahal dan penggunaannya bergantung pada kemudahan fizikal yang disediakan di sekolah. Contohnya;
(i) makmal bahasa untuk melatih murid dari segi sebutan, intonasi dan perbualan.
(ii) Filem, rancangan televisyen dan plastik lutsinar/ transperansi.
(iii) Komputer.

Penilaian

Ujian bertutur boleh dilakukan melalui;
(a) Tugasan dalam ujian bertutur

(i) Memadankan
• memadankan objek dengan tulisan
• memadankan gambar dengan tempatnya
• memadankan harga dengan objek

(ii) Mengelompok
• Mengelompokkan haiwan mengikut jenis dan habitatnya.
• Mengelompokkan pelbagai jenis warna.
• Mengelompok dan menerangkan jenis-jenis kenderaan dankegunaannya.

(iii) Menyusun dan melengkapkan
• Menyusun maklumat mengikut saiz,  umur dan kepentingan serta melaporkan dalam bentuk pertuturan.
• Menyusun semula perkataan sehingga menjadi ayat dan seterusnya menjadi sebuah cerita yang diperdengarkan semula.
• Mencari perkataan dan idea yang sengaja ditinggalkan dan menyusun sehingga menjadi cerita yang lengkap untuk disampaikan kepada rakanrakan.

(iv) Menyelesaikan masalah
• Menerangkan cara untuk sampai ke sesuatu destinasi dengan selamat.
• Berbincang dan membuat keputusan tentang apa yang perelu dilakukan, seperti kehilangan adik di pusat membeli-belah.
• Berbincang untuk memilih orang yang paling layak bagi memikul sesuatu tugas, seperti memilih ketua darjah.

(v) Berinteraksi
• Berinteraksi menggunakan telefon
• Berinteraksi dalam perbincangan tentang sesuatu rancangan televisyen.
• Berinteraksi menyampaikan maklumat yang berupa pesanan, arahan dan
permintaan.

(vi) Simulasi
• Bermain peranan sebagai pemandu dan penumpang teksi.
• Berbincang untuk membeli-belah bagi mengadakan jamuan hari jadi.
• Menyambut tetamu di rumah.
 
(vii) Projek
• Berbincang untuk mengelolakan satu persembahan kelas bagi majlis
Penyampaian Hadiah sekolah.
• Berbincang bagi menyediakan rancangan siaran radio kanak-kanak.
• Berbincang untuk mengelolakan lawatan kelas ke kilang.

Pengendalian Ujian Bertutur

(a) Ujian secara kumpulan
• Terdiri daripada 4 – 6 orang murid
• Panjang masa perbualan tidak lebih dari 30 minit.

(b) Ujian secara individu
• Panjang masa menguji yang sesuai.
• Dilaksanakan secara ringkas.

5 ulasan:

  1. Assalamualaikum w.b.t.
    Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana banyak maklumat yang saya perolehi melalui blog ini. Sedikit sebanyak ia dapat membantu dalam penyediaan kajian saya.
    Saya ingin mengusulkan tajuk 'Penggunaan kamus Dewan sebagai sarana bahasa ilmu' untuk dikupaskan dengan lebih mendalam pada masa akan datang.
    Saya amat berharap agar usul saya ini dikemukakan kelak.InsyaALLAH.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum dan salam Ramadhan..
    Terima kasih di atas perkongsian yang sangat memberi manfaat kepada pelatih seperti saya. Semoga Allah membalas segala kebaikan yang diberikan dan di sini ingin saya mencadangkan agar topik mengenai memperkasakan Bahasa Melayu di kalangan pelatih-pelatih IPG. Sekian.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam