KEMAHIRAN MEMBACA 1

Pendahuluan

Di dalam topik ini kita akan berbincang beberapa subjek penting yang akan diperjelaskan melalui beberapa konsep dan huraian yang berkaitan dengan kemahiran membaca. Perkara yang akan dibincangkan termasuk definisi kemahiran membaca, tujuan dan proses membaca, jenis-jenis bacaan, ciri ciri pendekatan bacaan ektensif dan peringkat peringkat bacaan.



Definisi Membaca

  1. Membaca merupakan satu proses mengubah simbol-simbol grafik iaitu tulisan kepada konsep-konsep intelektual dan proses ini memerlukan daya mental.
  2. Membaca adalah terjemahan daripada bentuk tulisan kepada satu bentuk bahasa yang membolehkan pembaca menimbulkan makna daripada bentuk tulisan berkenaan.
  3. Membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi bahasa dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu. Oleh itu, untuk membaca seseorang mestilah mengenal dan menyebut lambang-lambang bertulis dan juga mesti mempunyai satu tanggapan bagi memudahkan fahamannya..
  4. Membaca merupakan satu cara untuk memahami pola-pola bahasa daripada bentuknya yang bertulis.
  5. Membaca melibatkan proses mekanikal iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca dan melibatkan proses pemikiran yang konstruktif.
Oleh itu, membaca boleh ditakrifkan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak. Aktiviti membaca melibatkan dua proses, iaitu;
  1. Menterjemahkan lambang bertulis atau bercetak kepada bunyi bahasa.
  2. Mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan itu.
Membaca juga boleh dimaksudkan sebagai menyuarakan tulisan, mengambil isi dan fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya. Mengajar membaca bererti mengajar murid memindahkan tulisaan kepada suara serta melatih mereka memahami apa yang terkandung dalam bacaan itu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan