BIDANG KAJIAN LINGUISTIK

Kajian linguistik meliputi bidang yang luas. Antara kajian linguistik yang perlu diketahui oleh pelajar ialah fonetik dan fonologi, morfologi, sintaksis, leksikografi, semantik, pragmatik, linguistik sinkronik dan linguistik diakronik, linguistik teoritis dan linguistik terapan. Tiga bidang utama sahaja akan disentuh, iaitu:
i. bidang fonetik dan fonologi,
ii. morfologi
iii. sintaksis.

i. Fonetik dan Fonologi
Pertuturan bahasa melibatkan „bunyi-bunyi bahasa‰. Bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan berbentuk tertentu dan berbeza menurut bahasa tertentu. Kesemua bunyi yang dihasilkan merupakan bidang kajian ilmu fonetik dan fonologi. Fonetik meneliti bunyi bahasa menurut cara sebutannya dan sifat-sifat akuastiknya, manakala ilmu fonologi pula meneliti bunyi-bunyi bahasa tertentu mengikut fungsi, susunan dan strukturnya. Kita dapat melihat fungsi fonetik dan fonologi ini dengan menjelaskannya bersertakan contoh yang memaparkan wujudnya perbezaan penelitian mengikut bidang kajian masing-masing. Sebagai contoh, bunyi "p" yang secara lazimnya menurut sifat fonetiknya diapit oleh tanda condong. Ia disebut dengan menutup kedua-dua bibir dan melepaskannya sehingga udara keluar dengan "menghasilkan suatu bunyi letupan". Penghasilan bunyi "p" tersebut merupakan deskripsi fonetik sahaja.

Seterusnya, jika dua bunyi yang secara fonetik mempunyai perbezaan tertentu, ia dikatakan berbeza fonologinya. Perbezaan tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Ini bermakna dua bunyi tersebut dikatakan mempunyai perbezaan fonologi jika bunyi-bunyi tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Sebagai contoh, di dalam bahasa Melayu, bunyi "p" dan "t" berbeza dari segi fungsional atau secara fonologi. Ia disebut sebagai pasangan minimum kerana kata-kata yang dihasilkan oleh kedua-dua bunyi tersebut berbeza dari segi kata-kata yang dihasilkan, seperti dalam contoh kata "padi" dan "tadi". "Padi" merujuk kepada sejenis tanaman, manakala "tadi" merujuk kepada kata keterangan masa. Jelas, perbezaan pasangan minimum tersebut memperlihatkan wujudnya tafsiran makna yang berlainan bagi kedua-dua kata tersebut. Perbezaan makna yang dibawa oleh bunyi-bunyi tersebut merupakan bidang kajian ilmu fonologi.

ii. Morfologi
Nik Safiah Karim et al. (1993) mentakrifkan morfologi sebagai "bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata", manakala Arbak Othman (1968) menjelaskan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfem dan varian morfem. Sebagai rumusan, dapat disimpulkan bahawa morfologi ialah bidang yang mengkaji cara kata dibentuk. Bentuk kajian morfologi yang terkecil ialah morfem dan bentuk yang terbesar ialah kata. Kata mempunyai bentuk yang bebas, bermakna dan dapat berdiri sendiri manakala morfem terdiri daripada dua bahagian, iaitu bentuk bebas dan bentuk terikat.

Kata-kata yang dibentuk lahir daripada kata yang terdapat di dalam sesuatu bahasa dan juga melalui proses-proses tertentu. Kata yang dilahirkan melalui kata tertentu; sebagai contoh di dalam bahasa Melayu merupakan kata yang dihasilkan di dalam bahasa Melayu itu sendiri. Manakala, kata yang melalui proses tertentu pula ialah melalui proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Melalui proses pengimbuhan kata dasar, kata yang dihasilkan ialah kata terbitan. Melalui proses penggandaan, kata yang dihasilkan merupakan kata ganda dan melalui proses pemajmukan pula, kata yang dihasilkan merupakan kata majmuk.

Di dalam bahasa Melayu, terdapat bentuk kata utama; yakni kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Contoh kata nama ialah "sabun", "cangkul', dan "penyapu". Contoh kata kerja pula ialah kata "gerak", "kumpul" dan "letup" manakala contoh kata adjektif ialah kata "baik", "gemuk" dan "panjang". Selain kata utama, terdapat juga kata tugas yang mempunyai tugas tertentu, sama ada di dalam perkataan atau binaan ayat.

iii. Sintaksis 
Perkataan "sintaksis" berasal daripada perkataan Yunani "suntutein" yang bermaksud menyusun atau susunan. Di dalam bidang linguistik, "sintaksis" bermaksud "kajian pembentukan ayat". Menurut Kamus Linguistik (1997), sintaksis ialah „cabang ilmu linguistik yang mengkaji proses pembentukan ayat, seperti penyusunan kata kepada ayat dan cara hubungan antara kata di dalam ayat. Nik Safiah Karim et al. (1986) mendefinisikan sintaksis sebagai "bidang linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat". Abdullah Hassan (1981) menyatakan sintaksis ialah "istilah untuk mengkaji pembentukan ayat", iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa, atau menjadi klausa, dan ayat merupakan inti terbesar. Asmah Hj. Omar (1968) turut mendefinisikan sintaksis sebagai "bahagian daripada linguistik deskriptif atau sinkronis yang mempelajari kombinasi kata di dalam rangkai kata dan ayat".

Berdasarkan pandangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa sintaksis sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji "bentuk, struktur dan binaan ayat". Ia sebenarnya mengkaji konstruksi ayat, iaitu mengkaji bagaimana ayat dibentuk bermula dengan penyusunan perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan seterusnya ayat. Bidang kajian sintaksis pula meliputi perkataan, frasa, klausa dan ayat. Kajian sintaksis melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari cara penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membina ayat.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan