PENGENALAN ILMU LINGUISTIK

Bidang linguistik merupakan bidang yang telah lama dikaji oleh pengkaji bahasa di Malaysia dan serata dunia. Pengkajian bidang ini adalah penting sejak dahulu hingga kini. Tidak hairanlah, subjek ini diajar di peringkat  tinggi seperti di institusi pengajian tinggi, institut perguruan, hingga ke peringkat yang lebih rendah, iaitu di sekolah-sekolah. Jelasnya, subjek ini terus menjadi penting, walaupun negara telah menuju ke arah globalisasi yang menjadikan teknologi sebagai fokus utama. Walaupun pada masa ini, bidang teknologi diberi perhatian oleh kerajaan, namun ilmu linguistik terus diberi perhatian untuk mengimbangi keperluan rohaniah di kalangan rakyat.

Berdasarkan kepentingan yang telah disebutkan, dalam topik permulaan ini, pelajar akan didedahkan kepada definisi, latar belakang, bidang dan cabang ilmu linguistik. Kesemua subbidang ini akan disentuh  memandangkan kepentingannya dalam memberi gambaran kasar terhadap ilmu linguistik sebelum kita  mendalami bidang ini dengan mempelajari topik-topik yang seterusnya.

DEFINISI LINGUISTIK

Istilah linguistik berasal daripada perkataan Latin lingua yang membawa maksud 'bahasa'. Dalam bahasa-bahasa "Roman" (iaitu bahasa-bahasa yang berasal daripada bahasa Latin), masih ada kata-kata serupa dengan lingua Latin itu; iaitu langue dan langage dalam bahasa Perancis, dan lingua dalam bahasa Itali. Seterusnya, bahasa Inggerís memungut kata daripada bahasa Perancis ini menjadi language. Istilah 'linguistics' dalam bahasa Inggerís adalah berkaitan dengan kata language tersebut, seperti juga dalam bahasa Perancis, istilah linguistique adalah berkaitan dengan language. Dalam bahasa Melayu pula, istilah linguistik merupakan nama bagi bidang ilmu, dan kata adjektifnya adalah linguistic atau "linguistik".

Ferdinand de Saussure (1916), yang merupakan bapa linguistik moden berbangsa Swiss, dalam bukunya Cours de Linguistique Generale telah membezakan kata Perancis langue dan langage. Selain itu, beliau juga turut membezakan istilah parole (tuturan) berdasarkan kedua-dua istilah tersebut. Menurut beliau lagi, langue merupakan suatu "sistem". Manakala, istilah langage boleh diertikan sebagai bahasa khas yang ada pada penutur bahasa seperti yang terdapat dalam ucapan "Di mana manusia memiliki bahasa, binatang juga memiliki bahasa, tetapi tidak tuturan". Parole yang merupakan 'tuturan' pula adalah bahasa, sebagaimana yang dipakai secara konkrit dan merujuk kepada 'loghat', 'ucapan', dan 'perkataan'. Dalam bidang kajian ilmu linguistik, kebanyakan para sarjana bahasa sering menggunakan istilah Perancis ini (langue, langage dan parole) sebagai suatu istilah profesional.

Di dalam bahasa Melayu, istilah ahli linguistik disebut "linguis" yang dipinjam daripada istilah bahasa Inggeris linguist. Manakala dalam penggunaan bahasa Inggeris seharian, istilah linguist merujuk kepada makna  "seseorang yang fasih dalam berbagai bahasa". Sebagai contoh, ungkapan "He is quite a linguist" yang bererti "Dia fasih dalam beberapa bahasa". Dalam istilah ilmiah pula, linguist dapat diertikan sebagai ahli bahasa. Berdasarkan keterangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa orang yang fasih dalam menguasai berbagai bahasa tidak sama dengan ahli linguistik. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa kita perlu membuat perbezaan di antara kata bahasa Inggeris linguist di dalam bahasa seharian dengan istilah linguist sebagai ahli linguistik.

Ilmu linguistik dikatakan bersifat umum. Umum di sini bermaksud bahawa bidang kajian ilmu linguistik ini tidak bersifat spesifik, yakni hanya menyelidik kepada bahasa-bahasa tertentu sahaja. Ilmu linguistik sebenarnya merujuk kepada bahasa secara umum. Ini bertepatan dengan pandangan Ferdinand de Saussure (1857) yang merumuskan bahawa ilmu linguistik tidak hanya meneliti salah satu langue sahaja, tetapi merangkumi bahasa atau language secara umum. Selain itu, kajian ilmu linguistik meliputi bahasa-bahasa di dunia yang berbeza sifatnya. Dengan wujudnya kelainan bahasa-bahasa tersebut, maka bidang kajian linguistik dikatakan bersifat umum. Kelainan bahasa-bahasa ini merupakan bidang kajian ahli linguistik.

Ilmu linguistik juga dikatakan sebagai ilmu pengetahuan spesifik. Ini bermakna bidang kajian linguistik, seperti juga disiplin ilmu yang lain, mempunyai sistem yang teratur bagi merealisasikannya sebagai salah satu bidang ilmu yang dipelajari. Selain itu, ilmu linguistik dikaitkan juga dengan ilmu yang bersifat empiris. Ini bermakna ilmu linguistik dan bidang ilmu yang lain dikaitkan dengan fakta dan data yang dapat diuji kesahihannya oleh ahli-ahli tertentu dan semua ahli yang lain.

Di dalam kajian ilmu linguistik ini juga, bahasa sering dikaitkan sebagai objek bagi kajian bidang ini. Istilah-istilah bahasa di dalam kajian ilmu linguistik pula dikaitkan dengan pelbagai tafsiran. Umpamanya, bahasa dikaitkan dengan erti kiasan yang membawa pelbagai tafsiran makna. Selain daripada itu, bahasa juga dikaitkan dengan istilah harfiah, yakni dalam ungkapan  'ilmu bahasa  ' seperti dalam contoh bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan sebagainya. Dalam menjelaskan tafsiran bahasa, istilah harfiah ini dianggap sebagai objek dalam bidang ilmu kajian linguistik. Terdapat banyak definisi linguistik yang telah dikemukakan oleh ahli linguistik sejak dahulu hingga kini. Banyak definisi yang dikemukakan oleh mereka berfokus kepada pengertian kata linguistik itu sendiri yang membawa pelbagai tafsiran yang berbeza di kalangan mereka. Menurut Verhaar (1985:1), kata linguistik berasal daripada kata Latin iaitu lingua yang bermaksud bahasa. Pandangan tentang definisi ilmu linguistik ini turut disentuh oleh Langacker (1987). Menurut beliau, linguistik adalah kajian terhadap bahasa manusia. Ini bermakna linguistik mengkaji bahasa-bahasa yang dihasilkan oleh manusia melalui alat-alat pertuturan tertentu yang membawa pelbagai makna.
 
Seterusnya, David Crystal (1973) menjelaskan linguistik sebagai kajian bahasa secara saintifik. Ini bermakna bahawa bahasa-bahasa yang dikaji mesti dilihat sebagai satu disiplin ilmu yang tersusun serta mempunyai organisasi tersendiri. Selain itu, saintifik juga merujuk kepada sesuatu ilmu yang mempunyai ciri keesahan dan kebolehpercayaan dari segi mutu dan kesahihan fakta. Pandangan yang sama berkaitan kajian bahasa secara saintifik ini turut dikemukakan oleh John Lyons (1968:89). Menurut beliau, linguistik adalah  'The scientific study of language '. Pandangan kedua-dua tokoh ini memperlihatkan bahawa perlunya linguistik dikaji seperti juga disiplin ilmu lain yang juga memperlihatkan ciri-ciri saintifik.
 
Verhaar (1993) menjelaskan linguistik sebagai satu kajian ilmu bahasa. Menurut beliau, pengertian kata ÂlinguistikÊ merujuk kepada bagaimana suatu kajian bahasa itu dilaksanakan. Berdasarkan pandangan tersebut, kajian ilmu bahasa mencakupi bidang ilmu yang sangat luas. Ia merangkumi bidang linguistik
secara khusus; iaitu linguistik sinkronik, linguistik diakronik, linguistik deskriptif dan linguistik preskriptif. Linguistik sinkronik merujuk kepada kajian pada suatu bahasa dan masa tertentu. Linguistik diakronik pula menumpu kepada kajian yang dibuat mengikut perkembangan masa dan perbandingan bahasa. Linguistik deskriptif pula menumpu kepada huraian beberapa kemungkinan yang ada di dalam sesuatu bahasa, tanpa penentuan betul dan salah. Manakala, linguistik preskriptif membentuk norma atau menentukan yang mana betul dan yang mana salah di dalam pemerian bahasa. Bidang linguistik ini juga termasuklah linguistik jati yang memberi huraian atau deskripsi tentang sesuatu bahasa tanpa kaitannya dengan bidang lain dan linguistik terapan, iaitu mengkaji segala bidang linguistik yang dikaitkan dengan bidang lain. 

Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh tersebut, kita dapat merumuskan bahawa linguistik merupakan bidang yang memerlukan kajian yang mendalam dan teliti yang memberi penekanan kepada bidang kajian bahasa secara khusus serta menghubungkan bahasa dengan ilmu disiplin yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan