BENTUK KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Topik ini akan menyentuh tentang bentuk-bentuk Kesusasteraan Melayu Moden. Turut dibincangkan ialah kategori, jenis, unsur, tokoh, karya, dan tidak ketinggalan membanding bezakan antara novel dan cerpen. Namun demikian, aliran penulisan karya sastera akan dijelaskan terlebih dahulu kerana aspek tersebut turut terdapat di dalam perbincangan ini.

ALIRAN DALAM PENULISAN KARYA SASTERA

Pengarang menggunakan pelbagai cara dan berpegang kepada hanya satu haluan pemikiran untuk melahirkan segala yang dihajatinya ke dalam sesebuah karya. Haluan pemikiran atau hala tuju itulah yang dinamakan aliran. Oleh sebab itu, terdapat pengarang yang memilih untuk:
  1. Berterus terang;
  2. Menggunakan cara halus dan kasar;
  3. Menumpukan perhatian kepada keindahan; dan
  4. Mementingkan isi semata-mata.
  5. Hala tuju pemikiran pengarang
    Melalui rajah di atas, anda dapat melihat haluan pemikiran atau hala tuju pengarang dalam mencipta karya dengan lebih jelas.
    Aliran penulis karya sastera
    Melalui rajah di atas, anda dapat melihat aliran yang diikuti oleh para penulis karya sastera.

1. Klasikisme

‘Klasik’ berasal daripada kata classic di dalam bahasa Inggeris yang bermaksud sesuatu yang bermutu dan tinggi nilainya. Kata classics pula merujuk kepada karya sastera yang agung terutamanya karya-karya zaman Greek dan Latin. Classical bermaksud pengelasan karya atau penilaian terhadapnya berasaskan kesetandingan nilainya dengan karya pada zaman yang telah disebutkan. Classicism bermaksud gaya yang didasarkan kepada tamadun berkenaan sebagai modelnya.

Sumber lain mentakrifkan klasik sebagai sesuatu yang memiliki kedudukan yang diakui dan tidak diragukan. Jika dirujuk kepada kesusasteraan, klasik bererti karya yang tinggi nilainya dan sering dijadikan tolok ukur atau karya sastera zaman kuno yang bernilai kekal. Klasikisme bererti peniruan langgam seni (kebudayaan mahupun kesusasteraan) Yunani dan Romawi kuno, yang ditandai dengan pengutamaan bentuk, kesederhanaan dan penguasaan emosi seperti yang berlaku pada abad ke-18 Masihi.

Berdasarkan keterangan di atas, dapat dirumuskan bahawa klasikisme merupakan satu aliran yang berpegang kepada pemikiran bahawa karya sastera mestilah mengutamakan bentuk, isi dan penuh dengan emosi. Aliran ini juga sangat mementingkan nilai yang terkandung di dalam sesebuah karya. Sehubungan itu, pengarangnya patuh kepada konvensi sastera yang sedia ada, tidak kira sama ada prosa mahupun puisi. Jika karya itu serangkap pantun misalnya, konvensi pantun mesti dipatuhi, isinya telah dikenal pasti, dan matlamatnya juga telah ditentukan.

2. Romantisisme

Aliran penulisan karya sastera ini memfokuskan kepada perasaan. Konsep itu muncul di Eropah sebagai reaksi kepada rasionalisme. Aliran ini beranggapan bahawa fikiran manusia terbatas. Oleh sebab itu, intuisi (gerak hati) diperlukan untuk menanggap rahsia alam ini. Tafsiran sedemikian dikaitkan dengan karya yang bergelumang dengan perasaan. Perasaan itu merupakan ungkapan romantis, sedih dan pilu (melankolis) terhadap orang yang dikasihi. Namun demikian, perasaan tersebut tidak terhad kepada kekasih sahaja malahan juga kepada negara dan Tuhan.

3. Realisme

Aliran penulisan karya sastera ini menumpukan perhatian kepada gambaran atau penggemblengan isu masyarakat dan muncul di Barat pada tahun 1930. Di Malaysia dan Singapura, aliran ini diamalkan oleh pengarang dan penyair ASAS 50. Kesemuanya memperjuangkan keadilan sosial. Oleh sebab itu, persoalan utama yang melatari karya mereka ialah isu kemasyarakatan. Antaranya ialah darurat, ketidakadilan sosial, politik dan nasionalisme.

Akibat daripada kecenderungan untuk memihak kepada politik dan idea-idea sosialis, muncul satu cabang baru dalam realisme, iaitu realisme sosialis. Para pengarang yang berpegang kepada cabang realisme ini memberi kemenangan kepada golongan miskin dan tertindas. Di Malaysia, Kassim Ahmad menulis kritikan sastera berasaskan realisme sosialis.

4. Naturalisme

Pada peringkat awal, aliran penulisan karya ini dipegang oleh para pelukis. Lukisan yang terhasil menggambarkan sesuatu objek di dalam bentuk sebenarnya. Apabila aliran ini dibawa masuk ke dalam penghasilan karya sastera, para penulis yang mendukunginya mengemukakan karya yang isi dan persoalannya benar wujud di dalam masyarakat, terutamanya kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat. Penggemblengan aliran ini kita temui di dalam kumpulan cerpen yang berjudul Dua Zaman. Harus diingat bahawa cerpen yang terkumpul dalam kumpulan tersebut dihasilkan oleh penulis ASAS 50.

5. Absurdisme

Aliran penulisan karya ini lahir sesudah eksistensialisme. Manusia seolah-olah kehilangan segala-galanya selepas Perang Dunia Kedua. Situasi tersebut membentuk kekosongan dalam jiwa manusia, tidak terkecuali jiwa para pengarang. Dengan demikian, muncullah keluh-kesah di dalam jiwa pengarang. Lalu muncullah karya-karya yang bertentangan dengan kenyataan, tidak masuk akal dan mustahil.

6. Surealisme

Surealisme muncul di dalam dunia kesusasteraan akibat daripada pelaksanaan psikoanalisis Freud yang berhubung dengan kejiwaan manusia. Karya-karya yang mengaplikasikannya menjurus kepada aspek tidak rasional dalam kehidupan manusia, iaitu aspek bawah sedar.

7. Keislaman

Aliran ini muncul di Malaysia akibat tercetusnya polemik sastera Islam. Menurut aliran ini, karya sastera yang terhasil perlu mengikut lunas Islam. Di samping itu, karya yang terhasil perlu melukiskan kejernihan hidup orang bertakwa dan menggambarkan ketidaktenteraman orang yang menjauhi Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan