STRUKTUR BAHASA

Pengenalan Kepada Struktur Bahasa
Kamus Za'ba mentakrifkan kata "struktur" kepada dua kategori. Kategori yang pertama ialah "susunan atau bahagian daripada sesuatu binaan dan susunan atau bahagian daripada sesuatu binaan", manakala kategori yang kedua ialah "sistem rangka sesebuah karya sastera yang terlebih dahulu dirancang". Kategori yang pertama meliputi pola atau bentuk masyarakat yang terbentuk atau tersusun daripada pelbagai jenis unsur yang mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Kata "struktur" juga ditakrifkan sebagai bukan cara sesuatu yang terbentuk daripada pelbagai bahagian, unsur atau aspek tertentu sehingga menjadi suatu pola, sistem atau bentuk tertentu. Kategori takrifan yang kedua ialah sistem rangka sesebuah karya sastera yang terlebih dahulu dirancang (Kamus Za'ba, 2001: 1073). Takrifan yang sama juga boleh diperoleh bagi kata"struktur" jika dirujuk dalam Kamus Melayu Global (Kamus Melayu Global, 1997: 1073).






Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga pula, kata "struktur" didefinisikan sebagai cara sesuatu terbina atau terbentuk daripada pelbagai bahagian, unsur, atau aspek hingga menjadi suatu pola, sistem atau bentuk tertentu seperti struktur di dalam bahasa Melayu. Menurut Tesaurus Bahasa Melayu, kata "struktur" merujuk kepada binaan atau rangka (Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, Hlm.297). Kamus Pelajar Terkini pula mendefinisikan kata "struktur" yang merupakan binaan kata daripada cantuman kata struk + tur (KN) yang membentuk kata nama ialah sesuatu yang dibentuk, dibina atau binaan dan cara menyusun sesuatu (susunan atau gubahan) yang merujuk kepada bahasa, ekonomi dan sebagainya (Ahmad Mahmood Musanif, 1996: 465). Menurut buku Glosarium Bahasa dan Sastera, struktur bahasa wujud akibat adanya aturan-aturan bahasa. Maka, terdapatlah struktur bahasa iaitu ketetapan peristiwa bahasa. Ianya dapat dilihat pada susunan fonem, susunan kata dan susunan frasa serta lagu bicara dan intonasi. Ia juga termasuk struktur bahasa yang harus diketahui seseorang kalau dia ingin berbicara dalam sesuatu bahasa (A. Hamid Hasan Lubis, 1994: 132).

Menurut Kamus Linguistik edisi ketiga, kata ÂstrukturÊ merujuk kepada struktur batin, struktur fonemis, struktur frasa, struktur lahir, struktur praleksikal, struktur semantik (makna) dan struktur tematis (Harimurti Kridalaksana, 1993: 203-204). Jika dirujuk di dalam A Dictionary of Linguistics and Phonetics, edisi
keempat menyatakan seperti berikut:

"Structure in its most general sense, and especially as defined by structuralist studies of human institutions and behavior, the term applies to the main abstract characteristic of a semiotic system. A language for example is a structure in the sense that it is a network of interrelated units, the meaning of the parts being specifiable only with reference to the whole. In this sense, the terms "structure" and "system" are often synonymous (and the phrase "structured system" which is sometimes encountered as in "language is a structure system" -as a tautology)"
David Crystal,1997 :367


Adakah bahasa satu fenomena penting di dalam hidup kita? Kita sering menganggap kebolehan bertutur sebagai salah satu daripada kebolehan asasi manusia, sama seperti kita berjalan dan bernafas. Kita tidak pernah menyoal sama ada kebolehan manusia bertutur itu sebagai satu kejadian semula jadi, iaitu berlaku secara tidak sengaja ataupun ia satu perkara yang mesti dipelajari oleh manusia. Bahasa yang digunakan di dalam pertuturan merupakan satu alat perhubungan yang penting di antara manusia dengan manusia (kadang-kadang dengan binatang). Alat perhubungan ini amat kompleks tetapi teratur dengan menggunakan kod tertentu.

Walau bagaimanapun, bahasa bukanlah satu-satunya alat perhubungan manusia kerana terdapat juga cara lain yang digunakan oleh manusia untuk berhubung seperti melalui gerak-geri, simbol atau kod telegraf, muzik dan banyak lagi (Abdullah Hassan, 1992: 3). Seperti bidang ilmu yang lain, bidang ilmu bahasa atau linguistik diwarnai dengan pelbagai paradigma, aliran, teori dan pendekatan yang menjadi pegangan seseorang ahli  bahasa. Ia banyak menentukan cara mereka memandang dan menghuraikan hal kebahasaan (Zulkifley Hamid, 1996: 2). Masih ramai yang belum mengetahui apakah yang dikatakan linguistik. Lazimnya, orang akan menganggap seorang linguis (ahli bahasa) itu ialah seorang yang boleh bertutur banyak bahasa. Ini adalah satu fenomena yang tidak betul. Sebenarnya, hanya sebahagian daripada linguistik melibatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa. Linguistik adalah lebih luas daripada itu. Secara jelasnya, seperti yang dikatakan oleh Bolinger (1968), linguistik ialah satu sains bagi mengkaji bahasa. Ini bermakna bahasa digunakan sebagai bahan yang dikaji secara saintifik.

Menurut A. Bakar Hamid (1960), linguistik atau ilmu bahasa ialah suatu sains yang mempelajari bahasa manusia (Rencana Linguistik, susunan Abdullah Hassan, 1992:28). Ahli ilmu bahasa dapat membuat sejarah bahasa dan rumpun bahasa, selain membandingkan bahasa untuk mencapai suatu rumusan tentang ciri umum yang terdapat di dalam semua bahasa. Misalnya, semua bahasa mempunyai bentuk-bentuk fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana. Apabila kita berbicara berkenaan struktur bahasa, kita mesti mengetahui tata tingkat bahasa yang terdiri daripada fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana.

Penerangan mengenai bentuk-bentuk fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana adalah seperti berikut:

(a) Fonem
Fonem ialah unit bahasa yang diwujudkan bagi memudahkan deskripsi bunyi. Fonologi pula ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi bahasa (Abdullah Hassan, 2006: 62). Manusia dapat menghasilkan banyak bunyi atau fon, tetapi daripada fon-fon tersebut, hanya beberapa sahaja yang distingtif atau berbeza. Bagi menentukan sama ada fon itu adalah distingtif, fon-fon dibandingkan dan dikontraskan antara satu dengan yang lain. Dengan demikian, kita dapat mengenal pasti fon-fon yang distingtif daripada yang hanya berbeza sebutan. Ini ialah kerana mereka dihasilkan pada konteks yang berlainan, tetapi tidak distingtif. Hanya golongan fonfon
yang distingtif itulah yang dikenali sebagai fonem.

Fonem wujud di dalam susunan tertentu dan susunan ini berlainan daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain. Mengkaji kewujudan dan penggunaan fonem daripada aspek demikian adalah mengkaji struktur fonologi bahasa tersebut. Apabila kita sudah dapat mengenal pasti fonem dalam bahasa, maka kita dapat pula membentuk sistem ejaannya. Ini dilakukan dengan memberi lambang kepada fonem tadi. Setiap fonem
diberi satu lambang huruf seperti fonem /p/ diberi lambang huruf p. Oleh kerana bilangan huruf terhad, ada juga fonem yang diberi lambang gabungan dua huruf, seperti fonem /���� / yang diberi lambang huruf ng. Ini
bermakna, apabila manusia membentuk sistem ejaan, manusia sudah mengenali konsep fonem. Apabila kita menyusun sistem ejaan atau lambang tulisan, maka huruf akan dibuat supaya melambangkan fonem
(Abdullah Hassan, 2006: 62-63).

Di dalam bahasa Melayu, sistem fonologi menggunakan kaedah analisis segmental. Ada 33 buah fonem dalam bahasa Melayu yang terdiri daripada 24 fonem asli dan 9 fonem pinjaman. Daripada kajian, didapati kontras
fonem bahasa Melayu lebih banyak berlaku pada konteks pangkal dan tengah perkataan daripada pada akhir perkataan. Pada akhir perkataan, kontras antara fonem bersuara dengan yang tak bersuara menjadi neutral
atau hilang. Daripada 24 fonem asli Melayu, terdapat 6 fonem vokal dan 18 fonem konsonan. Fonem vokal ialah /i/, /e/, /a/, /��/, u/ dan /o/. Manakala fonem konsonan pula ialah /p/, /b/, /t/, /d/, /k/, /g/, /c/,
/j/, /m/, /n/, / ��/, /��/, /s/, /h/, /r/, /l/, /w/ dan /y/. ��

(b) Morfem
Morfem pula merupakan unit yang terkecil di dalam bahasa yang mempunyai makna dan menjadi unsur terbentuknya kata. Misalnya, kata minum ialah morfem kerana unit yang terkecil, unit yang mengandungi
makna dan tidak boleh dipecahkan menjadi unit yang lebih kecil dan bermakna. Morfem dengan sendirinya boleh menjadi kata. Morfem biasanya diapit oleh tanda { }. Contohnya, kelima terdiri daripada morfem
{ke-} dan {lima}. Ada kata yang terbentuk daripada satu morfem dan ada juga yang terbentuk daripada lebih daripada satu morfem. Misalnya, kata minum terdiri daripada satu morfem, manakala minuman terdiri daripada dua morfem, iaitu {minum} dan {-an}. Morfem dapat juga dibezakan berdasarkan jenis maknanya. Ada golongan morfem yang mempunyai makna yang menunjukkan benda, perkara, perbuatan atau sifat yang
terdapat di sekeliling kita. Morfem seperti ini dikatakan mempunyai makna yang leksikal dan disebut morfem leksikal. Contohnya, "pokok", "kerusi", "duduk", "tidur" dan sebagainya. Golongan morfem yang tidak atau
hampir tidak mempunyai makna asas, tetapi kehadirannya membawa fungsi nahuan disebut morfem nahuan/gramatikal. Contohnya, ber-, -kan, di-, tetapi, yang, dan, itu dan banyak lagi (Ahmad Khair Mohd Nor, 2007: 2).

Morfem terbahagi kepada dua, iaitu:
i. Morfem bebas
ii. Morfem terikat

Morfem bebas boleh wujud sendiri tanpa perlu bergabung dengan unsur lain untuk membentuk kata. Umpamanya "rumah", "tidur", "sedih", "takut" dan sebagainya. Morfem bebas juga boleh bergabung dengan
morfem lain untuk membentuk kata terbitan, kata ganda atau kata majmuk. Contohnya, "batu" boleh  diterbitkan menjadi "berbatu, membatu, batuan, batu-batan, batu api, kepala batu dan berbatu-batu". Morfem bebas juga terdiri daripada dua jenis, iaitu yang bersifat terbuka dan tertutup. Morfem bebas yang bersifat terbuka boleh bergabung dengan morfem lain dan boleh menjadi dasar manakala morfem bebas tertutup tidak boleh bergabung dengan morfem lain dan tidak dapat menjadi kata akar. Contohnya, "dan, ke, dari, atau serta dengan".

Morfem terikat pula tidak dapat wujud sendiri tanpa unsur lain dan tidak boleh berdiri sebagai kata asal atau kata dasar. Contohnya; imbuhan beR-, ke-, -kan, meN-, -kan dan sebagainya yang mesti bergabung dengan unsur lain. Morfem terikat juga terdiri dari dua jenis, iaitu morfem terikat yang dapat bergabung
dengan morfem dasar seperti ke-, di-, ber-, pe-, se-, -an, -i dan em-, dan morfem terikat yang dapat bergabung dengan morfem lain seperti "tapa (bertapa), juang (berjuang) dan renang (berenang)".

(c) Kata
Kata adalah bentuk bebas yang terkecil. Menurut Abdullah Hassan (2002), bebas mempunyai kesatuan tertentu untuk wujud sebagai sebuah ayat yang terdiri daripada satu kata. Misalnya "pergi" dapat berdiri sendiri sebagai sebuah ayat perintah. Kata juga merupakan bentuk terkecil yang bermakna dan dapat digunakan bersendirian sebagai ayat minimal yang disebut bentuk bebas (Ahmad Khair Mohd Nor, 2006: 4). Kata adalah unsur yang terbesar di dalam proses pembinaan kata dan berada di atas fonem dan fonem.

Bahasa Melayu mempunyai beberapa cara untuk membentuk perkataannya. Ada yang bersifat tunggal,  contohnya "rumah", "tinggal", dan "merah" serta ada juga perkataan yang dibentuk hasil proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Contoh perkataan yang dibentuk secara pengimbuhan ialah "meninggal" dan  "meninggalkan"; contoh perkataan yang dibentuk secara pemajmukan ialah "putih melepak" dan "rumah pangsa"; dan perkataan yang dibentuk secara penggandaan ialah "putih-putih" dan "Perdana Menteri-Perdana Menteri" (Nik Safiah Karim et al., 2003: 59).

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang tergolong di dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Jenis bahasa ini membentuk kebanyakan perkataannya melalui proses pengimbuhan atau penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan secara rentetan mendatar; iaitu digabungkan secara serentak dengan kata dasar, sama ada imbuhan itu mendahului (awalan), menyisip (sisipan) atau mengikuti (akhiran) kata dasar tersebut.

(d) Frasa
Frasa adalah unsur bahasa di dalam binaan sintaksis bersama-sama dengan klausa dan ayat. Melalui binaan ini, kita akan dapat melihat bagaimana frasa menjadi klausa dan seterusnya klausa menjadi ayat. Frasa ialah unsur terkecil di dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Di dalam tata tingkat unsur bahasa, frasa adalah unsur yang terkecil dan terletak di bawah unsur yang dipanggil klausa. Binaan frasa dapat dibentuk daripada satu kata atau lebih. Namun begitu, harus diingat bahawa frasa bukanlah rangkai kata. Ini kerana rangkai kata mesti terdiri lebih daripada satu kata, tetapi frasa tidak. Lihat contoh ayat yang  seterusnya:

Fatihah menjadi pengawas.

Di dalam ayat „Fatihah menjadi pengawas‰, ada dua frasa. Frasa pertama ialah "Fatihah" yang menjadi subjek. Frasa kedua ialah "menjadi pengawas" yang bertindak sebagai predikat. Frasa subjek "Fatihah" terdiri
daripada satu kata sahaja. Frasa predikat "menjadi pengawas" terdiri daripada dua kata. Frasa berbeza dengan klausa dan ianya dapat dilihat dengan jelas kerana frasa adalah unsur klausa, tetapi tidak sebaliknya. Perbezaan yang dapat dilihat ialah frasa menggunakan kata penunjuk "itu" dan "ini" (binaan frasa ditutup oleh kata penunjuk "itu" dan "ini"). Frasa juga boleh menerima sisipan "yang", sekiranya frasa yang terlibat itu terdiri daripada dua perkataan atau lebih. Perkataan "yang" boleh digunakan bagi membezakan frasa daripada klausa. Sekiranya ungkapan itu sebuah frasa, maka "yang" boleh disisipkan antara bahagian-bahagiannya dengan tidak mengubah tarafnya sebagai frasa. Frasa juga mempunyai inti dan penerang
tetapi klausa mempunyai subjek dan predikat. Dengan mengenal pasti frasa menurut kata yang menjadi  intinya, maka frasa dapat dijeniskan kepadafrasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, frasa sendi nama dan frasa adverba. Di dalam ayat, fungsi frasa ialah menjadi subjek dan predikat.

(e) Klausa

Walaupun klausa dan frasa adalah unsur di dalam ayat, tetapi keduaduanya adalah berbeza. Binaan sebuah frasa terdiri daripada kata inti dan kata penerang. Ada juga frasa yang terdiri daripada satu kata, iaitu kata inti
sahaja tanpa kata penerang. Binaan klausa terdiri daripada subjek dan predikat. Sebenarnya, klausa adalah sebuah ayat di dalam ayat iaitu ayat yang menjadi unsur kepada ayat lain ataupun dikenali sebagai anak ayat.
ZaÊba memanggilnya ayat kecil yang terkandung dalam ayat besar. Contoh ayat adalah seperti berikut;

Aminah tidak datang kerana dia sakit.

Di dalam ayat "Aminah tidak datang kerana dia sakit", terdapat dua klausa, iaitu "Aminah tidak datang" dan "dia sakit". Kedua-duanya digabungkan oleh kata hubung "kerana". Klausa "Aminah tidak datang" boleh berdiri sendiri, jadi ungkapan ini adalah sebuah ayat. Klausa "Aminah tidak datang" mempunyai subjek  "Aminah", dan predikat "tidak datang". Klausa "dia sakit" juga mempunyai subjek, iaitu "dia" dan predikat, "sakit". Klausa "dia sakit" digabungkan dengan klausa "Aminah tidak datang" menggunakan kata hubung "kerana". Dengan kata lain, klausa dapat dibahagikan kepada dua, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas.

Klausa bebas boleh berdiri sendiri sebagai ayat yang sempurna yang menjadi sebahagian daripada ayat yang lebih besar. Klausa tak bebas pula dapat dibahagikan kepada dua, iaitu klausa nama dan klausa adverba. Klausa nama berfungsi sebagai kata nama. Malah klausa ini dapat digantikan dengan satu kata nama. Klausa adverba pula memberi penerangan lanjut mengenai kata kerja. Ada beberapa jenis keterangan, antaranya ialah keterangan waktu, tempat, syarat, sebab, kesungguhan dan lain-lain.

(f) Ayat
Ayat ialah unsur yang paling tinggi di dalam tatabahasa. Di dalam ayat, terdapat unsur-unsur seperti kata, frasa dan klausa. Penggabungan unsur inilah yang membentuk binaan yang dikatakan ayat. Jika dikaji dari aspek
bebas, ayat didefinisikan sebagai bentuk bahasa yang bebas. Bloomfield (1930), mengatakan ayat ialah satu bentuk bebas di dalam bahasa yang tidak tertakluk dengan mana-mana bentuk lain yang lebih besar. Ada
kalanya bentuk kata, frasa dan klausa menjadi bentuk bebas. Tetapi, iamasih belum berdiri sendiri kerana  unsur-unsur ini tertakluk kepada bentuk lain yang lebih besar, iaitu ayat.

Bagi Chomsky (1967), ayat itu terdiri daripada rentetan kata yang diterbitkan oleh rumus tatabahasa. Secara keseluruhannya, kata ialah unit yang dapat berdiri sendiri di dalam tata tingkat tatabahasa. Di dalam mengkaji sintaksis, kita harus dapat menentukan apa yang dikatakan pola-pola ayat tersebut. Di antaranya ialah apa yang menjadi pola dasar dan pola yang terbentuk daripada pola dasar tersebut melalui proses transformasi.

(g) Wacana
Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Oleh itu, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, susunan ayat, ceraian bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang memperlihatkan hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan. Di dalam sesebuah wacana, perkaitan antara unit bahasa yang terlibat melahirkan satu kesatuan yang utuh. Sesuatu wacana, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan diujarkan
bagi tujuan menyampaikan sesuatu maklumat tentang sesuatu perkara. Di dalam hierarki bahasa, wacana terletak pada kedudukan yang tertinggi selepas ayat. Wacana mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Menurut
Beaugrande dan Dressier (1981), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks.



LINGUISTIK SEBAGAI SATU DISIPLIN

Linguistik merupakan suatu disiplin ilmu yang dapat berdiri sendiri dan bersifat autonomi. Menurut Koentjaraningrat (1997), linguistik meliputi ilmu yang berkait dengan ilmu sosial dasar. Sebagai suatu cabang ilmu pengetahuan, linguistik mempunyai subdisiplinnya yang tersendiri. Antara subdisiplin linguistik adalah bidang linguistik, sifat telaah linguistik, pendekatan objek linguistik, instrumen yang digunakan, ilmu lain yang berkaitan dengan linguistik, penerapan linguistik serta aliran dan teori linguistik. Bidang linguistik meliputi linguistik umum, linguistik terapan, linguistik teoritis dan sejarah linguistik.




Linguistik umum merumus secara umum semua bahasa manusia yang bersifat alamiah. Linguistik terapan pula merupakan ilmu yang berusaha menerapkan hasil penelitian di dalam bidang linguistik untuk keperluan praktis. Sementara, linguistik teoritis mengutamakan penelitian bahasa dari segi internal atau dalaman. Akhir  sekali,sejarah linguistik menyentuh mengenai uraian knonologis, iaitu tentang perkembangan bahasa.





Sifat telaah linguistik meliputi bidang linguistik mikro yang bidang kajiannya lebih sempit dan bersifat internal, sementara linguistik makro bersifat luas dan eksternal. Pendekatan objek linguistik meliputi bagaimana menganalisis bahasa. Dengan demikian, bahasa dapat dilihat secara deskriptif, historis komparatif, kontrastif, sinkronik dan diakronik. Instrumen linguistik pula ialah penggunaan komputer atau linguistik komputer. Ilmu lain yang berkaitan dengan linguistik ialah psikologi, antropologi, sosiologi dan sebagainya. Penerapan linguistik meliputi:
(a) Dialektologi
(b) Leksikografi
(c) Leksikostatistik




Dialektologi mempelajari serta membandingkan bahasa yang masih serumpun untuk mencari titik persamaan dan perbezaan. Leksikografi pula ialah kajian mengenai kosa kata dan leksikostatistik ialah kajian tentang umur kata sejak kata wujud. Linguistik dilihat dari segi teori, aliran struktur dan aliran transformasi yang
melahirkan linguistik struktural dan linguistik transformasi. Ini akan dijelaskan seterusnya.


BIDANG KAJIAN LINGUISTIK

Kajian linguistik meliputi bidang yang luas. Antara kajian linguistik yang perlu diketahui oleh pelajar ialah fonetik dan fonologi, morfologi, sintaksis, leksikografi, semantik, pragmatik, linguistik sinkronik dan linguistik diakronik, linguistik teoritis dan linguistik terapan. Tiga bidang utama sahaja akan disentuh, iaitu:
i. bidang fonetik dan fonologi,
ii. morfologi
iii. sintaksis.

i. Fonetik dan Fonologi
Pertuturan bahasa melibatkan „bunyi-bunyi bahasa‰. Bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan berbentuk tertentu dan berbeza menurut bahasa tertentu. Kesemua bunyi yang dihasilkan merupakan bidang kajian ilmu fonetik dan fonologi. Fonetik meneliti bunyi bahasa menurut cara sebutannya dan sifat-sifat akuastiknya, manakala ilmu fonologi pula meneliti bunyi-bunyi bahasa tertentu mengikut fungsi, susunan dan strukturnya. Kita dapat melihat fungsi fonetik dan fonologi ini dengan menjelaskannya bersertakan contoh yang memaparkan wujudnya perbezaan penelitian mengikut bidang kajian masing-masing. Sebagai contoh, bunyi "p" yang secara lazimnya menurut sifat fonetiknya diapit oleh tanda condong. Ia disebut dengan menutup kedua-dua bibir dan melepaskannya sehingga udara keluar dengan "menghasilkan suatu bunyi letupan". Penghasilan bunyi "p" tersebut merupakan deskripsi fonetik sahaja.

Seterusnya, jika dua bunyi yang secara fonetik mempunyai perbezaan tertentu, ia dikatakan berbeza fonologinya. Perbezaan tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Ini bermakna dua bunyi tersebut dikatakan mempunyai perbezaan fonologi jika bunyi-bunyi tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Sebagai contoh, di dalam bahasa Melayu, bunyi "p" dan "t" berbeza dari segi fungsional atau secara fonologi. Ia disebut sebagai pasangan minimum kerana kata-kata yang dihasilkan oleh kedua-dua bunyi tersebut berbeza dari segi kata-kata yang dihasilkan, seperti dalam contoh kata "padi" dan "tadi". "Padi" merujuk kepada sejenis tanaman, manakala "tadi" merujuk kepada kata keterangan masa. Jelas, perbezaan pasangan minimum tersebut memperlihatkan wujudnya tafsiran makna yang berlainan bagi kedua-dua kata tersebut. Perbezaan makna yang dibawa oleh bunyi-bunyi tersebut merupakan bidang kajian ilmu fonologi.

ii. Morfologi
Nik Safiah Karim et al. (1993) mentakrifkan morfologi sebagai "bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata", manakala Arbak Othman (1968) menjelaskan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfem dan varian morfem. Sebagai rumusan, dapat disimpulkan bahawa morfologi ialah bidang yang mengkaji cara kata dibentuk. Bentuk kajian morfologi yang terkecil ialah morfem dan bentuk yang terbesar ialah kata. Kata mempunyai bentuk yang bebas, bermakna dan dapat berdiri sendiri manakala morfem terdiri daripada dua bahagian, iaitu bentuk bebas dan bentuk terikat.

Kata-kata yang dibentuk lahir daripada kata yang terdapat di dalam sesuatu bahasa dan juga melalui proses-proses tertentu. Kata yang dilahirkan melalui kata tertentu; sebagai contoh di dalam bahasa Melayu merupakan kata yang dihasilkan di dalam bahasa Melayu itu sendiri. Manakala, kata yang melalui proses tertentu pula ialah melalui proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Melalui proses pengimbuhan kata dasar, kata yang dihasilkan ialah kata terbitan. Melalui proses penggandaan, kata yang dihasilkan merupakan kata ganda dan melalui proses pemajmukan pula, kata yang dihasilkan merupakan kata majmuk.

Di dalam bahasa Melayu, terdapat bentuk kata utama; yakni kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Contoh kata nama ialah "sabun", "cangkul', dan "penyapu". Contoh kata kerja pula ialah kata "gerak", "kumpul" dan "letup" manakala contoh kata adjektif ialah kata "baik", "gemuk" dan "panjang". Selain kata utama, terdapat juga kata tugas yang mempunyai tugas tertentu, sama ada di dalam perkataan atau binaan ayat.

iii. Sintaksis 
Perkataan "sintaksis" berasal daripada perkataan Yunani "suntutein" yang bermaksud menyusun atau susunan. Di dalam bidang linguistik, "sintaksis" bermaksud "kajian pembentukan ayat". Menurut Kamus Linguistik (1997), sintaksis ialah „cabang ilmu linguistik yang mengkaji proses pembentukan ayat, seperti penyusunan kata kepada ayat dan cara hubungan antara kata di dalam ayat. Nik Safiah Karim et al. (1986) mendefinisikan sintaksis sebagai "bidang linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat". Abdullah Hassan (1981) menyatakan sintaksis ialah "istilah untuk mengkaji pembentukan ayat", iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa, atau menjadi klausa, dan ayat merupakan inti terbesar. Asmah Hj. Omar (1968) turut mendefinisikan sintaksis sebagai "bahagian daripada linguistik deskriptif atau sinkronis yang mempelajari kombinasi kata di dalam rangkai kata dan ayat".

Berdasarkan pandangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa sintaksis sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji "bentuk, struktur dan binaan ayat". Ia sebenarnya mengkaji konstruksi ayat, iaitu mengkaji bagaimana ayat dibentuk bermula dengan penyusunan perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan seterusnya ayat. Bidang kajian sintaksis pula meliputi perkataan, frasa, klausa dan ayat. Kajian sintaksis melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari cara penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membina ayat.