Bahasa adalah satu konsep umum yang menjadi dasar di dalam perhubungan.Ter dapat beberapa sarjana yang memberi definisi mereka terhadap bahasa. Menurut Kamus Linguistik, bahasa adalah keupayaan fitrah manusia yang berupa satu sistem lambang bunyi suara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh kelompok sosial dan digunakan sebagai alat berkomunikasi (Kamus Linguistik, 1997:27). Menurut Gorys Keraf (1997:1), bahasa adalah alat komunikasi antara anggota masyarakat berupa simbol bunyi yang dihasilkan oleh alat ucap manusia. Walau bagaimanapun, bahasa tidak semestinya sebagai alat berkomunikasi kerana komunikasi juga boleh terbentuk melalui isyarat tubuh atau melalui cara yang telah disepakati seperti lukisan, asap api, bunyi gendang atau tong dan sebagainya. Bahasa memberikan kemungkinan yang jauh lebih luas dan kompleks daripada yang dapat diperoleh dengan mempergunakan media tadi. Bahasa haruslah merupakan bunyi yang dihasilkan oleh alat ucap manusia. Ia bukannya sebarang bunyi tetapi adalah bunyi yang merupakan simbol atau perlambangan.
Bahasa mempunyai fungsinya yang tersendiri. Ia boleh memberi fungsi apabila bahasa tersebut telah seragam penggunaannya melalui perbendaharaan dan pengimbuhan dan mengikuti segala peraturan penggunaannya (Darwis Harahap Mohamad, 2004: 50). Fungsi adalah beban makna suatu satuan bahasa atau hubungan antara satu satuan dengan unsur-unsur gramatikal, leksikal/fonologi di dalam suatu deretan satuan/peranan unsur dalam suatu ujaran dan hubungannya secara struktural (Harimurti Kridalaksana, 1993: 60). Terdapat
beberapa fungsi bahasa yang utama.
Pada awalnya, seorang anak menggunakan bahasa untuk mengekspresikan kehendaknya atau perasaannya pada sasaran yang tetap. Proses kognitif, iaitu pengenalan benda-benda kepada bahasa telah berlaku (Asmah Omar, 1993: 16). Inilah yang menjadi fungsi utama bahasa iaitu sebagai alat untuk mengekspresikan apa yang terlintas dalam pemikiran. Di dalam perkembangan bahasa, kanak-kanak tidak lagi menggunakan bahasa hanya untuk mengekspresikan kehendaknya, tetapi juga untuk berkomunikasi dengan lingkungan di sekitarnya.
Setelah dewasa, kita menggunakan bahasa untuk mengekspresikan diri dan berkomunikasi. Seorang penulis mengekspresikan dirinya melalui tulisan. Sebagai contoh, tulisan kita dalam sebuah buku, merupakan hasil ekspresi diri kita. Ketika menulis, kita tidak memikirkan siapa pembaca. Kita hanya menuangkan isi hati dan perasaan kita tanpa memikirkan apakah tulisan itu difahami orang lain atau tidak. Semasa menggunakan bahasa sebagai alat untuk mengekspresikan diri, si pemakai bahasa tidak perlu mempertimbangkan atau memperhatikan siapa yang menjadi pendengarnya, pembacanya, atau khalayak sasarannya. Ia menggunakan bahasa hanya untuk kepentingannya peribadi.
Sebagai alat untuk menyatakan ekspresi diri, bahasa menyatakan secara terbuka segala sesuatu yang tersirat di dalam dada kita. Unsur-unsur yang mendorong ekspresi diri adalah untuk menarik perhatian orang lain terhadap kita dan keinginan untuk membebaskan diri kita daripada semua tekanan emosi (Gorys Keraf, 1997: 4). Fungsi utama bahasa adalah sebagai alat komunikasi (Mokhtar Mansor, 1991: 22). Manusia memerlukan suatu medium untuk melawan bicara dengan orang lain. Dalam komunikasi seharian, salah satu alat yang sering digunakan adalah bahasa, baik bahasa lisan mahupun bahasa tulisan. Bahasa menjadi alat komunikasi yang paling efektif di dalam memastikan proses komunikasi berjalan lancar. Melalui komunikasi, kita mempelajari dan mewarisi semua yang pernah dicapai oleh nenek moyang kita, serta apa yang dicapai oleh orang-orang yang sezaman dengan kita. Sebagai alat komunikasi, bahasa merupakan saluran perumusan maksud, melahirkan perasaan dan memungkinkan kita menciptakan kerja sama yang mewujudkan pelbagai aktiviti, merencanakan dan mengarahkan masa depan (Gorys Keraf, 1997: 4).
Semasa menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, kita sudah memiliki tujuan tertentu antaranya ingin difahami oleh orang lain (Sumarsono, 2004: 143). Dalam berkomunikasi, kita mempertimbangkan bahasa apa yang ingin digunakan. Misalnya, kata makro hanya difahami oleh orang berpendidikan, namun kata besar atau luas lebih mudah difahami masyarakat. Bahasa adalah unsur kebudayaan yang telah memberi manfaat kepada pengalaman manusia. Melaluinya, manusia mempelajari dan mengambil bahagian dalam pengalaman tersebut. Di dalam situasi ini, bahasa telah berfungsi sebagai alat integrasi dan adaptasi sosial atau kemasyarakatan (Sumarsono, 2004: 145).
Masyarakat hanya dapat disatukan secara efisien melalui bahasa. Bahasa sebagai alat komunikasi, lebih jauh memungkinkan setiap orang untuk merasa dirinya terikat dengan kelompok sosial yang dimasukinya. Seterusnya manusia dapat melakukan segala kegiatan kemasyarakatan dengan menggunakan bahasa. Ia memungkinkan integrasi yang sempurna bagi setiap individu dengan masyarakatnya (Gorys Keraf, 1997: 5). Semasa mengadaptasi di dalam lingkungan sosial tertentu, kita akan memilih bahasa yang kita gunakan bergantung pada situasi yang dihadapi. Kita menggunakan bahasa yang berbeza pada orang yang berbeza. Kita perlu memilih dan menggunakan bahasa yang sesuai di dalam percakapan, misalnya menggunakan kata Kamu atau Saudara untuk memulakan perbualan. Kita perlu bijak agar dapat menghasilkan perbualan yang sesuai. Kata kamu sesuai untuk rakan manakala saudara adalah untuk mereka yang baru dikenali. Dengan menguasai bahasa suatu bangsa, kita dengan mudah berbaur dan menyesuaikan diri dengan bangsa tersebut (Zulkifley Majid, 1996: 16). Fungsi seterusnya adalah sebagai alat di dalam mengawal sosial. Bahasa mampu untuk mengawal keadaan sosial dengan lebih efektif. Kawalan sosial ini dapat diterapkan pada diri kita sendiri atau kepada masyarakat. Pelbagai penerangan, informasi dan pendidikan disampaikan melalui bahasa. Buku-buku pelajaran dan buku-buku instruksional adalah salah satu contoh penggunaan bahasa sebagai alat kawalan sosial (Zulkifley Majid, 1996: 17).
Ceramah agama atau dakwah merupakan salah satu contoh penggunaan bahasa yang berfungsi sebagai alat kawalan sosial. Begitu juga penyampaian ilmiah atau politik. Kita juga sering mengikuti diskusi atau perbincangan (talk show) di televisyen dan radio. Iklan layanan masyarakat atau layanan sosial merupakan salah satu kewujudan penerapan bahasa sebagai alat kawalan sosial. Semua itu merupakan kegiatan berbahasa yang memberikan kepada kita cara untuk memperoleh pandangan baru, sikap baru, perilaku dan tindakan yang baik dengan menggunakan bahasa. Di samping itu, kita juga dapat belajar untuk menyemak dan mendengarkan pandangan orang lain mengenai suatu hal. Contoh fungsi bahasa sebagai alat kawalan sosial yang sangat mudah kita terapkan adalah sebagai alat pereda rasa marah. Menulis merupakan salah satu cara yang sangat efektif untuk meredakan rasa marah. Tuangkanlah rasa tidak puas hati dan marah kita ke dalam bentuk tulisan. Biasanya, pada akhirnya, rasa marah kita beransur-ansur hilang dan kita dapat melihat persoalan secara lebih jelas dan tenang. Bahasa sebagai alat untuk berfikir adalah fungsi yang hampir sama dengan ekspresi. Namun begitu, terdapat perbezaan yang ketara. Walaupun tanpa bahasa manusia juga boleh berfikir, namun ia akan lebih bermakna seandainya ia dapat diinterpretasikan melalui bahasa. Dalam proses berfikir, kita menggunakan bahasa agar apa yang kita fikirkan mampu untuk diungkapkan. Apa yang terbayang dalam pemikiran ialah bunyi-bunyi bahasa yang membentuk pertuturan atau paparan. Paparan ini boleh diungkapkan menjadi suatu bahan iaitu bahan bertulis yang bercetak seperti buku, majalah dan akhbar. Selain itu, alat berfikir ini juga boleh menjadi bahasa lisan yang boleh digunakan untuk berkomunikasi (Mokhtar Mansor, 1991: 23).
Bahasa juga berfungsi sebagai alat perakam (Mokhtar Mansor, 1991: 24). Apabila seseorang itu melihat gambar atau simbol, dia merakam apa yang dilihatnya itu dalam fikirannya. Namun, ia tidak dapat dipancarkan kepada orang lain melainkan menggunakan medium seperti kamera. Tetapi sekiranya medium tersebut tidak ada, manusia terpaksa menceritakannya. Di dalam hal ini, aspek bahasa adalah penting sebagai medium di dalam memindahkan segala apa yang ingin diperkatakannya. Oleh itu, bahasa mengetengahkan fungsinya sebagai sebuah alat yang mampu merakam segala kejadian. Kejadian yang terakam sememangnya tidak terbukti seperti apa yang mampu untuk dirakamkan melalui kamera tetapi ia diungkapkan kembali melalui penceritaan semula dengan menggunakan bahasa.
Selain itu, terdapat beberapa orang tokoh seperti Karl Buhler, Simanjuntak, John Concon dan sebagainya yang telah mengemukakan fungsi bahasa mengikut pandangan mereka sendiri. Karl Buhler mengemukakan fungsi yang hampir sama dengan Simanjuntak. Mereka mengemukakan tiga fungsi utama bahasa iaitu Appel, Ausdruck dan Darstellung. Appel/evokasi (membangkitkan) menunjukkan bahawa bahasa berfungsi sebagai alat untuk memerintah atau meminta lawan bicara untuk melakukan sesuatu. Fungsi ini seperti seorang komander memberi arahan kepada pasukan mereka (Sumarsono: 148). Ausdruck/ekspresi (melahirkan) pula
menunjukkan bahawa bahasa berfungsi untuk mengungkapkan suasana hati penutur. Contohnya perkataan aduh, amboi dan wah. Perkataan ini sudah mampu untuk memberitahu tentang suasana hati penutur. Fungsi seterusnya ialah Darstellung/representatif (mewakili) iaitu berfungsi untuk mengacu objek tertentu yang berada di luar diri penutur dan lawan tuturnya. Fungsinya adalah untuk mengacu dan menjelaskan secara lebih terperinci, contohnya memberi analisis tentang sesuatu.
John C. Concon Jr. turut memberi fungsi terhadap bahasa. Menurutnya, bahasa berfungsi untuk membuka perbicaraan, menghindarkan komunikasi, komunikasi instrumental, komunikasi afektif, melepaskan tekanan perasaan, menceritakan perkara tahayul dan berfungsi dalam bidang ritual (Sumarsono, 2004: 154). Halliday pula memberikan bahasa kepada beberapa fungsi iaitu sebagai fungsi deskriptif (menerang, menghurai), ekspresif (mengungkap) dan berfungsi di dalam bidang sosial. Halliday (1978), juga menjelaskan bahawa bahasa berfungsi sebagai pencetus ideasional. Manusia menggunakan bahasa untuk menata (mengorganisasikan) pengalaman penutur atau penulis tentang dunia nyata atau dunia fantasi kepada pengungkapan. Bahasa tersebut mengacu kepada barang, orang, tindakan, peristiwa, keadaan dan sebagainya di dalam keadaan nyata atau yang dibayangkan. Bahasa juga berfungsi di dalam mengungkap interpersonal manusia. Bahasa mampu untuk menunjukkan, membangun atau mempertahankan hubungan sosial antara manusia. Ini mencakupi bentuk penyapaan, fungsi tutur, modalitas dan sebagainya. Fungsi seterusnya adalah sebagai tekstual. Di dalam hal ini, bahasa mencipta teks bertulis atau lisan yang koheren di dalam dirinya dan yang sesuai bagi sesuatu situasi tertentu (Sumarsono, 2004: 49).
Bahasa boleh diperoleh daripada pelbagai sumber dan ia terbentuk daripada beberapa faktor, antaranya disebabkan oleh pengekodan, dialek dan sebagainya. Bahasa mempunyai beberapa fungsi; sebagai alat ekspresi diri, alat komunikasi dan identiti diri yang memudahkan pekerjaan manusia. Melalui bahasa, kita dapat menunjukkan sudut pandang kita, pemahaman kita atas suatu hal, asal usul bangsa dan negara kita, pendidikan kita, bahkan sifat kita. Bahasa menjadi cermin diri kita, baik sebagai bangsa mahupun sebagai diri sendiri. Bahasa adalah suatu yang utuh dan bersistem, tidak menumpang kepada bahasa lain, wujud secara tersendiri dan mempunyai banyak bentuk.
Derasnya arus globalisasi di dalam kehidupan telah menyerlahkan perkembangan dan pertumbuhan bahasa sebagai pendukung pertumbuhan dan perkembangan budaya, ilmu pengetahuan dan teknologi. Semua manusia di dalam era ini memberi peranan penting di dalam dunia persaingan bebas dan komunikasi. Konsep dan istilah baru di dalam pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat (IT) secara tidak langsung memperkaya khazanah bahasa Melayu. Maka, semua produk budaya akan tumbuh dan berkembang pula sesuai dengan pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi itu. Sekali gus, ia berperanan sebagai prasarana berfikir dan pendukung pertumbuhan dan perkembangan IT. Menurut Sunaryo (2000), tanpa adanya bahasa, bidang IT tidak dapat tumbuh dan berkembang.
Selain itu, bahasa di dalam struktur budaya, telah memiliki kedudukan, fungsi, dan peranan iaitu sebagai akar dan produk budaya. Bahasa menjadi medan prasarana pemikiran moden. Biasanya, penggunaan bahasa yang baik akan menghasilkan buah fikiran yang benar. Bahasa juga menunjukkan identiti sesuatu bangsa. Oleh itu, bahasa perlu dipelihara kerana bahasa adalah jiwa bangsa.
1Peranan Faktor Pembentuk Bahasa
Pembentukan adalah perbuatan atau hal yang membentuk (Ahmad Mahmood, 2001: 133). Pembentukan bahasa adalah konsep umum yang mencakup infleksi, devirasi, afiksasi dan penggabungan bahasa (Harimurti Kridalaksana, 1993: 159). Faktor atau peranan pembentukan bahasa terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor ini menjadi asal kejadian kepada bahasa. Menurut hipotesis monogenesis, semua bahasa di dunia ini berasal daripada satu bahasa induk. Bahasa merupakan sesuatu yang dikurniakan daripada tuhan yang telah tersebar ke serata dunia. Ini berlandaskan daripada kitab-kitab suci setiap insan seperti Bible dan al-Quran (Sumarsono, 2004: 68). Di dalam al-Quran sendiri ada menceritakan tentang hal ini, iaitu di dalam Surah al-Baqarah: Ayat 31 dan 32, ÂDan Allah mengajarkan kepada Nabi Adam semua nama benda, kemudian Allah berfirman kepada malaikat, „Sebutkan kepada-Ku nama-nama benda itu jika kamu memang benar‰. Mereka menjawab, „Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang Engkau ajar kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha BijaksanaÊ (Terjemah al-Jumanatul Ali Al-Quran, 2004: 7).
Terdapat ahli falsafah yang tidak bersetuju dengan hipotesis monogenesis. E.B de Condillac (1968) mengatakan bahawa bahasa berasal daripada suara dan gerakgeri badan yang mempunyai sifat naluri. Semua manusia dilengkapi dengan naluri. Naluri tersebut kemudiannya dibangkitkan oleh emosi yang kuat dan suara-suara yang beremosi tersebut akan berubah menjadi bunyi-bunyi yang bermakna seterusnya membentuk bahasa.
Terdapat juga hipotesis yang disebut sebagai hipotesis polygenesis, iaitu hipotesis yang mengatakan bahawa bahasa-bahasa yang berlainan lahir daripada pelbagai masyarakat yang berlainan dan bahasa tersebut berevolusi. Bahasa itu hadir sama ada kerana onomatope atau bahasa yang hadir akibat daripada kesedaran manusia (Sumarsono, 2004: 72). Menurut Von Herder, bahasa lahir daripada alam dan onomatope iaitu tiruan daripada bunyi alam. Bunyi yang ditimbulkan oleh alam seperti guruh dan bunyi binatang ditiru oleh manusia secara onomatope dan diolah untuk tujuan tertentu. Selepas pengolahan, peniruan tersebut akan dimatangkan daripada dorongan hati manusia yang kuat untuk berkomunikasi.
Bloomfield telah mengemukakan tiga teori berkaitan asal kejadian bahasa. Teori pertama adalah teori bow-bow iaitu teori yang mengatakan bahawa bahasa muncul daripada keupayaan manusia untuk meniru suara-suara lain. Teori dingdong pula menyatakan bahawa bahasa berasal daripada keupayaan manusia dalam memberi respons kepada bunyi yang dihasilkan oleh alam. Manakala, teori pooh-pooh menjelaskan bahawa bahasa berasal daripada teriakan kuat atau seruan keras (Sumarsono, 2004: 70). Teori pembentukan bahasa ini adalah sesuatu yang abstrak.
Bahasa juga terbentuk hasil daripada pertembungan yang berlaku kepada bahasa atau disebut bilingualisme. Bilingualisme adalah pertembungan antara dua bahasa dan penutur daripada kedua-dua bahasa tersebut berusaha untuk mempelajari bahasa daripada pihak masing-masing. Setiap penutur bahasa yang berlainan akan berusaha untuk mewujudkan komunikasi dengan menguasai bahasa orang yang dilawan bicara. Contohnya, pertembungan antara bahasa Inggeris dan bahasa Sanskrit telah membentuk bahasa baru seperti yang terdapat dalam beberapa perkataan bahasa Melayu (Kamarudin dan Siti Hajar, 1997: 14).
Faktor pembentukan bahasa yang paling utama berlaku hasil daripada pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak. Kita mengetahui bahawa kanak-kanak tidak memperoleh bahasa secara terus tetapi mereka harus melalui beberapa peringkat sehingga berjaya menguasai sesuatu bahasa. Mereka diajar sejak kecil untuk mengenali bahasa tersebut (Harimurti Kridalaksana, 1982: 24).
Pemerolehan ini berlaku sama ada orang dewasa memberi mereka bahasa asli atau pinjaman atau menterjemah bahasa tersebut untuk memudahkan pemahaman kanak-kanak (Harimurti Kridalaksana, 1982: 55). Perkembangan kanak-kanak termasuk pemikiran mereka telah membawa kepada kebolehan mereka untuk mengungkapkan pemikiran atau gagasan mereka sebagai tanda wujudnya sosialisasi terhadap lingkungannya. Bahasa adalah satu proses yang sentiasa bersambung dan ia akan diperturunkan ke generasi seterusnya.
Begitulah kita sebagai manusia akan memperturunkan bahasa yang kita gunakan kepada anak-anak kita. Pemerolehan bahasa bagi setiap manusia iaitu kanak-kanak bermula ketika mereka berumur 18 bulan dan ia hampir sempurna ketika mencapai usia 4 tahun (Sumarsono, 72). Pemerolehan bahasa ini bermula daripada proses prabahasa hinggalah kepada bahasa, melalui pemberian nama oleh kanak-kanak itu kepada benda-benda yang dilihatnya kerana setiap kanakkanak dilahirkan dengan daya untuk memahami alam sekitarnya (Asmah, 1993: 67).
Faktor pembentukan seterusnya adalah melalui dialek. Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan di dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial. Dialek berbeza daripada bahasa standard, loghat atau pelat daerah (Kamus Dewan, 2004: 302). Walaupun kita berteduh di dalam bumbung yang sama iaitu Malaysia, namun wujud beberapa dialek seperti dialek Kelantan dan dialek Kedah (Asmah, 1993: 114). Variasi atau kelainan bahasa ini merupakan cabang daripada bahasa Melayu, misalnya Sabah mempunyai variasi bahasanya sendiri dan orang kampung di kawasan pedalaman juga mempunyai variasinya sendiri.
Menurut Lyons, komuniti bahasa boleh wujud apabila semua orang dapat menggunakan satu bahasa atau dialek yang sama dalam sesebuah kawasan (Kamarudin dan Siti Hajar, 1997: 2). Dialek daerah dan dialek sosial adalah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau dipanggil komunikasi bahasa (Kamarudin dan Siti Hajar, 1997: 5). Kedua-duanya wujud disebabkan oleh keadaan geografi, persekitaran, pergaulan dan faktor politik, taraf pendidikan, kedudukan sosial, cara penyampaian, sikap penutur, gangguan latar belakang serta tempat.
Pembentukan bahasa seterusnya berlaku disebabkan adanya proses pengekodan bahasa. Biasanya, pengekodan bahasa ini membabitkan aspek tatabahasa, sebutan ejaan, perkamusan dan peristilahan. Pengekodan ini biasanya menghasilkan satu bahasa baru. Di Malaysia, pewujudan bahasa baku adalah contoh bahasa yang telah mengalami proses pengekodan. Bahasa baku adalah bahasa yang dikodifikasi dan diterima oleh masyarakat secara umum serta menjadi model kepada masyarakat bahasa tersebut. Oleh itu, bahasa yang telah dikodifikasikan adalah bahasa yang bersistem atau mempunyai peraturan.
Menurut Nik Safiah Karim (1975), "Bahasa Melayu standard ialah variasi yang digunakan apabila orang-orang daripada berbagai-bagai dialek di negara ini berkumpul dan berbincang dengan tujuan untuk difahami, tiap pihak berusaha menggugurkan ciri kedaerahan masing-masing dan menggunakan sedikit sebanyak variasi yang berasaskan bahasa Melayu dialek Johor-Riau, tetapi kini pertuturan bahasa Melayu umum telah mempunyai sifat-sifat tersendiri".
Pengalaman bahasa Melayu merentasi zaman. Bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa utama dunia sejak dahulu hingga kini. Persoalan yang timbul dewasa ini, bersetujukah anda bahawa Bahasa Melayu perlu dipinggirkan dalam bidang keilmuan? Bahasa merupakan suatu sistem komunikasi yang mempergunakan simbol vokal (bunyi ujaran) yang bersifat arbitrer. Bahasa dapat diperkuat dengan gerak-geri badan yang nyata. Ia merupakan simbol atau lambang kerana rangkaian bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi manusia harus diberikan makna tertentu, dan ia biasanya menggunakan simbol tertentu.