Pengalaman yang "ditimba" oleh bahasa Melayu telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gemilang dan layak dijadikan Bahasa Kebangsaan negara Malaysia. Bahasa Melayu telah banyak melalui pengalaman yang bermakna, sama ada dari awal hingga kini yang dapat dilihat daripada pelbagai aspek. Terdapat banyak bahan, yang pada zaman awalnya menggunakan bahasa Melayu seperti batu bersurat, hasil sastera dan bahan sejarah.
Bangsa Melayu khususnya dan masyarakat Malaysia amnya tidak boleh lagi berundur dan terus mengangkat tangan menyerah kalah dalam memartabatkan bahasa Melayu. Kita ingin membuktikan bahawa kita adalah bangsa yang besar yang tidak segan menghadapi cabaran. Bangsa yang besar harus tahu sejarah perkembangan bahasa kebangsaannya sendiri. Jika ada pendapat yangmenyangka bahawa orang Melayu khususnya tidak perlu belajar bahasa Melayu atau bahasa Malaysia disebabkan bahasa itu adalah bahasa pertama mereka, sangkaan tersebut adalah salah. Alangkah kecewanya generasi kita yang sekarang ini gagal melaksanakan tugas bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu Malaysia adalah tonggak kepada bangsa Melayu sejagat yang sentiasa memainkan peranan penting di dalam perjuangan memartabatkannya. Ia adalah antara bahasa yang dituturkan oleh banyak bangsa dan merupakan gabungan daripada bahasa Arab, Parsi dan Sanskrit. Melalui perdagangan dan penjajahan, bahasa Melayu berkembang dan menerima istilah daripada bahasa Inggeris, Cina dan India. Dari aspek dakwah, usia bahasa Melayu adalah lebih tua daripada segala macam bahasa yang wujud di Malaysia. Bahasa itu berdaulat kerana bahasa Melayu meniti di bibir dan lidah penguasa Melayu yang memeluk agama Islam. Hal ini membezakan bahasa Melayu daripada bahasa lain yang tidak mencapai darjat kekuasaan. Ertinya, bahasa lain di dalam bentuk dakwah Islam tidak berada di puncak kekuasaan seperti mana kedudukan bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu. Justeru, apabila bangsa Melayu kini tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan, keilmuan dan dakwah, maka bahasa ini akan mati dengan sendirinya. Penerimaan kemasukan istilah pula ke dalam cabang bahasa Melayu melibatkan wacana keilmuan dan lain-lain dimensi cabang pengetahuan. Oleh sebab itu, bahasa Melayu berkembang kerana dalam kalangan pakar bahasa Melayu, kita mampu memperincikan hal ini dengan teliti mengikut pengalaman bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan