PENYERAPAN BAHASA ASING

Bahasa Melayu memiliki sifat keterbukaan yang membenarkan penyerapan kata dan istilah daripada pelbagai bahasa, seiring dengan kehendak dan perkembangan zaman. Keadaan ini disebabkan pengaruh dan hubungan bangsa atau suku bangsa lain dengan penggunaan bahasa Melayu. Penyerapan bahasa asing meliputi bahasa Sanskrit, Jawa, Arab dan Inggeris. Penyebaran bangsa Melayu memberi petunjuk tentang penyebaran dan perkembangan bahasa Melayu. Selain itu, unsur asing yang menyusupi bahasa Melayu itu dapat melengkapi kosa kata bahasa Melayu. Kajian dari aspek dialek yang digunakan, termasuklah bahasa daerah dari segi kosa kata, tatabahasa dan sebagainya dianggap perlu di dalam bahasa Melayu.

Era Bahasa Melayu yang terus berkembang juga dapat menjelaskan lagi proses penerimaan bahasa Melayu itu sendiri, misalnya bahasa Melayu kuno yang dapat dilihat pada aspek strukturnya. Dari sudut peminjaman, ia banyak diselitkan dengan kata Sanskrit. Bahasa Melayu tengahan pula dikatakan menerima pengaruh bahasa Arab. Datanya banyak sekali berupa kitab, hikayat dan sebagainya. Pelbagai kemahiran telah diterapkan di dalam meningkatkan perkembangan bahasa yang banyak "mendewasakan" bahasa Melayu. Lazimnya, kemahiran bahasa merupakan matlamat utama di dalam pengajaran bahasa; iaitu kemahiran mendengar, bertutur, menulis dan membaca. Kemahiran bahasa berlaku secara berperingkat-peringkat; sama ada daripada kemahiran permulaan, kemahiran pertengahan atau kemahiran kefahaman yang juga dikenali sebagai kemahiran tertinggi. Aspek bunyi dan tatabahasa Sanskrit turut meninggalkan kesan ke atas bahasa Melayu walaupun unsur ini tidak begitu jelas kelihatan dan menjadi berkurangan dengan unsur penyerapan daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Pengaruh bahasa Inggeris bukan sahaja kelihatan melalui perbendaharaan kata, malahan merangkumi morfologi dan sintaksis Melayu yang turut dipengaruhi dengan jumlah yang amat besar.

Pengaruh penyerapan dan penerimaan bahasa asing terus berkembang dan disesuaikan dengan penggunaan kata di dalam bahasa Melayu. Ini termasuk pengaruh Islam dan Barat dan kemudian, pengaruh bahasa Jawa. Setelah kedatangan Islam, kedudukan bahasa Melayu amat penting kerana bahasa Melayu mula menjadi bahasa pengantar agama. Peranan bahasa dan kesusasteraan Melayu menjadi penting. Perubahan dalam pandangan hidup keilmuan dan keintelektualan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu. Gerakan bahasa dan kebangsaan di Malaysia selepas kemerdekaan dilahirkan dengan ciri-ciri kebangsaan, salah satu daripadanya ialah bahasa. Perkembangan baru di dalam bidang bahasa telah memesatkan lagi kegiatan bahasa, seperti penulisan di dalam bentuk novel, drama, sajak dan esei. Dengan itu, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahan sastera, malahan perkembangan bahasa telah membentuk menjadi bahasa moden.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan