Membaca dan memahami
Pada tahap bacaan dan kefahaman ini murid sepatutnya mempunyai keupayaan untuk:
- mengumpul maklumat dan makna daripada bahan yang dibaca.
- Mentafsir dan menilai sesuatu dengan sepenuhnya tentang bahan yang dibaca.
Penguasaan kosa kata boleh membantu murid memahami kandungan dan mesej yang hendak disampaikan melalui bacaan. Tanggungjawab utama guru dalam mengajarkan bacaan dan kefahaman adalah untuk membantu murid menambah dan meluaskan kosa kata.
Pengajaran kosa kata seharusnya dapat membantu murid dalam hal yang berikut:
- Mengaitkan perkataan baru dengan pengalaman sedia ada. Dengan cara ini murid akan dapat memahami makna perkataan baru dengan lebih cepat dan berkesan serta mengekalkan makna perkataan itu dengan lebih lama.
- Mengkaji perkataan untuk melihat persamaan dsan perbezaannya, meneliti pertalian antara perkataan dan menggunakannya dalam konteks.
- Membina pengetahuan tentang makna perkataan dengan luas dan rapi.
- Membina strategi pembelajaran yang berkaitan dengan perkataan dan konsep secara bebas. Ini membolehkan murid berusaha sendiri tanpa sentiasa dibimbing atau dibantu oleh guru.
- Menggalakkan penglibatan secara aktif. Murid akan memberi tindak balas melalui perbincangan, soal jawab atau menggunakan perkataan dalam ayat.
Peringkat membaca dan memahami juga hendaklah sesuai dengan peringkat umur dan kecenderungan murid. Guru janganlah hanya mementingkan sebuatan suara dan kelancaran sahaja tetapi mestilah juga sekaligus menyediakan soalan-soalan yang mudah untuk kefahaman. Dalam hal ini bacaan senyap hendaklah juga digalakkan supaya murid dapat melatih diri sendiri untuk menangkap maksud isi muridan yang dibaca.
Guru hendaklah memberi perhatian kepada perkara-perkara yang beriku:
- Memulakan membaca setelah murid dapat membaca ayat-ayat ringkas dan boleh mengecam perkataan, suku kata dan huruf.
- Banyakkan soalan-soalan yang munasabah untuk menguji kefahaman murid selepas membaca.
- Beri murid peluang membaca dan memaham dalam mata muridan lain seperti Sejarah, Geografi, Sains dan sebagainya.
- Gunakan teknik soalan yang membina dan mengikut prinsip-prinsip yang betul.
- Aktiviti bacaan intensif dan ekstensif boleh dijalankan untuk latihan kemahiran membaca.
Kategori kefahaman bacaan
Kefahaman bacaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kefahaman literal, kefahaman inferensi dan kefahaman kritikal.
1. Kefahaman literal
(i) makna perkataan
(ii) makna ayat
(iii) huraian isi
(iv) idea utama
(v) urutan idea
(vi) perbandingan
(vii) hubungan sebab dan akibat
2. Kefahaman inferensi
(i) membuat kesimpulan
(ii) mengeluarkan idea utama
(iii) membuat perbandingan
(iv) menunjukkan hubungan sebab dan akibat
(v) membuat jangkaan
(vi) memahami dan menghuraikan bahasa kiasan
3. Kefahaman kritikal
(i) membezakan kenyataan daripada fantasi
(ii) membezakan fakta daripada pendapat
(iii) menentukan kecenderungan dan gaya bahasa penulis
(iv) menentukan kecekapan penulis dalam sesuatu bidang
(v) menentukan tujuan penulis
Pada peringkat membaca dan memahami, seseorang pembaca perlu menjadi pembaca yang aktif. Konsep pembaca aktif berasaskan interaksi antara sesuatu teks dan seorang pembaca. Kita merupakan pembaca aktif apabila kita membaca untuk kefahaman dan maksud. Hal ini berbeza dengan pembaca hafalan kerana pembaca hafalan hanya membaca untuk mengingati dan mengulang. Mereka tidak berusaha untuk memahami apa yang ditulis.
Kita berkata sesorang membaca dengan aktif kerana sebahagian daripada teks adalah bergantung kepada input pembaca. Misalnya, kita memahami tentang dunia tempat kita tinggal melalui pengetahuan kita mengenainya. Oleh yang demikian, jika kita mempunyai perbendaharaan kata yang lebih untuk menerangkan objek, manusia dan situasi,maka interpretasi kepada apa yang kita baca adalah berbeza, berbanding dengan sesorang yang mempunyai perbendaharaan kata yang terhad. Seterusnya, kita memahami tentang hidup dengan bergantung kepada kecekapan bahasa kita serta pengetahuan kita mengenai dunia. Jika kita tidak biasa dengan sesuatu situasi, kita tidak akan dapat memahaminya. Biasanya, kita cuba memahami sesuatu situasi baru dengan menggambarkan pengalaman masa lampau kita. Kita menggunakan pengetahuan masa
lampau kita untuk memahami masa sekarang. Jika situasi itu sama dengan pengalaman masa lampau kita maka kita fikir kita telah tahu mengenainya. Akhirnya kita akan membuat kesimpulan.
Walau bagaimanapun, kadang-kadang kesimpulan pertama yang kita buat mungkin salah. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor. Perbezaan budaya dan beberapa perkara yang bergantung kepada aspek yang diketahui, boleh menyebabkan kita membuat kesimpulan yang salah. Jadi, kita mesti menilai semula atau memikir semula konteks situasi berkenaan.