KEMAHIRAN LISAN

Kemahiran mendengar ialah kemahiran lisan yang paling asas dan kemahiran ini berlaku pada peringkat penerimaan. Seseorang yang telah menguasai kemahiran mendengar dengan baik biasanya dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat pula memahami maksud serta membuat tafsiran daripada apa yang didengarnya.

Kemahiran mendengar melibatkan kemahiran menerima maklumat secara lisan. Proses mendengar merupakan satu proses fizikal yang melibatkan telinga sebagai alat penerima bunyi bahasa. Proses memahami pendengaran pula melibatkan proses psikologi dan mental seperti pengamatan, kecerdasan dan pemikiran yang disepadukan untuk membolehkan seseorang itu memahami apa yang didengarnya dan membuat tindak balas yang sesuai.

KONSEP PENTING DI DALAM PENDENGARAN

Beberapa konsep penting tentang pendengaran, iaitu;
(a) Individu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya.
(b) Pendengaran merupakan gabungan daripada segala yang didengar difaham dan diingat.
(c) Aspek fizikal, psikologi dan neurologi mempengaruhi proses pendengaran.
(d) Pendengaran berlaku melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat.
(e) Pendengaran harus berlaku melalui fikiran dan bukan perasaan.
(f) Pendengaran yang cekap memerlukan penyatuan idea yang logik dan berkesan.
(g) Pendengaran untuk mengkritik memerlukan pendengaran yang berpusatkan idea utama, hujah-hujah dan bukti-bukti.
(h) Pendengaran untuk tujuan apresiasi memerlukan analisis kritis terhadap bentuk dan isi.
(i) Pendengaran untuk tujuan hiburan melibatkan tindak balas positif terhadap muzik, kesusasteraan dan lain-lain aspek seni dan estetika.

JENIS DAN PROSES MENDENGAR

Mendengar adalah satu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar. Mendengar melibatkan dua proses, iaitu;

(a) Membuat jangkaan
Apabila kita mendengar kita akan membuat jangkaan dalam fikiran terhadap apa yang akan kita dengar seterusnya.
Contohnya, apabila kita mendengar berita tentang banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur, kita akan membuat jangkaan tentang kemungkinan lain yang berkaitan dengan peristiwa tersebut.

(b) Menentukan Tujuan
Untuk menjadi pendengar yang berkesan, seseorang itu perlu mempunyai tujuan tertentu untuk mendengar. Tujuan mendengar mungkin untuk mendapat hiburan, pengetahuan dan maklumat. Sekiranya kita mendengar tanpa tujuan, apa yang didengar itu tidak bermakna.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan