PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MEMBACA 1

Kesediaan Membaca

Apabila murid baru masuk ke tahun satu, guru hendaklah mengenal pasti kebolehan dan keupayaan murid dalam kemahiran membaca. Guru perlu membuat ujian atau penilaian untuk menentukan tahap kebolehan membaca dalam kalangan murid berkenaan. Guru harus menyedari bahawa murid yang memasuki tahun satu terdiri daripada murid yang datangnya daripada latar belakang keluarga serta sosioekonomi yang berbeza. Oleh itu, kebolehan dan kemahiran membaca dalam kalangan mereka kemungkinan tidak sama.

Sebahagian besar murid khususnya yang tinggal di bandar telah memasuki tadika dan boleh membaca dengan baik. Walau bagaimanapun, bagi murid yang tinggal di luar bandar, kebanyakannya tidak memasuki tadika. Murid ini biasanya akan menghadapi masalah membaca apabila mereka berada di sekolah.

Bagi mengatasi masalah kemahiran membaca, guru hendaklah memberi perhatian kepada dua perkara yang berikut:
(a)    perasaan murid
(b)    bahasa murid

Guru hendaklah memberikan pengalaman kepada murid supaya mereka bersedia untuk membaca. Oleh itu, peringkat kesediaan murid ini penting bagi mencapai tujuan yang berikut:

(a) Untuk memberi peluang kepada murid merapatkan dirinya dengan guru. Ini boleh menimbulkan keyakinan mereka.
(b) Supaya dapat menimbulkan kemahiran dan keinginan murid untuk meluaskan lagi pengalamannya yang sedia ada.
(c) Untuk membina tabiat gemar membaca dan menghargai apa yang dibaca.
(d) Melatih murid supaya boleh memerhati sesuatu dengan baik dan cuba mengecamnya.

Untuk mencapai tujuan ini langkah-langkah yang boleh diambil oleh guru ialah:
(i) Adakan aktiviti yang melibatkan murid seperti menyanyi, berlakon, bercerita dan sebagainya yang menarik hati.
(ii) Banyakkan bermain-main dengan murid misalnya berbual-bual, bersoal jawab dengan cara yang tidak formal.
(iii) Perbendaharaan kata yang difikirkan perlu hendaklah ditambah dari semasa ke semasa secara tidak langsung.
(iv) Bina asas bahasa murid melalui pertuturan. Beri galakan dan pimpinan yang sepatutnya supaya murid mahu bertutur.

Pada peringkat kesediaan ini, guru hendaklah memerhati kesediaan murid sama ada murid telah bersedia untuk membaca atau sebaliknya. Oleh itu, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru bagi menentukan sama ada murid telah bersedia atau belum ialah dengan menjawab soalan-soalan yang berikut:
(a) Bolehkah dia mengecam gambar-gambar atau warna-warna asas serta membezakannya?
(b) Bolehkah murid itu faham atau dapat mengikuti percakapan orang lain terutama gurunya
(c) Dapatkah dia melihat dengan baik? Kenalkah dia bentuk-bentuk seperti garisan, bulatan dan lain-lain.
(d) Dapatkah dia melahirkan perasaan atau fikirannya?
(e) Bagaimana dengan kesihatannya? Dapatkah dia belajar dengan baik?
(f) Tahukah dia memegang alat baca dan tulis seperti buku, pensel dan sebagainya?
(g) Bagaimana dengan latar belakang keluarganya?

Beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca:

1. Keadaan fizikal
(i) penglihatan
(ii) pendengaran
(iii) pertuturan
(iv) umur
(v) jantina

2. Pengalaman dan persekitaran
(i) pendedahan bahan bacaan di rumah

3. Emosi dan motivasi
(ii) adakah kanak-kanak menghadapi masalah emosi?
(iii) adakah kanak-kanak bersikap negatif terhadap buku?
(iv) adakah kanak-kanak menghadapi masalah sosial?
(v) adakah kanak-kanak mempunyai minat tertentu?

4. Kecerdasan dan perkembangan kognitif
(i) daya kecerdasan
(ii) kebolehan mental secara keseluruhan
(iii) adakah kanak-kanak dapat melihat perbezaan antara perkataan dengan gambar?
(iv) adakah kanak-kanak dapat melihat perbezaan antara huruf dengan perkataan?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan