SALAM AIDIL FITRI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selama sebulan kita menahan diri dari makan dan minum di samping melatih seluruh anggota bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, anggota zahir dan batin agar sentiasa taat dan patuh kepada perintah ALLAH SWT. Syawal kini menjelma lagi dengan memberikan seluruh kehidupan ini bermula dengan “fitrah” (bersih) seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan berkat kerahmatan, keampunan dan kelepasan dari api neraka seperti yang dijanjikan oleh ALLAH swt.


Alangkah indahnya jika momentum ini dapat diteruskan lagi dalam semua lapangan kehidupan manusia. Jika kita seorang pemerintah jadilah kita seorang yang patuh dan taat melaksanakan segala hukum-hakam yang berpandukan Al Quran dan Hadith, jika kita seorang majikan jadilah orang yang menjaga kebajikan orang bawahan, jika kita seorang pegawai yang berkuasa bersihkanlah perut kita dari memakan rasuah, jika kita seorang guru, bersihkan hati kita dari rasa malas dan curi tulang dalam menjalankan amanah Allah, jika kita pula seorang bapa, maka jadilah seorang bapa yang bertanggungjawab terhadap ahli keluarga dan jika kita seorang anak, kita jadilah seorang anak yang soleh dan solehah, yang tidak memberikan musibah kepada ibubapanya, yang membahagiakan ibubapa kita, di dunia mahupun di akhirat nanti. Siapa juga kita maka pastikanlah kita menjunjung segala perintah ALLAH dan menjauhkan diri sejauh-jauhnya dari larangan ALLAH swt. Moga kita akan terhindar jauh sejauhnya dari azab api neraka Allah swt. 


Sesungguhnya Ramadhan yang berlalu amat bererti untuk kita. Ramadhan adalah program tarbiyah untuk menjana manusia berkualiti tinggi laksana sifat-sifat sahabat Rasulullah dan para solehin. Namun agak malang mutakhir kini selepas menjalani proses pertarbiyahan serta pembersihan jiwa selama sebulan Ramadhan ini tiba sahaja Syawal maka sebulanlah kita didedahkan pula dengan hiburan Hari Raya yang melalaikan. Kenapa sambutan Aildilfitri perlu ada nyanyian, tari menari dan pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram? Inilah menunjukkan bahawa tarbiyah dari media massa lebih berjaya dari tarbiyah Ramadhan.


Sempena 1 Syawal ini, marilah kita menyeru dan mengajak diri kita dan rakan-rakan, muslimin muslimat sekalian supaya dapat meneruskan lagi “tamak haloba” kita untuk terus beribadah seperti yang kita sama-sama laksanakan dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Moga tarbiyah Ramadhan ini akan menjadikan kita muslim dan muslim dan muslimah sejati. Yang patuh dan sujud kepada perintah dan surahanNya.

Dikesempatan ini saya dengan rendah hati memohon kemaafan di atas ucapan yang tidak terjaga, janji yang tidak terkota, hati yang tidak terjaga dengan prasangka,dan semua sikap yang lara, yang pernah menyakitkan hati semua insan-insan yang pernah dikenali mahupun tidak. ssesungguh yang baik itu hanya dari ALLAH swt dan yang buruk itu dari diri ini. Moga keikhlasan hati semua dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara kita. Amin

Sekian, terima kasih.