PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

Sub-topik ini akan membincangkan perkembangan Kesusasteran Melayu Moden dengan lebih mendalam melalui zaman selepas perang hingga 1970-an dan zaman mutakhir.

1.  Zaman Selepas Perang hingga 1970-an

  1. Prosa Melayu Moden
  2. Penulisan novel tidak menggalakkan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Hanya beberapa orang novelis yang menghasilkan karya hingga tahun 1950. Antaranya ialah Harun Aminurrashid, Keris Mas, Ahmad Bakhtiar, dan Wijaya Mala. Jadual di bawah menjelaskannya. 
    Novel-novel Tahun 1947 hingga 1949 
     
    Nama Novelis Judul Novel Tahun
    Harun Aminurrashid Darah Kedayan 1947
    Keris Mas Zain Zawiyah 1948
    Ahmad Bakhtiar Hancur Hati 1949
    Wijaya Mala Muda Tak Sudah 1949
     
    Penulisan novel meningkat selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Peningkatan ini disebabkan adanya sayembara atau peraduan menulis novel. Pada tahun 1958, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan peraduan mengarang novel. Pemenang-pemenang adalah seperti berikut:
    Pemenang Sayembara atau Peraduan Menulis Novel pada Tahun 1958 
     
    Nama Penulis Nama Novel Peringkat Kemenangan
    Hassan Ali Musafir Tempat pertama
    A. Samad Said Salina Tempat kedua
    Yahya Samah Layang-layang Putus Tali Tempat ketiga
    Suratman Markasan. Tak Ada Jalan Keluar Tempat keempat
     
    Manakala hakim pada sayembara pada tahun 1962 memutuskan kemenangan seperti di bawah: 
    Pemenang Sayembara atau Peraduan Menulis Novel padaTahun 1962 
     
    Nama Penulis Nama Novel Peringkat Kemenangan
    Ibrahim Omar Desa Pingitan Tempat pertama
    Arena Wati Lingkaran Tempat kedua
    A. Wahab Ali Angin Hitam Tempat ketiga
     
    Sayembara sempena 10 Tahun Merdeka diadakan pada tahun 1967. Kali ini pemenang-pemenangnya adalah seperti di bawah. 
    Pemenang Sayembara atau Peraduan Menulis Novel pada Tahun 1967 
     
    Nama Penulis Nama Novel Peringkat Kemenangan
    Arena Wati Sandera Tempat pertama
    Aziz Jahpin Pulanglah Perantau Tempat kedua
    Ismail Salleh (al-Fallah) Badan Bertuah Tempat ketiga
    Alias Harun Meniti Buih Hadiah sagu hati
    Khadijah Hashim Merpati Putih Terbang Lagi Hadiah sagu hati
     
    Biro Bahasa Sabah mengadakan dua sayembara, iaitu pada tahun 1973 dan 1975. Novel Nafas yang Hampir Putus karya A.B. Amasaba memenangi hadiah pertama pada tahun 1973. Pada tahun 1975, hadiah kedua dimenangi oleh novel Cerah karya Amil Jaya. Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) menganjurkan sayembara menulis novel pada tahun 1976 dan 1978. Novel Saga karya A. Talib Mohd. Hassan memenangi hadiah pertama. Novel Bulan Merah di Tiga Kuala karya Zahari Affandi memenangi hadiah kedua. Novel Warna-warna karya Rahman Yusof memenangi hadiah ketiga. Pada tahun 1978, novel yang menang ialah Perantau Membelah karya A. Kadir Ahmad. Kemudian pada tahun 1978, sayembara sempena Hari Guru telah diadakan. Antara pemenangnya adalah; 
    Pemenang Sayembara Sempena Hari Guru pada Tahun 1978 
     
    Nama Penulis Nama Novel Peringkat Kemenangan
    Baharuddin C.D Arca Berdiri Senja Tempat pertama
    A. Talib Mohd. Hassan. Pelarian Tempat kedua
    Ibrahim Omar Tiga Cucu Tempat ketiga
     
    GAPENA menganjurkan satu lagi sayembara pada tahun 1979. Kali ini, novel-novel yang berjaya adalah seperti berikut: 
    Pemenang Sayembara atau Peraduan Menulis Novel pada Tahun 1979 
     
    Nama Penulis Nama Novel Peringkat Kemenangan
    Anwar Ridhwan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman Tempat pertama
    A. Talib Mohd. Hassan Warisan Tempat kedua
    Dharmala N.S. Jejak Pulang Tempat ketiga
    R.S. Niza Kaul Hadiah sagu hati
    Marwilis Haji Yusuf Bila Lagi Kompang Berbunyi Hadiah sagu hati
     
    Namun demikian, terdapat beberapa buah novel yang dihasilkan pengarang tetapi tidak memasuki peraduan. Shahnon Ahmad menulis novel-novel Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Menteri, Perdana, Terdedah, dan lain-lain lagi. Yahya Ismail menulis novel Langkah Kiri. S. Othman Kelantan menulis novel Pertentangan dan Angin Timur Laut. Penulisan cerpen berkembang pesat selepas kemerdekaan. Ramai penulis baru muncul. Antaranya ialah A. Samad Said, Alias Ali, Hassan Ali, Arena Wati, Shahnon Ahmad, Nora, Malungun, A. Shukur Harun, Kassim Ahmad, Rejab F.I., Kala Dewata, dan Salmi Manja. Cerpenis-cerpenis baru yang muncul pada tahun 1960-an termasuklah Khadijah Hashim, Abdullah Tahir, Ajikik, Norjaya, A. Wahab Ali, S. Othman Kelantan, Affendi Hassan, dan Zakry Abadi. Faktor-faktor yang berikut telah menyuburkan penulisan cerpen:
    1. Sumbangan wadah penyiar seperti Berita Minggu dan Mastika.
    2. Sumbangan badan sastera seperti Persatuan Penulis Nasional(PENA).
    3. Sumbangan institusi pendidikan yang mengajar kursus kreatif.
    4. Pertambahan bilangan akhbar dan majalah.
    5. Peraduan dan Hadiah Sastera (1971 – 1976).
     
    Sehubungan itu, muncullah Fatimah Busu, Anwar Ridhwan, Azizi Haji Abdullah, Zahari Affendi, Zurinah Hassan, Baharuddin C.D, dan Baha Zain. Di samping itu, beberapa orang penulis telah menghasilkan kumpulan-kumpulan karya masing-masing. Antaranya ialah Selesai Sudah oleh Shahnon Ahmad; Jalan ke Puncak dan Dalam Pencarian oleh Norjaya; Kota ke Kota oleh Abdullah Hussein; Jalan ke Matahari oleh A. Samad Said; Sendirian oleh Ajikik, dan Di Perhentian Pertama oleh Abdullah Tahir. Kegiatan drama berpusat di Singapura pada tahun 50-an. Badan-badan yang menggiatkannya ialah Sriwana dan Perwana. Tokoh-tokoh drama yang menonjol ketika itu ialah Salim Bachik, Fatimah Yassin, Kalam Hamidi dan Bani Buang. Di Kuala Lumpur, Kala Dewata menulis Atap Genting Atap Rumbia. Usman Awang menulis Tetamu di Bukit Kenny. Sandiwara Radio yang mula disiarkan pada tahun 1946 diikuti dengan Bangsawan di Udara dan cerita mata-mata gelap serta cerita dari Timur Tengah. Penulis-penulis drama radio yang terkenal ialah Malina Manja, Othman Haji Zainuddin, Adibah Amin, Zain Hamzah dan Norjaya. Pada tahun 60-an lahir penulis skrip dan pengarah drama yang terkenal. Mereka ialah Syed Alwi, Noordin Hassan, dan Hashim Yassin. Turut muncul untuk menambahbaik karya drama ialah pengkritik seperti Krishen Jit, Salleh Joned, dan Hatta Azad Khan. Dekad 70-an diwarnai oleh siri Drama Minggu Ini melalui Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP pada tahun 1978, dan Pesta Teater 1979. Drama Bukan Lalang Ditiup Angin karya Noordin Hassan pernah disiarkan sebagai drama TV. Begitu juga dengan drama Matinya Seorang Pahlawan oleh Usman Awang. Drama Anjang Aki karya A. Talib Mohd. Hassan memenangi hadiah ketiga peraduan anjuran DBP. Antara drama yang muncul di dalam pesta teater ialah Umbut Keladi Tiada Berisi karya Malina Manja dan Alang Rentak Seribu karya Syed Alwi. 
  1. Puisi Melayu Moden
  2. Dunia persajakan Melayu pada dekad 50-an diungguli oleh penyair ASAS 50. Mereka ialah Masuri S.N. dan Usman Awang. Sebuah sajak yang ditulis oleh Masuri ialah ’Seribu Harapan’. Tiga buah sajak yang ditulis oleh Usman Awang ialah ’Pak Utih’, ’Jangan Menangis’ dan ’Gadis di Kuburan’. Pada hakikatnya, faktor kepesatan penghasilan sajak seiring dengan faktor kepesatan penghasilan novel, cerpen, dan drama yang telah dijelaskan sebelum ini. Penyair dekad 60 dan 70-an diwakili oleh Dharmawijaya, Firdaus Abdullah, Hadzrami A.R., Jihaty Abadi, Kassim Ahmad, Kemala, Rustam A. Sani, Shamsuddin Jaafar, A. Samad Said, Yahya M.S., Mokhtar Yasin, Badaruddin H.O., Adi Rumi, Marhan, Suhor Antarsaudara, Nahmar Jamil, Rejab F.I., A. Ghafar Ibrahim, T. Alias Taib, Latiff Mohidin, Baha Zain, Noor S.M., S. Panit, Atondra, dan Zam Ismail. Antara penyair wanita ialah Salmi Manja, Noraini Muhammad, Zurinah Hassan, Hanum Ain, Halimah Haji Ahmad, Aina M., Maznah Ali, Maimun Rahman, Zanariah Wan Abdul Rahman, Shafie Abu Bakar, J.M. Aziz, Jaafa HS, Sabar Bohari, dan Nor Aini Muhammad. Di samping itu, ramai juga yang berjaya menghasilkan kumpulan sajak sehingga tahun 1970-an. Kassim Ahmad menghasilkan Kemarau di Lembah; Shamsuddin Jaafar menghasilkan Desir Angin; A. Ghafar Ibrahim menghasilkan Tan Sri Bulan; Latiff Mohidin menghasilkan Sungai Mekong; T. Alias Taib menghasilkan Laut Biru di Seberang Takir; Suhaimi Haji Muhammad menghasilkan Bunga di Atas Batu; Kemala menghasilkan Meditasi, Timbang Terima, Era, dan Kaktus-kaktus. Sementara itu, Muhammad Hj. Salleh menghasilkan Sajak-sajak Pendatang.

2. Zaman Mutakhir

Dalam tahun 1980-an, muncul penulis baru seperti Shamsiah Mohd. Nor, Zaharah Ibrahim, Siti Aishah Murad, Nina Kirana, Webah Salleh, Ghazali Ngah Azia, Marsli N.O., Hassanuddin Mast Isa, dan Abu Hassan Morad. Kebanyakan mereka menulis novel popular, novel remaja, sajak, dan cerpen. Walau bagaimanapun, Keris Mas telah menghasilkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang seiring dengan keadaan semasa.

Pada tahun 1993, diadakan Hadiah Novel Melayu Baru Perangsang – GAPENA. Novel Restu karya Ismail Kassan yang memenangi hadiah kedua telah dijadikan buku teks untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Di samping itu, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank diadakan pada tahun 1997. Dua buah novel remaja yang muncul ialah Julia karya Abu Hassan Morad dan Ekspedisi karya Mohd. Ghazali Tocheh. Othman Puteh turut menghasilkan sebuah novel remaja yang berjudul Terminal Tiga. Namun demikian, Shahnon Ahmad telah menggemparkan dunia sastera tanah air pada tahun 1999 dengan menulis novel kontroversi yang berjudul Shit.

Cerpen-cerpen dekad 80-an hingga kini berkembang pesat kerana majalah, akhbar, sayembara dan kumpulan cerpen memberi sumbangan yang bermakna. Majalah yang dimaksudkan ialah Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, dan Dewan Siswa. Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1991 dan 1992 telah menghasil cerpen-cerpen bermutu. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan cerpen yang berjudul Sangkar (1990), Suara Ombak (1997), Menara 7 (1998), dan Wacana Hitam Putih (1998). Senarai karya-karya berkenaan terdapat dalam jadual di bawah.


Media Penyiar Cerpen (1984 – 1997) 
 

Pengarang Judul Cerpen Media Keluaran
Jong Chian Lai ‘Tanah Bukit’ Dewan Masyarakat Disember 1984
S. Othman Kelantan ‘Kesementaraan’ Dewan Budaya Mac 1985
Azizi Haji Abdullah ‘Paku Payung dan Limau Mandarin’ Dewan Sastera Jun 1987
A. Rahmad ‘Chen Xiaoli’ Dewan Sastera Jun 1992
Mohd. Affandi Hassan ‘Birokrat Tulen’ Dewan Sastera November 1992
Faisal Tehrani ‘Kerana Manisnya Epal’ Dewan Siswa April 1995
Siti Hajar Mohd. Zaki ‘Menatap Wajahnya’ Dewan Siswa Mei 1997


Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 
 

Pengarang Judul Cerpen Sayembara
Azmah Nordin ‘Kuntum Perdamaian’ Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1991
Jais Sahok ‘Garis Panorama’ Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1991
Razak Mamat ‘Perjalanan yang Tak Direncana’ Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1992


Kumpulan Cerpen 
 

Pengarang Judul Cerpen Antologi
Zaharah Nawawi ‘Pawana’ Suara Ombak (1997)
Siti Aisah Murad ‘Ayu Zahira Masih di Sini’ Wacana Hitam Putih (1998)
Zakaria Ali ‘Gajah Putih’ Wacana Hitam Putih (1998)
Saroja Theavy a/p Balakrishnan ‘Lambaian Malar Hijau’ Menara 7 (1998)


Drama tahun 1980-an termasuklah Tikar Mengkuang Hamparan Bulu karya Abd. Talib Mohd. Hassan; Kala Dewata menulis Bujur Lalu Melintang Patah; Othman Hj. Zainuddin menulis Waktu sesudah itu, Usman Awang menulis Serunai Malam, Noordin Hassan menulis drama Malam Ini Penyu Menangis; dan Kala Dewata menulis Titik-titik Perjuangan.

Sajak-sajak tahun 80-an hingga kini juga termuat di dalam majalah dan akhbar selain daripada kumpulan sajak. Antara mereka yang tidak tergolong dalam kumpulan penyair veteran ialah Zaen Kasturi, Azran Abdul Rahman, Marzuki Ali, Moechtar Awang, Zaiton Ajamain, Mahanie Sulong, Sabariah Bahari, Naapie Mat, Wadi Leta S.A, Ami Masra, Mohamed Awang, Saiee Driss, Siti Zaleha M. Hashim, Saibil Madun, Jasni Matlani, Mustafa Jusoh, Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah, Borhan Md. Zain, Chai Loon Guan, dan Nazim Mohd. Subari .

3 ulasan:

  1. Semua informasi di dalam blog ini semua bagus sekali. dari Adam Bangkok Thailand

    BalasPadam
  2. Terima kasih kepada blog ini kerana banyak maklumat yang penting dan boleh dijadikan rujukan panduan.
    Rasmedy Lahad Datu Sabah.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam