PERANCANGAN KORPUS BAHASA



Perancangan korpus pula merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti pembinaan ortografi (pembakuan atau pemiawaian termasuklah sistem ejaan dan tulisan dalam sesuatu bahasa), pembinaan penggunaan kata baru yang difikirkan dan dipertimbangkan dengan teliti supaya bahasa itu dapat diperluaskan penggunaannya (sumber-sumber baru kosa kata dan penciptaan perbendaharaan kata) termasuklah penggubalan istilah, penyediaan kamus, dan kesusasteraan. Asmah Haji Omar (1985:22) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa tidak lain daripada pembinaan bahasa kerana perancangan bahasa ini meliputi penciptaan istilah-istilah baharu, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan dan morfologi, pengambilalihan sistem tulisan baharu, dan sebagainya. Perancangan korpus atau bahan melibatkan pembinaan ortografi yang menetapkan sistem ejaan  rasmi bagi sesuatu bahasa.  
 
Ismail Dahaman (2007) mengatakan bahawa usaha perancangan korpus bahasa termasuklah aktiviti pengayaan kosa kata umum dan ilmu melalui pembentukan istilah baharu, penyusunan kamus pelbagai jenis, penyempurnaan sistem ejaan Rumi dan Jawi, sebutan baku, penyelidikan dan pendokumentasian korpus bahasa pada peringkat nasional dan dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Ferguson (1968) mengatakan bahawa apabila bahasa vernakular dirancang untuk membentuk bahasa  baku, terdapat tiga komponen penting, iaitu pengabjadan, pemodenan, dan pembakuan. Pengabjadan ialah proses merancang penulisan bahasa, iaitu pemilihan aksara, sistem ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penambahan kosa kata, perkamusan, dan sebagainya. Usaha ini bagi memastikan bahawa sesuatu bahasa itu mampu untuk bersaing dan hidup supaya menjadi wahana untuk penyampaian ilmu dalam sains dan teknologi serta membentuk peradaban moden yang teguh, kukuh dan mantap. 

Ronald Wardhaugh (1998) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa itu termasuklah pembinaan ortografi, sumber-sumber baharu kosa kata, kamus, kesusasteraan dan penggunaan bahasa.  Oleh itu dapat disimpulkan bahawa perancangan korpus bahasa melibatkan beberapa unsur, iaitu pemilihan dan perancangan aksara, penyusunan ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penyeragaman sebutan baku, pembakuan kosa kata dan penyusunan kamus, pembakuan ungkapan, penyelarasan laras bahasa, penyelarasan wacana bahasa, penulisan hasil karya kesusasteraan, dan pengajaran bahasa pertama dan bahasa kedua. Logistik perancangan bahasa mengandungi tiga perkara penting, iaitu pakar bahasa dan perancang bahasa, institusi perancangan bahasa, dan sumber kewangan bagi membiayai perancangan bahasa. 

Perancangan bahasa melibatkan banyak tahap. Pertama, analisis keperluan dilakukan yang melibatkan analisis komunikasi pola sosiopolitik dalam masyarakat. Kemudian, pemilihan satu bahasa pelbagai bahasa untuk tujuan perancangan. Tahap ini kadangkala dikenali sebagai perancangan status yang merangkumi kodifikasi, penstandardan, perluasan dan pelaksanaan. Sebagai tambahan kepada pelaksanaan melalui perancangan status dan korpus, penilaian dan maklum balas perlu sebagai mekanisme bagi menentukan bagaimana perkembangan usaha perancangan bahasa bergerak.

Peristilahan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Asmah Haji Omar (2000) menyifatkan istilah Bahasa Melayu merupakan pengisi kepustakaan ilmu abad ke-21. Ahli linguistik merupakan golongan yang berfungsi sebagai anggota yang membantu penilaian menentukan bahasa, atau dialek khususnya dari segi pemiawaian morfologi dan sintaksis atau perkembangan perbendaharaan kata teknikal. Pendidik pula membantu melaksanakan dasar pendidikan negara yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan melalui program yang telah dirancang secara nasional. Penulis dan seluruh anggota masyarakat perlu digerakkan supaya menulis dalam Bahasa Melayu.

Antia (2000) mengatakan bahawa perancangan bahasa berorientasikan pengurusan peristilahan amat penting kerana peristilahan dan Bahasa Untuk Tujuan Khusus (BUTK)  sebagai komuniti akademik mempunyai kontak yang agak terhad.  Sebagai label (linguistik dan bukan linguistik) dalam bidang khusus, peristilahan mempunyai peranan sebagai pemeroleh, penyimpan, pencipta, penghubung, perwakilan, dan pemindah ilmu dalam bidang khusus. Di Malaysia, peristilahan merupakan  unsur yang penting dalam perancangan bahasa sebagai korpus bagi pengembangan dan pengayaan khazanah perbendaharaan bahasa, khususnya Bahasa Melayu. Peristilahan sebagai bidang ilmu menamakan  konsep, menghasilkan istilah baharu, menyimpan dan menyebarkan  istilah, melancarkan komunikasi dalam bidang khusus selalunya dikaitkan dengan perancangan bahasa. Perancangan bahasa dan peristilahan dalam komuniti akademik seharusnya saling berhubungan agar ilmu pengetahuan daripada luar dapat dipindahkan ke dalam bahasa ibunda. Peristilahan merupakan aspek penting dalam perancangan bahasa. 

Komuniti peristilahan lebih banyak menumpukan kepada subjek  bidang khusus yang mengkaji ilmu tentang unit, struktur, representasi, evolusi dan pemerolehan pengetahuan. Komuniti perancangan bahasa pula melihat evolusi ini berterusan dalam masyarakat dan pilihan bahasa  oleh pakar bidang sudah beralih daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.  Bahasa Melayu  memerlukan satu mekanisme untuk mengawal perluasan fungsi Bahasa Inggeris dalam domain khusus ini. Walaupun terdapat rungutan tentang ketidakupayaan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu namun usaha badan perancang bahasa di Malaysia yang ditubuhkan berdasarkan akta yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, perlu dianggap penting. Peristilahan dalam kerangka perancangan bahasa khususnya di Malaysia perlulah mengambil kira beberapa aspek penting, iaitu bahan yang digunakan sebagai korpus, teori dan kaedah yang diterapkan sebagai salah satu aspek penting dalam perancangan Bahasa Melayu.

Peristilahan juga membantu pengguna bahasa memberikan makna kepada bentuk istilah tertentu. Di samping itu kelahiran glosari istilah atau kamus istilah merupakan usaha mengorganisasikan pengurusan peristilahan secara tersusun. Ini juga dapat menjamin penyebaran istilah dalam kalangan masyarakat pengguna. Selain itu, peristilahan juga membantu penilaian istilah yang dihasilkan. Dalam peristilahan penstandardan merupakan fenomena yang biasa dan diterima umum malah menyumbang penyelesaian kepada masalah ketaksaan dalam komunikasi. Pemiawaian dilakukan pada tahap tertentu misalnya lima tahun sekali untuk memastikan proses kemas kini yang dinamik dalam peristilahan. Pengurusan peristilahan juga memerlukan bank data peristilahan yang sentiasa dikemas kini dan dihubungkan dengan semua badan peristilahan di dunia. Penyebaran dan penggunaan istilah secara meluas perlu dijanakan dengan adanya teknologi dan perisian terkini.
Pada peringkat awal perkembangan peristilahan, terdapat kelemahan dari segi kepakaran dan kemudahan bagi menggerakkan kegiatan peristilahan. Pada waktu itu mereka yang terlibat dalam peristilahan bukanlah ahli peristilahan tetapi merupakan pakar bidang khusus. Usaha yang dijalankan oleh DBP melalui penubuhan jawatankuasa istilah telah menghasilkan istilah dalam bidang pentadbiran dan urusan kerajaan yang meliputi nama kementerian, jabatan, pejabat, pangkat, jawatan, nama surat, dan borang. Kegiatan peristilahan semakin pesat apabila pada tahun 1983, semua institusi pengajian tinggi menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Peristilahan semakin penting apabila kegiatan penterjemahan bidang sains juga semakin berkembang. Sepanjang tahun 1959-1975, terdapat tiga pedoman pembentukan istilah yang telah dihasilkan: Pedoman Membentuk Istilah Baharu (1961); Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP (1971); dan Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya (1971).

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPI) menjadi penanda bermulanya zaman pembentukan istilah selepas 1975. Pedoman ini telah diisytiharkan pemakaiannya oleh Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia serentak mulai 30 Ogos 1975. Pedoman ini dikatakan umum kerana kaedah-kaedah dalam pedoman ini dapat digunakan sebagai panduan untuk membentuk istilah dalam apa juga bidang ilmu (Hassan Ahmad: 1981). Pedoman ini telah digunakan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI) di dalam DBP dan juga di luar DBP. Pedoman ini disemak semula pada tahun 1992. Terdapat juga beberapa JKI menyediakan pedoman tambahan yang membolehkan JKI ini membentuk istilah khusus. Pedoman tambahan ini adalah sebagai pelengkap dan ketentuan pembentukan istilah sahaja. 

Perkamusan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Perkamusan sebagai korpus bahasa sama pentingnya dengan peristilahan sebagai wahana ilmu dalam meningkatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa moden. Kosa kata yang terkumpul dalam kamus merupakan rakaman penggunaan bahasa yang digunakan pada ketika bahasa tersebut dirakamkan.  Perkamusan Melayu mempunyai sejarah yang panjang. Menurut Asmah Haji Omar (1987), kamus Melayu yang paling awal yang pernah diketahui ialah senarai kata Melayu-Cina yang terdiri daripada 482 kata entri yang dikumpulkan antara 1403M-1511M, seperti yang dihuraikan oleh C.O.Blagden dalam karangannya yang bertajuk “A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Words dan Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511”, dalam Bulletin of the School of Oriental and African Studies, Vol.VI, 1930-32, (h. 715-749). Daftar kata tertua dikatakan merupakan catatan daftar kata Itali-Melayu yang dihasilkan oleh Pigafetta pada tahun 1521. Senarai kata ini dinamakan Daftar Kata Orang Islam. Pada tahun 1623 muncul kamus Melayu yang lebih baik, iaitu kamus Belanda-Melayu yang berjudul Vacabularian ofte Woord-boek naer ordre vanden Alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende Maleysch-Duytsch. Kamus ini disusun oleh Casper Wiltens dan Sebastianus Dankaerts. Sejak tahun 1950, terdapat dua kamus yang dihasilkan, iaitu Kamus Am Bahasa Melayu dan Kamus Melayu (di Indonesia dikenali sebagai Kamus Modern Bahasa Indonesia dan Kamus Umum yang diterbitkan pada tahun 1954 dan 1952). Selepas tahun 1950, telah muncul beberapa kamus besar dan juga institusi-institusi formal yang berusaha menyusun kamus seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Pusat Bahasa Indonesia. Era ini ditandai dengan kemunculun Kamus Umum Bahasa Indonesia susunan W.J.S Poerwadaminta pada tahun 1952 yang telah menyimpan 20 ribu entri. Kamus ini dijadikan asas bagi penghasilan Kamus Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara perinci dalam Topik 8,  Perkamusan Bahasa Melayu.

Sistem Ejaan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Sistem Ejaan Rumi dalam Bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan. Sistem ejaan yang terawal ialah Sistem Ejaan Marsden (1812), diikuti oleh Sistem Ejaan Ophuisjen (1901), Sistem Ejaan Wilkinson (1902), Sistem Ejaan Za’ba (selepas 1904), Sistem Ejaan Fajar Asia (1943), Sistem Ejaan Suwandi (1947), Sistem Ejaan Kongres (1956/57), Sistem Ejaan Malindo (1959) dan akhir sekali, Sistem Ejaan (Rumi) Bersama 1967. Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara terperinci dalam Topik 7, Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu.

Kesimpulannya, perancangan Bahasa Melayu perlu mempunyai iltizam yang tinggi dan pelaksanaannya juga dilakukan dengan rasa keyakinan bagi meletakkan tarafnya sebagai salah satu bahasa ilmu di dunia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan